Saturday, January 15, 2011

Kuntum Cinta di Taman Syurga di pasaran.


Harga: RM 17 / RM 19
ISBN-13: 978-967-5783-54-8
Tarikh Terbit: 11 Feb 2011
Jumlah Muka Surat : 304
Penerbit: PTS Litera Sdn Bhd

Assalamua'laikum kepada semua sahabat-sahabat dan pembaca blog FIKRAH DI SAYAP ANGIN selama ini. Semoga Allah sentiasa merahmati kalian.

Alhamdulillah, rezeki Allah yang saya peroleh ini, amat benar saya mahu kongsikan bersama kalian.

Novel KUNTUM CINTA DI TAMAN SYURGA adalah novel saya yang pertama. Apa yang saya coretkan dalam laman maya ini, sedikit sebanyak membantu saya dalam menyiapkan novel KCDTS.

Saya melihat kebanyakan novel kini tidak/jarang sekali mengetengahkan latar kehidupan/realiti yang ditempuh guru-guru pelatih di Institut Pendidikan Guru. Sesungguhnya, guru-guru pelatih kini masih terkongkong dengan sistem sekolah dan tidak merasai hidup sebenar-benarnya sebagai siswazah. Oleh sebab itu, tanpa segan silu saya katakan, pemikiran guru pelatih lebih terbelakang berbanding siswazah di universiti.

Bertitik-tolakkan darihal itu, saya rasa bertanggungjawab untuk menulis novel ini kerana ingin;

1.Membuka pemikiran pembaca, khususnya guru-guru pelatih untuk lebih terbuka dan kritikal dalam berfikir demi merawat penyakit yang melanda masyarakat.

2. Menyedarkan masyarakat bahawa guru adalah revolusioner bangsa. Kerana sikap lewa seorang guru, satu generasi mampu binasa.

3. Supaya setiap daripada kita tidak kiralah siapa pun kita punya rasa 'berhutang' dengan Allah atas setiap perkara yang kita perolehi di dunia.


Semoga bermanfaat! Saya mengharapkan sokongan anda semua.


Berikut adalah antara komentar berkenaan novel KCDTS, insya Allah.

ANA BALQIS - Novelis Menanti Khalidah.
Mengenal Fidaei Humaidi, Harliana atau Iffah Amani, Syaidi dan Amir Hamizan membuatkan kita rasa terpanggil untuk ikut berjuang bersama mereka. Pertentangan dan perjuangan yang dilatarkan dengan suasana pengajian perguruan ini adalah hakikat yang sedang berlaku dalam kalangan masyarakat Islam, di mana-mana. Kemahuan baik selalu diragui malah ditentang. Justeru itulah Islam selalu dikalahkan. Bukan oleh peluru atau mortar tetapi melalui tentangan dalaman.

Membaca KCTS membuatkan kita terfikir, peranan kita sebagai manusia Islam. Sesuai dengan latar dan watak-watak yang diberi tanggungjawab dalam novel ini, KCTS wajar dibaca oleh semua golongan. Salam perjuangan dan selamat membaca.

IBNU AHMAD AL KURAUWI - Novelis Punya Cinta Ramadhan dan Namaku Bukan Maria
Apakah warna haruman yang mengusik indera, andai benar sekuntum cinta itu tumbuh lalu tumpah dari inderaloka. Membaca Kuntum Cinta di Taman Syurga bagai tercium aroma magisnya; seolah-olah tumbuh sepohon jihad yang merendang, pucuknya menyulur di jurai dada dengan suluhan cahaya. Thoyba Mursyidah bijak meramukan tarbiah, fikrah dan dakwah menjadi baja paling ampuh menumbuhkan warna-warni hidayah di dada seorang khalifah.

A.UBAIDILLAH ALIAS - Novelis Warkah Cinta Berbau Syurga
Menyedari bahawa dunia kampus kini dilatari pelbagai isme, penulis dengan penuh tanggungjawab membawa pergolakan kehidupan siswazah yang penuh dengan konflik. Penceritaan penuh teliti, penerapan maklumat yang mengesankan menjadikan ia sebuah karya yang reseptif, imaginatif dan informatif.

3 comments:

Syukri Sapuan said...

Assalamualaikum,


Cik Nuraini Ruzi,



sekadar mahu petik kata-kata anda dalam entri,



"Saya melihat kebanyakan novel kini tidak/jarang sekali mengetengahkan latar kehidupan/realiti yang ditempuh guru-guru pelatih di Institut Pendidikan Guru. Sesungguhnya, guru-guru pelatih kini masih terkongkong dengan sistem sekolah dan tidak merasai hidup sebenar-benarnya sebagai siswazah. Oleh sebab itu, tanpa segan silu saya katakan, pemikiran guru pelatih lebih terbelakang berbanding siswazah di universiti."



sebagai seorang bekas pelajar IPTS & kolej persediaan yang baru diserap masuk ke dalam sistem IPG, saya merasai sendiri perubahan iklim yang ketara antara kedua sistem ini.


Mungkin kata-kata Imam Syafi’e ini boleh menjadi renungan kita semua :- Air apabila tidak bergerak, bertakung, maka ia akan rosak

Rebecca Ilham said...

Tahniah dik!

Selamat merantau di benua selatan! Hidangkan kami cerita-cerita dari sana :)

iklil nafisah insyirah said...

novel yg sgt menarik sukma dan atma ini..segala pengisian dapat disingkap dengan penuh berhikmah dan padat sekali..tahniah kepada k.Aini yg berjaya menlahirkan buku ini sekaligus dapat menjadi satu wadah perjuangan dalam islam.Pemangkin semangat kepada saya dalam menelusuri hidup fatamorgana ini..,Semoga akak diberkati Allah..Saya akan cuba mempromosikannya di Matrik Pahang..Ukhwah fillah Abadan abada..