Sunday, February 1, 2009

Benarkah kita menadah titis ilmu..

Teriak tangis saudara seagama di Palestin benar-benar santak ke nubari. Perit bila tidak mampu berbuat apa-apa. Ketika askar bangsat Israel merobek lembayung keamanan, benar, memang air mata pendamping setia. Doa...doa.. dan doa jadi senjata kita. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahukabar.
Hasbunallah wa ni'mal wakil.
* Saya masih di sini. Seorang hamba yang berkelana, menjejak ilmu, mudah-mudahan. Tunakan mata menangkap secebis senario. Saya angkat ibu jari. Warga Institut ini tepu semangat jihad. Menyeru, mentarbiah, melangkah penuh hemah, dan berusaha menggapai tingkat akhliah yang teratas (Insya Allah) kerana satu asbab. Mengangkat maruah Islam, menyebar pawana perjuangan. Ya, jelas terasa elusannya menghangatkan atma.
* Ingin saya bercerita. Masih lagi perihal perspektif dan persepsi. Biarpun sebelum ini telah digarap dalam karya saya yang lalu, tetap jua semua ini membelenggu. Aduh! Manusia aneh. Itu yang saya fikir dulu. Melatih pemikiran agar telus memandang kebenaran, bunyinya mudah. Tanya iman, hati dan kewarasan. Sekejap saya angguk, kemudian geleng. Angguk lagi, geleng lagi. Sampai bila hendak ketemu jawapan.
* Fikir lagi. Allah SWT Maha Kaya. Maha Berkuasa. Bentuk ujiannya pelbagai namun hikmahnya tidak mampu kita persoalkan. Menyitir ilmu penuh kemanisan. Ghairah menuntut ilmu terkadang membuatkan seseorang dipaut takhlif (pada mulanya), tersalah langkah, - tasyrif, Nauzubillah. Keghairahan itu menyebabkan seseorang ingin mencari. Mencari sesuatu/seseorang untuk beradu ketinggian ilmu. Itu mudah berlaku, apabila niat tergelincir pada landasan yang sebenarnya. Masih lagi saya merayu pada Ilahi agar jalan yang saya pilih ini diberkati.
Saya, dia, mereka atau sesiapa pun tidak rela tersadung pada lembah kibriyya seterusnya tersembam pada lantai a'zamah.
‘ Tiada masuk ke dalam syurga oleh seorang yang ada di dalam hatinya seberat biji sawi daripada membesarkan diri’ (Muslim dan Abu Daud)
Menuntut ilmu bukan sekadar menghambakan diri pada timbunan buku, bukan sekadar jaguh berbahas sesuatu isu, bukan bersemangat tanpa halu tuju.... Nilai yang terbenam tetap satu. Amanah.
Amanah disertai istiqamah. Mengembangkan ilmu bukan kerja mudah.
Refleksi diri teman-temanku. Mana aras keikhlasan kita?
.
Saya ingin tinggalkan teman-teman dengan segugus doa- peringatan untuk kita,,,yang mengetis ilmu.
‘Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari hembusan sombong.’ (Abu Daud dan Ibnu Majah)

Menjengah sisi sepi

Rasanya takhlif ini makin berganda. Sisipan idea yang saya rasa usai cukup sebenarnya tidak tergetis sedikit mana pun. Insya Allah, di ruangan ini saya mulai langkah baru. SELAMAT BERKONGSI!

dedikasi buat sifu : Bonda Zaharah Nawawi, Tuah Sujana, doakan anak muridmu.
dedikasi buat teman : Penyajak Comel, ayuh bersama-samaku.