Saturday, October 16, 2010

Kalimah Cinta


SEMPENA MAKALAH ONE AIM EDISI TERAKHIR, KUSERTAKAN KESELURUHAN CERPEN BERSIRI YANG SELAMA INI MENGISI RUANGAN PENULISAN KREATIF. SELAMAT MEMBACA! SEMOGA BEROLEH MANFAAT.


“ABAH, Ifwat hendak buang air.” Ujar si abang apabila melihat adiknya tidak keruan.
Perjalanan berjam-jam untuk pulang ke kampung halaman di Perlis memang agak memenatkan.

Nazri memperlahankan kereta. Melewati jalan yang dirimbuni hutan, tiada kelihatan
rumah di mana-mana, membuatkan dia teragak-agak untuk berhenti. Mentari yang berbalam-
balam memudar cahaya menuju senja, menyebabkan suasana berbaur seram.

“Ifwat boleh tahan sekejap? Abah hendak cari stesen minyak.” Nazri memecut laju untuk
keluar dari daerah itu.

“Kenapa pandu laju sangat?” Athirah terjaga daripada lena. Ibu yang sarat mengandung
lapan bulan itu memandang suaminya. “Maaf, abang cuma hendak cari...” Belum sempat
dihabiskan kata, suara Idham mengisi ruang. “Adik sudah terkencing!” Mendengar si abang memberi ‘laporan’, Ifwat menangis minta ‘pengampunan’. Nazri tiada pilihan. Kereta Proton Wira berwarna hitam itu diberhentikan di pinggir jalan.

Sememangnya Nazri bapa yang baik. Dia tidak melampiaskan kemarahan sebaliknya
mengusap Ifwat penuh sayang. Baginya, amarah bukan penyelesaian masalah, lebih-lebih lagi melibatkan anak kecil yang baru berusia lima tahun ini. Usai menukar pakaian anaknya, dia menikmati hamparan langit tanpa bintang.

Nazri seakan ralit meneliti bulan sabit yang memanjang hala ke zawiat kiri. Satu lukisan yang tidak mungkin difikirkan oleh akal sejengkal manusia. Dia duduk di sisi jalan. Tangannya ke belakang menongkat badan. Entah mengapa dia merasa selesa, lenyap segala kebimbangan yang membuyar kala menelusuri kawasan ini. Tiba-tiba dia terpegang sesuatu. Kecil dan berbulu!

Dia dikelabui bayangan menakutkan. Perlahan-lahan dia mengangkat ‘benda’ itu. Diamatinya penuh teliti. Ah! Sebiji rambutan. Dia ketawa sendiri. Air liurnya mengecur lantas dia mengopek kulit rambutan tanpa
berfikir panjang. Rasa manis yang terangkul di reseptor lidahnya mencipta satu kenikmatan.

“Abang!” Athirah mula dibalut keresahan kerana suaminya masih belum menyambung
perjalanan. Nazri cepat-cepat bangun menuju ke kereta.

“Ya, abang datang.” Nazri menghidupkan enjin kereta.

“Emak pasti bimbangkan kita, kenapa abang lama sangat?” Nazri sekadar tersenyum.

“Jangan cepat marah, nanti baby suka merajuk.” Athirah memuncungkan bibir mendengar
usikan suami tercinta. Memang dia agak teruja untuk meleraikan rindu kepada ayah dan
bondanya, lebih-lebih lagi dia merancang untuk tinggal di sana sehingga melahirkan anak ketiga.

Mungkin kerana itu, dia disambar emosi. Nazri meneruskan pemanduan menuju ke kampung
halaman.

Dua

Menggelintar sendirian menelusuri segenap mayapada yang luas dan gersang cukup
memeritkan. Nazri melaung nama anak dan isteri. “Athirah, kamu di mana?” Kalbunya sesak dengan gumpalan kebimbangan. Dia mengatur langkah tanpa hala tuju. ‘Ifwat,Idham
kembalilah.’ Dia merintih lagi. Renik peluh berjuraian di dahi. ‘Kenapa aku ditinggalkan di lapangan ini?’

Tiba-tiba angin berpusar laju menuju ke arahnya. Nazri menahan daya angin yang
kuat menolak-nolak tampangnya, namun dia rebah jua. Dia menatap langit hitam pekat.

“Apa salahku!” Dia melontarkan tanya sekuat tenaga.

“Fikirlah apa salahmu.” Satu suara bergema entah dari mana. Nazri memandang sekeliling
dan mencari-cari pemilik suara itu. Tiada! Hanya debu-debu kering yang berpiuh sepi.

“Kamu tidak akan bahagia.” Suara itu menikam gegendang telinganya. Nazri berlari laju tanpa menghiraukan apa yang menanti di hadapan. Dia menempik lagi.

“Apa salahku!” Jasadnya kaku. Akar-akar pokok hijau melingkari badannya kejap. Dia
berusaha untuk meronta-ronta namun tidak berhasil. Buat sekian kalinya dia menghamburkan pertanyaan yang merengsa dada.

“Apa salahku?” Pandangannya kelam. Dia termengah-mengah sambil meraup wajahnya
yang disimbahi peluh dingin.

“Astaghfirullah!” Mujurlah Athirah masih berada di kampung. Jika tidak, pasti dia dilanda kejutan dan itu akan menjejaskan kesihatannya. Nazri bingkas dari katil menuju ke bilik air untuk berwudhu’. Usai mengerjakan solat tahajjud, dia merenung kembali mimpi yang telah mengusik ketenangan jiwanya. Perlahan-lahan peristiwa itu singgah ke tasik hati. Titisan kristal jernih menjerum ke bumi. ‘Apakah peluang masih berbaki?’ bisik jiwanya. Dia tenggelam dalam tangisan nan panjang. Sesungguhnya dia baru menyedari tentang sebuah hakikat. Bayangan sebiji rambutan terbias di skrin mindanya. ‘Aku harus ke situ!’ Tekadnya jitu.

Tiga

Jam 4 petang sinar suria hangat membakar kulit. Nazri mengabar kepanasan dengan
mengibas-ngibas akhbar yang baru dibelinya pagi tadi. ‘Inilah tempatnya!’ Bisik Nazri. Terenap segala kesuraman yang membara di jiwa.

‘Segalanya perlu diselesaikan hari ini.’ Nazri semakin dilitupi lega. Keretanya diletakkan di pinggir jalan. Aneh! Jarang amat kenderaan lalu-lalang di kawasan itu. Langkahnya diatur mendekati sepohon pokok rambutan. Tersedia denai kecil yang seakan mahu membawanya ke
sebuah tujuan. Nazri menapak penuh hati-hati. Makin lama, dia makin terperosok ke dalam perut
hutan.

Derapannya ternoktah. Tunakan matanya hinggap pada sebuah bangsal buruk beratap
nipah yang masih utuh berdiri biarpun pasti bakal roboh menyembah bumi. ‘Aku harus jujur.’

Dia menetapkan nawaitu. Apabila teringat pada azab neraka yang akan mengejar saat kematian menjemputnya nanti, Nazri membulatkan hasrat untuk merungkai segala persoalan yang merantai atmanya. Nazri menyuakan kalimah salam. Pantas sahaja daun pintu dibuka. Perempuan tua bongkok melemparkan senyuman kepadanya.

“Silakan masuk cucu.” Tangan tua berselirat urat-urat besar itu mencapai tangan Nazri dan
mengheretnya masuk ke bangsal itu. Nazri bersila di atas tikar mengkuang. Sesekali dia menjeling keadaan sekeliling. Ah! Nenek ini tinggal sendirian.

“Saya cuma mahu kepastian.” Nazri memecahkan gemawan sunyi. Perempuan tua itu
masih tersenyum. Dia menuangkan air ke dalam gelas tembaga dan menyuakan kepada Nazri.

Setelah meneguk beberapa kali, Nazri bertanya lagi. “Pokok rambutan di tepi jalan sana, milik nenek ya?” Nazri mengecilkan mata, menanti aksara yang akan terbersit dari bibir tua itu.

Senyuman perempuan tua itu makin lebar. “Ya.”Nazri mengumpul kekuatan. “Maafkan saya nenek. Minta halalkan sebiji rambutan yang telah saya makan sebulan yang lalu.”

Khali. Suasana dirasakan amat tegang apabila perempuan tua itu termenung lama.

“Ada syaratnya.” Nazri tersentak menerima jawapan itu. Namun, apabila terkenangkan daging yang tumbuh daripada makanan yang haram hanya layak dimamah neraka, Nazri mengangguk.

“Saya terima.” Kalimahnya diluah payah.

“Tinggalkan keluargamu, lepaskan harta dan jawatanmu, dan menetaplah denganku
selama 50 tahun. Barulah aku halalkan sebiji rambutan itu.” Bagai satu badai maha ganas yang merobek sangkar hidupnya Nazri tertunduk. ‘Beratnya hukuman yang aku terima hanya kerana sebiji rambutan’ Batinnya menangis. Nazri bingung mengenangkan liku hidupnya yang
meruncing.

‘Aku bukannya seorang yang abrar walhal aku sekadar hamba Tuhan yang hina dan
lemah.’ Desis jiwanya. Sebiji rambutan menjadi mahar untuk menempah sebuah kehidupan yang menyeksakan kelak. Nazri seakan terperangkap dalam sebuah kisah yang menguji ketaqwaan seorang kekasih Allah yang bernama Abu Salih. Bezanya, beliau termakan sebiji epal lalu pinta dihalalkan dan hasratnya itu tercapai usai 12 tahun bekerja di rumah pemilik pokok epal itu. Akhirnya, dia meladeni kehidupan yang bahagia bersama isteri yang jelita dan cerdas akalnya, iaitu Ummu Khair Fatimah.

“Bagaimana?” Perempuan tua itu menduga. Amarah Nazri menunjal-nunjal jemala.
Nafasnya berombak. Perasaannya luka parah tetapi tegar dibebat secepatnya bagi mengelakkan dia hilang pertimbangan.

“Saya bersetu…” Bunyi nada dering telefon bimbitnya mematikan kata-kata. Dia
menjawab panggilan dengan debaran masih memuncak di dada. “Athirah sudah hampir bersalin, cepat pulang!” Ibunya memberitahu situasi yang tepu cengkaman emosi.

“Nenek, saya perlu pergi sekarang.” Nazri bergegas ingin meninggalkan tampang tua itu.

“Pergilah, dan peluang itu akan turut ‘pergi’ bersama jejakmu nanti.” Nazri terpaku. Dia terduduk di atas tanah lalu menangis teresak-esak. Dia membayangkan Athirah yang menantinya untuk mengazankan zuriat mereka – bukti cinta mereka. Dia benar-benar tersepit untuk membuat pilihan. Pergi menemui isteri tersayang, bermakna peluang untuk menebus dosa akan hilang.

Memanjangkan penantian Athirah, bakal menambahkan kecelaruan yang besar dalam hidupnya. Esakannya makin galak. Dia terlalu buntu.

‘Rahmah atau musibah?’ Atmanya diasak gelisah. Dia berharap di dalam sendu.

‘Duhai jiwa bangkitlah! Duhai iman teguhlah!’ Nazri mengesat titis hiba yang gugur daripada
tubir matanya. Hatinya tersayat pedih apabila mengenangkan Athirah yang bergelut dengan maut untuk melahirkan seorang cahaya mata buat dirinya. Kenyataannya, dia harus memilih.

Dunia atau akhirat. Hidup atau mati. Semuanya bergulir dan menerobos ruang katarsisnya. Entah
mengapa bait-bait syair Al Mutannabi bergentayangan di langit ilusi.

Jangan biarkan masamu berlalu tanpa pengorbanan
Sepanjang roh masih setia menemani jasad
Kegembiraan tidak selamanya menemani hari-harimu
Terkadang datangnya kesedihan
Tidak boleh kamu tolak.

‘Aku redha, semoga hatiku dilapangkan Ilahi untuk menggempur seberkas onak duka yang
melukai hati’ Nazri maju selangkah dan menghampiri perempuan tua itu.

“Saya terima seikhlas nubari.” Dia merelakan derita memeluknya. Dunia fana terlalu hina untuk diratapi.

‘Seharusnya aku bersyukur ditimpakan sebuah ujian’ Nazri memujuk diri. Bayangan anak isteri terpaksa dipudarkan. Sesungguhnya musibah itu satu cara meluruhkan dosa-dosa yang menjijikkan.

“Kamu rela?” Perempuan tua itu menagih kepastian. Nazri menelan liur. “Ya”

“Meninggalkan semuanya?”

“Saya maklum kehidupan dunia terlalu indah untuk ditinggalkan, namun ia bakal hancur
oleh kiamat. Jadi, saya memilih jalan lurus untuk menggapai redha Yang Kudus.” Bicaranya mantap. Baginya, rona kebahagiaan sudah kabur.

“Aku gembira mendengar kata-katamu. Pulanglah ke pangkuan keluargamu buat kali
terakhir.” Nafas Nazri tertahan. Dia diulit satu perasaan yang tidak mampu dizahirkan. Rasa syukur bertebaran memenuhi hati. Dia mendongak ke arah langit kirmizi, lalu melafazkan janji.

“Saya akan kembali!”

Empat

Wajah putih kemerah-merahan itu memancarkan urna-urna ketenangan. Tubuh kecil itu
didakap erat usai diazankan. Bayi perempuan yang dinamakan Ummu Fatimah diletakkan di sisi Athirah yang terbaring lemah. Tercalit senyuman hambar pada raut seorang ibu. Nazri mencium ubun-ubun isterinya. Isteri yang diikatnya dengan janji sumpah setia, isteri yang sering dibelai penuh cinta. Baginya, hidup di samping Athirah merupakan tingkat tertinggi sebuah mahabbah dan disirami wangian mawaddah.

“Abang harus pergi.” Suaranya menyusup halus ke cuping telinga Athirah.

“Kenapa harus pergi?” Ada sendu di hujung tanya.

Diam. Athirah diburu ragu. Dia menarik-narik lengan kemeja suaminya. Bayangan-
bayangan jahat menabiri mata hati. ‘Apakah suamiku menduakan setia? Adakah suamiku
menyimpan rahsia yang tidak pernah diketahui selama ini? Atau, suamiku ingin meninggalkan
diriku terkontang-kanting melayari lautan kehidupan?’

“Abang harus pergi, demi redha Ilahi.” Suara Nazri tenggelam dalam keharuan. Dahi

Athirah berkerut. Dia cuba menggenggam tabah, agar dirinya tidak rebah. Adakah ini
pengakhiran bagi mahligai kasih yang telah berdiri utuh selama 10 tahun. Nazri merapati tampang isterinya. Dia mengatur bicara satu persatu untuk melenyapkan segala sangkaan yang
membuta tuli.

Athirah meraba-raba jiwanya. Dia sebu dalam tangisan naluri. Masing-masing larut dalam gelora perasaan. Mereka berpandangan. Si isteri memegang pipi suami tercinta yang lenjun dengan air mata.

“Athirah percaya dugaan ini tepu maghrifat walau pautannya melemaskan jiwa.
Percayalah,Allah tidak menetapkan qadha’ bagi seorang hambaNya, kecuali qadha’ itu baik
untuknya. ” Terburai jua tangisan yang dipendam.

“Sayangku, redhalah setulus hatimu. Mungkin syurga tempat kita bertemu.” Nazri bingkas ke pintu tanpa menoleh lagi. Athirah bungkam menerima kalimah cinta. Dalam walang, sukmanya berdesir tenang.

Lima

Nazri menyusun langkah menuju ke kawasan yang bakal menjadi
tempatnya .menghabiskan sisa kehidupan. Bibirnya tidak henti-henti melantunkan istighfar. Dia teringat kembali aksara Ibnu Taimiyah : Jika masalah yang aku hadapi menemui jalan kebuntuan, maka aku akan beristighfar 1000 kali, nescaya Allah akan membukakan jalan keluar. Namun, apakah kesulitan itu akan bernoktah nanti?’ Keluhnya.

Nazri memisat-misat mata. Dia warawiri di situ. Lenyap! Kawasan itu kosong. Sunyi!
Cuma terkadang nyanyian unggas seolah-olah ingin meleraikan ikatan persoalan yang bersarang dalam mindanya.

Ingatannya masih hijau tatkala membayangkan sebuah bangsal usang yang berdegap di
atas tanah itu. Kolong jiwanya terisi keanehan yang tiada kesudahan.

‘Tidak mungkin aku tersilap!’ Nazri tercegat lama. ‘Mustahil!’ Dia menelusuri kembali peristiwa yang singgah di mandala hidupnya. Serta-merta manik-manik jernih bergenang memenuhi kolam mata. Kehilangan perempuan tua itu masih belum terungkai. Nazri masih tercari-cari hikmah yang tersirat. Apakah segalanya sudah berakhir? Dia membuang pandangan ke arah kawasan itu. Mungkin itu kali terakhir dia menjejakkan kaki ke situ. Ayat-ayat Ilahi
bergema mengisi ruang hati.
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.

Enam
Malam itu indah nian. Nazri dibuai lena bersama Idham dan Ifwat di birai katil Athirah. Dalam tidurnya, muncul perempuan tua itu tersenyum penuh makna. Sebersih langit lazuardi,
wajah itu bercahaya menyinari kalbu Nazri.

“Berbahagialah hamba yang meletakkan redha dalam diri.”

~TAMAT~









No comments: