Tuesday, October 16, 2012

Akukah Mujahidah Itu [Episod 3]


“ALONG, tolong ummi lap meja dapur sekejap,”
“Along, tolong lipat kain adik-adik boleh?”
“Along, tolong hidangkan makan malam untuk abah dan adik-adik. Ummi hendak solat dulu,”
“Along, cuci bilik air hari ini ya?

PERMOHONAN
Bekerja dalam waktu belajar adalah perkara yang tidak asing dalam kalangan pelajar luar negara. Sebenarnya bukan wang yang menjadi keutamaan, tetapi pengalaman bekerja dan bergaul dengan warga tempatan adalah pengalaman yang sukar dicari ganti.
Ramai pelajar disini bekerja sebagai tukang cuci di pasaraya ataupun dirumah-rumah, pengasuh, dan ada juga yang berpeluang mengajar anak-anak majikan Islam untuk membaca Al-Quran.
Cerita kawan saya, walaupun bekerja sebagai tukang cuci, melihat gelagat orang ketika tempoh bekerja amat menyeronokkan. Meletakkan diri sebagai tukang cuci, pengasuh dan pekerjaan-pekerjaan lain menjadikan pandangan orang lain terhadap diri kita berubah-ubah. Kata kawan saya lagi, ada orang yang memandang sinis kepada mereka dan ada juga sebaliknya. Realiti kehidupan terus-menerus berputar dihadapan mereka.
“Senang sahaja. Letak biodata dan apa kemahiran bekerja, nanti ada orang akan hubungi Aini,” sahabat yang berjarak umur setahun dengan saya memberitahu ‘prosedur’ mencari kerja.
“Betulkah kak Dayah? Boleh percayakah laman web gumtree ni?” saya masih ragu-ragu. Kak Dayah hanya tersenyum. Gadis manis dari Parit, Perak itu tersenyum-senyum.
“Tidak mahu cuba, sudah!” kata-kata kak Dayah itu menyebabkan saya tersengih-sengih. Bukan saya tidak tahu yang dia sendiri sudah bekerja dibeberapa tempat. Banyak pengalaman yang telah saya dengar sendiri daripadanya. Tanpa menunggu lama, saya menggerakkan tetikus untuk membuka laman sesawang tersebut.

DAPAT KERJA
            “Dapat kerja?”  teman rumah saya Izzaty menyoal saya tiba-tiba.
            “Saya, saya tidak jadi pohon…takutlah,” jawab saya lambat-lambat. Izzaty merenung saya lama.
            “Ikut saya kerja di Plymouth. Kita bersihkan rumah sama-sama, awak mahu pengalaman bukan?” tawaran Izzaty menyebabkan saya terlopong tidak percaya.
            Menarik juga dapat bekerja berdua. Entah mengapa saya tidak cukup berani untuk melangkah sendiri dan bekerja untuk seseorang yang tidak pernah dikenali.
            “Baik!” dan sejurus itu saya melihat Izzaty tersenyum.

TUGASAN BERMULA
            Nama majikan kami Ben. Dia berasal dari Belgium dan menyambung pelajaran di Universiti of Sydney. Menurutnya apartment itu disewa bersama seorang kawannya tetapi hari itu hanya ada dia seorang sahaja di rumah.
            “Saya tinggalkan kunci disini dan duit upah disini. 15 dolar sejam dan saya rasa dalam masa dua jam kerja kamu boleh siap. Saya hendak keluar sekarang,” mudah sahaja dia memberikan arahan. Pemuda itu keluar meninggalkan saya dan Izzaty di dalam ruang apartment yang betul-betul menghadap bandar Sydney.
            “Saya bersihkan bilik Ben, awak bersihkan dapur dulu ya,” ujar Izzaty sambil mengangkat beberapa peralatan mencuci. Saya menurut sahaja. Berdebar pun ada kerana saya dibayar untuk melakukan kerja ini dan sudah pasti saya harus melakukan tugas itu dengan sebaik-baiknya. Jika tidak, peluang untuk datang semula dan bekerja akan berkurangan.
            Saya teliti segenap penjuru rumahnya, tidaklah terlalu kotor, malah sangat kemas dan bersih. Cuma habuk-habuk sahaja yang terlalu banyak dan mencacatkan pandangan. Inilah antara nilai baik yang ada pada orang bukan Islam, kebersihan. Sering saya lihat mereka menitikberatkan soal kekemasan dan kebersihan walau dimana sahaja mereka berada. Bilik air tidak boleh basah lantainya. Kadang-kadang malu bila difikirkan anak muda yang menggelar diri mereka pendakwah tetapi masya Allah, rumah dan sekeliling mereka, dasyat sungguh keadaannya.
Masih di rumah Ben, saya ke bahagian dapur dan membasuh pinggan mangkuk yang didalam sinki. Saya lap peti ais, oven dan semuanya. Penuh hati-hati saya melakukan ‘tugasan’ yang diberikan.

SATU NAMA
            Saya menyelesaikan semua tugasan dirumah itu dalam masa dua jam. Sungguh saya tidak menyangka bahawa kerja-kerja rumah yang saya anggap mudah dan ringan itu amat-amat memenatkan. Pinggang saya sengal dan sakit. Kaki, tangan dan setiap sendi  terselit perit. Penat lelah itu berbayar dengan wang bernilai 35 dolar. Namun lahir satu rasa, menjentik-jentik sukma, membuai-buai emosi, dan terbersitlah satu nama dari bibir ini,
‘Ummi!’

NILAI SEBUAH RUMAH
            Saya cuba bawa kembali suara ummi yang saya tinggalkan di perenggan pertama bab ini. Saya yakin, bukan saya seorang sahaja yang pernah mengalaminya. Saya bertanya kepada diri sendiri, apakah perasaan saya ketika itu. Marah? Geram? Ikhlas? Gembira?
            Ummi saya seorang guru sekolah rendah. Paginya sudah bermula seawal jam lima, menyediakan sarapan untuk abah dan anak-anaknya seramai enam orang, menyediakan pakaian dan mengemas rumah. Jam tujuh sudah ke sekolah. Pulang jam satu tengah hari, dia berusaha untuk memasak untuk abah yang akan kembali ke pejabat pada jam dua. Ummi seboleh-bolehnya tidak mahu membeli di kedai kerana mahu berjimat. Kami sewaktu itu masih tinggal dirumah sewa. Pelbagai perkara menjadi pertimbangan abah dan ummi. Saya maklum.
            Usai solat zohor, ummi belum jamah makanan lagi. Ummi basuh baju anak-anak dan kemas rumah. Ummi angkat dan lipat kain dijemuran. Jam 4 petang selalunya saya baru pulang dari sekolah, ummi terlena kepenatan dikerusi panjang ruang tamu dengan baju yang masih banyak belum dilipat. Masuk waktu asar, ummi solat dan terus ke dapur untuk menyediakan minum petang. Begitulah rutin ummi sehingga ke malam. Saya tidak pasti bila melihat ummi makan sepenuhnya.
            Saya yakin dan amat yakin kisah ibu kalian pasti serupa ataupun lebih hebat dari catatan saya ini. Hati saya tersayat setelah diberi peluang olah Allah SWT untuk bekerja di rumah Ben.
Penat lelah saya yang sedikit itu dibayar, tetapi ummi?
Sakit perit seluruh badan saya hanya kerana membuat kerja rumah selama dua jam, tetapi ummi? Ummi melakukan semua itu sehari-hari tanpa mengeluh walau sekali.
Dan saat ummi meminta pertolongan dari anak-anaknya yang dikasihi, adakah anak-anaknya terus menghulurkan bantu atau terus menjauhi?
Persoalan-persoalan itu menikam nubari saya. Layakkan menggelar diri sebagai pendakwah andai perjuangan mengurus rumah sendiri masih gagal? Ini hanya pemerhatian  dan pengalaman saya sendiri. Amat saya kesali. Rumah yang dikongsi bersama teman-teman dihias indah, dijaga bersih tanpa berat hati. Tidak kira masa, walau sesibuk mana pun diri, pasti ada masa untuk membantu sahabat-sahabat apatah lagi jika mereka adalah mad’u kita. Tetapi kenapa harus berkeluh-kesah, bermalas-malasan bila pulang ke rumah sendiri. Rumah yang menjadi saksi kita diasuh dari sebesar jari sehingga digelar insani?


DUNIA TERPISAH DUA
            Terkadang kita tidak sedar bahawa kita telah memisahkan dunia dakwah menjadi dua dunia berbeza. Satu dunia di luar rumah dan satu lagi di dalam rumah dimana terisinya permata-permata berharga dalam hidup kita, ibu, ayah dan adik beradik.
            Sering saya membaca tulisan-tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil tentang masalah pendakwah muda yang mempunyai watak ‘anak malas’ di dalam rumah sendiri. Apalah gunanya baik dimata manusia lain tetapi tidak disisi ibu dan ayah sedangkan mereka lebih berhak menerima kebaikan dari kita.
            Pendakwah muda, daie, mujahid dan mujahidah yang semakin banyak bertebaran di segenap mayapada, tetapi berapa ramai yang benar-benar menghargai nilai sebuah rumah yang dimana bermulanya akar tarbiyah?

            Anda keluar dari rumah itu sebagai bukan siapa-siapa, anda harus kembali ke rumah itu dengan seseorang yang lebih  menghargai setiap ruang dan isinya. Jika anda boleh melakukan apa sahaja untuk menghargai setiap mad’u yang tiba, buktikan penghargaan yang sama terutamanya kepada ibu dan bapa.


2 comments:

Najwa Najihah said...

kak, entri ni banyak habuk. uhuk.

Thoyba Mursyidah said...

eh iye ke? olololo....