Saturday, October 10, 2009

Kejutan.. panaskah?

CERPEN

Kejutan
Oleh Thoyba Mursyidah

Satu
“BETULKAH apa kamu cakap ini Mariah?” Dahi Saiful berkerut-kerut. Tangannya tidak henti-henti menggaru kepala yang tidak gatal. Helai rambut berjuntaian di dahi. Berita yang disampaikan Mariah sebentar tadi amat mengejutkan.

“Isteri kamu tidak mahu pulang lagi ke rumah, dia sudah jumpa haluan hidup baru.” Bersungguh Mariah bercakap. Ada urat-urat merah timbul di mata. Selendang lusuhnya diangkat ke bahu.
“Hendak kata aku main kayu tiga, tidak pernah. Selama ini aku dan Fauziah bahagia sahaja.” Saiful bingung. Segala keperluan lahiriah dan batiniah secukupnya dia sediakan. Walaupun bekerja sebagai Pembantu Am Rendah, hasil titik peluhnya jadi ‘santapan’ keluarga.

“Kami mahu hidup sendiri, biar padan muka kamu.” Mariah ketawa berdekah-dekah. Mula-mula Saiful hairan, lama-lama dia jadi berang. Kolam hatinya berkocak persoalan.

‘Apa kena dengan Mariah? Dirasuk hantukah? Kepala aku tengah berserabut, terus kusut dengan kerenahnya.’ Saiful menggaru-garu lagi kepala. Mukanya merah. Cuping telinganya merah. Matanya juga merah. Marah sungguh Saiful kepada Mariah.

“Baik kamu beritahu betul-betul apa yang berlaku!” Halaman rumah Saiful seperti bergegar. Mariah masih lagi membetul-betulkan selendang kuning cairnya. Beberapa kali dia berdehem dan berlagak selamba.

“Fauziah hendak ikut kami. Fauziah mahu bebas.” Penuh angkuh jawapan itu diberi. Saiful ternganga. Dia bercekak pinggang. Suram petang menegangkan suasana. Dua hari Fauziah tidak pulang ke rumah. Sudah puas dia mencari ke seluruh kampung tidak ketemu.

“Ikut kami? Siapa kami? Kamu jangan hendak meracuni fikiran dia pula dengan cerita karut-marut. Aku tidak pernah menduakan dia apatah lagi mahu menyakiti hatinya.” Nafas Saiful turun dan naik. Bahang marahnya meluap-luap. Pipinya terasa pijar.

“Aku tidak ada masa menghasut sesiapa, apatah lagi mereka cerita fitnah yang tidak munasabah. Tetapi memang Fauziah mahu ikut kami.” Dia berpaling membelakangi Saiful. Dia mahu pulang. Wajahnya penuh kepuasan.

“Kamu hendak ke mana Mariah? Urusan ini belum selesai. Di mana Fauziah? Baik kamu beritahu aku!” Saiful melaung sungguh-sungguh. Dia mahu Fauziah kembali. Dia tidak tahu apa kesalahannya. Mariah tersenyum sinis. Langkahnya terhenti.

“Lelaki boleh kahwin empat!” Mariah ketawa lagi. Saiful pula makin bingung. Tiba-tiba sahaja kenyataan sebegitu ditimbulkan.

‘Entah-entah Mariah beritahu aku kahwin lain kepada Fauziah.’ Pelbagai andaian mengaburi mindanya. Terasa hendak dicincang-cincang sahaja mulut Mariah.

“Apa yang kamu beritahu Fauziah hah?” Kakinya melangkah turun dari rumah. Terkocoh-kocoh dia mengejar Mariah yang sudah jauh di hadapan. Kewarasannya hampir hilang dek teramat geram. Dalam kelelahan, dia melihat Mariah sudah berada dalam perut teksi.

“ Ah!” Satu tumbukan dihayunkan ke udara. Renik peluh membasahi muka.
Dua

Celaru. Itulah gambaran sinonim penduduk Kampung Bahagia kini. Semakin ramai isteri orang lesap entah ke mana. Semalam isteri Mazuhairi tidak dapat dikesan. Baru sahaja pagi tadi, isteri Jamil pula menghilang. Hendak masuk tengah hari sahaja, isteri Zani sudah tidak nampak batang hidung lagi. Saiful pula ternanti-nanti Fauziah pulang ke sisi.

“Saiful, kita hanya mahu berdiam dirikah?” Mulut Jamil tidak henti-henti menghisap rokok. Kali ini sudah 5 batang gas-gas beracun buatan manusia itu disedutnya. Meja makan empat segi itu penuh. Warung Pak Hamdan terpaksa dibuka sampai pagi.

“Mariah datang rumah aku. Dia sebut tentang ‘kami’. Sertai ‘kami’. Aku tidak faham.” Kendur sahaja suara Saiful. Mazuhairi dan Jamil saling berpandangan.

“Mariah bekas isteri Yang Berhormatkah? Aku rasa mesti ada komplot hendak rosakkan kebahagiaan penduduk Kampung Bahagia sekarang. Maklumlah Kampung Bahagia ini memang penduduknya bahagia.” Jamil memecahkan buih-buih sunyi.

“Berilah pendapat yang bernas sedikit. Biar dapat selesaikan masalah. Ermm, tapi boleh jadi juga apa kata kamu itu Jamil.” Tangan Mazuhairi memegang dagu. Masing-masing mencerna apa yang terbit dari minda. Sesuatu perlu direncana untuk mengatasi masalah yang masing-masing sendiri tidak tahu puncanya apa. Ini kali pertama warga Kampung Bahagia berhadapan kecelaruan. Hampir separuh abad hidup harmoni, baru sekali ini dilanda ‘badai’ rumit solusi.

“Eh, kamu tidak mahu lapor pada poliskah?” Pak Hamdan mencelah tiba-tiba setelah agak lama memerhatikan gelagat pelanggannya. Tangannya ligat mengelap meja..

“Hish! Saya tidak fikir isteri-isteri kita semua dalam bahaya sebab Mariah ada sebut tentang ‘kami’. Aduh, pening saya Pak Hamdan.” Dahi Saiful berkerut. Dikepal kedua-dua tangannya.

“Apa lagi Mariah beritahu kamu?” Pak Hamdan mengangkat kening. Sejenak Saiful berfikir. Bibirnya dikepam.

“Kahwin empat, lelaki boleh kahwin empat!” Semua tercengang. Deria masing-masing dihidupkan serta-merta. Mungkin ini kunci pada permasalahan tersebut.

“Bila pula antara kita berkahwin empat?” Mazuhairi menyandar pada kerusi. Tangan disilang ke dada. Muka setiap orang makin banyak kerutnya.

“Lihat ke sana!” Sepantas kilat lelaki-lelaki itu berpaling. Kumpulan kecil manusia menuju ke arah gerai Pak Hamdan. Gembira tidak terkata, namun terselit amarah di jiwa. Belum sempat bertanya itu ini, si isteri memulakan bicara.

“Yah tidak mahu buat kerja-kerja rumah lagi. Yah tidak mahu tunggu abang Saiful sahaja di rumah.” Saiful mahu pengsan. Lidahnya kelu. Apa sudah jadi dengan dunia? Isteri sendiri cuba meruntuhkan mahligai bahagia.

“Saya pun sama. Saya tidak mahu dikongkong lagi.” Kali ini giliran Mazuhairi dan Jamil pula hampir rebah ke bumi.

“Baru kami sedar, kami dirugikan. Buang masa sahaja di rumah sepanjang hidup ini. Kami sudah jumpa haluan kami. Persatuan ini ajar kami banyak perkara.” Hati yang tadi menggelegak terasa digeletek pula. Mahu berpersatuan dijadikan isukah? Tidak masuk akal fikir mereka. Tawa terburai seketika.

“Oh, mahu berpersatuan ya? Persatuan orang perempuan selalu sertai ya? Bagus, bagus. Tidak jadi masalah. Tapi kenapa tinggalkan kami? Jangan buat begitu lagi ya?” Ada nada memujuk dari si suami, fikirnya halangan sukar sudah dilepasi.

“Persatuan Kakak Tersayang ini menyediakan komuniti bagi memperjuangkan hak kami.” Mariah muncul entah dari mana. Saiful, Mazuhairi, dan Jamil tergelak besar. Pak Hamdan diam sahaja.

“Kakak Tersayang? Wah, nama sahaja aku sudah tidak tahan untuk ketawa.” Riuh gelak lelaki-lelaki itu masih bersisa. Raut wajah isteri-isteri itu tegang sentiasa, tiada berubah. Pak Hamdan, imam Kampung Bahagia mula menapak selangkah.

“Jangan jadi pemusnah keharmonian. Hak apa kamu tuntut Mariah?” Suara Pak Hamdan sedikit keras. Jiwanya berderu angin kebimbangan.

“Tidak ada apa sangat, kalau dari sudut pembahagian harta pun, kami dapat satu per empat, adilkah? Dari sudut perkahwinan, hanya kaum Pak Hamdan dapat hak poligami. Betulkan itu semua pun sudah cukup.” Istighfar bergema, melantun-lantun dari bibir ke bibir. Malapetaka apakah ini? Masih wujud manusia sebegini dalam alam realiti? Saiful, Mazuhairi dan Jamil meraup muka. Tersekat nafas dek ‘kejutan’ yang dibawa.

“Kenapa mesti dibangkitkan perkara-perkara sebegini? Sepatutnya hal tersebut memang tidak perlu dipersoalkan dan dibahaskan kecuali suami kamu tidak pernah menjalankan tanggung jawab masing-masing.” Ekor mata Pak Hamdan menangkap wajah Saiful, Mazuhairi dan Jamil.

“Mahu jadi wira ya Mariah? Kenapa tidak masuk tentera sahaja? Tolong pasukan penyelamat negara melawan musuh-musuh nyata. Bukannya membantu musuh-musuh tersembunyi yang sekian lama berpaksi di dunia ini.” Pak Hamdan masih mengawal emosi. Mariah tersengih-sengih. Baginya ‘peperangan’ perlu dijelmakan. Habuannya bukan sedikit.

“Buka akal kamu semua, satu per empat harta pusaka kamu peroleh menjadi hak kamu sepenuhnya. Sedangkan kami menggunakan bahagian kami untuk bertanggungjawab ke atas diri kamu.” Mariah mengetap bibir. Wajah-wajah si isteri bertukar rona sedikit- seperti mengerti sesuatu. Pak Hamdan meneguk liur, lalu menyambung lagi.

“Kamu berani mempermainkan sunnah Nabi. Poligami memerlukan kami bersikap adil. Adil dalam semua perkara. Kamu mahu hak itu? Haru-biru jadinya. Berfikir guna rasional, bukan emosional. Apa akan terjadi pada zuriat kamu nanti?” Ahli-ahli Persatuan Kakak Tersayang dihempap gelisah. Mariah mencebik.

“Tapi ada kakak-kakak yang menyayangi kami dalam persatuan ini, kakak kesayangan kami. Mereka menolong kami seperti saudara sendiri…”

“Sehingga rela meninggalkan suami?” Saiful sekian lama menyepi, mula berekspresi bahasa haq. Pak Hamdan meramas-ramas bahu Saiful. Mariah bercekak pinggang dan mendengus kasar. Kalau terus begini, perancangan menambahkan ahli akan tergendala, habuannya perlu dimiliki. Habuan dari ‘kakak-kakak’ yang disayangi.

“Poligami merangkumi kemampuan memberikan nafkah zahir dan batin. Rincikan dalam-dalam, adakah tuntutan kamu munasabah?” Pertanyaan dihumban bertubi-tubi. Fauziah dan ahli-ahli persatuan lain menggigit bibir. Ada suara menerjah udara.

“Sudah, sudah. Dengar sini, lelaki hebat bermain kata-kata. Ayuh, kakak kesayangan kita menunggu, solat jumaat bersama-sama.” Jantung terasa longgar, mahu gugur dari jasad.

“Persatuan keparat apakah ini? Di mana kakak yang kamu banggakan itu?” Mazuhairi menyinga. Pak Hamdan mengurut-ngurut dada. Mariah menggeletar.

“Keutamaan solat jumaat itu sendiri diletakkan pada kaum kami, bagaimana kamu boleh pertikaikan, apatah lagi menjadi imam. Kamu mahu apa? Jangan pecah-belahkan kami di sini.” Pah Hamdan merenung tajam. Semangat Mariah menjulang. Beraninya menjadi-jadi.

“Sudah, sudah. Dengar sini, lelaki hebat bermain kata-kata. Ayuh, kakak kesayangan kita menunggu, solat jumaat bersama-sama.” Ahli-ahli Persatuan Kakak Tersayang membatu. Aura kebenaran mulai dirasakan. Tetapi bukan semua, masih ada segelintir yang keraskan jiwa.

“Hey Mariah, kamu lihat pokok itu!” Pak Hamdan mengunjukkan tangan kanannya pada sebatang pohon renek. Daunnya kekuningan, rerantingnya kering. Kerlingan Mariah menjengkelkan.

“Melakukan sesuatu pekerjaan tanpa bertunjangkan agama, samalah seperti menanam pokok yang akarnya sudah reput. Segalanya layu, tiada imbalan apapun. Lebih-lebih lagi redha Allah.” Hela Mariah tertahan. Ini bukan lagi relung gurauan yang boleh dipersendakan.

“Jangan sempitkan pandangan Mariah. Beritahu ketua kamu, segala pangkat atau kelulusan bukan lesen untuk mentafsir agama sesuka hati. Jangan ingat mahu perbodohkan orang kampung seperti kami.” Pak Hamdan mengangkat sedikit mukanya. Tunakan matanya menusuk tajam tampang ahli-ahli Persatuan Kakak Tersayang. Resah Mariah berganda-ganda memenuhi ruang jiwa. Lidahnya gersang kata-kata. Fikirnya, penduduk Kampung Bahagia senang dipengaruhi, tetapi sebaliknya terjadi. Perancangan melebarkan pengaruh persatuan itu ke bandar sudah pun terlaksana malah ramai wanita-wanita korporat yang menyokong perjuangan itu. Apatah lagi ‘kakak’ yang mengetuai Persatuan Kakak Tersayang merupakan tokoh yang disegani seantero dunia.

“Mariah, tidak malukah membantu manusia yang mahu memecah-belahkan kita?” Pucat lesi Mariah. Fauziah sudah menangis. Sedaya upaya Mariah mengawal diri. Dia sudah mulai takut.

“Jangan menangislah. Kau jangan jadi lemah begini. Bukankah kamu mahu perjuangkan hak kita seperti kakak-kakak lain?” Mariah mengoncang-goncang bahu Fauziah. Ditepis tangan Mariah.

“Sudah, sudah. Dengar sini, lelaki hebat bermain kata-kata. Ayuh, kakak kesayangan kita menunggu, solat jumaat bersama-sama.” Mariah takut kalah.. Mariah mahu cepat-cepat keluar dari Kampung Bahagia. Pak Hamdan masih tidak berputus asa. Ahli-ahli Persatuan Kakak Tersayang bergerak meninggalkan kawasan itu.

“Jalan ke syurga terbuka luas buat kamu jika solat 5 waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan, menjaga maruah dan taat kepada suami, kamu laksanakan penuh keikhlasan. Nabi sendiri bersabda begitu. Janji apa lagi seindah janji Ilahi?” Hadis itu kemas di lindapan ingatan Pak Hamdan. Tuturnya menggugah keyakinan ahli Persatuan Kakak Tersayang. Kesabaran Mariah melayang. Seorang demi seorang ahli meninggalkan Mariah keseorangan.

TAMAT

2 comments:

A. Muziru Idham said...

Wah, pengolahan ideologi yang mantap kak!!!! Persis cerpen Apakah Yang Kaucari, Muslimah? karya Siti Hajar Mohd Zaki dalam Dewan Sastera,Disember 2008 yang menceritakan tentang perjuangan sekelompok wanita yang cuba mempertahankan hak dan ideologi mereka namun tidak berlandaskan petunjuk agama yang kukuh. Tapi saya kira plot peleraiannya agak tidak cermat dan berlaku secara mengejut. Patut akak sambung sedikit lagi agar penutupnya benar-benar mantap kerana pengakhiran yang tergantung seharusnya menuntun pembaca untuk berfikir dengan lebih luas dan tidak menyesakkan nafas mereka yang belum habis dilepaskan kerana pengakhiran cerita yang berlaku tiba-tiba.


Maaf ya. Komentar dari seorang yang masih mentah. Huhu.

Siti Fatimah said...

slm dik.. best betol citer ni.. lain dr yg lain sbb lari dr tema cintan cintun remaja yg melambak sgt skrg nih.. skali lagi, tahniah & terus menulis!