Saturday, October 16, 2010

Kalimah Cinta


SEMPENA MAKALAH ONE AIM EDISI TERAKHIR, KUSERTAKAN KESELURUHAN CERPEN BERSIRI YANG SELAMA INI MENGISI RUANGAN PENULISAN KREATIF. SELAMAT MEMBACA! SEMOGA BEROLEH MANFAAT.


“ABAH, Ifwat hendak buang air.” Ujar si abang apabila melihat adiknya tidak keruan.
Perjalanan berjam-jam untuk pulang ke kampung halaman di Perlis memang agak memenatkan.

Nazri memperlahankan kereta. Melewati jalan yang dirimbuni hutan, tiada kelihatan
rumah di mana-mana, membuatkan dia teragak-agak untuk berhenti. Mentari yang berbalam-
balam memudar cahaya menuju senja, menyebabkan suasana berbaur seram.

“Ifwat boleh tahan sekejap? Abah hendak cari stesen minyak.” Nazri memecut laju untuk
keluar dari daerah itu.

“Kenapa pandu laju sangat?” Athirah terjaga daripada lena. Ibu yang sarat mengandung
lapan bulan itu memandang suaminya. “Maaf, abang cuma hendak cari...” Belum sempat
dihabiskan kata, suara Idham mengisi ruang. “Adik sudah terkencing!” Mendengar si abang memberi ‘laporan’, Ifwat menangis minta ‘pengampunan’. Nazri tiada pilihan. Kereta Proton Wira berwarna hitam itu diberhentikan di pinggir jalan.

Sememangnya Nazri bapa yang baik. Dia tidak melampiaskan kemarahan sebaliknya
mengusap Ifwat penuh sayang. Baginya, amarah bukan penyelesaian masalah, lebih-lebih lagi melibatkan anak kecil yang baru berusia lima tahun ini. Usai menukar pakaian anaknya, dia menikmati hamparan langit tanpa bintang.

Nazri seakan ralit meneliti bulan sabit yang memanjang hala ke zawiat kiri. Satu lukisan yang tidak mungkin difikirkan oleh akal sejengkal manusia. Dia duduk di sisi jalan. Tangannya ke belakang menongkat badan. Entah mengapa dia merasa selesa, lenyap segala kebimbangan yang membuyar kala menelusuri kawasan ini. Tiba-tiba dia terpegang sesuatu. Kecil dan berbulu!

Dia dikelabui bayangan menakutkan. Perlahan-lahan dia mengangkat ‘benda’ itu. Diamatinya penuh teliti. Ah! Sebiji rambutan. Dia ketawa sendiri. Air liurnya mengecur lantas dia mengopek kulit rambutan tanpa
berfikir panjang. Rasa manis yang terangkul di reseptor lidahnya mencipta satu kenikmatan.

“Abang!” Athirah mula dibalut keresahan kerana suaminya masih belum menyambung
perjalanan. Nazri cepat-cepat bangun menuju ke kereta.

“Ya, abang datang.” Nazri menghidupkan enjin kereta.

“Emak pasti bimbangkan kita, kenapa abang lama sangat?” Nazri sekadar tersenyum.

“Jangan cepat marah, nanti baby suka merajuk.” Athirah memuncungkan bibir mendengar
usikan suami tercinta. Memang dia agak teruja untuk meleraikan rindu kepada ayah dan
bondanya, lebih-lebih lagi dia merancang untuk tinggal di sana sehingga melahirkan anak ketiga.

Mungkin kerana itu, dia disambar emosi. Nazri meneruskan pemanduan menuju ke kampung
halaman.

Dua

Menggelintar sendirian menelusuri segenap mayapada yang luas dan gersang cukup
memeritkan. Nazri melaung nama anak dan isteri. “Athirah, kamu di mana?” Kalbunya sesak dengan gumpalan kebimbangan. Dia mengatur langkah tanpa hala tuju. ‘Ifwat,Idham
kembalilah.’ Dia merintih lagi. Renik peluh berjuraian di dahi. ‘Kenapa aku ditinggalkan di lapangan ini?’

Tiba-tiba angin berpusar laju menuju ke arahnya. Nazri menahan daya angin yang
kuat menolak-nolak tampangnya, namun dia rebah jua. Dia menatap langit hitam pekat.

“Apa salahku!” Dia melontarkan tanya sekuat tenaga.

“Fikirlah apa salahmu.” Satu suara bergema entah dari mana. Nazri memandang sekeliling
dan mencari-cari pemilik suara itu. Tiada! Hanya debu-debu kering yang berpiuh sepi.

“Kamu tidak akan bahagia.” Suara itu menikam gegendang telinganya. Nazri berlari laju tanpa menghiraukan apa yang menanti di hadapan. Dia menempik lagi.

“Apa salahku!” Jasadnya kaku. Akar-akar pokok hijau melingkari badannya kejap. Dia
berusaha untuk meronta-ronta namun tidak berhasil. Buat sekian kalinya dia menghamburkan pertanyaan yang merengsa dada.

“Apa salahku?” Pandangannya kelam. Dia termengah-mengah sambil meraup wajahnya
yang disimbahi peluh dingin.

“Astaghfirullah!” Mujurlah Athirah masih berada di kampung. Jika tidak, pasti dia dilanda kejutan dan itu akan menjejaskan kesihatannya. Nazri bingkas dari katil menuju ke bilik air untuk berwudhu’. Usai mengerjakan solat tahajjud, dia merenung kembali mimpi yang telah mengusik ketenangan jiwanya. Perlahan-lahan peristiwa itu singgah ke tasik hati. Titisan kristal jernih menjerum ke bumi. ‘Apakah peluang masih berbaki?’ bisik jiwanya. Dia tenggelam dalam tangisan nan panjang. Sesungguhnya dia baru menyedari tentang sebuah hakikat. Bayangan sebiji rambutan terbias di skrin mindanya. ‘Aku harus ke situ!’ Tekadnya jitu.

Tiga

Jam 4 petang sinar suria hangat membakar kulit. Nazri mengabar kepanasan dengan
mengibas-ngibas akhbar yang baru dibelinya pagi tadi. ‘Inilah tempatnya!’ Bisik Nazri. Terenap segala kesuraman yang membara di jiwa.

‘Segalanya perlu diselesaikan hari ini.’ Nazri semakin dilitupi lega. Keretanya diletakkan di pinggir jalan. Aneh! Jarang amat kenderaan lalu-lalang di kawasan itu. Langkahnya diatur mendekati sepohon pokok rambutan. Tersedia denai kecil yang seakan mahu membawanya ke
sebuah tujuan. Nazri menapak penuh hati-hati. Makin lama, dia makin terperosok ke dalam perut
hutan.

Derapannya ternoktah. Tunakan matanya hinggap pada sebuah bangsal buruk beratap
nipah yang masih utuh berdiri biarpun pasti bakal roboh menyembah bumi. ‘Aku harus jujur.’

Dia menetapkan nawaitu. Apabila teringat pada azab neraka yang akan mengejar saat kematian menjemputnya nanti, Nazri membulatkan hasrat untuk merungkai segala persoalan yang merantai atmanya. Nazri menyuakan kalimah salam. Pantas sahaja daun pintu dibuka. Perempuan tua bongkok melemparkan senyuman kepadanya.

“Silakan masuk cucu.” Tangan tua berselirat urat-urat besar itu mencapai tangan Nazri dan
mengheretnya masuk ke bangsal itu. Nazri bersila di atas tikar mengkuang. Sesekali dia menjeling keadaan sekeliling. Ah! Nenek ini tinggal sendirian.

“Saya cuma mahu kepastian.” Nazri memecahkan gemawan sunyi. Perempuan tua itu
masih tersenyum. Dia menuangkan air ke dalam gelas tembaga dan menyuakan kepada Nazri.

Setelah meneguk beberapa kali, Nazri bertanya lagi. “Pokok rambutan di tepi jalan sana, milik nenek ya?” Nazri mengecilkan mata, menanti aksara yang akan terbersit dari bibir tua itu.

Senyuman perempuan tua itu makin lebar. “Ya.”Nazri mengumpul kekuatan. “Maafkan saya nenek. Minta halalkan sebiji rambutan yang telah saya makan sebulan yang lalu.”

Khali. Suasana dirasakan amat tegang apabila perempuan tua itu termenung lama.

“Ada syaratnya.” Nazri tersentak menerima jawapan itu. Namun, apabila terkenangkan daging yang tumbuh daripada makanan yang haram hanya layak dimamah neraka, Nazri mengangguk.

“Saya terima.” Kalimahnya diluah payah.

“Tinggalkan keluargamu, lepaskan harta dan jawatanmu, dan menetaplah denganku
selama 50 tahun. Barulah aku halalkan sebiji rambutan itu.” Bagai satu badai maha ganas yang merobek sangkar hidupnya Nazri tertunduk. ‘Beratnya hukuman yang aku terima hanya kerana sebiji rambutan’ Batinnya menangis. Nazri bingung mengenangkan liku hidupnya yang
meruncing.

‘Aku bukannya seorang yang abrar walhal aku sekadar hamba Tuhan yang hina dan
lemah.’ Desis jiwanya. Sebiji rambutan menjadi mahar untuk menempah sebuah kehidupan yang menyeksakan kelak. Nazri seakan terperangkap dalam sebuah kisah yang menguji ketaqwaan seorang kekasih Allah yang bernama Abu Salih. Bezanya, beliau termakan sebiji epal lalu pinta dihalalkan dan hasratnya itu tercapai usai 12 tahun bekerja di rumah pemilik pokok epal itu. Akhirnya, dia meladeni kehidupan yang bahagia bersama isteri yang jelita dan cerdas akalnya, iaitu Ummu Khair Fatimah.

“Bagaimana?” Perempuan tua itu menduga. Amarah Nazri menunjal-nunjal jemala.
Nafasnya berombak. Perasaannya luka parah tetapi tegar dibebat secepatnya bagi mengelakkan dia hilang pertimbangan.

“Saya bersetu…” Bunyi nada dering telefon bimbitnya mematikan kata-kata. Dia
menjawab panggilan dengan debaran masih memuncak di dada. “Athirah sudah hampir bersalin, cepat pulang!” Ibunya memberitahu situasi yang tepu cengkaman emosi.

“Nenek, saya perlu pergi sekarang.” Nazri bergegas ingin meninggalkan tampang tua itu.

“Pergilah, dan peluang itu akan turut ‘pergi’ bersama jejakmu nanti.” Nazri terpaku. Dia terduduk di atas tanah lalu menangis teresak-esak. Dia membayangkan Athirah yang menantinya untuk mengazankan zuriat mereka – bukti cinta mereka. Dia benar-benar tersepit untuk membuat pilihan. Pergi menemui isteri tersayang, bermakna peluang untuk menebus dosa akan hilang.

Memanjangkan penantian Athirah, bakal menambahkan kecelaruan yang besar dalam hidupnya. Esakannya makin galak. Dia terlalu buntu.

‘Rahmah atau musibah?’ Atmanya diasak gelisah. Dia berharap di dalam sendu.

‘Duhai jiwa bangkitlah! Duhai iman teguhlah!’ Nazri mengesat titis hiba yang gugur daripada
tubir matanya. Hatinya tersayat pedih apabila mengenangkan Athirah yang bergelut dengan maut untuk melahirkan seorang cahaya mata buat dirinya. Kenyataannya, dia harus memilih.

Dunia atau akhirat. Hidup atau mati. Semuanya bergulir dan menerobos ruang katarsisnya. Entah
mengapa bait-bait syair Al Mutannabi bergentayangan di langit ilusi.

Jangan biarkan masamu berlalu tanpa pengorbanan
Sepanjang roh masih setia menemani jasad
Kegembiraan tidak selamanya menemani hari-harimu
Terkadang datangnya kesedihan
Tidak boleh kamu tolak.

‘Aku redha, semoga hatiku dilapangkan Ilahi untuk menggempur seberkas onak duka yang
melukai hati’ Nazri maju selangkah dan menghampiri perempuan tua itu.

“Saya terima seikhlas nubari.” Dia merelakan derita memeluknya. Dunia fana terlalu hina untuk diratapi.

‘Seharusnya aku bersyukur ditimpakan sebuah ujian’ Nazri memujuk diri. Bayangan anak isteri terpaksa dipudarkan. Sesungguhnya musibah itu satu cara meluruhkan dosa-dosa yang menjijikkan.

“Kamu rela?” Perempuan tua itu menagih kepastian. Nazri menelan liur. “Ya”

“Meninggalkan semuanya?”

“Saya maklum kehidupan dunia terlalu indah untuk ditinggalkan, namun ia bakal hancur
oleh kiamat. Jadi, saya memilih jalan lurus untuk menggapai redha Yang Kudus.” Bicaranya mantap. Baginya, rona kebahagiaan sudah kabur.

“Aku gembira mendengar kata-katamu. Pulanglah ke pangkuan keluargamu buat kali
terakhir.” Nafas Nazri tertahan. Dia diulit satu perasaan yang tidak mampu dizahirkan. Rasa syukur bertebaran memenuhi hati. Dia mendongak ke arah langit kirmizi, lalu melafazkan janji.

“Saya akan kembali!”

Empat

Wajah putih kemerah-merahan itu memancarkan urna-urna ketenangan. Tubuh kecil itu
didakap erat usai diazankan. Bayi perempuan yang dinamakan Ummu Fatimah diletakkan di sisi Athirah yang terbaring lemah. Tercalit senyuman hambar pada raut seorang ibu. Nazri mencium ubun-ubun isterinya. Isteri yang diikatnya dengan janji sumpah setia, isteri yang sering dibelai penuh cinta. Baginya, hidup di samping Athirah merupakan tingkat tertinggi sebuah mahabbah dan disirami wangian mawaddah.

“Abang harus pergi.” Suaranya menyusup halus ke cuping telinga Athirah.

“Kenapa harus pergi?” Ada sendu di hujung tanya.

Diam. Athirah diburu ragu. Dia menarik-narik lengan kemeja suaminya. Bayangan-
bayangan jahat menabiri mata hati. ‘Apakah suamiku menduakan setia? Adakah suamiku
menyimpan rahsia yang tidak pernah diketahui selama ini? Atau, suamiku ingin meninggalkan
diriku terkontang-kanting melayari lautan kehidupan?’

“Abang harus pergi, demi redha Ilahi.” Suara Nazri tenggelam dalam keharuan. Dahi

Athirah berkerut. Dia cuba menggenggam tabah, agar dirinya tidak rebah. Adakah ini
pengakhiran bagi mahligai kasih yang telah berdiri utuh selama 10 tahun. Nazri merapati tampang isterinya. Dia mengatur bicara satu persatu untuk melenyapkan segala sangkaan yang
membuta tuli.

Athirah meraba-raba jiwanya. Dia sebu dalam tangisan naluri. Masing-masing larut dalam gelora perasaan. Mereka berpandangan. Si isteri memegang pipi suami tercinta yang lenjun dengan air mata.

“Athirah percaya dugaan ini tepu maghrifat walau pautannya melemaskan jiwa.
Percayalah,Allah tidak menetapkan qadha’ bagi seorang hambaNya, kecuali qadha’ itu baik
untuknya. ” Terburai jua tangisan yang dipendam.

“Sayangku, redhalah setulus hatimu. Mungkin syurga tempat kita bertemu.” Nazri bingkas ke pintu tanpa menoleh lagi. Athirah bungkam menerima kalimah cinta. Dalam walang, sukmanya berdesir tenang.

Lima

Nazri menyusun langkah menuju ke kawasan yang bakal menjadi
tempatnya .menghabiskan sisa kehidupan. Bibirnya tidak henti-henti melantunkan istighfar. Dia teringat kembali aksara Ibnu Taimiyah : Jika masalah yang aku hadapi menemui jalan kebuntuan, maka aku akan beristighfar 1000 kali, nescaya Allah akan membukakan jalan keluar. Namun, apakah kesulitan itu akan bernoktah nanti?’ Keluhnya.

Nazri memisat-misat mata. Dia warawiri di situ. Lenyap! Kawasan itu kosong. Sunyi!
Cuma terkadang nyanyian unggas seolah-olah ingin meleraikan ikatan persoalan yang bersarang dalam mindanya.

Ingatannya masih hijau tatkala membayangkan sebuah bangsal usang yang berdegap di
atas tanah itu. Kolong jiwanya terisi keanehan yang tiada kesudahan.

‘Tidak mungkin aku tersilap!’ Nazri tercegat lama. ‘Mustahil!’ Dia menelusuri kembali peristiwa yang singgah di mandala hidupnya. Serta-merta manik-manik jernih bergenang memenuhi kolam mata. Kehilangan perempuan tua itu masih belum terungkai. Nazri masih tercari-cari hikmah yang tersirat. Apakah segalanya sudah berakhir? Dia membuang pandangan ke arah kawasan itu. Mungkin itu kali terakhir dia menjejakkan kaki ke situ. Ayat-ayat Ilahi
bergema mengisi ruang hati.
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.

Enam
Malam itu indah nian. Nazri dibuai lena bersama Idham dan Ifwat di birai katil Athirah. Dalam tidurnya, muncul perempuan tua itu tersenyum penuh makna. Sebersih langit lazuardi,
wajah itu bercahaya menyinari kalbu Nazri.

“Berbahagialah hamba yang meletakkan redha dalam diri.”

~TAMAT~









Nilai Ilmu dan Penulis. Kata-kata hikmah Syiekh Ibrahim Al-Kattani.

Alhamdulillah, hari ini Allah masih memberiku hayat untuk terus hidup di muka bumi. Aturan Allah yang amat sempurna. Hari ini aku ke IPG Kampus Tuanku Bainun untuk mendengar ceramah dari ulama’, Al-Muhaddith Syeikh Ibrahim Al-Kattani. Sejujurnya aku tidak mengenali beliau, namun menurut ustaz-ustaz yang menjadi anak muridnya ketika di Al-Azhar Mesir, beliau adalah dari keturunan Rasulullah SAW. Bersama teman-teman ikhwah dan akhwat yang lain, aku mengharap siraman ilmu keranaNYA. Agar nanti, segala kelesuan hati ini dapat dirawat dan dimurnikan kembali. Ya Allah, sungguh-sungguh aku tidak mahu lagi terkandas dari landasan ini.



Di surau Al-Ghazali, aku menanti kehadiran ulama’ yang dikagumi ramai itu. Seorang ikhwah, aku kira sebagai pengerusi program itu memberi pesan berkali-kali kepada jemaah agar jangan terlalu teruja untuk bersalaman dan memeluk Syeikh Ibrahim Al-Kattani kerana beliau dalam kepenatan yang amat. Ustaz Nazrul Nasir yang sebelum ini pernah kukenal melalui laman sosial facebook oleh seorang teman hadir sebagai penterjemah. Memandangkan Syeikh Ibrahim menyampaikan kuliahnya dalam bahasa Arab, maka bagi orang-orang sepertiku, sukar untuk mencerap intipati ceramah.

Secara khususnya, Syeikh Ibrahim Al-Kattani menerangkan perihal menuntut ilmu. Kesungguhan dan ketekunan perlu ditekankan. Apa yang menarik minatku adalah tentang memilih sahabat. Syeikh berpesan supaya memilih kawan yang mencintai ilmu, kawan yang kata-katanya menyebabkan diri sentiasa mengingati Allah. Dan jangan kita berkawan dan berteman dengan orang yang malas. Terus-terang kukatakan, kawan sangat-sangat mempengaruhi kehidupan kita, dan aku merasainya. Ya Allah, aku bersyukur dengan teman-teman yang Kau kurniakan padaku. Syeikh berpesan lagi; kalau menuntut ilmu itu jangan kerana ingin dikatakan alim dan dipandang hebat. Belajarlah untuk mengamalkan ilmu itu. Dalam erti kata lain, belajarlah kerana Allah.



Dalam kita memahami ilmu, kita harus banyak bertanya. Bukan hanya sekadar membaca dan menganalisis ilmu itu dengan kefahaman sendiri. MEMBACA dan BERTANYA ITU SALING MELENGKAPI. Kadangkala banyak bertanya itu lebih banyak manfaatnya. KITAB dan BUKU itu GEDUNG ILMU, tetapi BERTANYA KEPADA GURU dan ULAMA’ itu adalah KUNCInya. Bertanyalah pada ulama’ yang Rabbani dan bukannya pada ulama’ yang mengikut hawa nafsu. Bagaimana kita ingin tahu ulama’ yang mengikut hawa nafsu? Apabila ulama’ itu menolak hukum Allah dan menidakkan pandangan-pandangan sebilangan besar ulama’ lain, maka kita harus berhati-hati.

Ulama’ yang mengikut hawa nafsu menyebabkan masyarakat atau pembaca-pembaca kitabnya menjadi taksub dan ekstrim. Sebaik-baiknya kita memilih peringkat pertengahan dalam darihal-darihal kehidupan mahupun ibadah. Syeikh turut mengatakan bahawa ada ramai ulama’ yang mengumpulkan ilmu semata-mata dan tanpa mengkajinya langsung. Ini seolah-olah menggambarkan pepatah Arab iaitu, seperti orang yang mengumpulkan kayu api pada waktu malam, iaitu orang yang tidak memilih kayu api mana yang baik untuk digunakan. Segalanya dilonggokkan pada satu tempat. Seharusnya ulama’ ataupun pencari ilmu seperti kita ini mengambil faedah daripada ilmu yang dituntut dan kajilah ia. Tinggalkanlah ilmu yang tidak bermanfaat buat kita. Pesan Syeikh lagi, wajib untuk kita mengkaji kitab yang dibaca kerana adanya penulis yang tidak warak.

Disinilah hatiku mula tersentap. PENULIS yang TIDAK WARAK, apakah maksudnya? Aku mula tertanya-tanya saat itu. Mereka menulis hanya untuk popular. Penulis yang meletakkan syak kedalam diri pembaca. Tulisannya menyebabkan pembaca jadi was-was sentiasa, terutamanya dalam hukum Allah. Malah, aku melihat perkara ini wujud dalam alam realiti. Penulis menulis perkara yang pelik-pelik, dan menganjurkan free thinking. Dewasa ini, ramai yang menulis kerana ingin menunjukkan pada pembaca bahawa dia penulis yang berbeza dari orang lain. Menulis untuk dikenali secara drastik oleh pembaca. Menulis hanya kerana dunia. Ya Allah, aku mohon perlindunganMu.




Ilmu sahaja tidak cukup jika tidak warak. Jika penulis tidak warak menurut Syeikh Ibrahim Al-Kattani mereka sentiasa melakukan sesuatu perbuatan yang boleh menjatuhkan maruah sendiri. Maka disini, skop penulis dirincikan. Orang yang mengeluarkan fatwa untuk keredhaan Allah itu amat sukar dicari. Alhamdulillah, hari ini baru ku tahu, ILMU dan WARAK itu bertautan. Diumpamakan ILMU ITU SEPERTI GARAM, dan WARAK ITU SEPERTI TEPUNG. Secara logiknya, kita akan melebihkan tepung dari garam jika inginkan roti yang enak. Apa yang dapat disimpulkan disini, apalah gunanya memiliki ilmu yang banyak jika tiada usaha untuk memeliharanya dengan menjaga peribadi.

Kita harus berjaga-jaga dengan orang yang berilmu tetapi tidak warak. Orang-orang sebegini tidak takutkan Allah. Orang alim adalah orang yang takut kepada Allah. Manusia, semestinya perlu dekat dengan Allah, dan janganlah kita menjadi orang yang tidak beramal dengan ilmu dan jauh daripada berkata tentang kebenaran. Jangan sesekali kita menyembunyikan kebenaran.

Orang yang alim perlu meletakkan dalam hatinya agar tidak cemburu pada orang lain yang mempunyai ilmu yang lebih daripadanya. Orang yang alim tidak menghina orang yang rendah ilmu daripadanya. Malah, orang yang alim akan merasa gembira apabila orang lain mendapat ilmu. Ilmu itu biarlah dituntut dengan mendapat redha Allah dan menggunakan jalan warak. Penulis, haruslah berusaha untuk mempelajari dan mengamalkan akhlak Nabi. Hal ini kerana, ada ramai yang banyak membaca siang dan malam tetapi Allah masih tidak membuka kefahaman kepadanya. Jadi, marilah kita memperbaiki akhlak dan menulislah dengan ikhlas.



Syeikh Ibrahim turut berpesan, kita perlu berjauhan dengan orang yang suka mengkafirkan manusia lain. Dan golongan ini masih ada hingga kini ataupun kita kenali mereka dengan golongan Khawarij. Golongan ini meletakkan ayat Al-Quran kepada orang kafir pada orang Islam. Selain itu Syeikh turut berpesan, jangan kita ketawakan orang yang berhujah kerana itu menandakan kita sedang menyembunyikan kebodohan kita. Ketawa itu seolah-olah menunjukkan kita seorang yang tidak tahu dan tidak faham tentang apa yang dikatakan oleh orang yang sedang berhujah itu.

Teman-teman, sekadar itu yang mampu ku catatkan.

Penulis, dan aku mula menafsir perkataan itu. Seorang penulis itu boleh menempah tiket ke neraka dan syurga pada bila-bila masa sahaja.
Wallahua’lam

Friday, October 15, 2010

Sekadar Limpahan Perasaan yang tidak dapat lagi bertakung dalam Jiwa.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani...

Apa yang hendak aku coretkan disini, hanyalah sekadar bauran emosi dan penyesalan yang tiada kesudahan. Beberapa hari banyak perkara yang berlaku. Banyak amat. Teman-temanku sering berkata aku gemar 'overthinking' tentang sesuatu hal. Walaupun hal itu sepatutnya diambil mudah tetapi kenyataannya, aku akan memikirkannya siang dan malam. Susah benar dikikis sikap itu, seakan sudah melekap dalam minda.

Ketika masa dan waktu makin deras berlalu, meninggalkanku, terasa perpisahan makin dekat dan dekat. Perpisahan kukira amat pedih dan perit untuk ditempuh. Namun seorang kakak berpesan padaku, perpisahan bukan untuk ditangisi, tetapi untuk kita kenali diri dan muhasabah tentang erti kesabaran. Keteguhan hati dan juga kekuatan hati untuk menempuh cabaran mendatang. Berpisah dan bertemu kerana Allah, itu yang patut menjadi sandaranku.

2 tahun bukan tempoh yang singkat untuk ku timba segala pengalaman berharga. Ku mengenal tarbiah, kumengenal dakwah, kumengenal jatuhnya iman, kumengenal perjuangan yang haqiqi, dan kumengenal cinta.

Apa yang pasti semua itu akan kutinggalkan kelak. Tidak sampai sebulan pun lagi, aku akan meninggalkan bumi Pulau Mutiara ini, untuk perjalanan yang lebih jauh lagi. Entah mengapa malam ini hati ini teramat sayu~ sayu amat.

Ah! mungkin kalian akan mengatakan aku seorang manusia yang emosional, biarlah..kali ini saja. Boleh ya?

Pulau Pinang, sebuah negeri yang penuh warna-warni. Warnanya ada yang menenangkan hati, malah ada juga warna garang yang mampu menggugah iman. Subhanallah, besar sungguh hikmah yang Kau berikan ya Allah.

Teringat saat aku dilanda kejatuhan iman yang amat teruk sekali, sehingga tergamak ku bermain dengan futur. Ya Allah, ampunkalah aku. Aku mohon agar jangan Kau memudarkan perkataan itu terus dari pemikiranku. Astaghfirullah.

Kali ini aku bergerak sendiri, sendirian sungguh. Benarlah, kekuatan itu makin sirna. Malah mudah benar untuk aku terjebak lagi dengan anasir-anasir yang membunuh jiwa Islam.

Di saat-saat akhir sebelum ketemu perpisahan, alhamdulillah ada temanku yang begitu cakna. Terbit keharuan dalam hati ini melihat kesungguhannya. Dan alhamdulillah, aku semakin menemukan cahaya. Cahaya cinta Ilahi. Namun apakah aku sahaja yang berperasaan sendiri? Erm, biarlah dahulu. Biar Allah yang menentukan segalanya. Dan aku tidak akan berhenti berdoa untuk itu. Ya Allah....

Kepada kakak-kakak yang memberiku begitu banyak pengajaran dan iktibar, terima kasih kuucapkan. Kalian telah banyak berkorban untuk diri ini, namun adakalanya hati ini terlalu buta untuk menyambut huluran cinta. Maafkan diri ini. Namun kak, aku ingin kalian tahu, aku tidak pernah membenci, malah diri ini sangat kerdil jika dibandingkan dengan peribadi kalian semua. Kerdil amat.

Dan pada teman-teman seperjuangan, kita akan meninggalkan bumi cinta ini, dengan titis air mata, kupasti. Kerana kesayuan yang kita rasai, seiring dengan getaran kalbu yang menyayat sukma.

Dan pada orang-orang yang pernah menawarkan cinta, hanya Allah yang menentukan segalanya............