Alhamdulillah, hari ini Allah masih memberiku hayat untuk terus hidup di muka bumi. Aturan Allah yang amat sempurna. Hari ini aku ke IPG Kampus Tuanku Bainun untuk mendengar ceramah dari ulama’, Al-Muhaddith Syeikh Ibrahim Al-Kattani. Sejujurnya aku tidak mengenali beliau, namun menurut ustaz-ustaz yang menjadi anak muridnya ketika di Al-Azhar Mesir, beliau adalah dari keturunan Rasulullah SAW. Bersama teman-teman ikhwah dan akhwat yang lain, aku mengharap siraman ilmu keranaNYA. Agar nanti, segala kelesuan hati ini dapat dirawat dan dimurnikan kembali. Ya Allah, sungguh-sungguh aku tidak mahu lagi terkandas dari landasan ini.
Di surau Al-Ghazali, aku menanti kehadiran ulama’ yang dikagumi ramai itu. Seorang ikhwah, aku kira sebagai pengerusi program itu memberi pesan berkali-kali kepada jemaah agar jangan terlalu teruja untuk bersalaman dan memeluk Syeikh Ibrahim Al-Kattani kerana beliau dalam kepenatan yang amat. Ustaz Nazrul Nasir yang sebelum ini pernah kukenal melalui laman sosial facebook oleh seorang teman hadir sebagai penterjemah. Memandangkan Syeikh Ibrahim menyampaikan kuliahnya dalam bahasa Arab, maka bagi orang-orang sepertiku, sukar untuk mencerap intipati ceramah.
Secara khususnya, Syeikh Ibrahim Al-Kattani menerangkan perihal menuntut ilmu. Kesungguhan dan ketekunan perlu ditekankan. Apa yang menarik minatku adalah tentang memilih sahabat. Syeikh berpesan supaya memilih kawan yang mencintai ilmu, kawan yang kata-katanya menyebabkan diri sentiasa mengingati Allah. Dan jangan kita berkawan dan berteman dengan orang yang malas. Terus-terang kukatakan, kawan sangat-sangat mempengaruhi kehidupan kita, dan aku merasainya. Ya Allah, aku bersyukur dengan teman-teman yang Kau kurniakan padaku. Syeikh berpesan lagi; kalau menuntut ilmu itu jangan kerana ingin dikatakan alim dan dipandang hebat. Belajarlah untuk mengamalkan ilmu itu. Dalam erti kata lain, belajarlah kerana Allah.
Dalam kita memahami ilmu, kita harus banyak bertanya. Bukan hanya sekadar membaca dan menganalisis ilmu itu dengan kefahaman sendiri. MEMBACA dan BERTANYA ITU SALING MELENGKAPI. Kadangkala banyak bertanya itu lebih banyak manfaatnya. KITAB dan BUKU itu GEDUNG ILMU, tetapi BERTANYA KEPADA GURU dan ULAMA’ itu adalah KUNCInya. Bertanyalah pada ulama’ yang Rabbani dan bukannya pada ulama’ yang mengikut hawa nafsu. Bagaimana kita ingin tahu ulama’ yang mengikut hawa nafsu? Apabila ulama’ itu menolak hukum Allah dan menidakkan pandangan-pandangan sebilangan besar ulama’ lain, maka kita harus berhati-hati.
Ulama’ yang mengikut hawa nafsu menyebabkan masyarakat atau pembaca-pembaca kitabnya menjadi taksub dan ekstrim. Sebaik-baiknya kita memilih peringkat pertengahan dalam darihal-darihal kehidupan mahupun ibadah. Syeikh turut mengatakan bahawa ada ramai ulama’ yang mengumpulkan ilmu semata-mata dan tanpa mengkajinya langsung. Ini seolah-olah menggambarkan pepatah Arab iaitu, seperti orang yang mengumpulkan kayu api pada waktu malam, iaitu orang yang tidak memilih kayu api mana yang baik untuk digunakan. Segalanya dilonggokkan pada satu tempat. Seharusnya ulama’ ataupun pencari ilmu seperti kita ini mengambil faedah daripada ilmu yang dituntut dan kajilah ia. Tinggalkanlah ilmu yang tidak bermanfaat buat kita. Pesan Syeikh lagi, wajib untuk kita mengkaji kitab yang dibaca kerana adanya penulis yang tidak warak.
Disinilah hatiku mula tersentap. PENULIS yang TIDAK WARAK, apakah maksudnya? Aku mula tertanya-tanya saat itu. Mereka menulis hanya untuk popular. Penulis yang meletakkan syak kedalam diri pembaca. Tulisannya menyebabkan pembaca jadi was-was sentiasa, terutamanya dalam hukum Allah. Malah, aku melihat perkara ini wujud dalam alam realiti. Penulis menulis perkara yang pelik-pelik, dan menganjurkan free thinking. Dewasa ini, ramai yang menulis kerana ingin menunjukkan pada pembaca bahawa dia penulis yang berbeza dari orang lain. Menulis untuk dikenali secara drastik oleh pembaca. Menulis hanya kerana dunia. Ya Allah, aku mohon perlindunganMu.
Ilmu sahaja tidak cukup jika tidak warak. Jika penulis tidak warak menurut Syeikh Ibrahim Al-Kattani mereka sentiasa melakukan sesuatu perbuatan yang boleh menjatuhkan maruah sendiri. Maka disini, skop penulis dirincikan. Orang yang mengeluarkan fatwa untuk keredhaan Allah itu amat sukar dicari. Alhamdulillah, hari ini baru ku tahu, ILMU dan WARAK itu bertautan. Diumpamakan ILMU ITU SEPERTI GARAM, dan WARAK ITU SEPERTI TEPUNG. Secara logiknya, kita akan melebihkan tepung dari garam jika inginkan roti yang enak. Apa yang dapat disimpulkan disini, apalah gunanya memiliki ilmu yang banyak jika tiada usaha untuk memeliharanya dengan menjaga peribadi.
Kita harus berjaga-jaga dengan orang yang berilmu tetapi tidak warak. Orang-orang sebegini tidak takutkan Allah. Orang alim adalah orang yang takut kepada Allah. Manusia, semestinya perlu dekat dengan Allah, dan janganlah kita menjadi orang yang tidak beramal dengan ilmu dan jauh daripada berkata tentang kebenaran. Jangan sesekali kita menyembunyikan kebenaran.
Orang yang alim perlu meletakkan dalam hatinya agar tidak cemburu pada orang lain yang mempunyai ilmu yang lebih daripadanya. Orang yang alim tidak menghina orang yang rendah ilmu daripadanya. Malah, orang yang alim akan merasa gembira apabila orang lain mendapat ilmu. Ilmu itu biarlah dituntut dengan mendapat redha Allah dan menggunakan jalan warak. Penulis, haruslah berusaha untuk mempelajari dan mengamalkan akhlak Nabi. Hal ini kerana, ada ramai yang banyak membaca siang dan malam tetapi Allah masih tidak membuka kefahaman kepadanya. Jadi, marilah kita memperbaiki akhlak dan menulislah dengan ikhlas.
Syeikh Ibrahim turut berpesan, kita perlu berjauhan dengan orang yang suka mengkafirkan manusia lain. Dan golongan ini masih ada hingga kini ataupun kita kenali mereka dengan golongan Khawarij. Golongan ini meletakkan ayat Al-Quran kepada orang kafir pada orang Islam. Selain itu Syeikh turut berpesan, jangan kita ketawakan orang yang berhujah kerana itu menandakan kita sedang menyembunyikan kebodohan kita. Ketawa itu seolah-olah menunjukkan kita seorang yang tidak tahu dan tidak faham tentang apa yang dikatakan oleh orang yang sedang berhujah itu.
Teman-teman, sekadar itu yang mampu ku catatkan.
Penulis, dan aku mula menafsir perkataan itu. Seorang penulis itu boleh menempah tiket ke neraka dan syurga pada bila-bila masa sahaja.
Wallahua’lam
No comments:
Post a Comment