Pendakwah atau Daie. Perkataan-perkataan ini sering meniti bibir kita. Kalau saya rincikan lebih dalam lagi, oleh orang-orang yang menyertai Usrah. Betul tak?
Mahu lebih halus lagi, pelajar-pelajar IPT. Selalunya dalam usrah, tamrin atau perbualan-perbualan biasa sekalipun, seringkali kedengaran:
"Kita ini daie, kena sentiasa tunjuk contoh!"
"Kita pendakwah, kena jaga hati, kena bersih hari-hari!
"Kita kena jaga ikhtilat, tak boleh sesuka hati bergaul dengan lelaki, harrommmm!!"
Saya tak kata tidak bagus. Tapi itulah yang sepatutnya kita lakukan sebagai muslim/muslimah contoh. Barulah ada kekuatan untuk melaksanakan amar makruf dan nahi munkar.
TAPI, ya ada tapinya.
Para pelajar yang boleh saya katakan punya semangat berkobar-kobar untuk berdakwah ini sering sahaja terlepas pandang pada dua perkara ini.
Nampak sangat remeh, asas dan seperti tidak penting tapi sebenarnya amat-amat penting.
KEBERSIHAN dan KETEPATAN MASA.
Betul tak? Ada pernah terfikir tak? Pernah alami? Atau peng
alaman dengan orang sekeliling?
KEBERSIHAN, bukan hendak katalah. Ya akui sibuk, sangat-
sangat sibuk dengan tamrin, usrah, daurah, jaulah, meeting tidak berkesudahan. Alhamdulillah, alhamdulillah masa itu diperuntukkan kerana Allah. Untuk itu kita bersyukur.
Tapi bila sahaja masuk ke dalam bilik tidur atau ruang persendirian, Allahurabbi, baunya tak usah cerita. Baju yang tidak dibasuh bercampur dengan baju bersih, main campak sahaja. Atas katil berselerak dengan fail dan kertas.
Bahan-bahan usrah dan bahan-bahan akademik memenuhi segenap ruang. Entah dimana ruang untuk belajar, dimana ruang untuk diri.
Amboi, saya ni mengata orang kah? Jangan salah faham. Saya sedang menegur diri sendiri juga. Saya pernah berada dalam kondisi sebegini. Tak kisah dengan hal lain, duniawi sahaja semua tu! Yang penting berdakwah dan berdakwah. Tak basuh baju pun tak apa, bilik tak kemas pun tak apa. Apa punya pemikiran la kan?
Tapi Alhamdulillah Allah buka pemikiran saya, buka hati saya biar dapat lihat dengan jelas IMPAKnya pada mad'u. Mereka boleh hilang tsiqah pada kita bila lihat kita gagal mengurus diri sendiri.
Kata sahabat saya, buat apa hendak capai matlamat yang besar jika amanah-amanah yang kecil pun tidak mampu dibuat.
Menjaga kebersihan itu kan amanah. Kenapa mesti diabaikan. Malah kerana hal yang dianggap kecil itulah akan menyebabkan terhasilnya IMEJ BURUK. Bukan apa, takut-takut nanti orang yang baru hendak kenal dengan jalan perjuangan akan punya pandangan sebegini:
Pendakwah=Pengotor.
Saya tidak mahu! haish!
Jangan jadikan sibuk berdakwah sebagai ALASAN untuk tidak menjaga kebersihan. Jangan para daie, tolonglah saya merayu. Berkemaslah, berhiaslah, berwaspadalah dengan imej yang dibentuk. Hal ini kerana, ada mad'u yang bukan ditarik pada hebatnya hujah, tapi kerana indahnya peribadi sang daie. Beringatlah. Jangan anda buat-buat tidak sedar pula diri anda yang sedang diperhatikan atas dan bawah.
KETEPATAN MASA main peranan. Malah amat bersangkut rapat dengan MENEPATI JANJI. Dan juga sifat AMANAH daie itu sendiri.
Siapa yang tidak berang jika janji tidak dipenuhi. Berjanji ketemu jam 8 pagi. Tetapi jam 9 pagi pun belum nampak bayang. Malah yang lebih menyesakkan dada sang penunggu bila datang pula lemah gemalai, ketawa berdekah-dekah tanpa satu pun ucapan maaf.
Selesai drama sebabak itu, mulut lancar menafsir ayat-ayat Quran, membicarakan soal-soal hukum, menasihati orang itu dan ini. Siapa yang hendak dengar? Cuba beritahu saya, kalau daie begini ada orang hendak respek kah? Cuba beritahu saya?
Daei seharusnya walk the talk. Dalam Quran pun ada beritahu tentang jangan mengaku kita buat kalau kita tak buat. Cuba semak As-Saff.
Hendak jaga hubungan dengan Allah, hubungan dengan manusia pun harus kita ambil peduli. Jangan belakangkan kepercayaan manusia terhadap kita dan apabila diduga hanya pasrah sahaja. Kononnya akulah manusia yang teraniaya padahal kita tidak punya daya untuk mengembangkan ukhwah dalam kalangan sahabat sahabiah.
Ingat, raih kepercayaan mad'u. Tepatilah masa anda wahai daie. Jangan ambil mudah. Cuba, cuba dan cuba praktis! Percaya pada diri.
Pendakwah juga manusia, melakukan kesilapan dan melalui proses mencari diri. Saya tidak menyalahkan mereka 100%. Namun, bila kita memegang title para daie, ingatlah bahawa mata-mata luar sentiasa memerhati. Jatuh bangun kita mampu mempengaruhi sesiapa sahaja.
Cuba cuba dan cubalah untuk berubah menjadi manusia yang lebih baik. Perubahan tidak boleh dilakukan secara drastik, bimbang nanti lebih drastik menjadi yang lebih buruk. Nau'zubillah.
Dan saya sekali lagi menegaskan, ini adalah untuk memperingatkan diri saya sendiri juga. Yang baik kita ambil iktibar bersama.
Dan, janganlah serik untuk membuat perubahan. Jaga Kebersihan, Jaga Masa anda!
Allahuakbar!