Thursday, March 4, 2010

PERINGKAT-PERINGKAT DAKWAH

Marhalah Takwin (Peringkat Pembentukan)

Marhalah Takwin atau peringkat pembentukan anggota Islam merupakan tahap kedua selepas peringkat pengenalan (ta’rif). Setelah kerja penyebaran kefahaman Islam berjalan dengan baik, pendakwah perlu memilih daripada kalangan mereka yang menerima dakwahnya untuk dibentuk, dilatih supaya berlaku pengislahan dan peningkatan syakhsiyah individu tersebut sehingga menjadi muslim yang memiliki ciri-ciri Islam sebenar. Mereka diharapkan akan menjadi pendakwah dan pendokong Islam pada masa depan.
Demikianlah sebenarnya apa yang pernah dilakukan oleh Rasullullah SAW. Baginda menyeru manusia kepada Islam dan kemudian mendidik mereka sehingga lahir sebagai da’i, mujahid dan pejuang Islam yang berperanan menyebar, mengembang dan mempertahankan Islam.

KEPENTINGAN MARHALAH TAKWIN

Tanpa marhalah takwin, orang yang menerima seruan dakwah tidak dapat sampai kepada hakikat Islam sebenarnya kerana Islam bukan sekadar kefahaman dan keinginan, tetapi lebih daripada itu memerlukan penghayatan dan pelaksanaan dalam kehidupan. Islam bukan teori sahaja, tetapi mesti diikuti dengan praktikal. Untuk menjadi manusia yang mampu melaksanakan Islam, maka setiap individu perlu melalui proses pembentukan dan tarbiyah. Ini merupakan sunnahtullah dan sunnah yang ditunjuk oleh Rasullullah SAW.
Antara sebab kejayaan Rasullullah dan sahabat-sahabatnya dalam kerja-kerja dakwah ialah baginda berjaya membentuk kader-kader yang dapat berperanan menerus dan melaksanakan tuntutan-tuntutan Allah SWT.

Dakwah Ikhwan al-Muslimin adalah antara contoh zaman baru yang melaksanakan kerja-kerja dakwah dalam bentuk ini. Mereka berjaya menerus dan memperkembangkan dakwah Islam hampir ke seluruh pelusuk dunia dan dakwah itu semakin berkembang.
Dakwah tanpa diikuti dengan pembentukan syaksiyah tidak akan memberi makna kepada Islam. Islam memerlukan para pekerja dan pejuang yang sanggup memikul amanah besar dan mulia yang pernah dilakukan oleh para Rasul. Islam memerlukan muslim yang bersedia menegakkan syariat Allah, mempertahankannya daripada ancaman dan serangan musuh-musuh Allah.

“Dan orang-orang Yahudi juga Kristian tidak akan reda sehingga kamu menurut Agama mereka.” (Al-Baqarah: 120)

Islam tidak akan berkembang jika umatnya hanya menjadi permerhati kepada perjalanan sejarah, bukan pembentuk sejarah. Orang-orang yang tidak dibentuk dengan tarbiyah Islamiyah yang syamilah (sempunra) hanya mampu menjadi penonton dan akan berduyun-duyun menjadi pelarian apabila musuh membuat serangan. Serangan musuh akan datang dalam berbagai-bagai bentuk, samaada ideologi, budaya mahupun serangan senjata. Ini semua memerlukan kepada para mukmin dan mujahid yang sanggup berkorban apa sahaja demi menegak dan mempertahankan keyakinan mereka terhadap Islam.
Inilah dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah. Dakwah yang menghasilkan kualiti dan membawa kepada kejayaan di dunia dan akhirat. Bukan dakwah yang menjadi adat atau sekadar upacara pada hari atau musim tertentu yang dilakukan tanpa konsep yang jelas dan dorongan yang betul.

MATLAMAT DAKWAH ISLAM

Dakwah Islam bukan sekadar ingin mengajak manusia kepada syiar-syiar yang bersifat juz-i seperti penghayatan beberapa sunnah kecil daripada sunnah Rasulullah, tetapi dakwah Islam bermatlamat mengajak manusia hidup berdasarkan sistem Allah serta memperjuangkannya sebagai ad-din yang syamil dan kamil.

“Adakah kamu beriman dengan sebahagian daripada al-Kitab dan kufur terhadap sebahagian yang lain. Tidak ada balasan bagi mereka yang berbuat demikian kecuali kehinaan di dunia dan di akhirat dan akan dicampakkan ke dalam azab yang pedih dan Allah tidak lalai terhadap apa yang kamu lakukan.”

Oleh itu dakwah mestilah dilihat sebagai kerja besar yang sangat penting dan mulia untuk membawa manusia hidup di bawah sistem Allah serta dan menghapuskan kezaliman dan kepalsuan taghut. Untuk sampai kepada okjektif yang betul dan matlamat yang tinggi seperti dikehendaki Allah, para pendakwah perlu memahami dan menghayati fiqh al-dakwah dengan cara yang betul dan bersungguh-sungguh. Insyaallah segala usaha akan mencapai kejayaan dengan kemenangan serta keredaan Allah SWT