Sunday, September 9, 2012

Akukah Mujahidah Itu - [episod 1]


Kejahilan kiri dan kanan
Saya tiba dibumi Sydney lebih kurang jam dua petang waktu tempatan. Hati berdebar-debar hanya Allah Swt yang tahu saat kaki melangkah keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kingsford. Sebagai pelajar tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia, semestinya saya harus berpakaian kemas, berkot dan berskirt panjang hitam serta bertudung putih. Rimas juga sepanjang lapan jam penerbangan.
            Pelbagai bayangan dalam minda saya pecah berkeping-keping setelah menatap langit biru pekat Sydney. Rasa tidak percaya saya kini berada jauh beribu batu dari bumi Malaysia. Saya pandang sahabat-sahabat saya dan mereka hanya tersenyum, tidak mampu mengungkapkan perasaan yang penuh dijiwa. Cahaya mentari agak terik sementelah musim panas belum benar-benar berlalu. Selain cuaca yang asing, langit yang asing, pemandangan yang asing, ada sesuatu yang lebih asing.
            Budayanya!
            “Allah! Apa yang diorang buat ni? Tempat umum kot!” sahabat saya Izzaty menarik-narik lengan baju saya sambil mulutnya memuncung ke satu arah. Saya beristighfar panjang melihat satu pasangan tempatan sedang bercumbu-cumbuan.
            Boleh dikatakan setiap derap kaki ini tidak terlepas daripada ‘hidangan’ maksiat. Pandang kiri dan kanan, hanya istighfar yang dituturkan dalam usaha menjaga hati yang rapuh ini. Kalau dalam tren atau bas yang memakan masa perjalanan yang panjang, hanya Allah Swt yang tahu betapa gelisahnya hati saya dan sahabat-sahabat kerana seolah-olah dipaksa untuk ‘menonton’ aksi-aksi yang mampu mengikis iman seorang muslim.
            Tidak cukup dengan itu, saya mendapat tahu di universiti punya satu acara keraian yang dinamakan ‘Conception Day’ dimana semua pelajar ataupun orang awam akan datang berkampung ke Macquarie untuk berpesta dan apa yang mampu saya katakan adalah kemuncak maksiat yang sebenar. Hari itu, saya dan sahabat-sahabat tidak akan keluar dari rumah. Takut terlihat kemaksiatan, takut diapa-apakan. Ketika itu, Islam benar-benar dirasa dagang. Allah..
            Peristiwa yang saya tidak akan boleh saya lupakan adalah ketika bersolat di taman dihadapan stesen tren Central. Taman itu memang indah. Rumput menghijau, deretan kerusi panjang dan burung-burung merpati berterbangan dilangit biru dan sesekali berjalan terkedek-kedek menunggu pengunjung memberi makanan. Indah sekali! Disitulah saya dan sahabat-sahabat akan menunaikan solat dengan beralaskan kain selendang di atas rumput yang dingin. Entah mengapa dan bagaimana saya tidak sedar, dalam nyaman bersujud dalam solat, merasakan nikmat lebih dekat dengan tanah, tiba-tiba sahaja muncul figura manusia yang sedang melakukan maksiat sebaik sahaja saya berpaling untuk memberikan salam.
            Saat itu air mata saya menitis laju. Tak tertanggung rasa sebak dalam sukma. Rasa berat dalam dada. Muka panas dan berpijar-pijar. Tidak mampu saya huraikan perasaan yang bercampur-baur. Seolah-olah Allah sedang mengajar saya betapa dasyatnya jahiliah itu hingga membuatkan manusia hilang kewarasannya, sifat malunya. Paling menyentap nubari saya adalah, Allah seperti menunjukkan kepada saya bahawa manusia itu dibezakan dimata Allah bukan kerana harta, pangkat mahupun rupa. Namun manusia itu berbeza dengan pegangan aqidahnya.
            Sedih saya berpanjangan agak lama. Saya jadi takut jika suatu hari nanti Allah akan membolak-balikkan hati ini. Takut sekali. Dan masa pun berlalu tak terkejarkan. Tanpa saya sedar, saya semakin lali dengan semua itu. Kadang-kadang saya tidak kisahpun keadaan sekeliling dan mampu melakukan apa-apa kerja seperti biasa.
Ya biasa! Akhirnya jahiliah menjadi biasa dimata saya!



Bicara dengan Hanan
            Sahabat saya di Universiti New South Wales ditimpa musibah oleh Allah Swt. Sakit lamanya berulang kembali. Saya dan sahabat-sahabat menziarahi beliau. Seingat saya, sahabat rapat bernama Hanan ikut bersama. Sedih dan pilu apabila mendapat tahu sahabat saya diuji sehingga akhirnya dia terpaksa pulang ke Malaysia kerana rawatan yang diperlukan perlu berterusan. Kos perubatan di Sydney agak mahal dan berjauhan dengan keluarga amat-amat menyulitkan keadaannya. Ujian demi ujian yang diberi kepada orang-orang sekeliling menjadikan nurani saya terjentik untuk menilai kembali kurniaan dan nikmat yang Allah kurniakan kepada saya.
            Usai berziarah, menitipkan kata-kata semangat, saya dan sahabat menunggu bas untuk pulang semula ke Macquarie.
            “Lewat pula bas kali ini, aku masuk kedai sebelah ini dulu ya,” kata sahabat saya Sazrah sambil berlalu bersama Fatin dan Izzaty. Tinggal saya dan Hanan sahaja waktu itu sambil duduk di kerusi tempat menunggu bas. Suasana sudah gelap seawal jam tujuh petang. Gelap sungguh namun masih diterangi lampu-lampu kereta yang bersimpang-siur membelah kota. Tiba-tiba seorang gadis tempatan kulih melepak dan berambut perang melintas dihadapan kami.
            “Cantiknya kaki dia. Potongan badan dia pun elok pakai macam tu,” spontan ayat begitu terbersit dari mulut saya. Hanan hanya membalas dengan senyuman. Lama kami terdiam, tiba-tiba saya tersentak.
            “Astaghfirullah,” Hanan berpaling kepada saya. Dahinya berkerut. Saya hanya menggeleng-geleng kepala. Dahi saya juga berkerut. Rasa malu tiba-tiba.
            “Hanan, perasan atau tidak yang kita sudah tidak kisah lihat orang pakai seksi dan buat aksi tak senonoh depan khalayak?” saya gusar. Gusar yang amat kerana jika hati tidak menegah perbuatan diri yang salah, pasti ada sesuatu yang tidak kena.
            “Hanan sendiri pun rasa begitu. Hanan pun persoal balik pada diri kenapa aku sudah tidak hairan akan maksiat yang ada disana sini. Rasa biasa itu sebenarnya membunuh rasa takut kita kepada Allah,” jawapan Hanan membuatkan saya hanya mampu menalan liur.
            Kebiasaan menjadikan kita leka lalu lupa mana yang salah dan benar. Mujahadah yang tinggi diperlukan untuk menghadapi ‘kebiasaan’ itu. Namun ianya tidak semudah perkataan-perkataan yang saya nukilkan seperti sekarang ini. Ianya memerlukan usaha yang bukan sedikit apatah lagi ruang untuk memandang, terpandang, terdengar dan berada dalam maksiat amat-amat luas. Tiada siapa yang menegah kecuali diri sendiri.
            Kebiasaan menjadikan kita mengambil mudah pada jahiliah. Kebiasaan menjadikan kita lupa pandangan Allah terhadap kita. Kebiasaan membunuh sifat malu berhadapan dengan kemungkaran. Hal ini menyebabkan saya reflek kembali bagaimana saya membentuk sudut pandang saya sebagai seorang muslim. Bertalu-talu saya menyoal diri sekuat manakah usaha saya untuk mengekalkan rasa malu, rasa takut dan rasa rindu pada Allah Swt.
            Saya yakin Allah Swt tidak mencampakkan saya kebumi ini tanpa arah tuju. Allah Swt tidak memperlihatkan semua ‘kejahilan’ itu kepada saya dengan sengaja. Saya sedar bahawa selama ini saya sebenarnya ego dan angkuh dengan Islam yang saya ada. Ketika di Malaysia, saya ingat selama ini saya sudah melakukan mujahadah yang tinggi dengan menghindarkan diri dari semua maksiat baik dari segi pandangan, pendengaran dan seluruh panca indera yang Allah Swt kurniakan.
            Namun mujahadah saya belum cukup kuat apabila segala kejahilan itu dicampak benar-benar dekat hela nafas saya. Allah Swt mahu saya  berhenti syok sendiri dan mudah berpuas hati dengan kerja dakwah yang dilakukan selama saya hidup lebih 20 tahun. Tanggungjawab sebenar berdakwah adalah pada orang yang belum mengenali Islam. Kesayuan saya bertambah-tambah setiap kali mengatur langkah didalam negara asing ini. Ditengah-tengah lautan manusia yang tidak mengenal siapa Allah, saya mula mempersoalkan diri sendiri. Kenapa harus aku yang ‘terbiasa’ dengan kejahilan mereka? Kenapa tidaka ku yang mengenalkan Tuhan sebenar kepada mereka?
Realiti Sebenar.          
            Saya sentiasa mengimbas kembali kenangan ketika membuat program persediaan di Pulau Pinang. Pahit manis bersama sahabat-sahabiah yang aktif mengajak orang ramai untuk kea rah kebaikan. Jika ada yang seakan-akan ketinggalan, genggaman tangan tidak akan dilepaskan. Cabaran ditanah air tampak rumit dimata pendakwah muda apabila mereka mengharapkan ‘perubahan’ serta-merta dari orang yang diberi dakwah (mad’u). Namun percayalah sahabat-sahabatku sekelian, janganlah berputus asa untuk terus menyantuni mad’u kerana mereka sebenarnya sudah mengenal Tuhan. 
         Cuba fikir dalam-dalam, betapa ramai lagi manusia di seluruh pelusuk bumi ini yang belum mengenal siapa Allah. Mereka semua menunggu kita untuk menyampaikan dan memperkenalkan kepada mereka siapa Allah Swt. Sejujurnya, saya sendiri mengakui, tanggungjawab ini tidak mudah. Saba hari saya dirundung rasa bersalah sepanjang permusafiran disini kerana saya yakin Allah Swt tidak menghantar saya kebumi ini tanpa tujuan.
            Sahabat-sahabat yang  saya kasihi kerana Allah Swt, jangan terlalu gembira dengan usaha dakwah yang dilakukan. Saya sedih dengan sahabat-sahabat, dengan diri saya sendiri yang ‘membiasakan’ diri dengan kejahilan-kejahilan kecil seperti hiburan. Hiburan tidak salah. Namun untuk menguruskan cara berhibur, ianya memerlukan mujahadah yang tinggi agar tawa dan suka kita tidak menguasai hati. Mujahadahlah untuk menjaga pintu hati tidak tertutup kepada kebenaran. Saya pernah jatuh berulang-ulang kali kepada hiburan, namun saya cuba untuk bangkit kembali agar tidak ditinggalkan dalam kejahilan yang mencengkam.
Berjuanglah habis-habisan untuk terus kekal dalam dunia perjuangan Islam kerana suatu hari nanti setiap titis usaha kalian akan menjadi saksi untuk kemenangan Islam. Apabila diuji dengan kekecewaan, jangan menangis terlalu lama. Jangan biarkan titisan air matamu melemahkan semangatmu. Jadikanlah ia penguat cinta yang lebih tulus terhadap agama suci ini.
            Sahabat-sahabat yang saya kasihi kerana Allah Swt. Allah mentakdirkan saya berada di bumi Sydney dan Allah juga telah mentakdirkan kalian berada dibumi yang lain. Setiap orang ditakdirkan untuk berpijak pada bumi yang berbeza, namun ketahuilah bahawa kita sebenarnya berkongsi visi dan misi yang sama.
Allahuakbar!
            

1 comment:

mohamadkholid said...

membaca komentar sdr, rasa tak mahu ke sana!