Sudah 2 malam aku dipeluk kehangatan cuaca. Panas di sini berlainan benar berbanding bumi Malaysia. Panasnya seolah-olah membakar kulit sawo matang ini lalu merembeskan peluh yang bukan sedikit. Sungguh tidak selesa. Mungkin ini hanyalah satu cabaran kecil yang dihadapi oleh seorang musafir. Musafir yang berkelana kerana ilmu, kunamakan itu aku. Dan, pencarian demi pencarian sentiasa berjalan seiring piuhan waktu.
Malam lebih pendek berbanding siang dan aku masih lagu sukar menyesuaikan diri. Aku lebih sukakan malam, kerana tika itu ilham akan mencurah bagai air mengalir dan kesunyian itu, ya, itu yang aku sering damba-dambakan. Tiada apa yang lebih bernilai selain rasa kerinduan yang meluap-luap pada pencipta Alam.
Pagi itu aku ke Waterloo Park. Tidak terlalu jauh dari kawasan rumahku di Macquarie University Village. Bersama teman, Azlan, Hanan, Aisyah dan TQ, kami meredah kesejukan pagi. Waktu subuh yang menjengah seawal 5 pagi menyebabkan kami berjaga agar tidak tertidur semula. Saat kami melangkah keluar menuju ke Waterloo Park, jam menunjukkan jam 7 pagi. Disini, matahari sudah tersenyum kira-kira jam 6 pagi. Jadi kerisauan untuk beraktiviti luar akan pudar sendiri. Alhamdulillah pagi itu aku menghabiskan 3 pusingan larian tanpa henti di kawasan taman Waterloo. Rasa segar dan bertenaga!
Satu pengamatan yang seakan sama kuperoleh. Di sini, (Australia), warga yang turun bersenam pada waktu pagi adalah kaum cina. Jika kita lihat senario di Malaysia pun, memang kaum cina akan berpusu-pusu ke taman-taman rekreasi untuk melakukan senaman dan juga aktiviti kecergasan. Jadi, adakah adil jika aku katakan warga cina amat mementingkan gaya hidup sihat? Pada hematku, aku mengeyakan kenyataan ini.
Sempat aku menegur beberapa orang warga Australia yang berada di taman itu. Iyalah, bukankah itu tujuan kerajaan menghantar aku ke sini~ memperbaiki tahap komunikasi dalam bahasa Inggeris. Tapi lain pula jadinya, mereka malah, sangat teruja untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Mereka suka bertanya "Apa khabar?" dan pelbagai soalan lagi. Mereka juga suka memberi salam kepada kami. Mungkin mereka jangkakan,orang Malaysia sinonim dengan salam dan bukannya Muslim. Itu tanggapan yang perlu dibetulkan. Tetapi siapa yang harus bertindak? (Salah satu sifat orang kita, menyerahkan amanah dan tanggungjawab kepada orang lain)~ peringatan pada diri.
Waterloo Park penuh dengan daun-daun kering. Lorong-lorong kecil seakan-akan melengkapkan keindahan itu. Aku berlari-lari ditengah padang hijau yang terbentang luas. Sungguh asyik mengejar burung-burung kakak tua yang memenuhi ruangan padang. Berkepala separuh merah dan putih, burung kakak tua terbang tinggi dan rendah. Tidak kemana-mana tetapi turun kembali ke padang itu. Haiwan-haiwan disini terpelihara. Jika manusia menyentuh dan mencederakannya, denda dan kompaunlah yang akan diterima. Jadi tidak hairanlah banyak binatang yang bebas merata-rata, seolah-olah mengetahui nilai yang diberikan padanya.
Kutersenyum, ya, itu sesuatu yang melucukan tetapi kenyataan yang harus diambil perhatian. Tersilap langkah, buruk akibatnya. Jika di Malaysia, manusia yang berkuasa. Dan haiwan pula, semakin terancam oleh bahaya.
Kawan-kawan, hari ini akan pergi, dan esok akan menanti. Semoga terus banyak hikmah yang kita kecapi. Salam cinta yang meresap kehati.
No comments:
Post a Comment