HILAL ASYRAF, satu nama yang cukup gah dalam bidang penulisan masa kini. Kali pertama saya mendengar namanya adalah ketika saya berumur 19 tahun. Sewaktu itu saya masih menuntut di Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang dalam program persediaan. Sewaktu itu, saya hanya mendengar dan tidak mengambil tahu sementelah saya bukanlah seorang pembaca mana-mana blog.
Rasa terpanggil untuk membaca tulisan beliau semakin berkobar-kobar apabila ramai sahabat-sahabat saya yang dari pelbagai latar belakang (tidak kira latar belakang sekolah agama atau tidak) sering memuji-muji tulisan dan pemikiran beliau.
Tetapi dek terhalang dengan tugasan di IPG dan kelam-kabut untuk 'terbang' keperantauan, saya tahankan sebentar hasrat itu hinggalah akhirnya Allah SWT mengurniakan saya 3 bulan senggang cuti setelah tamat tempoh pengajian persediaan.
Saya masuk ke sebuah kedai buku berhampiran Jalan TAR dan sekilas saya terlihat sebuah buku yang berjudul Sinergi. Itulah kali pertama saya membaca karya Hilal Asyraf.
Pada mulanya saya agak keliru dengan watak-watak yang terlalu banyak dalam novel tersebut. Namun kerana plotnya yang amat tersusun, saya tidak dapat mampu menghalang mata untuk terus menatap patah demi patah kata yang terhampar dalam buku tersebut. Hilal Asyraf, pada pandangan saya bukan sekadar penulis biasa. Beliau adalah seorang penulis yang bijak. Bijak meramukan ilmu dan kreativiti dan menjadikan karyanya tidak klise. Sungguh, Sinergi membuatkan saya berfikir lama tentang erti sebenar menjadi penulis. Kemahiran yang ditonjolkan oleh Hilal Asyraf membuktikan bahawa beliau tidak akan menulis sesuatu yang kosong dan kabur, lalu tidak mampu diaplikasikan dalam realiti.
Pendidikannya dalam bidang Usuluddin di Yarmouk adalah bonus yang amat besar untuk beliau melebarkan sayap dakwah. (Sedikit jeles tentang hal itu hehe). Beliau tenyata tidak mensia-siakan ilmunya lalu menyahut cabaran Tun Dr Mahathir apabila disoal tentang hudud. Hilal Asyraf sebenarnya telah menginspirasikan ramai anak muda dengan semangat dan keberaniannya dalam perjuangan ilmu.
Setelah saya berada dibumi Sydney, nama beliau semakin melonjak naik. Sungguh sebenarnya saya kagum dengan visi yang dimiliki oleh beliau. Langit Ilahi jadi bukti. Saya tidak ragu jika suatu hari nanti beliau mampu untuk memiliki stesen TV sendiri.
Saya amat berharap ianya bakal terjadi, ya! sebuah stesen TV yang dimiliki oleh orang yang berfikrah.
Apapun, beliau tetap manusia dan penulisan saya bukanlah untuk tujuan 'memuja' atau terlebih 'mengagungkan' beliau. Tetapi, Hilal Asyraf telah membuktikan cakap-cakap negatif oleh orang-orang sekeliling tidak pernah memberi kesan kepada langkah beliau.
Walaupun ada beberapa perkara yang saya banyak tidak bersetuju dengan cara beliau, dan sering buat peminat Hilal Asyraf kurang senang dengan komentar saya, (siapalah saya hahaha), saya tetap akui Hilal Asyraf punya visi yang kuat untuk terus bangun dan berdiri dalam dunia perbukuan, perniagaan dan semestinya perjuangan Islam.
Semoga penulis-penulis muda boleh mengambil semangat Hilal Asyraf dan tidak menjadikan penulisan sebagai satu medium untuk 'memuaskan' kehendak nurani sendiri sahaja.
No comments:
Post a Comment