Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

Wednesday, August 18, 2010

Hadiah Ramadhan kali ini.

Istimewa. Perkataan itu muncul dicelahan minda saat ini. Mengkagumkan! Ramadhan kali ini sarat pengajaran, biarpun masih belum menakah 10 hari kita berpuasa.
Beberapa hari yang lalu, terlanjur berjanji dengan naqibah kesayanganku untuk ke rumahnya. Desak hati mengatakan tidak perlulah mengikutnya pulang kerana asakan kerja kursus yang menggunung, tetapi aturan Allah SWT penuh rahsia, tepu hikmah dan kebaikan, maka kaki ini melangkah ke Kedah.

Allah ingin memberiku pelajaran. Allah ingin memberiku pengajaran. Terima kasih Allah. Secara jujurnya, seorang aku yang amat tipis pengertian syukur ini, gementar tatkala disapa kasih dan cinta yang bermakna. Sungguh, sayang dan kasih itu tiada tara anda dinilai dengan harta. Hampir tiap detik, jasad dan roh ku di sana, air mataku bergenang di kelopak mata. Terlalu indah rasa itu.

Allah ingin memberiku pelajaran. Allah ingin memberiku pengajaran. Selama ini ku sering berdingkit-dingkit tatkala berjalan di atas lantai simen atau kayu di mana-mana rumah kampung, selama ini sering melekat rasa rimas andai tiada kipas angin mahupun penghawa dingin, selama ini sering kekusutan bertandang andai jihat kediaman dipenuhi manusia. Namun semua itu, terpadam. Sungguh, ia benar-benar terpadam. Keluarga naqibahku, cukup sederhana. Amat! Namun, iklim cinta mereka merenggut segala kegusaran yang membuyar di jiwa.

Allah ingin memberiku pelajaran. Allah ingin memberiku pengajaran. Aku jadi malu pada Tuhan. Betapa mereka memanfaatkan masa bersama-sama, menegur dan membetulkan kesilapan penuh saksama, ibarat saling melengkapi. Dan aku, terduduk di satu ruang, mengamati betapa indahnya cinta sebegitu. Ku lihat naqibahku membelai adik-adiknya, mengusap pipi ayah dan bonda, memeluk erat nenda. Allah, sayunya hati ini. Ya Allah, jauhnya kami berbeda.

Mungkin perkara sebegini, tidak meninggalkan kesan pada sesiapa yang tidak redha dengan hidupnya. Mungkin perkara sebegini teramat kecil di mata manusia biasa. Sesungguhnya hati ini meronta-ronta ingin kembali ke masa silam. Di saat segalanya masih tersedia di depan mataku ini, untuk ku nikmati semula dengan penuh pengertian. Kepiluan ini tiada terbendung.

Nenda, aku berada disisinya. Dan apabila malam menggantikan siang, aku kaku. Seakan terperangkap di dalam fragmen gelap itu. Dan saat aku mendengar dirinya mengaduh sakit, berjaga malam dan keseorangan, hatiku pedih. Pedih teramat. Aku ingin bersamanya. Sungguh! Aku merinduinya! Ya Allah, pertrmukanlah aku dengannya! Aku mohon dengan sangat, biarlah hanya dalam mimpi tapi pertemukanlah. Amin! Aku menanti.
Dan, dan aku melihat keajaiban demi keajaiban dalam hidupku. Bagaimana cinta suci akhirnya bertaut. Bertaut atas nama Allah. Atas niat ibadah, menuju rahmah. Insya Allah. Ustaz yang selama ini menuai ilmu Al-Quran padaku meletakkan sepenuh kepercayaan terhadapku. Lantas, aku melihat tiada wanita lain yang mampu melengkapi hidupnya sebahai rijaluddin di muka bumi. Naqibahku, aku doakan kebahagian senantiasa bersamamu. Bersama kalian kelak.

Biarpun tidak mungkin ku melihat kalian bersatu, namun, demi Allah, aku sangat bahagia melihat penyatuan dua insan ini.
Doakan mereka!
Ya Allah, hadian Ramadhan kali ini cukup bernilai!

Tuesday, August 10, 2010

Ramadhan ini, kukira paling sunyi.

Nafsu sentiasa membelenggu diri. Hingga terkadang tak tersedarkan nikmat-nikmat kurniaan Allah sungguh bernilai, tiada terperi. Dan kali ini Ramadhan datang lagi. Allah masih memilih hamba ini untuk berada dalam bulan penuh kerahmatan.

Petang tadi, saat dada langit memerah, aku masih di toko buku. Sudah lama benar aku meninggalkan bahan bacaan pengisi jiwa, lama amat ku kira- usai dilanda kekecewaan yang mungkin sekali aku yang merekanya. Ah! Dasar manusia.

Al- Baqarah ayat 183 : Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Aku yakin ramai antara kita maklum dengan kewajipan berpuasa ke atas setiap orang Islam. Tetapi disini apa yang kita cari sebenarnya adalah penghayatan, rasa rindu pada Allah, rasa takjub pada kekuasaan Allah, rasa sedih kerana mengenangkan betapa nipisnya amalan untuk dijadikan pelindung daripada azab neraka, rasa syukur yang tidak terhingga pada Sang Pencipta alam semesta.

Mengingatkan diri sendiri jua. Bulan penuh barakah ini, manisnya cukup lekit ke reseptor rasa. Sebenarnya, ya begitulah andai kita punya keinginan. Andai kita punya rasa sedar, sedar bahawa dunia ini hanyalah, pinjaman semata.

Ya sungguh, aku sendiri pun leka. Sering amat leka. Tetapi dalam hati yang penuh noda , terselindung rasa takut pada pembalasan di akhirat. Namun apa tindakan yang menyusuli ketakutan itu? = Tiada apa-apa!

Aku mohon pada sesiapa pun yang membaca entri ini, aku mohon semoga kita lebarkan doa agar seluruh sahabat-sahabiah di dunia ini sering dahagakan cinta Allah, rindukan Rasulullah, dan beribadah penuh kusyuk demi menghamparkan rasa kesyukuran. Aku mohon, aku mohon doa itu! Aku mohon……..

Ramadhan kali ini, kukira paling sunyi. Seperti sebuah kanvas bercorak, yang pudar warnanya. Begitulah, cebis kenangan itu ditiup angin kenyataan. Allah menguji dengan kematian, dam segalanya bergulir diretina mata. Kukirimkan al-Fatihah buatmu insan-insan yang mendidikku menjadi manusia! Titik.

Di kampus ini - Sesungguhnya aku manusia yang penuh kekurangan. Malah sering tersadung pada lantai dunia. Sungguh kali ini ku terlihat sedikit cahaya apabila obor ukhwah menyala. Ya Allah, Kau ajarkanlah aku erti ikhlas kerana betapa sukarnya hati keras ini untuk bersama dengan manusia yang mendendangkan lagu dakwah. Allah…Astaghfirullah..

Ukhwah~~ semoga ianya kekal menjadi tautan untuk kita semua menuju syurga.
AIR MATAKU JADI SAKSI SETIAP BUTIR AKSARA INI DITULIS.

Tuesday, August 25, 2009

Selamat Datang wahai 'Kekasih'

Saya maklum ramai yang menanti, ramai yang menunggu dan Alhamdulillah kerinduan kita pada Ramadhan terlerai jua. Ahlan ya Ramadhan!! Sebak rasanya dapat mencium haruman Ramadhan, merasai manisnya ibadah, menikmati enaknya tarbiyah dalam bulan penuh keberkatan ini. Teman saya pernah membisikkan sesuatu di kolong ingatan, Ramadhan ini penamat kemandulan karyanya, insya Allah. Saya turut memendam impian yang sama.
Mudah-mudahan gelora sastera itu datang melanda..huhu

Ramadhan- waktu terbaik untuk menguji kesabaran dan keikhlasan kita dalam melakukan suruhanNya.

"Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertakwa." - Surah Al Baqarah: 183.

Jelas ayat-ayat Allah menerangkan tentang kewajipan menunaikan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam. Namun, tetap juga segelintir manusia entah berhasutkan syaitan atau nafsu sendiri terus-menerus melakukan kemungkaran sepanjang Ramadhan. Benarlah, nafsu itu cukup payah ditundukkan. Di saat penciptaannya oleh Allah SWT, nafsu yang telah dilempar beberapa kali ke neraka, masih enggan mengakui keesaan Allah SWT. Masya Allah.

Semalam saya ke berlegar-legar sendirian bersama ‘kekasih tersayang’ PFF 7349 di sekitar Kadok ke Nilam Puri. Sengaja, meninjau-ninjau suasana menjelang waktu berbuka. Meriah! Gerai-gerai berderet sepanjang jalan. Melewati Akademi Pengajian Islam UM membuatkan saya tersenyum. Maknanya ALC dah makin hampir. ALC? Hehe, Arabic Language Centre. 5 bulan juga saya bertapa di situ usai SPM 2007. Mengenang kembali perjalanan kenangan membuatkan bauran perasaan menggegarkan atma. Aduhai, mana agaknya harus kusisipkan karya itu ya? (yang tahu tu diam je). Sayang, sepenuh jiwa raga saya curahkan untuk menyudahkannya. Ah! buat karya lain, habis cerita. Erm, segala yang terjadi, merusuh hati untuk refleksi diri. Wah! Aku tersekat lagi di taman kenangan. Ok, tutup kes!

Mungkin sahabat-sahabat sekelian sudah tahu dan lebih tahu tentang perkongsian saya ini. izinkan saya memanjangkan langkah ilmiah ini, insya Allah. Rasulullah SAW menekankan 4 amalan utama sepanjang bulan ini, antaranya melazimkan bacaan Thoyyibah (Lailahaillalah), beristighfar, memohon memasuki syurga (jannah), dan berlindung denganNya dari azab neraka (jahannam).
Sebetulnya amalan-amalan sebegini dilakukan sepanjang masa tidak kiralah pada bulan mana sekalipun. Tetapi, Ramadhan yang tepu barakah ini menjanjikan pahala yang berlipat ganda lebih-lebih lagi kita terlepas seketika dari cengkaman iblis dan syaitan yang tidak akan henti-henti merajai akal fikiran.

Lihatlah betapa 4 amalan ini dituntut sepanjang bulan Ramadhan melalui ayat ini :

Abu Saeed Khudri r.a meriwayatkan bahawa: "Suatu ketika Nabi Musa AS memohon kepada Allah SWT agar diberikan satu kalimat khas yang mana Baginda dapat mengingati Allah SWT dan dapat memohon sesuatu melaluinya. Lantas Allah SWT menyuruhnya menyebut kalimah tersebut.

Nabi Musa AS berkata: "Wahai Allah, kalimah ini dibaca oleh semua hamba-Mu, aku mengkehendaki yang khusus." Lalu Allah SWT menjawab, "Wahai Musa, jika ketujuh-tujuh langit dan bumi dan semua yang terkandung di dalamnya kecuali Aku diletakkan ke atas sebelah dacing dan kalimah ini pada sebelah yang lain, kalimah ini lebih berat lagi daripada segala sesuatu."

Di dalam hadis yang lain pula dinyatakan bahawa jika seseorang menyebut kalimah taiyibah ini, iaitu "laa ilaha illallah" dengan seikhlas hati, maka pintu syurga akan segera terbuka untuknya.

Kita juga digalakkan untuk memperbanyakkan istighfar kerana Allah SWT telah berjanji akan memberi kita jalan keluar daripada segala kesukaran dan membebaskan kita daripada segala kesedihan. Malahan sesiapa yang memperbanyakkan istighfar akan memperolehi rezeki daripada sumber yang tidak pernah disangkakan. Kalimah istighfar yang mudah disebut adalah seperti "astaghfirullah". Tidak ada batasan dalam mengulang sebutan istighfar ini. Semakin kerap ia diulang, semakin banyaklah pahala yang dikumpul.

Di samping itu, kita turut dituntut agar sentiasa berdoa supaya ditempatkan di dalam syurga sambil meminta kepada Yang Maha Esa menjauhkan kita daripada ancaman api neraka. Doa yang boleh diamalkan untuk memohon agar ditempatkan di dalam syurga ialah seperti berikut:

"Allahhumma as'alukal jannata wa a'uzubika minannar

Indahnya Ramadhan---pintu syurga dibuka, ditutup pintu neraka.

Ayuh! JANGAN LENGAH-LENGAH LAGI. MUNGKIN KITA TIDAK PUNYA PELUANG LAGI UNTUK BERTEMU RAMADHAN SETERUSNYA..