KEYAKINAN
TANPA KERAGUAN
MUSIM
demi musim saya lalui di Sydney. Allah SWT mengizinkan saya mengembara
bersama-sama sahabat dibumi selatan ini. Australia amat kaya dengan pemandangan
yang memukau seperti Blue Mountain, Blowhole Kiama, Black Mountain Canberra,
Great Ocean Road di Melbourne dan banyak lagi. Saya pernah mengikuti rombongan
anjuran universiti untuk ke Wollongong bersama-sama pelajar tempatan yang lain.
Wollonggong ditemani kota-kota kecil
yang damai seperti Kiama dan Berry. Walau berjarak berpuluh-puluh kilometer
dari bandar Sydney, ternyata kota-kota kecil itu memiliki keunikannya sendiri.
Semestinya destinasi-destinasi itu bebas dari hiruk-pikuk kota dan kesibukan
manusia kerana apa yang ada di sepanjang jalan ke Wollongong adalah hamparan
keindahan ciptaan Tuhan. Sesekali saya mengintai-intai ke luar tingkap bas.
Jika nasib baik saya baik, mungkin terlihat kelibat kangaroo liar yang
cuba-cuba melintas jalan. Seingat saya, ketika memandu dilebuhraya menuju Blue
Mountain sewaktu tahun pertama dulu, saya menekan brek kecemasan beberapa kali
kerana kehadiran binatang yang menjadi identiti Australia itu. Terkejut juga
kerana waktu itu saya dan sahabat-sahabat pernah melihat kangaroo dilanggar
oleh kenderaan dan sebagainya.
Perjalanan
ke Wolonggong mengambil masa dua jam. Kami berhenti dibanyak tempat itu dan
diantaranya adalah Blowhole Kiama. Cuaca ketika itu panas amat namun anginnya
dingin sekali. Saya dan sahabat-sahabat menunaikan solat diatas rumput hijau
berhampiran rumah api. Apa yang menarik di Blowhole adalah pancutan air laut
yang terhasil ditengah-tengah terowong kecil semula jadi batu karang. Pancutan
air laut itu boleh mencecah setinggi 25 meter. Pengunjung dapat menikmati
pemandangan itu dengan jelas kerana ada perbatasan dibina sepanjang Blowhole
itu.
TOKONG
NAN TIEN
Hari mula petang dan rombongan tiba
di Tokong Nan Tien, destinasi terakhir pada hari itu. Tokong terbesar di
Hemisfera Selatan itu menjadi tumpuan ramai pelancong dalam dan luar negara
jadi tidak hairanlah sekitar tokong yang dilindung pokok-pokok rimbun dan bukit-bukit
kecil itu sentiasa penuh dengan orang. Saya juga sempat menaiki bukit kecil
yang terbina menara loceng di atasnya.
Bayu dingin amat menyegarkan batang
tubuh. Saya sengaja berpecah dari kumpulan kecil sahabat-sahabat dan berjalan
hingga ke satu ruang besar dimana banyak sungguh patung-patung perlbagai bentuk
dan rupa. Tiba-tiba saya terpandang salah seorang sahabat saya, Natrah sedang
berbual-bual dengan seorang lelaki mat saleh separuh abad. Kelihatan raut wajah
Natrah seperti tidak selesa. Saya tidak berfikir lama untuk menyertai perbualan
mereka.
Lelaki itu melontarkan soalan
bertalu-talu kepada Natrah. Saya bertindak sebagai pendengar sahaja pada
mulanya.
“Dunia ini tidak adil bukan?”
“Alam dan semua yang ada ini terjadi
sendiri. Semulajadi, tiada pencipta. Saya pasti kamu setuju?”
“Kalau betul ada Tuhan, mesti Tuhan
sudah selamatkan semua orang yang berada dalam kemiskinan, kebuluran, perang.
Semua ini tidak adil bukan?”
RESAH
NATRAH
Dan
sekarang saya tahu kenapa Natrah resah. Saya jua merasakan yang sama. Jika
selama ini perdebatan sebgitu hanya saya tonton di televisyen, pembacaan dalam
novel-novel Islamik dan video-video di youtube.
Tetapi saat itu, detik itu, sayalah ‘pelakon’nya. Sayalah yang
bertanggungjawab menjawab segala ‘serangan’nya. Beberapa kali saya menggenggam
jari-jemari yang sejuk membeku. Degup jantung terlalu kuat bagai mahu tembus
keluar dari tubuh.
Saya biarkan dahulu lelaki itu
meluahkan apa sahaja yang berada dalam fikirannya. Nafas yang tidak teratur
saya cuba tahan sedayanya. Sebenarnya saya pelik kenapa dalam ramai-ramai
pengunjung yang hadir, dia ‘memilih’ untuk melontarkan provokasi itu kepada
kami yang bertudung ini.
Natrah memandang-mandang saya yang
masih diam. Seketika kemudian sahabat saya Sufian mula menghampiri. Dia
kelihatan seperti dapat merasakan ‘bahang’ antara kami bertiga ketika itu.
“Kenapa awak mempersoalkan tentang
keamanan, kebuluran, yang kuat menindas yang lemah dna semua yang berlaku didunia
sekarang?” saya memberanikan diri untuk bertanya. Seelok-eloknya cuba saya atur
perkataan Bahasa Inggeris saya agar sampai mesejnya.
Lelaki itu merenung saya lama. Aduh,
kecut perut saya waktu itu.
“Sebab saya tidak percaya Tuhan,”
jawabnya dengan tegas. Saya perasan Sufian mahu membidas tapi cepat-cepat saya
menjeling ke arahnya agar dia berhenti. Sufian mengerti dan memberi laluan
kepada saya. Lega saya. Saya maklum sahabat saya yang seorang ini memang petah
berbicara dalam Bahasa Inggeris.
“Jadi maksud awak dunia ini tiada
pencipta?” soal saya lagi. Lelaki itu seperti kurang senang dengan pertanyaan
demi pertanyaan dari saya. Mungkin kerana dia tidak nampak apa signifikannya
saya bertanya itu dan ini.
Kali ini Sufian tidak dapat mengawal
tempoh berdiam dirinya. Saya tergelak kecil. Saya sudah mengagak.
“Jadi, jadi apa tujuan awak hidup? Apa
awak fikir selepas mati? Semua hal tidak masuk akal tanpa pencipta..” banyak
lagi yang terluah dari mulut Sufian. Tak terkejarkan oleh saya untuk memintas
percakapannya. Saya lihat telinga lelaki itu sudah merah. Saya geleng laju-laju
ke arah Sufian. Baru saya perasan ada beberapa pengunjung yang memerhatikan
gelagat kami disitu.
“Boleh saya sambung lagi soalan saya
tadi?” saya mencelah. Berkerut dahi lelaki itu.
“Teruskan sahaja,” pendek sahaja dia
membalas. Saya menelan liur berkali-kali. Mata saya menangkap kerusi tempat
lelaki itu duduk.
“Percaya atau tidak kalau saya katakan
bahawa kerusi yang awak sedang duduk itu terhasil dan terbina sendiri. Tidak ada tukang
kayu yang bertukang, tidak ada pokok yang tumbang untuk diambil kayunya, tidak
ada orang yang meletakkannya disitu tetapi kerusi itu memang sudah siap tanpa
usaha siapa-siapa dan akhirnya awak duduk diatasnya. Percaya atau tidak?”
lelaki itu menggeleng-geleng laju. Tangan kanannya bergoyang-goyang beberapa
kali seperti menidakkan semua yang saya katakana sebentar tadi.
Hendak terbelit-belit lidah saya
bertutur dalam Bahasa Inggeris tapi saya cuba yang terbaik dan termampu. Saat itu
saya merasakan betapa luasnya skop mad’u yang kita perlu dekati. Bukan sebatas
manusia sebangsa dan senegara sahaja. Semua orang perlukan Islam. Semua orang
mesti dengar, lihat dan rasa Islam. Tapi, siapa yang akan sampaikan kepada
mereka? Itu persoalannya.
JAWAPAN
TIDAK DITERIMA
Lelaki itu marah-marah. Lebih ramai
pengunjung disekitar Tokong Nan Tien mula ‘berminat’ untuk mengetahui apa yang
berlaku diantara kami.
“Soalan itu tidak logik langsung. Tidak
relevan. Tidak mungkin kerusi ini terhasil tanpa ada yang membinanya..” saya
genggam erat jemari. Ya! Inilah yang saya tunggu-tunggu. Saya terus memotong
kata-katanya.
“Awak sudah bersetuju dengan
kewujudan pencipta. Semestinya dunia ini juga ada pencipta, bukan?” tangan saya
semakin dingin. Takut dan lega bercampur tetapi kaki saya masih tidak mahu
berganjak dari situ. Lelaki itu terpempan. Mulutnya terkumat-kamit. Saya pasti
dalam kepalanya masih banyak perkara yang mahu dilontarkan kepada kami bertiga,
dan pastinya saya.
Tiba-tiba seorang wanita cina datang
menghampirinya. Ketegangan mulai berkurangan. Wanita itu memperkenalkan diri sebagai
isteri kepada lelaki itu. Tetapi belum sempat saya beramah-mesra dengan
isterinya, dia menimbulkan kembali provokasi lain.
“Jadi, kalau dunia ini ada pencipta,
kenapa dunia masih belum aman?” saya perasan isterinya menjegilkan mata ke arah
suaminya.
“Manusia yang merosakkan dunia,”
jawapan itu terpacul dari mulut saya. Kelihatan isterinya menarik-narik lengan
si suami, memujuk-mujuk untuk berhenti makan tengah hari. Katanya lagi perut sudah
lapar dan lama menunggu. Saya, Natrah dan Sufian memerhatikan sahaja ‘drama’
itu.
Dalam hati saya tidak berhenti-henti
berdoa tidak berlaku sebarang kekasaran. Lelaki itu mahu berbicara lagi namun
isterinya berusaha keras menarik-narik tangan suaminya agar meninggalkan
kawasan Tokong Nan Tien dan menuruni tangga ke aras bawah.
“Maafkan kami ya sebab sekarang
sudah lewat. Enjoy your stay in
Australia!” laungnya sambil meninggalkan kami yang masih tercegat disitu. Sebaik
sahaja baying-bayang mereka menghilang, saya genggam tangan Natrah untuk menghilangkan
debar yang masih terperangkap dalam jiwa. Saya pandang Sufian pula. Masing-masing sebenarnya masih terkelu.
“Baru sikit kita sudah rasa gelabah
sebegini,” saya hanya tersenyum mendengar luahan Sufian.
LANGKAH
BESAR
Besar
manakah langkah kita untuk sampai kepada mad’u? Berulang-ulang kali saya
meletakkan persoalan itu dalam cepu kepala. Bermusafir dibumi kangaroo ini
membuatkan saya ‘terdedah’ kepada ramai mad’u. Memang peluang berdakwah terbuka
luas tetapi hal ini membuatkan saya refleksi, sebesar manakah keyakinan kita
sendiri kepada kebenaran agama syumul ini.
Setiap
hari sudah pasti kita akan cuba memperbaiki diri, memperbanyakkan ibadah dan
berusaha memperdekatkan diri kepada Allah. Jika kita benar-benar faham kenapa
kita melakukan semua itu, sudah pasti kita tidak akan ragu untuk menyampaikan
kepada orang yang belum pernah mengenal Islam.
Katakanlah
umur anda sekarang sudah mencecah 22, apakah makna sebenarnya ibadah dan amal
selama lebih 20 tahun itu dikerjakan? Mahu syurga, pahala dan berada dalam
kalangan kekasihNya adalah impian setiap manusia bergelar hamba.
Persoalan
itu mengetuk-ngetuk keras pintu nurani saya. Jika sebanyak usia itu telah saya
gunakan untuk beribadah, mendalami agama Allah SWT, sebanyak mana pula yakin
untuk menyampaikan, mengatakan saya benar-benar yakin dengan jalan ini dan
berusaha untuk menyebarkannya kepada semua? Adakah saya terlalu takut hingga
keyakinan yang saya sebut tergugah mudah? Keyakinan itu, adakah akan berkekalan
sehingga malaikat Izrail singgah? Fikirkanlah duhai teman. Keluarlah dari zon
keselesaan yang membahayakan, membunuh iman dalam diam.
Teguhkan
keyakinan itu dan berdoalah agar dipilih dalam baris hadapan perjuangan agama
Allah SWT. Keyakinan untuk berkata benar walaupun pahit adalah keyakinan pada
Allah SWT tanpa sebarang keraguan.
3 comments:
akan menjadi pembaca setia akukah mujahidah itu.
Sdr Hazen,
Terima kasih saya ucapkan, saya amat menghargainya :-)
mumtaz thoyba!
Post a Comment