Monday, October 8, 2012

Akukah Mujahidah Itu - [episod 2]


KEYAKINAN TANPA KERAGUAN
MUSIM demi musim saya lalui di Sydney. Allah SWT mengizinkan saya mengembara bersama-sama sahabat dibumi selatan ini. Australia amat kaya dengan pemandangan yang memukau seperti Blue Mountain, Blowhole Kiama, Black Mountain Canberra, Great Ocean Road di Melbourne dan banyak lagi. Saya pernah mengikuti rombongan anjuran universiti untuk ke Wollongong bersama-sama pelajar tempatan yang lain.
            Wollonggong ditemani kota-kota kecil yang damai seperti Kiama dan Berry. Walau berjarak berpuluh-puluh kilometer dari bandar Sydney, ternyata kota-kota kecil itu memiliki keunikannya sendiri. Semestinya destinasi-destinasi itu bebas dari hiruk-pikuk kota dan kesibukan manusia kerana apa yang ada di sepanjang jalan ke Wollongong adalah hamparan keindahan ciptaan Tuhan. Sesekali saya mengintai-intai ke luar tingkap bas. Jika nasib baik saya baik, mungkin terlihat kelibat kangaroo liar yang cuba-cuba melintas jalan. Seingat saya, ketika memandu dilebuhraya menuju Blue Mountain sewaktu tahun pertama dulu, saya menekan brek kecemasan beberapa kali kerana kehadiran binatang yang menjadi identiti Australia itu. Terkejut juga kerana waktu itu saya dan sahabat-sahabat pernah melihat kangaroo dilanggar oleh kenderaan dan sebagainya.

Perjalanan ke Wolonggong mengambil masa dua jam. Kami berhenti dibanyak tempat itu dan diantaranya adalah Blowhole Kiama. Cuaca ketika itu panas amat namun anginnya dingin sekali. Saya dan sahabat-sahabat menunaikan solat diatas rumput hijau berhampiran rumah api. Apa yang menarik di Blowhole adalah pancutan air laut yang terhasil ditengah-tengah terowong kecil semula jadi batu karang. Pancutan air laut itu boleh mencecah setinggi 25 meter. Pengunjung dapat menikmati pemandangan itu dengan jelas kerana ada perbatasan dibina sepanjang Blowhole itu.

TOKONG NAN TIEN
            Hari mula petang dan rombongan tiba di Tokong Nan Tien, destinasi terakhir pada hari itu. Tokong terbesar di Hemisfera Selatan itu menjadi tumpuan ramai pelancong dalam dan luar negara jadi tidak hairanlah sekitar tokong yang dilindung pokok-pokok rimbun dan bukit-bukit kecil itu sentiasa penuh dengan orang. Saya juga sempat menaiki bukit kecil yang terbina menara loceng di atasnya.
            Bayu dingin amat menyegarkan batang tubuh. Saya sengaja berpecah dari kumpulan kecil sahabat-sahabat dan berjalan hingga ke satu ruang besar dimana banyak sungguh patung-patung perlbagai bentuk dan rupa. Tiba-tiba saya terpandang salah seorang sahabat saya, Natrah sedang berbual-bual dengan seorang lelaki mat saleh separuh abad. Kelihatan raut wajah Natrah seperti tidak selesa. Saya tidak berfikir lama untuk menyertai perbualan mereka.

            Lelaki itu melontarkan soalan bertalu-talu kepada Natrah. Saya bertindak sebagai pendengar sahaja pada mulanya.
            “Dunia ini tidak adil bukan?”
            “Alam dan semua yang ada ini terjadi sendiri. Semulajadi, tiada pencipta. Saya pasti kamu setuju?”
            “Kalau betul ada Tuhan, mesti Tuhan sudah selamatkan semua orang yang berada dalam kemiskinan, kebuluran, perang. Semua ini tidak adil bukan?”
           
RESAH NATRAH
Dan sekarang saya tahu kenapa Natrah resah. Saya jua merasakan yang sama. Jika selama ini perdebatan sebgitu hanya saya tonton di televisyen, pembacaan dalam novel-novel Islamik dan video-video di youtube. Tetapi saat itu, detik itu, sayalah ‘pelakon’nya. Sayalah yang bertanggungjawab menjawab segala ‘serangan’nya. Beberapa kali saya menggenggam jari-jemari yang sejuk membeku. Degup jantung terlalu kuat bagai mahu tembus keluar dari tubuh.
            Saya biarkan dahulu lelaki itu meluahkan apa sahaja yang berada dalam fikirannya. Nafas yang tidak teratur saya cuba tahan sedayanya. Sebenarnya saya pelik kenapa dalam ramai-ramai pengunjung yang hadir, dia ‘memilih’ untuk melontarkan provokasi itu kepada kami yang bertudung ini.
            Natrah memandang-mandang saya yang masih diam. Seketika kemudian sahabat saya Sufian mula menghampiri. Dia kelihatan seperti dapat merasakan ‘bahang’ antara kami bertiga ketika itu.
            “Kenapa awak mempersoalkan tentang keamanan, kebuluran, yang kuat menindas yang lemah dna semua yang berlaku didunia sekarang?” saya memberanikan diri untuk bertanya. Seelok-eloknya cuba saya atur perkataan Bahasa Inggeris saya agar sampai mesejnya.
            Lelaki itu merenung saya lama. Aduh, kecut perut saya waktu itu.
            “Sebab saya tidak percaya Tuhan,” jawabnya dengan tegas. Saya perasan Sufian mahu membidas tapi cepat-cepat saya menjeling ke arahnya agar dia berhenti. Sufian mengerti dan memberi laluan kepada saya. Lega saya. Saya maklum sahabat saya yang seorang ini memang petah berbicara dalam Bahasa Inggeris.
            “Jadi maksud awak dunia ini tiada pencipta?” soal saya lagi. Lelaki itu seperti kurang senang dengan pertanyaan demi pertanyaan dari saya. Mungkin kerana dia tidak nampak apa signifikannya saya bertanya itu dan ini.
            Kali ini Sufian tidak dapat mengawal tempoh berdiam dirinya. Saya tergelak kecil. Saya sudah mengagak.
            “Jadi, jadi apa tujuan awak hidup? Apa awak fikir selepas mati? Semua hal tidak masuk akal tanpa pencipta..” banyak lagi yang terluah dari mulut Sufian. Tak terkejarkan oleh saya untuk memintas percakapannya. Saya lihat telinga lelaki itu sudah merah. Saya geleng laju-laju ke arah Sufian. Baru saya perasan ada beberapa pengunjung yang memerhatikan gelagat kami disitu.
            “Boleh saya sambung lagi soalan saya tadi?” saya mencelah. Berkerut dahi lelaki itu.
            “Teruskan sahaja,” pendek sahaja dia membalas. Saya menelan liur berkali-kali. Mata saya menangkap kerusi tempat lelaki itu duduk.
            “Percaya atau tidak kalau saya katakan bahawa kerusi yang awak sedang duduk itu  terhasil dan terbina sendiri. Tidak ada tukang kayu yang bertukang, tidak ada pokok yang tumbang untuk diambil kayunya, tidak ada orang yang meletakkannya disitu tetapi kerusi itu memang sudah siap tanpa usaha siapa-siapa dan akhirnya awak duduk diatasnya. Percaya atau tidak?” lelaki itu menggeleng-geleng laju. Tangan kanannya bergoyang-goyang beberapa kali seperti menidakkan semua yang saya katakana sebentar tadi.
            Hendak terbelit-belit lidah saya bertutur dalam Bahasa Inggeris tapi saya cuba yang terbaik dan termampu. Saat itu saya merasakan betapa luasnya skop mad’u yang kita perlu dekati. Bukan sebatas manusia sebangsa dan senegara sahaja. Semua orang perlukan Islam. Semua orang mesti dengar, lihat dan rasa Islam. Tapi, siapa yang akan sampaikan kepada mereka? Itu persoalannya.

JAWAPAN TIDAK DITERIMA
            Lelaki itu marah-marah. Lebih ramai pengunjung disekitar Tokong Nan Tien mula ‘berminat’ untuk mengetahui apa yang berlaku diantara kami.
            “Soalan itu tidak logik langsung. Tidak relevan. Tidak mungkin kerusi ini terhasil tanpa ada yang membinanya..” saya genggam erat jemari. Ya! Inilah yang saya tunggu-tunggu. Saya terus memotong kata-katanya.
            “Awak sudah bersetuju dengan kewujudan pencipta. Semestinya dunia ini juga ada pencipta, bukan?” tangan saya semakin dingin. Takut dan lega bercampur tetapi kaki saya masih tidak mahu berganjak dari situ. Lelaki itu terpempan. Mulutnya terkumat-kamit. Saya pasti dalam kepalanya masih banyak perkara yang mahu dilontarkan kepada kami bertiga, dan pastinya saya.
            Tiba-tiba seorang wanita cina datang menghampirinya. Ketegangan mulai berkurangan. Wanita itu memperkenalkan diri sebagai isteri kepada lelaki itu. Tetapi belum sempat saya beramah-mesra dengan isterinya, dia menimbulkan kembali provokasi lain.
            “Jadi, kalau dunia ini ada pencipta, kenapa dunia masih belum aman?” saya perasan isterinya menjegilkan mata ke arah suaminya.
            “Manusia yang merosakkan dunia,” jawapan itu terpacul dari mulut saya. Kelihatan isterinya menarik-narik lengan si suami, memujuk-mujuk untuk berhenti makan tengah hari. Katanya lagi perut sudah lapar dan lama menunggu. Saya, Natrah dan Sufian memerhatikan sahaja ‘drama’ itu.
            Dalam hati saya tidak berhenti-henti berdoa tidak berlaku sebarang kekasaran. Lelaki itu mahu berbicara lagi namun isterinya berusaha keras menarik-narik tangan suaminya agar meninggalkan kawasan Tokong Nan Tien dan menuruni tangga ke aras bawah.

            “Maafkan kami ya sebab sekarang sudah lewat. Enjoy your stay in Australia!” laungnya sambil meninggalkan kami yang masih tercegat disitu. Sebaik sahaja baying-bayang mereka menghilang, saya genggam tangan Natrah untuk menghilangkan debar yang masih terperangkap dalam jiwa. Saya pandang Sufian pula.  Masing-masing sebenarnya masih terkelu.
            “Baru sikit kita sudah rasa gelabah sebegini,” saya hanya tersenyum mendengar luahan Sufian.

LANGKAH BESAR
Besar manakah langkah kita untuk sampai kepada mad’u? Berulang-ulang kali saya meletakkan persoalan itu dalam cepu kepala. Bermusafir dibumi kangaroo ini membuatkan saya ‘terdedah’ kepada ramai mad’u. Memang peluang berdakwah terbuka luas tetapi hal ini membuatkan saya refleksi, sebesar manakah keyakinan kita sendiri kepada kebenaran agama syumul ini.
Setiap hari sudah pasti kita akan cuba memperbaiki diri, memperbanyakkan ibadah dan berusaha memperdekatkan diri kepada Allah. Jika kita benar-benar faham kenapa kita melakukan semua itu, sudah pasti kita tidak akan ragu untuk menyampaikan kepada orang yang belum pernah mengenal Islam.
Katakanlah umur anda sekarang sudah mencecah 22, apakah makna sebenarnya ibadah dan amal selama lebih 20 tahun itu dikerjakan? Mahu syurga, pahala dan berada dalam kalangan kekasihNya adalah impian setiap manusia bergelar hamba.
Persoalan itu mengetuk-ngetuk keras pintu nurani saya. Jika sebanyak usia itu telah saya gunakan untuk beribadah, mendalami agama Allah SWT, sebanyak mana pula yakin untuk menyampaikan, mengatakan saya benar-benar yakin dengan jalan ini dan berusaha untuk menyebarkannya kepada semua? Adakah saya terlalu takut hingga keyakinan yang saya sebut tergugah mudah? Keyakinan itu, adakah akan berkekalan sehingga malaikat Izrail singgah? Fikirkanlah duhai teman. Keluarlah dari zon keselesaan yang membahayakan, membunuh iman dalam diam.
Teguhkan keyakinan itu dan berdoalah agar dipilih dalam baris hadapan perjuangan agama Allah SWT. Keyakinan untuk berkata benar walaupun pahit adalah keyakinan pada Allah SWT tanpa sebarang keraguan. 

3 comments:

-hazen said...

akan menjadi pembaca setia akukah mujahidah itu.

Thoyba Mursyidah said...

Sdr Hazen,

Terima kasih saya ucapkan, saya amat menghargainya :-)

Adil Almi said...

mumtaz thoyba!