Aku masih bergelut dengan perubahan cuaca yang tidak menentu. Rintik hujan datang sekejap-sekejap dan kemudian timbul matahari memanaskan bumi. Jaket yang dipakai ditanggalkan tetapi beberapa jam kemudian angin berpiuh dingin dan meresap ke tulang. Jaket dipakai semula. Begitulah Sydney dalam permainan cuaca yang tidak terjangkakan. Namun atas penerangan dari kakak-kakak senior, peralihan musim selalunya merupakan antara faktor cuaca berubah-ubah sepanjang hari. Namun aku pasti Tuhan sudah merencanakan sesuatu yang bermakna buat hambaNya. Terpulang pada hamba-hambaNya sama ada mahu ikhlas menerima kehidupan dengan cara yang mereka pilih.
Hari ini aku berjalan ke Macquarie Center yang terletak agak jauh juga dari Macquarie Village. Berjalan kaki menelusuri rumah-rumah berbata merah disepanjang lorong-lorong kecil yang dipenuhi dengan daun-daun maple kering itu menerbitkan satu ketenangan dalam jiwa. Sengaja kuperlahankan langkah untuk melihat longgokan daun-daun maple kering yang sudah pun berwarna coklat pekat. Serasa seperti dalam filem Mohabbatein pula.
Aku terus berjalan sehingga bertemu jalan raya. Tanpa diarah, aku berhenti dipinggir jalan dan melihat kiri dan kanan. Jangkaanku seperti biasa yang kulakukan di Tanah Air tercinta. Pejalan kaki akan menunggu kereta melepasi mereka sebelum melintas, apatah lagi jalan raya yang tidak mempunyai lampu isyarat. Namun hari itu aku seakan terpaku seketika apabila kereta yang dipandu dijalan raya Australia berhenti dan memberikan laluan kepadaku. Biarlah lambat atau cepat manapun kita berjalan, pemandu akan menunggu sehingga semua pejalan kaki selamat sampai keseberang.
Aku cukup kagum dengan sikap itu. Bila diteliti, rupa-rupanya undang-undang jalan raya Australia mengutamakan keselamatan pejalan kaki dan denda yang amat tinggi akan dikenakan kepada pemandu kereta atau kenderaan lain tidak memberikan lalauan kepada pejalan kaki. Buat pertama kalinya dalam hidupku, aku merasa sangat dihargai sebagai seorang pengguna jalan raya. Jika keadaan itu berlaku di Malaysia, alangkah bagusnya. Keadaan itu sebenarnya sevara tidak langsung mengurangkan kadar kemalangan dan juga meningkatkan tahap keselamatan pengguna-pengguna jalan raya keseluruhannya. Aku masih mengorak langkah melintasi kawasan lapang yang terletak barisan-barisan pokok bersaiz besar diatasnya. Daun-daun kering yang gugur ke atas kawasan lapang itu seolah-olah membentuk sebuah permaidani coklat yang besar. Aku melewati kawasan kampus. Tiba-tiba aku terbau sesuatu. Hidungku kembang kempis kerana cuba mengenalpasti dari manakah bau itu datang. Baunya seakan serai dan pudina.
Aku tercari-cari serai dikawasan kampus namun tidak ketemu. Rupa-rupanya bau itu datang daripada rumput hijau. Aku sendiri pun tidak tahu bagaimana rumput biasa seperti itu mampu mengeluarkan bau yang cukup kuat. Kawanku pernah berseloroh, “Ini jalan Tom Yam.” Apa tidaknya, sepanjang laluan itu, bau rumput yang seakan-akan serai itu menghuni deria bau kami semua. Aku memeluk tubuh setiap kali angin menyapa lembut tubuh. Sengaja aku menarik-narik jaketku agar kesejukan berkurangan.
No comments:
Post a Comment