Sunday, May 24, 2009

Sepetang menghirup manisan ilmu- Ustaz Hasrizal Jamil

Kuiz LDS datang lagi. Seperti biasa, saya tetap malas begini. Teman saya mengkhabarkan, penulis buku Aku Terima Nikahnya datang ke utara. Bila saya fikirkan kembali, tajuknya berlainan daripada biasa. Bukan berkisar tentang cinta, tetapi cabaran beragama. Lebih menarik, diselitkan satu terminologi yang tidak biasa saya dengari, Generasi Y. Anda tahu apa itu generasi Y? Perasaan ingin tahu meluap-luap dalam dada. Saya cuba perturunkan apa yang
sempat dikutip sepanjang sepetang bersama Ustaz Hasrizal Jamil.

Pada hemat saya, Ustaz Hasrizal suka bermain dengan bahasa. Saya ingat lagi pada slide yang pertama tertulis, Berdakwah bukan untuk memberi TAHU, tetapi ingin mencetus MAHU, agar bergerak menuju MAMPU.

Jadi, apa kaitannya dengan generasi Y? menurut Ustaz Hasrizal, generasi Y merupakan generasi yang lahir selepas tahun 80. Ish! Tak mungkin seringkas itu bukan? Generasi Y, sebenarnya generasi WHY. Generasi yang suka membuahkan tanya, berani meluahkan persoalan. Pelbagai persoalan yang bukan mudah malah komplikated dan rumit untuk diberi jawapan. Tindakan kita yang ‘membunuh’ jawapan, akan menyebabkan mereka tersalah memilih jalan dalam kehidupan mendatang.

Maksudnya, segala permasalahan ataupun kemusykilan yang bermain dalam pemikiran generasi Y perlu diakhiri dengan hikmah. Kenapa agaknya generasi Y ini penuh dengan sifat ingin tahu? Kerana mereka tidak pernah merasa kepayahan dan kesusahan. Generasi-generasi sebelum ini tidak pernah mempersoalkan apa-apa undang-undang atau hukum kerana maklum akan sejarah yang ditempuhi. Tetapi generasi Y ini, iklimnya sidah disaluti kesenangan dan keseronokan.
Saya melihat isu sebegini bukan lagi isu luar biasa dalam kehidupan. Jika kita lihat bagaimana anak-anak muda yang mantap gagasan fikrahnya bertelingkah soal fikh, hukum, alur perjuangan, pemikiran dan sebagainya ini penuh dengan daya provokasi yang hebat. Saya akui, ini sumber kekuatan yang bagus dan mantap bagi generasi Islam akan datang khususnya.

Di sini kita lihat peri pentingnya ilmu yang berstruktur. Segalanya perlu ada akar umbi, asasnya, bagaimana hendak memperkukuhkan tapak ilmu agar terus utuh dan tidak mudah terpesong haluannya.
Ketepikan seketika isu-isu berat yang memeningkan kepala, dan jangan jadi seperti manusia yang menganuti Islam tanpa berfikir. Balik pada konsep asal kejadian kita. Kita maklum, perjalanan manusia bermula dari alam roh, singgah di alam rahim, seketika di alam dunia, menanti di barzakh dan terus berangkat ke mahsyar.



Kuasai ilmu agama yang asas sebelum melangkaui daerah-daerah pemikiran yang lebih menncabar agar pemikiran kita yang ‘biasa-biasa’ ini tidak tergugah apabila dicabar. Ada yang bertanya, batas pemikiran kita selain zat Yang Maha Esa setahap mana?
Kita berteladan dengan bicara Buya Hamka bagaiman beliau mengukur tahap akal manusia.

Kata Buya Hamka, renunglah lautan. Buka luas-luas mata hati, iaitu akal dan di sebaliknya kita akan nampak ombak. Direnung lagi, kita pasti terfikirkan angin yang membentuk ombak, ditenung lagi kejadian angin, kita akan memikirkan tekanan udara dan tenaga haba yang mencetuskannya. Secara tidak langsung pula, kita akan memandang matahari yang membekalkan sinar hangatnya. Lalu terbayang di mata gas-gas yang menyatu, membentuk bintang panas ini. Sehingga satu aras dalam penelitian ini, akal kita sudah tidak ketemu jawapannya. Maka disinilah dipanggil HUJUNG AKAL dan inilah PANGKAL AGAMA.
Secara harfiahnya, jika kita memikirkan dari mana kita datang, kita akan mencium ketenangan sepanjang gerak kerja yang dilakukan. Hal ini kerana, kejadian asal kita yang bermula di alam roh akan menyebabkan kita menyedari matlamat kita hidup di dunia. Matlamat kita hidup di dunia seperti yang termeterai di alam roh lagi iaitu beribadah dan beriman kepada Allah SWT. Bila beribadah, kita tidak akan menelan kepayahan jika kita membawa diri kita kembali kepada permainya tempat asal kita.
Pendengar-pendengar yang meladeni setiap butir perkataan Ustaz Hasrizal terdiam apabila dilontarkan dengan pertanyaan, “Persoalannya, adakah anda yakin anda mempercayai alam-alam itu?”
Saya pun kelu untuk memberi jawapan. Betul juga ya. Erm. Jika generasi Y yang lain bertanya pada kita soalan sebegini, apa jawapan yang akan diberikan? Kemungkinan besar kita akan membunuh soalan sebegini untuk menyelamatkan diri.
Ustaz Hasrizal sekadar memberi contoh yang mudah tetapi cukup mengesankan. Kata Ustaz, ibarat kita memandu kereta dengan kelajuan yang tinggi di atas jalan raya. Tiba-tiba sahaja ada kenderaan lain seperti van, motor atau kereta yang memberikan isyarat. Maka kita dengan sendirinya memperlahankan kenderaan kita kerana kita yakin pasti ada polis di hadapan. Tetapi adakah kita sudah melihat polis itu? Tidak bukan? Tetapi kerana kita yakin dengan isyarat-isyarat yang diberikan menunjukkan ada sesuatu di hadapan.
Begitulah juga dengan alam-alam tersebut.
Kita memandang kejadian alam sebagai wujudnya alam-alam lain dengan adanya keyakinan.

Ustaz Hasrizal (saifulislam.com)

Friday, May 22, 2009

Secebis perkongsian



Saya bukanlah peminat atau penggemar buku-buku berinti cinta, tetapi buku ini cukup menyentuh rohani saya. Resapan 'cinta' ini sungguh mengharukan dan memberikan semangat baru kepada setiap muslimin dan muslimat bahawa- PERCAYALAH PADA CINTA ALLAH SWT. Kita tidak akan meyesal walau sedikitpun. Nikmatilah buah tangan bermakna daripada penulis muslimah sejati, Fatimah Syarha Mohd Nordin, iaitu Pemilik Cintaku setelah Allah dan Rasul. Insya ALLAH, semoga hidup kita semua dilimpahi barakahNYA. Amin







Ini saya mahu kongsikan untuk kalian. Mural ini kerapkali saya ulang tatap saat sedih dan gembira. Indah bukan lakaran pelukisnya? Saya sukainya. Lukisan sempurna di mata saya.
Lokasi: Gelanggara IPGM Kampus Penang

Tuesday, May 12, 2009

Perjuangan bukan di bibir semata. Bicara aku dalam rindu.

Saya pernah terbaca satu falsafah Jepun. Dua helai daun pada sebatang pokok, tidak pernah akan bertemu, kecualilah bila sudah tumbang.

Saya resapkan falsafah ini pada sesebuah organisasi atau jemaah. Jika ketika utuhnya pentadbiran, masing-masing tiada persefahaman dan komunikasi yang baik (ukhwah), maka robohlah organisasi atau jemaah tersebut. Ketika saat kehancuran itu berlaku, barulah semua pihak mula mencari-cari satu sama lain.

Kenapa saya timbulkan isu tentang organisasi dan jemaah? Kerana hati saya hampir pada semua ini. Dekat sahaja di nubari saya. 2 dan 3 hari kesayuan membungkus emosi. Sedih melihat kerapuhan jemaah dan organisasi yang ada. (saya tidak merujuk pada mana-mana organisasi dan jemaah yang saya sertai mahupun orang lain). Apa yang pasti, saya teramat sedih saat ini.

Paling menyedihkan apabila berlaku pergeseran antara pemimpin-pemimpin yang punya fikrah islamiah yang hebat. Masing-masing dengan ketinggian ilmu yang berbeza. Mangsanya, tetap orang bawahan juga. Dalam satu jemaah atau organisasi, ukhwah yang sering ditekankan oleh as Syahid Hassan al Banna merupakan elemen yang terpenting. Memanglah senang menyebutnya di bibir, tetapi untuk mencapai tahap kemanisan ukhwah itu, teramat banyak ranjaunya.

Haru organisasi bila ada manusia aneh yang berlagak pandai dalam menguruskan sesuatu. Bongkak bila dikurniakan sedikit ilmu dari Allah SWT. Semuanya main ikut kepala dia sahaja! Hancurlah organisasi, longgarlah nilai islami. Saya terkenang kata-kata para ulama’ bahawa ilmu itu berukuran 3 jengkal. Siapa yang hanya sampai di jengkal yang pertama, maka dia akan memiliki sikap takbur dan bongkak. Siapa yang berjaya sampai ke jengkal kedua, maka dia akan merendah diri. Siapa yang sampai ke jengkal ketiga/terakhir, maka dia akan menyedari bahawa banyak perkara yang belum diketahuinya lagi.

Pengabdian dan penyerahan diri dan jiwa sepenuhnya kepada Allah dan keikhlasan dalam menautkan persaudaraan sesame jemaah harus dititikberatkan. Biarpun organisasi tersebut hanyalah sekadar di pusat-pusat pengajian tinggi, institute perguruan dan sebagainya, segalanya memerlukan ramuan yang secukupnya untuk melengkapkan jentera dakwah masing-masing.

Sekelumit dugaan pasti datang untuk menguji tembok kekebalan jemaah dan organisasi tersebut. Perkelahian dan pertembungan idealisme mampu dilangsaikan dengan cara terbaik jika nilai-nilai murni dalam Islam diamalkan sepenuhnya.

Saya melihat pemimpin berperanan dalam meleraikan pertelingkahan dan kepincangan dalam jemaah atau organisasi. Sedari awal lagi, barisan kepimpinan perlu diperlegkapkan dengan ukhwah yang benar-benar tulus dari hati, dan juga bai’ah untuk memastikan amanah yang disandang terus dilaksanakan dengan penuh istiqamah.

Ketaatan kepada pemimpin itu sangat perlu untuk membina tunjang kekuatan yang kukuh dari segenap segi. Jika pemimpin teratas sendiri masih dalam ‘mimpi’, pasti sulit untuk melestarikan wadah dakwah dan tarbiah, khususnya jika sasarannya adalah muda mudi.

Erm, hitam malam makin pekat di dada langit. Mata saya masih degil. Tiba-tiba saya rindu akan tiga buah ‘keluarga’ saya.


‘Keluarga pertama’ : Batch TESL Cohort two, Third cycle. Hampir dua semester bersama mereka, suka duka dirasa, kadangkala menangis bersama. Masing-masing memiliki kebolehan dan kekurangan. Paling penting, saling melengkapi dan sentiasa bersatu hati. 62 ahli semuanya. Saya sayang dan cinta kalian!

‘Keluarga kedua’ : Jawatankuasa Perwakilan Pelajar IPGM Kampus Penang. Saat bersama mereka semua sering saya nantikan. Permasalahan yang mendatang, pasti diatasi dengan perasaan senang. Tiada rasa terhimpit kerana masing-masing saling bergantungan. Menjaga kebajikan, menyuburkan kasih sayang. Bahagianya bersama mereka. 34 kesemuanya yang menjadi untaian cinta. Saya sayang dan cinta kalian!


‘Keluarga ketiga’ : Persatuan Agama Islam IPGM Kampus Penang. Saya kecilkan pada lujnah saya, Lujnah Media dan Dokumentasi. Ahlinya tidak terlalu ramai. Saya masih menagih kasih dari ‘keluarga’ yang satu ini. Nampaknya, makin sirna sinarnya. Saya masih menanti. Ketua lujnah ini amat saya sayangi. Saya bangga berada dalam ‘keluarga’ ini. Masinh-masing punya kredibiliti untuk jadi guru sejati. Saya sayang dan cinta kalian!

Ok, saya mahu panjangkan lagi kembara malam. Wassalam.