“ALONG,
tolong ummi lap meja dapur sekejap,”
“Along,
tolong lipat kain adik-adik boleh?”
“Along,
tolong hidangkan makan malam untuk abah dan adik-adik. Ummi hendak solat dulu,”
“Along,
cuci bilik air hari ini ya?
PERMOHONAN
Bekerja
dalam waktu belajar adalah perkara yang tidak asing dalam kalangan pelajar luar
negara. Sebenarnya bukan wang yang menjadi keutamaan, tetapi pengalaman bekerja
dan bergaul dengan warga tempatan adalah pengalaman yang sukar dicari ganti.
Ramai
pelajar disini bekerja sebagai tukang cuci di pasaraya ataupun dirumah-rumah,
pengasuh, dan ada juga yang berpeluang mengajar anak-anak majikan Islam untuk
membaca Al-Quran.
Cerita
kawan saya, walaupun bekerja sebagai tukang cuci, melihat gelagat orang ketika
tempoh bekerja amat menyeronokkan. Meletakkan diri sebagai tukang cuci,
pengasuh dan pekerjaan-pekerjaan lain menjadikan pandangan orang lain terhadap
diri kita berubah-ubah. Kata kawan saya lagi, ada orang yang memandang sinis
kepada mereka dan ada juga sebaliknya. Realiti kehidupan terus-menerus berputar
dihadapan mereka.
“Senang
sahaja. Letak biodata dan apa kemahiran bekerja, nanti ada orang akan hubungi
Aini,” sahabat yang berjarak umur setahun dengan saya memberitahu ‘prosedur’
mencari kerja.
“Betulkah
kak Dayah? Boleh percayakah laman web gumtree
ni?” saya masih ragu-ragu. Kak Dayah hanya tersenyum. Gadis manis dari Parit,
Perak itu tersenyum-senyum.
“Tidak
mahu cuba, sudah!” kata-kata kak Dayah itu menyebabkan saya tersengih-sengih.
Bukan saya tidak tahu yang dia sendiri sudah bekerja dibeberapa tempat. Banyak
pengalaman yang telah saya dengar sendiri daripadanya. Tanpa menunggu lama,
saya menggerakkan tetikus untuk membuka laman sesawang tersebut.
DAPAT
KERJA
“Dapat kerja?” teman rumah saya Izzaty menyoal saya
tiba-tiba.
“Saya, saya tidak jadi
pohon…takutlah,” jawab saya lambat-lambat. Izzaty merenung saya lama.
“Ikut saya kerja di Plymouth. Kita
bersihkan rumah sama-sama, awak mahu pengalaman bukan?” tawaran Izzaty
menyebabkan saya terlopong tidak percaya.
Menarik juga dapat bekerja berdua.
Entah mengapa saya tidak cukup berani untuk melangkah sendiri dan bekerja untuk
seseorang yang tidak pernah dikenali.
“Baik!” dan sejurus itu saya melihat
Izzaty tersenyum.
TUGASAN BERMULA
Nama majikan kami Ben. Dia berasal
dari Belgium dan menyambung pelajaran di Universiti of Sydney. Menurutnya
apartment itu disewa bersama seorang kawannya tetapi hari itu hanya ada dia
seorang sahaja di rumah.
“Saya tinggalkan kunci disini dan
duit upah disini. 15 dolar sejam dan saya rasa dalam masa dua jam kerja kamu
boleh siap. Saya hendak keluar sekarang,” mudah sahaja dia memberikan arahan.
Pemuda itu keluar meninggalkan saya dan Izzaty di dalam ruang apartment yang
betul-betul menghadap bandar Sydney.
“Saya bersihkan bilik Ben, awak
bersihkan dapur dulu ya,” ujar Izzaty sambil mengangkat beberapa peralatan
mencuci. Saya menurut sahaja. Berdebar pun ada kerana saya dibayar untuk
melakukan kerja ini dan sudah pasti saya harus melakukan tugas itu dengan
sebaik-baiknya. Jika tidak, peluang untuk datang semula dan bekerja akan
berkurangan.
Saya teliti segenap penjuru
rumahnya, tidaklah terlalu kotor, malah sangat kemas dan bersih. Cuma
habuk-habuk sahaja yang terlalu banyak dan mencacatkan pandangan. Inilah antara
nilai baik yang ada pada orang bukan Islam, kebersihan. Sering saya lihat
mereka menitikberatkan soal kekemasan dan kebersihan walau dimana sahaja mereka
berada. Bilik air tidak boleh basah lantainya. Kadang-kadang malu bila
difikirkan anak muda yang menggelar diri mereka pendakwah tetapi masya Allah,
rumah dan sekeliling mereka, dasyat sungguh keadaannya.
Masih
di rumah Ben, saya ke bahagian dapur dan membasuh pinggan mangkuk yang didalam
sinki. Saya lap peti ais, oven dan semuanya. Penuh hati-hati saya melakukan
‘tugasan’ yang diberikan.
SATU
NAMA
Saya menyelesaikan semua tugasan
dirumah itu dalam masa dua jam. Sungguh saya tidak menyangka bahawa kerja-kerja
rumah yang saya anggap mudah dan ringan itu amat-amat memenatkan. Pinggang saya
sengal dan sakit. Kaki, tangan dan setiap sendi
terselit perit. Penat lelah itu berbayar dengan wang bernilai 35 dolar.
Namun lahir satu rasa, menjentik-jentik sukma, membuai-buai emosi, dan
terbersitlah satu nama dari bibir ini,
‘Ummi!’
NILAI
SEBUAH RUMAH
Saya cuba bawa kembali suara ummi
yang saya tinggalkan di perenggan pertama bab ini. Saya yakin, bukan saya
seorang sahaja yang pernah mengalaminya. Saya bertanya kepada diri sendiri,
apakah perasaan saya ketika itu. Marah? Geram? Ikhlas? Gembira?
Ummi saya seorang guru sekolah
rendah. Paginya sudah bermula seawal jam lima, menyediakan sarapan untuk abah
dan anak-anaknya seramai enam orang, menyediakan pakaian dan mengemas rumah.
Jam tujuh sudah ke sekolah. Pulang jam satu tengah hari, dia berusaha untuk
memasak untuk abah yang akan kembali ke pejabat pada jam dua. Ummi
seboleh-bolehnya tidak mahu membeli di kedai kerana mahu berjimat. Kami sewaktu
itu masih tinggal dirumah sewa. Pelbagai perkara menjadi pertimbangan abah dan
ummi. Saya maklum.
Usai solat zohor, ummi belum jamah
makanan lagi. Ummi basuh baju anak-anak dan kemas rumah. Ummi angkat dan lipat
kain dijemuran. Jam 4 petang selalunya saya baru pulang dari sekolah, ummi
terlena kepenatan dikerusi panjang ruang tamu dengan baju yang masih banyak
belum dilipat. Masuk waktu asar, ummi solat dan terus ke dapur untuk
menyediakan minum petang. Begitulah rutin ummi sehingga ke malam. Saya tidak
pasti bila melihat ummi makan sepenuhnya.
Saya yakin dan amat yakin kisah ibu
kalian pasti serupa ataupun lebih hebat dari catatan saya ini. Hati saya
tersayat setelah diberi peluang olah Allah SWT untuk bekerja di rumah Ben.
Penat
lelah saya yang sedikit itu dibayar, tetapi ummi?
Sakit
perit seluruh badan saya hanya kerana membuat kerja rumah selama dua jam,
tetapi ummi? Ummi melakukan semua itu sehari-hari tanpa mengeluh walau sekali.
Dan
saat ummi meminta pertolongan dari anak-anaknya yang dikasihi, adakah
anak-anaknya terus menghulurkan bantu atau terus menjauhi?
Persoalan-persoalan
itu menikam nubari saya. Layakkan menggelar diri sebagai pendakwah andai
perjuangan mengurus rumah sendiri masih gagal? Ini hanya pemerhatian dan pengalaman saya sendiri. Amat saya
kesali. Rumah yang dikongsi bersama teman-teman dihias indah, dijaga bersih
tanpa berat hati. Tidak kira masa, walau sesibuk mana pun diri, pasti ada masa
untuk membantu sahabat-sahabat apatah lagi jika mereka adalah mad’u kita.
Tetapi kenapa harus berkeluh-kesah, bermalas-malasan bila pulang ke rumah
sendiri. Rumah yang menjadi saksi kita diasuh dari sebesar jari sehingga
digelar insani?
DUNIA
TERPISAH DUA
Terkadang kita tidak sedar bahawa
kita telah memisahkan dunia dakwah menjadi dua dunia berbeza. Satu dunia di
luar rumah dan satu lagi di dalam rumah dimana terisinya permata-permata
berharga dalam hidup kita, ibu, ayah dan adik beradik.
Sering saya membaca tulisan-tulisan
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil tentang masalah pendakwah muda yang mempunyai watak
‘anak malas’ di dalam rumah sendiri. Apalah gunanya baik dimata manusia lain
tetapi tidak disisi ibu dan ayah sedangkan mereka lebih berhak menerima
kebaikan dari kita.
Pendakwah muda, daie, mujahid dan
mujahidah yang semakin banyak bertebaran di segenap mayapada, tetapi berapa
ramai yang benar-benar menghargai nilai sebuah rumah yang dimana bermulanya
akar tarbiyah?
Anda keluar dari rumah itu sebagai
bukan siapa-siapa, anda harus kembali ke rumah itu dengan seseorang yang
lebih menghargai setiap ruang dan isinya.
Jika anda boleh melakukan apa sahaja untuk menghargai setiap mad’u yang tiba,
buktikan penghargaan yang sama terutamanya kepada ibu dan bapa.
2 comments:
kak, entri ni banyak habuk. uhuk.
eh iye ke? olololo....
Post a Comment