Monday, May 16, 2011

Suatu Saat, Mengertilah tentang Rahmat dan Ujian

Hidup ini penuh rencam, dan aku merasainya kini dalam lewat usia 21. Pelbagai dan amat penuh liku. Duniaku berputar dari kehidupan IPG ke sebuah universiti di pekan kecil Australia. Perbezaannya besar, berbeza dan kadang kala mengelirukan aku.

KESENANGAN DAN KELAPANGAN

MASA
Inilah ujian terbesar yang aku alami setelah hampir 4 bulan disini. Masa yang diberikan oleh Allah SWT cukup banyak, dan sangat tidak mustahil untuk aku melakukan apa sahaja gerak kerja yang bermanfaat untuk agama. Namun itulah yang kukesali. Aku malah makin larut dalam kesenangan dan kemudahan itu. Jika dijumlahkan kembali, terlampau banyak aku mensia-siakan waktu itu. Kesenangan dan kelapangan waktu yang telah aku buang begitu sahaja, sebenarnya amat menghiris kalbu ini. Aku hamba yang khilaf, dan tidak berfikir jauh tentang tindak-tanduk. Aku tidak mahu menuduh sesiapa, kerana aku yakin ianya berpunca dari gelojak nafsi sendiri. Maka, sahabat-sahabat yang kucintai, ingatlah dan ambillah aiktibar dari ayat ini;

“Dan Dia lah yang menjadikan malam dan siang silih berganti untuk sesiapa yang mahu beringat (memikirkan kebesaranNya), atau mahu bersyukur (akan nikmat-nikmatNya itu).“ (al Furqan : 62)

WANG
Ujian ini jua menggugah. Aku dikaburi dengan ujian ini, dengan dicucuh keinginan untuk menyimpan wang agar kelak dapat bersenang-lenang setelah pulang ke tanah air. Ya sahabat-sahabatku, ianya tidak salah malah amat penting untuk jaminan masa depan. Namun andainya ia telah mengambil alih target utama berada disini, ianya menjadi satu kesalahan. Aku ke sini, bukan gratis, bukan percuma malah wang oran lain yang juga punya hak mereka. Sungguh, aku sungguh menyesal kerana dikuasai oleh pemikiran sebegitu. Betapa hebatnya ujian kesenangan sehingga aku telah bertukar menjadi si pelupa yang hanya mengimpikan mimpi berada di kayangan.

“ Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.“ (Surah al Qasas : 77)


Aku khilaf. Setelah soalan-soalan ini kulontar pada diri bertalu-talu, aku merasa sangat malu.

Apakah kau yakin kau akan berkahwin?
Apakah kau yakin kau akan melahirkan anak?
Apakah kau yakin kau akan pulang ke Malaysia?
Apakah kau yakin kau akan sempat berjumpa dengan orang yang kaucintai?
Dan..Apakah kau yakin kau sempat hidup hari ini?

Soalan-soalan di atas, membuktikan aku, dan kalian tiada punya jaminan pun untuk berkata YA. Betapa khilafnya aku, kerana mengagungkan perancangan sehingga melupakan erti kehidupan. Aku harus lebih banyak merancang, untuk sebuah kepastian...iaitu KEMATIAN.

“(Ingatlah) bahawa kehidupan dunia (yang tidak berdasarkan iman dan taqwa) hanyalah ibarat permainan dan hiburan; dan jika kamu beriman serta bertaqwa, Allah akan memberikan kamu pahala amal kamu, dan Ia tidak meminta kepada kamu harta benda kamu (melainkan untuk memberikan kamu barang yang lebih baik daripadanya).“ (Muhammad : 36)

LUNTURNYA UKHWAH

Rindu, hanya itu yang mampu kuungkapkan. Aku bukanlah orang baik, sesungguhnya memang aku bukanlah orang yang baik. Hidup disini, aku mula mengetahui bahawa ramai sahabat-sahabatku yang pernah terguris perasaannya, yang tersentuh jiwanya kerana sikapku. Aku seorang manusia yang kurang peka terhadap sahabat-sahabat tanpa kusedari. Betapa tidak matangnya aku, kerana masih tidak dapat menilai dan menghargai seorang sahabat. AKu sering leka dan tidak sedar tindakan, percakapan dan pemikiranku telah benar-benar menganggu mereka. Sehinggalah aku benar-benar mendengar sendiri, bahawa ada sahabat-sahabat yang sungguh-sungguh tidak mahu berdamping denganku, atas asbab mahu mengelakkan perselisihan berlaku. Betapa aku tidak menyangkan, jahatnya seorang aku. Sesungguhnya, aku rindu kalian, sahabat-sahabatku, yang ku sayang dan kurindu kerana Allah SWT.

“Sebaik baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik baik jiran disisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya” (H.R al-Hakim)

Aku sering mengharap, agar manisnya ukhwah itu, akan dapat kita kecap kembali. Sesungguhnya jika akulah benar-benar pesalah itu, ampunkanlah aku sahabat-sahabatku. Aku merayu. Aku merindui gelak tawa dan tangisan yang kita semua kongsi bersama. Kerana hidup disini, aku rasa semakin jauh dengan kalian, padahal kita tidak dipisahkan dengan jarak...Allah..ampunkan aku. Berikan petunjukMU, agar aku dapat menebus segala kesilapanku. Kembalikan sahabat-sahabatku.



RAHSIA ALLAH

Hal ini tetap jua menghantuuki saban waktu. Tentang siapakah dia yang bakal menjadi pendamping hidup ke arah jalan menuju abadi, kuserahkan sepenuhnya pada Allah SWT. Kerana baru kini aku sedar, aku tiada layak untuk mengimpikan yang tidak selayaknya untuk aku. Biarlah dia, sederhana. Yang sederhana, insya Allah..Kesempurnaan yang hakiki hanya di syurga, berapa banyak Kalam Allah yang menggambarkan janji nikmat olehNya pada manusia yang soleh dan solehah. Jadilah mukmin yang baik nescaya tiada sesal pada kita akhirnya.

PENUTUP

Semoga khilafku ini, tidak diulangi lagi..
Suatu saat ku kan kembali, insya Allah doakan aku agar menjadi seorang manusia.

No comments: