Sunday, March 20, 2011

*Muka Buku- jadi lebih manusia atau sebaliknya.

Agak lewat saya mengenali facebook. Seingat saya ketika itu saya sudah tahun pertama Ijazah di IPG Penang. Zaman itu, saya sedang 'gila' dengan perkusi. Banyak jugalah pertandingan nasyid yang saya dan kumpulan Amani sertai. Yang paling manis, dapat tempat ketiga dalam Festival Nasyid Pulau Pinang. Dapat RM 1300, dibahagi dengan 9 orang. Bagi pelajar, itu sudah terlalu banyak. Dan yang paling lucu sehingga kini, kalau bertanding di kampus sendiri, tidak pernah pula dapat johan, haii Inlove, memang kita ni naib johan bertahanlah nampaknya.
Kenangan, kenangan..




Okey, memang ada perkaitan bagaimana kenangan itu dengan sejarah saya memiliki facebook. Ketika kawan-kawan saya sedang bercerita tentang seronoknya memiliki akaun facebook, saya masih mempertahankan prinsip, tidak mahu dan tidak akan buka akaun itu. Sebab pertama, saya lihat kawan-kawan saya seakan 'ketagih', setiap masa di hadapan laptop. Bunyi keyboard diketik laju amat, dan saya menyangka mereka sedang buat asgment atau buat reseach, rupa-rupanya sedang menaip status dan komen. Wuhuu, penangannya memang hebat!




Satu malam, saya ke bilik seorang teman, yang mesra saya panggil dengan Kak Dayah, kerana dia lahir awal setahun dari saya. Dia beritahu saya, kawan saya sedang mengutuk gambar saya di facebook. Saya pelik, macam mana gambar saya boleh ada sedangkan saya tak ada pun akaun facebook. Kak Dayah tunjukkan komen-komen itu pada saya dan ada satu komen berbunyi begini.

'naseb bek aini takdak fb'

Agak berasap juga masa tu dan saya terus balik ke bilik dan aktifkan satu akaun fb dengan nama Thoyba Mursyidah. Bila difikir balik, aduhai sungguh tak matang diri ini. Habis terbang ke mana prinsip sebab hanya usikan itu sahaja. Padahal kawan saya bukannya mencela, hanya mengusik...aduhai..okey pembaca, anda boleh gelak sekarang.

Saya tak nafikan, saya pun seakan disampuk oleh facebook. Siang malam terbayang-bayang hendak buka profil fb. Maklumat disebar pantas amat. Tidak seperti ketika saya hanya tahu berblog. Saya rasa di facebook lebih efektif malah hendak mengembangkan tarbiah, facebook memang medium yang paling hebat. Serius!

Di facebook saya mengenal kawan-kawan penulis. Sangat ramai. Antara kenangan yang tidak akan saya lupa adalah bila Pak Latip, (Abdul Latip Talib)menegur saya di fb dan bertanya, adik minat menuliskah?

Masa tu saya tak tahu pun yang menegur saya itu adalah penulis prolifik tentang buku sejarah Islam. Malu sangat sebab saya membalas 'dingin-dingin' sahaja. Aduhai, nampak sangat masa itu sangat mentah dalam dunia buku. Dari sehari ke sehari, saya mula berani untuk menambah rakan Ustaz Azman Al Kurauwi, Ustaz Ubaidillah Alias, Kak Ana Balqis, Dr Mawar, dan ramai lagi. Mereka rupanya, manusia yang saya kagumi, amat ramah sekali bila didekati. Dan facebook mengakrabkan kami, sehinggalah saya benar-benar bertemu dengan mereka di dunia realiti.Alhamdulillah ala kullihal.

Di facebook jugalah saya ditarbiah. Saya berkenalan dengan tarbiyah yang keras, dan juga yang penuh hikmah. Mungkin kerana keghairahan saya meletakkan gambar-gambar yang tidak sopan, saya dilontarkan pelbagai cemuhan oleh beberapa rakan di FB, dan kebanyakannya saya tidak pernah kenali. Kebanyakan mereka dari UIA.

Mulanya saya memberontak, saya marah, saya rasa menyampah.

'Siapa kau? aku tidak pernah kenal kau? aku rasa tak perlu kau menyibuk hak dan hal aku'

Bila saya fikir semula, bodohnya diri ini, kerasnya hati ini. Dan saya mula membenci mereka. Tetapi kerana rasa yang gundah itu bertambah, saya mula beruzlah, mencari diri saya yang hilang, dan alhamdulillah saya berterima kasih kepada mereka. Cuma kasihan pada seorang kawan saya di UIA, Fuad, dialah tempat saya melepaskan kemarahan. Maaf ya encik Fuad.

Dan saya mula mendelete gambar-gambar dan caption yang tidak sepatutnya ada di profil tersebut. Dan alhamdulillah, saya memperoleh peluang untuk mengenal ramai pejuang-pejuang muda Islam disitu.

Di facebook, saya bergerak lebih aktif. Sementelah saya adalah penolong ketua Lujnah Media dan Dokumentasi, saya cuba manfaatkan peluang itu. Saya tubuhkan satu grup di fb, grup Persatuan Agama Islam IPG Kampus Pulau Pinang. Dan disitu jugalah saya letakkan video-video TV PAI. Semasa saat itu, saya amat bahagia, teramat sangat.



Ada juga konflik disitu, amir PAI berkata facebook agenda Yahudi untuk memantau gerakan-gerakan Islam seluruh dunia. Saya cemas, saya rasa bersalah. Dan saya juga merajuk, aduhai pelik sungguh diri ini. Jadi saya cepat-cepat delete grup itu. Beberapa hari kemudian, amir menghubungi saya kembali,katanya tidak mengapa, ini salah satu cara kita kukuhkan Islam walau dimana kita berada.

Saya bingung. Tapi tanpa bicara, saya tubuhkan kembali grup itu.

Dan di facebook jugalah, saya belajar untuk mengenal orang-orang yang kasihkah saya, iaitu kakak-kakak yang piala hatinya penuh dengan cinta. Alhamdulillah saya mula merasa manisnya ukhwah. Manis sangat! Walaupun jarak memisahkan, tapi pertautan itu tetap mekar dan hidup.

Terima kasih kak kerana sabar dengan adikmu ini....

Saya juga mengenal adik-adik yang manis seperti A.Muziru Idham, Asilah, Fatimah, Hafizul Faiz dan sebagainya. Mereka semua, amat matang, tidak padan dengan usia. Status-status mereka, sangat mengujakan. Dan seringkali mengetuk pintu hati saya.

Yang paling saya suka akan semangatnya adalah Hafizul Faiz, orang Sik Kedah. Dia menulis sentiasa. Selalu minta saya ajar itu dan ini. Malah tidak putus-putus mengemelkan saya dengan cerpen-cerpennya. Saya jadi terhibur dapat mengusik adikku yang seorang ini. Pernah dulu saya menegur, sudah-sudahlah menjadi terlalu melankolik sehingga pembaca merasa mual. Dia tidak melenting, malah mengambilnya sebagai pengajaran bermakna. Bakal Ustaz ini, semoga dirinya menjadi penulis sejati kelak. Kak Aini akan sentiasa sokong Faiz key!


Ini Faiz, doakan dia dapat ke MPR tahun ni.
Ini link blognya...http://hafizulfaiz.blogspot.com/

Dan, kalian, saya telah menutup akaun fb itu beberapa minggu yang lalu. Dan saya tetap tidak memutuskan pertautan itu, kerana saya tetap wujud disitu dengan akaun yang baru, Yang lebih segar dan menenangkan hati-hati saya kerana, yang dekat dengan saya kini, adalah orang-orang yang menyayangi saya. Alhamdulillah..

Dan facebook, kau boleh memanusiakan manusia ataupun sebaliknya.

FAKTA ;Facebook diasaskan oleh Mark Zuckerberg bersama teman-teman sebiliknya dan rakan-rakan sekursus sains komputer Eduardo Saverin, Dustin Moskovitz dan Chris Hughes. Pada mulanya, keahlian tapak web ini terhad kepada penuntut Harvard, tetapi kemudian beransur-ansur diperluaskan kepada kolej-kolej lain di kawasan Boston, Liga Ivy, dan Universiti Stanford. Selepas itu, Facebook berkembang lagi untuk merangkumi mana-mana pelajar universiti, kemudian pelajar sekolah tinggi, dan akhirnya, sesiapa sahaja yang berumur 13 ke atas. Kini, tapak web ini dianggotai oleh lebih 400 juta pengguna aktif seluruh dunia.

Thursday, March 17, 2011

Perkahwinan, 'perpisahan' dan amanah.

Ya, saya ingin berbicara soal perkahwinan.

Kita, kalau sebut tentang kahwin, dua hari dua malam pun tidak akan habis untuk dibicarakan. Pasti ada sahaja idea atau pengalaman yang hendak dikongsikan. Kahwin, adakah hanya terbatas pada memiliki seorang suami/isteri dan melahirkan anak?

Saya tak nafikan isu ini tidak akan mati apatah lagi dalam kalangan anak-anak muda. Ya, saya pun anak muda, baru 21. Emosi dan perasaan bergulir sentiasa. Tercari-cari makna cinta dan kasih sayang. Jika ada kata-kata yang dituturkan oleh yang bukan muhrim, mulalah hati tersentuh, terpaut dan terkenang sehingga ke kamar tidur.

Betulkah itu cinta? Saya malas hendak mengulas perihal ini kerana saya yakin sudah ada berpuluh-puluh artikel yang dihasilkan oleh blogger-blogger, ustaz ustazah dan cendekiawan tentang perihal cinta sesama manusia ini.



Bila sudah sampai masanya, kita pasti akan berkahwin juga dengan jodoh yang telah ditetapkan oleh Allah.Cuma kali ini saya cuba keluar sedikit dari 'keterujaan' menikah itu. Cuba kalian intai disebalik tirai kebahagiaan itu, terlihatkah kesedihan dan kesayuan ibu bapa kita?

Saya anak perempuan, bahkan sulung pula. Ini bermakna, sayalah zuriat pertama yang menghadiahkan sebuah kebahagiaan kepada ayah dan ibu (cuba bayangkan perasaan pasangan yang baru menerima cahaya mata pertama)

Dan kebahagiaan mereka itu akan 'diambil' orang lain. Cuba kalian rasakan keresahan melepaskan anak yang diasuh dari sebesar telapak tangan itu kepada insan lain yang baru dikenalinya tidak begitu lama.

Saya, apabila terkenangkan akan 'perpisahan' itu, saya jadi khuatir, adakah lelaki-lelaki yang melamar seorang gadis untuk dijadikan isterinya tahu akan amanah yang amat besar ini.

Dan saya juga turut gusar, apakah diri sudah benar-benar berbakti kepada mereka. Allahurabbi..

Lafaz sakinah, saya pernah mendengarnya.Beberapa kali saya ulang dengar lirik lagu lafaz sakinah dendangan Far East. Air mata saya tidak mampu membayangkan saat itu. Saat menatap wajah ayah dan ibu yang 'merelakan' anaknya mengikut insan lain untuk menjalani kehidupan baru.



Saya cantas sedikit lirik lagu tersebut, yang bait-baitnya menggegarkan tangkai jiwa saya. Biar berapa kali saya mendengarnya, saya merasa amat terkesan dan mula sedar nilai sebenar kasih sayang dan cinta ibu dan ayah kepada anaknya.

Saya membayangkan ayah saya berkata begini dihadapan saya dan bakal suami saya yang masih lagi menjadi rahsia Allah sehingga kini.


Adalah aku wali puteriku
Serah kini amanahku ini padamu
Nafkahilah dia curah kasih dan cinta
Lebih dari yang ku berikan kepadanya


Dulu esakannya sandar di bahuku
Tangisannya kini ku serah padamu
Bukan bermakna dia bukan milikku
Fitrahnya perlukanmu
Jadikanlah dia wanita syurga
Mengerti benar akan maharnya
Taat itu bukan hanya pada nama
Indah ia pada maksudnya



Dan alangkah indahnya jika 'si dia' memahami lafaz ini dengan benar-benar mendalami maksud aksara di bawah.

Ku akur
Akan pesanmu
Puterimu kini amanahku

Iringilah
Dengan doamu
Bahagia kami dari redhamu

Tiba-tiba saya jadi hairan apabila ada anak-anak yang sanggup derhaka dan kahwin lari bersama lelaki yang entah dari mana datangnya. Bagaimana anak sebegitu mampu yakin bahawa kasih sayang dan cinta pasangannya akan diberkati andai tiada restu. Saya jadi kelu, saya jadi buntu untuk berfikir tentang itu.

Semoga Tuhan melindungi kita semua. Sesungguhnya pernikahan itu kesinambungan untuk membina ummah yang benar-benar memahami agama.

*Buat ummi dan abah, along sayang padamu..

Thursday, March 3, 2011

4 Kali Seminggu

Kenapa 4 kali seminggu? Kenapa tidak 3 kali seminggu? Kenapa ya?
Saya sengaja mengambil tajuk itu sekadar untuk memaknakan dalam seminggu saya menghadiri kuliah di universiti sebanyak 4 kali dan bukannya mendengar ceramah ustaz tutt 3 kali seminggu. Okey, fahami itu dulu. Laa, kenapa pula marah-marah ini, sana sini kan ada witticism. (entah sejak bila saya guna term itu)

PENEMUAN

4 kali seminggu itu ada pelbagai perkara yang berselirat tetapi mujurlah saya tidak berhenti dari memerhati apabila fokus saya terganggu. Kalau saya berhenti kerana gangguan yang sedikit itu, sudah pasti saya tidak dapat menikmati sebuah penemuan.
Penemuan yang menjelaskan saya tentang satu hal. Hari ini saya dapat jawapan kenapa sistem pendidikan negara kita agak jauh tertinggal di belakang. Saya bukan tekankan sistem peperiksaan atau pencapaian akademik pelajar. Kalau tentang itu, perghh!! Kita memang cemerlang. Setiap tahun ada sahaja pelajar yang memikul berpuluh-puluh A. Tetapi kita tertinggal dari sudut membina seorang manusia yang memahami tujuan dan matlamatnya diutuskan ke dunia. Kita hanya banyak melahirkan manusia yang mengikut telunjuk orang lain serta menelan bulat-bulat apa yang disuapkan. Untuk mengelakkan sebarang ‘kekecohan’ maka saya jelaskan disini, ianya bukan melibatkan semua pelajar, tetapi HAMPIR semua. Selalunya yang betul-betul jadi manusia, akan dipinggirkan dan dipandang serong dan mereka seolah-olah banduan yang terlepas dari penjara. Walaupun sudah selesai menjalani hukuman, (hukuman tanpa membuat kesalahan )tetapi masih dihantui pandangan negatif masyarakat. Senang kata, minoriti seperti mereka ibarat pesalah yang terus salah dan salah andai melakukan apa pun mengikut pemikiran mereka.

PROSES BELAJAR

Saya melalui proses belajar bersama pensyarah yang asalnya memang orang Australia. Alah, selalunya kita sebut Mat Saleh saja. Tapi walaupun saya tahu pensyarah saya ini seorang gay, saya sangat menghormatinya kerana cara dia mengajar lebih bagus daripada pensyarah-pensyarah di Malaysia. (bukan semua). Tetapi pada awalnya, saya tak berani nak keluarkan kenyataan begitu kerana saya masih setkan dalam cepu kepala, pensyarah di Malaysia sahaja yang bersikap begitu. Titik. Tetapi setelah saya melalui proses belajar bersama seorang pensyarah Asia hari ini, ia membuktikan saya salah! Bukan di Malaysia sahaja tetapi sebenarnya warga Asia yang bersikap begitu. Maaf pensyarah-pensyarah saya di Malaysia! Nah! Itu yang saya geram. Walaupun saya dah dapat memujuk diri untuk tidak menyalahkan 100% pensyarah di Malaysia kerana skop meluas pula pada Asia, saya tetap tidak berpuas hati kerana nilai yang buruk dan negatif masih bertakuk pada kita, orang-orang kita, budaya kita, mentaliti kita.

PELUANG

Pensyarah mat saleh saya, dia langsung tidak menyekat proses pembelajaran yang berlaku pada pelajarnya. Ialah, kalau dulu saya dengar cerita-cerita orang sahaja, tapi ini yang saya alami sendiri. Erm, Tiada jawapan salah atau betul dan apa yang penting, pelajar itu mampu bina gagasan pemikiran sendiri. Pertama, kerana peluang. Peluang tidak pernah ditutup untuk menyuarakan pandangan, sindiran, kritikan, ketidak puasan hati dan macam-macam lagi. Huh, kalau di tempat kita, saya rasa kena makan penampar lah jawabnya kalau menyindir atau mengkritik secara terang-terangan, apatah lagi dalam dewan kuliah. Saya jamin punya! Paling tidak pun, kena maki dengan pensyarah dan selepas itu kita dituduh overthinking. Macam mana nak dipanggil overthinking sedangkan nak keluar dari tempurung yang dah lama ditinggalkan katak pun, tak dibenarkan. Katak yang duduk bawah tempurung pun sudah pandai tinggal di rumah-rumah manusia, malah jadi haiwan peliharaan lagi. ish ish ish.
Sepanjang kuliah berlangsung, idea memang tak boleh berhenti mengalir. Pemikiran seakan dicucuh sumbu untuk menyalakan deria tanya. Memang kena bertanya, tetapi fahamlah juga, ada batas-batasnya. jadi, berwaspadalah. Jangan terlalu ghairah bertanya sehingga agama melayang, sudahlah.

DISEKAT

Selesai kuliah yang sangat syok bersama pensayarah mat saleh saya, saya terus bergegas ke tutorial bersama pensyarah Asia. Memang asian look, sungguh. Yang ini lain macam sungguh. Asal kami nak berbincang, dia letak jari telunjuknya ke bibir. Shhhhh!!! Haa, itulah perkataan yang dia paling suka. Saya dan kawan-kawan yang baru merasa duduk di oversea ni, mula merasa sudah kembali kepada persekitaran kelas di Malaysia. Secara automatik, otak yang aktif sebentar tadi jadi beku semula. Beku! Beku sungguh!

Aduh, memang ketara perbezaannya. Bagaimana hendak menjana idea kalau apa yang saya fikirkan, dia mahu mengawalnya. Mana boleh kawal hak orang lain, itu jenayah namanya! Kalau di dalam kuliah pensyarah mat saleh tadi, saya tak boleh menahan pengaliran idea dan persoalan dari minda. Tetapi dalam kuliah yang dikawal dan dikongkong ini, saya jadi patung semula. Nak marah betul aku dibuatnya, haha. Memang akhirnya, saya hanya buat apa yang disuruh, dan bukan apa yang saya memang hendak buat sendiri. Hampeh betul.

METACOGNITIVISM

Thinking about what are you thinking is metacognitivism. Saya belajar dengan lebih mendalam tentang hal itu dalam kuliah pensyarah mat saleh kesayangan saya itulah. Soalan tahap 3, ataupun level 3 question. Mula-mula saya tak faham juga. Rupa-rupanya, level3 question make ourselves thinking further about our own question. Dia melibatkan aplikasi pada kehidupan seharian, hipotesis dan analisis. Bukan hanya sekadar menghafal teori semata-mata seperti yang sering kita lakukan dalam sistem pendidikan di Malaysia. Konstruktivisnya kurang (mungkin tidak ada langsung )tetapi behavioris juga yang sering digunapakai sehinggalah ke alam Institusi Pengajian Tinggi. Kalau macam ni, macam mana kita nak thinking out of the box? Adess,,, masalah betul.


~gambar hiasan~

SAYA DAH NAK BUAT KONKLUSI

Cepatnya minah ni nak buat konklusi! Haha.
Okey, the most important point that should be highlighted kat sini adalah GURU. Itu saja isu utamanya. Yang menerbitkan suasana pembelajaran seperti itukah, inikah, ia bermula dari pengawalan guru. Guru yang merancang proses pembelajaran.
Guru kena fikir baik-baik, apatah lagi yang mengajar sekolah rendah. Kalau kita membunuh soalan mereka, pasti timbul beribu-ribu persoalan lagi dalam pemikiran mereka. Lama-lama, mereka akan tersesat dalam timbunan soalan itu. Nanti bila Tuhan tanya salah siapa, anak murid akan tuding jari kepada guru. Kerana diselidik ke akar umbi, masalah pertama bermula disitu, di saat soalan pertama yang tidak dijawab.

Fikir betul-betul wahai guru dan bakal guru.
Kenapa nak sibuk dengan hal-hal remah? Contoh yang remeh, anak murid menyampuk ketika kita sedang bercakap, anak murid tanya soalan-soalan yang tak ada kaitan langsung dengan apa yang kita sedang ajar, anak murid tak bawa buku, anak murid tak bawa pensil, anak murid tak siapkan kerja sekolah. Hal remeh tu. Kalau guru ikutkan sangat dengan emosi marah, sampai ke sudah lah anak murid tak boleh kehadapan untuk majukan diri sendiri. Iyalah, sebab asyik tersekat dengan emosi marah cikgu yang tak sudah-sudah. Lama-lama, budak pun tak nak pergi sekolah.

Okey, sudah-sudahlah tu. Konklusi apa yang panjang sangat ni. Haishh…Eh, aku pun bakal guru rupanya??! Haha..


~saya banyak belajar untuk menjadi seorang guru dari Ummi saya. Biar apa pun yang datang menguji, jangan abaikan anak murid sendiri. Kerana nanti kita akan abaikan amanah yang Allah beri.

Sunday, February 27, 2011

Aku Bersaksi, Perjuangan ini tidak pernah padam.

Saya sekarang berada dalam keadaan terancam, ketakutan. Sungguh Allah hendak memberi saya pengajaran berharga. Sangat bernilai dan akan saya kenang sehingga hujung nyawa.

Selama ini saya hidup dalam zon yang selesa. Sangat selesa. Sekalipun pelbagai mehnah melanda, namun itu semua hanya sekadar kecaman yang direka-reka ataupun hanya bermain dalam cepu kepala. Ya, tidak lebih dari itu.

Selama ini jika hati ini terjentik dengan rasa sayu, itu pasti hanya kerana melihat teman-teman yang hanyut dibuai arus dunia, hiburan terlampau, dan paling hebat, ujian itu adalah keengganan mengikut suruhan Tuhan dan kemungkaran berlaku didepan mata. Apa yang saya tekankan adalah kemungkaran yang dilakukan oleh orang beragama Islam.

Ya, dan kerana itulah selalunya jiwa Islam kita sakit dan tangisan akan tiada hujungnya di atas tikat sejadah. KIta akan menulis pelbagai artikel, nasihat untuk membangkitkan kesedaran, meluahkan kekesalan dan berhujah yang pelbagai, menyampaikan kuliah dan motivasi, serta memantapkan usrah. Saya yakin hampir semua ikhwah dan akhwat akan melakukan itu.

Allah memberi saya dan sahabat-sahabat saya pengalaman yang tiada galang gantinya. Pengalaman merasai getirnya menjadi seorang muslim. Seorang yang mengakui keesaan Allah. Hampir 21 tahun hidup didunia, saya dihidangkan dengan cerita dan kisah bagaimana pandangan skeptikal masyarakat dunia terhadap orang Islam. Orang Islam dianggap tertutup dalam pelbagai perkara. Muslimat mendapat serangan yang paling hebat terutamanya oleh golongan feminis. Mereka menganggap muslimat adalah insan-insan yang terkongkong dengan hukum sehingga kebebasan disekat. Pemikiran itu tidak pernah mati. Sungguh, saya yakin.

Saya dan sahabat-sahabat diuji, dengan ditakdirkan oleh Allah SWT untuk berpijak pada realiti dan kenyataan hidup sebagai muslim di bumi asing.Sedang menunggu bas bersama-sama, tiba-tiba ada sebuah kereta diperlahankan. Sebuah keluarga warga Australia saya kira, menjerit-jerit, memaki-hamun sambil mengacah-acah untuk melemparkan sepatu kepada kami. Secara automatik iklim yang ceria itu bertukar menjadi iklim yang hitam pekat, mendebarkan. Istighfar demi istighfar bergema namun kebanyakan dari kami kelu, tiada mampu berkata-kata walau sepatah perkataan. Diam, khali.

Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, masing-masing masih terkejut. Ada juga yang mengalirkan air mata. Rasa sangat terasing!

Dan, kerinduan pada Rasulullah mekar dan kembang...amat-amat merindui Baginda. Ya Rasulullah, dirimu lebih hebat diuji...Ya Rasulullah, demi Allah aku rindu padamu. Ya Allah peliharalah hati-hati kami untuk mengikut jejak langkah orang yang mencintaiMu.

Esoknya,
Kami berjalan kaki untuk menghadiri usrah. Entah mengapa ada getaran hebat pada nubari sementelah kami semua berbaju kurung. Setiap langkah kami bersulam tasbih dan munajat. Rasa debar itu berkurangan sedikit demi sedikit. Bumi asing itu seakan-akan menjadi sebuah medan tempur perasaan sendiri. Terbayang perjuangan yang tidak pernah padam. Dan takdir Allah menentukan. Tiba-tiba sebuah kereta meluncur laju dan seorang perempuan menjerit ke arah kami dengan suara yang cukup kuat sekali.

Jantung seakan berhenti mengepam darah. Ya Allah, ya Allah, hanya itu yang terkeluar dari mulut. Perasaan takut bercambah semula. Masya Allah, apakah ini yang terbaik buat kami untuk menyedari hakikat Islam yang suci? Jika benar, kami redha sepenuh hati.

Buat sahaba-sahabat, walau dimana pun kalian berada, walau sekuat manapun kalian merasa sudah berbakti pada agama, jangan kalian pernah rasa bongkak dan cukup dengan perjuangan itu. Jangan mudah punya perasan angkuh dan meninggi diri dengan perjuangan yang amat sedikit. Saya berani menyatakan, itu amat sedikit jika dibandingkan dengan perjuangan Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat. Keperitan mereka menghadapi kebencian yang memuncak oleh orang bukan Islam, bukan sesuatu yang hanya boleh dikenang sebagai sejarah, tetapi sebagai sebab yang kukuh untuk kita tidak pernah akan mengaku kalah dalam perjuangan menegakkan agama.

Semoga kita semua terus tabah.

Dan, saya mohon doa sahabat-sahabat agar semua pelajar Malaysia di bumi asing senantiasa selamat dan sejahtera dalam dakapan Islam.

Tuesday, February 22, 2011

Keluarga Bahagia, JPP 2010/2011

Saya tidak mahu membuka ruang kenangan, kerana ia pastinya menyebabkan air hangat bertakung dalam kolam hati. Lama-kelamaan, ianya akan pecah dan limpah dan menghanyutkan diri ini ke dalam arus kerinduan. Semoga Allah melindungi kita semua.

Jawatankuasa Perwakilan Pelajar. Saya sudah bersama dengan organisasi ini selama 2 tahun. 2 tahun mengharungi pelbagai tranformasi, revolusi, bertukar tampuk kepimpinan dan sahabat-sahabat seperjuangan. Ya, pahit dan manis itu ada, berselirat dan sukar dileraikan hingga kini. Sekali memikul tugas, sungguh-sungguh dilaksanakan untuk mengejar masa yang tertinggal.

Saya pernah mendengar kata orang, JPP adalah kuli. Dan baru saya sedar, saya juga pernah begitu. Namun segalanya berubah, kerana Allah menyatukan hati-hati kita, kita semua yang terus memerah keringat dan usaha. Biarpun pelbagai prasangka, tuduhan dan sindiran terpalit, segalanya tidak diendahkan.

Saya terkenang, saat dingin malam datang, kami semua berkumpul di bilik mesyuarat. Kadang kala sehingga jam 1 pagi. Bukan niat untuk membangga diri, tidak sama sekali! Cuma itu realiti yang kami tempuhi.

Wajah sahabat-sahabat saya masih mekar dalam ingatan. Mereka lesu, pucat seakan tiada semangat. Tetapi sebenarnya, rasa juang itu menyala-nyala. Alhamdulillah saya melihat hasilnya.



Buat pok, (Hanif Shar), anda sangat cool tetapi serius dalam bekerja. Andalah orang yang paling 'gila kerja' sepanjang 2 tahun kita semua bersama-sama. Anda sangat terbuka dan baik hati. Walau apapun yang datang, anda tidak pernah melemahkan semangat kami. Anda akan berusaha menjaga kebajikan kami. Terima kasih pok, saya akan sentiasa merindui pok!

Buat Ipe, anda sangat banyak membantu aku. Anda sangat banyak menyelesaikan konflik-konflik dan masalah sahabat-sahabat. Anda sangat berani dan bijak dalam membuat tindakan. Anda selalu ada walau dalam keadaan susah atau senang. Anda tidak pernah meninggalkan kami terkontang-kanting dan aku akan merindui nko!



Buat mok (kak Diela), Mak sangat bersabar dengan saya. Terima kasih mak! Saya selalu tengok mak dalam keadaan penat, mata merah tapi mak cool je buat kerja. Senyum sokmo. Mak cun kot! Kerja mak sangat perfect, dan saya nak belajar jadi macam tu. Terima kasih mak....I love u mak!



Buat kakak (kak Tret), Saya sangat bahagia bekerja dengan awop. Awop sangat sporting dan menjaga kebajikan saya. Saya juga bahagia kerana kita sama-sama berganding bahu dapat mengutuk XXXX ketika stress melanda. (tak baik, tak baik). Jujurnya jantung saya akan berdentam dentum ketika menaiki kereta bersama awop. Awop drift, saya suspen. hehe.. terima kasih atas segala kenangan, kasih sayang dan cinta tulus. I love u, n I miss u...



Buat Rizal yang hensem dan gagah berani,Anda sangat tabah dan sabar. Andalah idolah semua JPP dalam urusan kerja. Rizal, anda sangat baik hati. Anda terlalu jujur. Anda memang superb. Terima kasih kerana jadi kawan susah senang. Anda selalu ada untuk kami semua. Saya sedih sangat sebab tak dapat lagi mengusik dan mengenakan anda dengan jayanya. Rizal oh Rizal, tak sangka dapat jumpa orang sebaik anda. Saya akan merindui anda!



Buat Afida Akmar, susah senang sama-sama. Kita selalu berteman air mata dan juga tawa. Sukar dipisahkan ikatan ini. Fida selalu ada untuk Aini. Fida selalu memahami Aini. Fida selalu beri semangat pada Aini. Fida jarang tunjuk kesedihan Fida. Fida kawan yang best! Fida comel dan Fida muslimah hebat. Terima kasih Fida sebab jaga lujnah kita dengan baik. Aini sayang Fida..



Buat Aini Syafinas, Anda sangat innocent. Kita geng susah senang sama-sama. Aini sangat cute dan baik hati. Aini selalu sabar dengan perangai saya yang baran ni. Aini selalu tenangkan saya dan menyedarkan saya. Terima kasih Aini, semoga Aini dapat pakwe yang hensem (apa kaitan?) Aini sayang Aini Syafinas..mmuah!



Buat tok ayah (Nik Aiman @ Abe Me), Anda sangat banyak membantu saya dan menyelesaikan kerja-kerja saya. Tak kira siang atau malam, anda akan berbakti kemana saja. Terima kasih ayoh! Mu memang terbaik!..sob sob...tringat weh!



Buat Puan Aneesha, Encik Puspa, Puan Rohani dan semua pensyarah..Terima kasih kerana mempercayai kami...Love u mummy and daddy!!

Buat semua JPP, Zaid, Ikmal, Abdillah, Hasbullah, Kak Izma, Kak Chik, Kak Ain, Kak Im, Mazwan, Pavi, David, Kaber, Izzah, Kak Pah, dan semualah! (maafkan saya tak dapat menyebut semua nama)....Nuraini Ruzi amat merindui saat kita bersama!! Siiru ala barakatillah.











Al-Fatihah buat arwah Abdillah Hafiz, Ex-Naib Bendahari JPP....

Dan, inilah kami.....salam rindu yang tiada penghujungnya...

Monday, February 21, 2011

Sebuah kembara, penerus deria muhasabah

Hidup tanpa kekasih, kelam tanpa cinta. Begiu juga aku, yang meninggalkan kekasih-kekasihku di Malaysia. Dan kekasihku, dia buku. Buku yang banyak menyuluh jalan hidupku, agar tidak tersadung dilembah kejahilan.

Tinggalkan seketika resah itu.

Jarak yang menyebabkan insan-insan terpisah, merupakan suatu beban yang sungguh berat tidak tertahankan. Namun, itulah pengukur kepada kekuatan dalaman dan juga keutuhan sabar dalam diri. Sungguh, banyak benar perkara yang kupelajari hari demi hari. Biar dimanapun bumi kita berpijak, kumula mengerti.

Ya, langit tetap sama! Teringat pesan seorang teman yang kukasihi, kalau rindu datang tiada bertepi, dongaklah pada langit biru, kerana kita tetap berkongsi langit biru yang sama.

Hari ini pemula sebuah paradigma, mungkin. Hari pertama kuliah di negara asing. Bertemankan sistem baru, persekitaran baru, iklim baru, budaya baru dan perasaan yang baru. Segalanya metah baru. Tawakal pada Tuhan jadi peneguh keyakinan.

Kampus sesak dengan pelajar. Minggu Orientasi, atau disebut O Week bermula seawal 8 pagi. Sementelah kuliah sebelah pagi dibatalkan, aku mengambil peluang untuk bersiar-siar dan meneliti kawasan.



Minoriti, itu sahaja yang mampu kusimpulkan. Sukar juga untuk menemui pelajar yang bertudung/berhijab. Muslim disitu, minoriti. Jadi segala perbuatan kami, akan diingati dengan mudah sekali. Saat ini barulah diri menyedari hakikat sucinya Islam secara fitrahnya. Dan aku mula percaya, bagaiman umat Islam sebenarnya menjadi fitnah kepada Islam.

Menjadi fitnah kepada Islam andai mengenepikan suruhan Allah dan RasulNya. Menjadi fitnah kepada Islam andai menghalalkan yang haram dan bersifat ekstrimis dalam beragama. Itu yang perlu kita ubah dan usahakan agar tidak berlaku dan berpanjangan. Hari ini booth-booth memenuhi Centre Courtyard. Pelbagai persatuan dan organisasi menawarkan pelbagai pakej dan keistimewaan.



Aku tertarik pada booth Muslim Aid. Disitu aku lihat muslimatnya sangat petah berkata-kata. Kuamati riak wajahnya yang ceria tatkala kau singgah menyapa. Benarlah Islam itu kelihatan amat asing. Aku merasakan aura yang aneh. Seolah-olah makhluk asing, kami dikelilingi kemungkaran yang bermaharajalela.



Aku berjalan lagi, dan kawan-kawan kutinggalkan entah kemana. Beginilah mungkin rasanya menjadi pelajar Uni. Aku tidak malu untuk mengakui, ini kali pertama aku merasai benar-benar sebagai siswazah dan tidak lagi terikat dengan kongkongan sistem sekolah. Terima kasih Allah kerana sebuah pengajaran berguna ini, dan kini aku harus menjalani setiap perkara yang Kau aturkan.

Aku memperoleh sebuah kitab Bible secara percuma oleh seorang ahli kelab Kristian. Mereka sungguh gigih menyebarkan dakyah mereka. Semangat mereka jarang benar luntur. Semua ini harus dihentikan oleh serangan dari pelbagai penjuru oleh pihak Islam sendiri. Serangan dari penjuru pemikiran dan kesedaran, dan bukannya membiarkan hanya bom dan darah yang berbahasa. Use your brain.

Pemikiran yang berpaksikan keimanan. Keimanan yang bermula dari ibadah yang sempurna. Keberanian takkan hadir tanpa rasa percaya dan yakin pada Allah. Sebelum kita melangkah lebih jauh, fikirlah, benarkah kita sudah mempersiapkan diri secara asasnya sebagai Muslim?

Kita tidak boleh lari dari kenyataan ini. Berhati-hati mengatur langkah yang pertama, kerana disitu penanda aras pada kejayaan yang seterusnya. Jatuh berkali-kali itu biasa, tetapi jangan lupa untuk bangkit dan berjuang sehingga menggapai redha di jalanNya.

Cabaran sebagai muslim ada dimana-mana. Jika bukan dengan musuh Islam, boleh jadi dengan musuh hakiki- diri sendiri dan syaitan laknatullah.

Semoga kembara ini membangkitkan rasa cinta yang teragung pada Allah SWT.

Sunday, February 20, 2011

Keindahan pagi~ Meresap kehati

Sudah 2 malam aku dipeluk kehangatan cuaca. Panas di sini berlainan benar berbanding bumi Malaysia. Panasnya seolah-olah membakar kulit sawo matang ini lalu merembeskan peluh yang bukan sedikit. Sungguh tidak selesa. Mungkin ini hanyalah satu cabaran kecil yang dihadapi oleh seorang musafir. Musafir yang berkelana kerana ilmu, kunamakan itu aku. Dan, pencarian demi pencarian sentiasa berjalan seiring piuhan waktu.

Malam lebih pendek berbanding siang dan aku masih lagu sukar menyesuaikan diri. Aku lebih sukakan malam, kerana tika itu ilham akan mencurah bagai air mengalir dan kesunyian itu, ya, itu yang aku sering damba-dambakan. Tiada apa yang lebih bernilai selain rasa kerinduan yang meluap-luap pada pencipta Alam.

Pagi itu aku ke Waterloo Park. Tidak terlalu jauh dari kawasan rumahku di Macquarie University Village. Bersama teman, Azlan, Hanan, Aisyah dan TQ, kami meredah kesejukan pagi. Waktu subuh yang menjengah seawal 5 pagi menyebabkan kami berjaga agar tidak tertidur semula. Saat kami melangkah keluar menuju ke Waterloo Park, jam menunjukkan jam 7 pagi. Disini, matahari sudah tersenyum kira-kira jam 6 pagi. Jadi kerisauan untuk beraktiviti luar akan pudar sendiri. Alhamdulillah pagi itu aku menghabiskan 3 pusingan larian tanpa henti di kawasan taman Waterloo. Rasa segar dan bertenaga!

Satu pengamatan yang seakan sama kuperoleh. Di sini, (Australia), warga yang turun bersenam pada waktu pagi adalah kaum cina. Jika kita lihat senario di Malaysia pun, memang kaum cina akan berpusu-pusu ke taman-taman rekreasi untuk melakukan senaman dan juga aktiviti kecergasan. Jadi, adakah adil jika aku katakan warga cina amat mementingkan gaya hidup sihat? Pada hematku, aku mengeyakan kenyataan ini.

Sempat aku menegur beberapa orang warga Australia yang berada di taman itu. Iyalah, bukankah itu tujuan kerajaan menghantar aku ke sini~ memperbaiki tahap komunikasi dalam bahasa Inggeris. Tapi lain pula jadinya, mereka malah, sangat teruja untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Mereka suka bertanya "Apa khabar?" dan pelbagai soalan lagi. Mereka juga suka memberi salam kepada kami. Mungkin mereka jangkakan,orang Malaysia sinonim dengan salam dan bukannya Muslim. Itu tanggapan yang perlu dibetulkan. Tetapi siapa yang harus bertindak? (Salah satu sifat orang kita, menyerahkan amanah dan tanggungjawab kepada orang lain)~ peringatan pada diri.

Waterloo Park penuh dengan daun-daun kering. Lorong-lorong kecil seakan-akan melengkapkan keindahan itu. Aku berlari-lari ditengah padang hijau yang terbentang luas. Sungguh asyik mengejar burung-burung kakak tua yang memenuhi ruangan padang. Berkepala separuh merah dan putih, burung kakak tua terbang tinggi dan rendah. Tidak kemana-mana tetapi turun kembali ke padang itu. Haiwan-haiwan disini terpelihara. Jika manusia menyentuh dan mencederakannya, denda dan kompaunlah yang akan diterima. Jadi tidak hairanlah banyak binatang yang bebas merata-rata, seolah-olah mengetahui nilai yang diberikan padanya.

Kutersenyum, ya, itu sesuatu yang melucukan tetapi kenyataan yang harus diambil perhatian. Tersilap langkah, buruk akibatnya. Jika di Malaysia, manusia yang berkuasa. Dan haiwan pula, semakin terancam oleh bahaya.

Kawan-kawan, hari ini akan pergi, dan esok akan menanti. Semoga terus banyak hikmah yang kita kecapi. Salam cinta yang meresap kehati.