Saturday, November 14, 2009

Bisik Malam

~Saya berkira-kira untuk menulis sesuatu pada malam ini.

Ya, saya akui kegersangan melanda hati. Saya selak helai-helai buku peroalan akidah yang melanda jagat manusia. Beberapa detik ini kita dilanda pelbagai ujian yang mampu menggoncangkan iman. Isu SIS, Kartika, Nabi palsu, keruntuhan akhlak dan juga persoalan 2012.

Barat makin agresif menyerang dalam senyap. Menyerang akidah kita. Saya yakin ramai yang menyedarinya dan berpura-pura tidak menyedari. Budaya hedonisme telah menapak kukuh dalam jiwa anak muda, generasi masa hadapan yang merupakan penggerak dunia Islam kelak. Hedonisme- budaya yang mengagungkan hiburan dan kesenangan semata-mata tanpa memikirkan keperluan dan tanggung jawab lain. Nah! jarum Barat telah membius pemikiran pemuda-pemudi Islam dengan menghadirkan teknologi-teknologi dalam perhubungan dan hiburan seperti telefon bimbit, televisyen dan sebagainya.

Saya bukan membutakan kenyataan bahawa teknologi sudah banyak membantu kita dalam kehidupan seharian. Tetapi lihat perkembangan ini dalam dunia dakwah. Lihat bagaimana gerak kerja dalam jemaah. Akibat kesenangan yang gagal dimanfaatkan, gerak kerja menjadi perlahan dan lembap. Keinginan untuk bersenang-lenang lebih tinggi dan mengatasi keinginan untuk berdakwah dan menegakkan syiar Islam. Cuba kita renung kembali bagaimana gerak kerja Rasulullah yang langsung tidak dilengkapi dengan apa-apa kemudahan teknologi seperti kita sekarang. Namun, atas redha Allah yang mencurah dan keikhlasan yang ditonjolkan oleh pejuang-pejuang dahuku untuk mencari cinta Allah yang sebenar-benarnya, kemenangan tetap berpihak pada umat Islam, tidak kiralah dalam peperangan ataupun pemikiran.

Ada yang menyertai jemaah kerana ingin mencari pasangan hidup yang sefikrah. Betapa niat itu telah menyimpang jauh dari alur perjuangan. Ya! Memang wujud manusia sebegitu. Apabila liqa' diadakan untuk berbincang soal gerak kerja dan juga kebejatan masalah sosial, mata mereka sibuk memerhati, mencari permata yang diimpi. Fokus dan matlamat entah kemana, solusi entah ke mana, redha Allah entah ke mana. Astaghfirullah... Alasan mereka mudah, mahu membentuk zuriat yang baik agar senang dididik dengan tarbiah Islam. Diri hanya memikirkan tentang hidup sendiri, bagaimana dengan orang lain yang masih terkontang-kanting jika semua dae'i hanya mempunyai matlamat itu apabila menyertai jemaah?

Erm, malam ini sepi sahaja. Teman sebilik saya pun sudah lama terlena. Alhamdulillah, saya mendapat tempat di Minggu Penulis Remaha di Port Dickson. Alhamdulillah, akan saya timba ilmu sebanyaknya nanti.

Novel saya masih di bab 5. Risau juga dengan deadline yang menanti. Saya cuba pujuk hati yang gelisah dengan kalamullah. Insya Allah, DIA akan mengurniakan ilham jika niat kita sentiasa diperbetulkan.

Saya terjumpa buku nota lama yang sudah lusuh. Teringat saat dulu, saya suka melakar sajak-sajak pendek tatkalan bersendiri. Tersenyum sendiri melihat perahan idea terbentang di satu halaman nota ini. Saya catatkan sedikit untuk tatapan kalian.

~rindu~

ku sisipkan rindu di kalbu
yang makin diasak-asak
ragu dalam lindapan rindu

terasa lagi- ia bertemali
menyusur dalam-dalam
ke lubuk hati
berselirat dengan desah
letih menunggu

dan narwastu rindu menyatu
dalam doaku tepu syahdu.

Erm, malam sudah merangkak jauh dan- mata saya masih berdegil.


Pemandangan dari Jambatan Pulau Pinang, tatkala senja tiba...setahun lagi menyemai ukhwah dan menagih ilmu di sini. Insya Allah