Friday, March 30, 2012

Hendak sayang macam mana sahabat kita?

"BERAPA kali saya hendak beritahu awak, sisa makanan di sinki tu dibuang setiap hari. Awak lupa lagi? Takkan saya saja yang hendak buat kerja peringatkan orang, tolonglah,"

Hilal merenung tajam Farini. Gadis yang baru disergah itu terkial-kial ke dapur dan membuat apa yang dia lupa. Tanpa banyak bicara, dia membuang sisa-sisa makanan yang terlekat pada sinki. Dia diam kerana dia tahu itu memang salahnya. Dia diam kerana dia tahu dia tiada hak untuk memebantah. Dia diam kerana sahabatnya sudah cukup baik kerana menegur kesalahannya.


Esoknya,

"Tidak reti-reti lagi hendak tutup pintu kalau keluar bilik?" Farini sedikit tersentak. Dia kemudian menoleh kembali ke arah bilik. Perlahan-lahan dia menghampiri bilik dan menarik tombol pintu. Wajahnya tidak keruan. Sekali lagi dia cuai dan melakukan kesilapan.

"Maaf Hilal, saya lupa," suara Farini kendur. Dalam hatinya, dia memarahi kelalaian diri kerana melakukan kesilapan lagi. Diam tetap diam kerana itu memang salahnya. Dia berjanji ingin berubah dan tidak cuai lagi.

"Jom Hilal, kita ke kelas," ajak Farini. Butir bicaranya diatur kemas, bimbang andai
berlaku apa-apa kesilapan lagi.

Lusa.


"Bawak air tak Farini?" soal Hilal tanpa memandang wajah Farini.

"Tidak bawaklah tu kan? Saya memang tak harap sangat pun pada awak. Saya tahu awak mesti lupa dan tak tahu apa-apa. Sebab tu saya dah bawak air sendiri. Nak harapkan awak memang taklah!" Farini belum sempat menjawab apa-apa namun sangkaan Hilal sudah meluncur laju dari bibir.

"Saya bawa air," Farini mengunjukkan botol airnya yang baru dikeluarkan dari beg sandang. Kawasan hutan yang dijadikan tapak perkhemahan itu sepi. Farini menunduk sahaja ke tanah dan menelan setiap kata-kata yang diluahkan Hilal. Dadanya terasa padat. Dia menelan liur berkali-kali dan mengepam bibir.

"Alah. naseb je tu," Hilal berkata selamba.

Dia tetap diam dan tidak mahu membalas apa-apa. Dia membiarkan persepsi Hilal ke atas dirinya. Biarlah, dia tidak mahu mewujudkan amarah sahabatnya. Dia mengharapkan pertalian persahabatan tetap indah walau hatinya disayat luka.

Dan hari-hari seterusnya.

"Awak kalau bertindak memang tak pernah berfikir kan? dah la cuai, tak boleh diharap. Nak lead orang macam mana kalau diri sendiri pun tak tahu nak urus. Awak boleh survive sebagai student pun sebab saya ada. Apa je yang awak buat untuk tolong saya?" nafas Farini tertahan. Dia tahu dirinya seorang yang kalut, tidak terlalu tersusun, pelupa dan cuai.
Amat dia hargai teguran Hilal namun dadanya sudah terlalu sebu dengan kata-kata sindiran Hilal. Dia tahu Hilal sahabat yang baik kerana sentiasa disisinya. Kerana itu, dia tidak kisah dihambur dengan teguran yang mencengkam tangkai hati.

Selagi dia boleh bertahan, dia akan bertahan. Dia tidak punya ramai kawan dan kerana itu dia menghargai Hilal.

Biar pahit, Farini tetap diam, diam dan diam kerana dia yakin kesabarannya tidak akan sesekali mengeruhkan kolam persahabatan antara mereka berdua. Namun tetap, di dasar hatinya dia berharap agar Hilal tidak menganggap dirinya sebagai sahabat yang tidak berguna.

Farini ingin jadi sahabat yang lebih untuk Hilal. Hari-hari dia berdoa, agar dia mampu jadi sebaik, secekap Hilal.

Demi persahabatan itu, Farini bertahan walau disisih dan dibuang ke tepi..


*Kisah ini rekaan semata-mata. Jadi kepada anda pembaca sekelian, apa yang anda lakukan andainya anda mempunyai sahabat seperti Farini? Adakah Farini sebenarnya seperti si Bodoh lagi nerd? Adakah Farini tidak bersalah? Apa sahaja yang dalam fikiran anda, andalah yang menentukannya.

Selamat berukhwah!

Sunday, March 11, 2012

Cinta Baru~ Catatan Musim Panas

Cuti musim panas sudah 2 minggu berlalu. Alhamdulillah saya sudah kembali ke Sydney untuk meneruskan pengajian yang masih berbaki setahun.

Allah beri saya peluang untuk mencuba bidang baru dalam hidup. Penceramah, saya sendiri rasa segan untuk mengaku tetapi saya yakin, pasti ada hikmah yang maha besar kurniaan dari Tuhan untuk saya terokai bersama kalian.

Gementar, kurang yakin dengan diri dan saya juga merasa tidak layak untuk menyampaikan kepada orang lain apatah lagi menjadi contoh kepada audiens. Hanya Allah yang Tahu perasaan saya tatkala itu. Namun saya cabar diri, tidak menolak pelawaan yang diterima.

Tempat pertama yang saya kunjungi adalah di Tampin. Saya bawa bersama adik saya, Asilah yang sedang menunggu keputusan SPM. Perjalanan kami memakan masa hampir 8 jam untuk menaiki bas ke Melaka sebelum saya mengambil bas lain untuk ke Tampin. Saya tidak memikirkan sangat perit perjalanan kerana saya sedar diri sendiri yang tetap bukan sesiapa.

Mungkin salah saya juga kerana datang awal sehari ke tempat tersebut. Jadi saya memahami penganjur kurang melayan keperluan saya. Alhamdulillah, mujur ada kawan saya Nurul Najihah yang tinggal berdekatan kawasan itu dan membawa saya keluar bersama adik. Okey abaikan perihal itu, wink wink.
Tajuk yang saya sampaikan adalah Enrich Your Mind dimana saya banyak tekankan kepada kuasa minda iaitu mentaliti. Mungkin kerana tiada pengalaman langsung dalam bidang 'penceramahan' ini, saya kurang berjaya mengawal audiens yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah. Saya sedikit gugup dan penglihatan pun jadi semakin kabur. Mujurlah kawan saya turut sama membantu. Urusetia yang ada juga memberikan pertolongan. Alhamdulillah, saya sangat sangat banyak belajar melalui pengalaman
pertama ini. Masa yang diberikan kepada saya selama sejam, bertambah menjadi sejam setengah.
Alhamdulillah, terasa aura yang luar biasa tatkala melihat audiens tersenyum puas. Terima kasih penganjur, adik2 urusetia dan audiens.

Saya bergerak ke destinasi kedua iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Puteri terletak di Besut Terengganu. Kali ini, saya diminta untuk mengisi slot motivasi pelajar tahun 6 yang bakal menduduki UPSR. Rupa-rupanya hari itu adalah Majlis Temu Murni Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah tersebut. Segan juga kerana guru-guru turut berada disitu.

Alhamdulillah respon yang diberikan oleh audiens sangat menggalakkan. Mereka teruja
melihat gambar-gambar sepanjang saya di bumi Australia dan seterusnya membangkitkan semangat mereka untuk belajar. Tajuk ceramah saya kali ini adalah Kita Mampu Berjaya dan antara poin penting adalah bangkit dari kegagalan. Saya cuba sedayanya meyakinkan mereka agar tidak mengalah selagi daya masih ada untuk berjuang. Alhamdulillah, secara tidak langsung saya menasihati diri saya sendiri jua.

Alhamdulillah, Alhamdulillah. Kali ini gugup saya berkurangan berbanding sewaktu saya di Tampin. Segala kelemahan yang dulu, saya cuba atasi sungguh-sungguh. Alhamdulillah.
(alamak, takde pulak gambar di Sk Bukit Puteri sebab saya tertinggal dalam komputer rumah, jadi ganti dengan gambar bawah ni aci tak? hehe)

Destinasi terakhir saya sebelum cuti musim panas saya berakhir adalah Maktab Rendah Sains Mara Besut, Terengganu. Saya rasa, undangan ini paling istimewa. Saya tegaskan pada diri bahawa saya tetap bukan siapa-siapa untuk diberikan layanan istimewa atau demand sesuka hati. Niat saya hanyalah untuk berkongsi pengalaman menulis dan juga merantau dengan audiens. Jika matlamat itu tercapai, itu sudah cukup mencukupi bagi saya.

Alhamdulillah, saya dijemput dan dihantar pulang oleh pemandu MRSM. Keperluan saya sentiasa diawasi, dan untuk itu amat saya hargai. Terima kasih.

Tajuk yang dipilih adalah Penulisan dan Pelajaran, Mampukah Seiring? adalah tajuk yang paling saya gemari kerana ia melibatkan cinta saya dalam bidang penulisan.

Hati saya terusik apabila ada seorang murid perempuan mengintai-ngintai dari luar de
wan kecil. Apabila saya bertanya, dia meminta izin dari saya untuk mendengar ceramah saya kerana kelasnya tidak terlibat dalam sesi itu. Kesungguhannya benar-benar membuatkan saya menghargai sesi selama 2 jam yang diberikan kepada saya.

Dalam sesi itu, saya utamakan tugas kita sebagai khalifah Allah di muka bumi ini yang punya tanggungjawab. Dan melalui itu, saya tonjolkan peranan penulis yang mampu mengubah paradigma dunia melalui karya yang dibina.

Saya jelaskan kepada mereka bahawa penulis dan pelajar berkongsi keperluan yang sama iaitu BUKU, ILMU, USAHA, GURU, dan TAWAKAL. Maka untuk menyeimbangkan antara penulis dan pelajar, mereka perlu memiliki keupayaan mengurus masa yang sistematik. Banyak lagi falsafah yang saya selitkan dengan harapan tumbuh cinta dalam hati mereka untuk mula menulis.

Alhamdulillah, pelajar-pelajar memberikan respon yang memberangsangkan, di penghujung slot saya, mereka membawa wang untuk membeli novel saya. Oleh kerana tidak dapat memberikan tandan tangan bersama novel, mereka berebut-rebut menghulurkan buku tulis untuk saya tanda tangani. Pelajar-pelajar perempuan mendahului dan saya kelibat pelajar lelaki beransur hilang.


Setelah pelajar perempuan tiada, saya bergegas mahu pulang dan alangkah terkejutnya saya apabila ada pelajar-pelajar lelaki yang muncul dan membawa buku notanya untuk saya tanda tangani. Nampak benar mereka tidak mahu pelajar perempuan melihat keterujaan mereka dalam bidang penulisan.


Masih saya ingat bicara mereka,


"Kak, tanda tangan dalam buku ini ya. Tanda tangan dia kali sebab satu untuk saya dan satu untuk kawan saya,"

Saya usahakan untuk mencatat semampunya kata-kata semangat untuk setiap daripada mereka. Majalah-majalah Tunas Cipta yang saya bawa habis kerana minatnya mereka untuk belajar dan menulis dalam masa yang sama. Itu sungguh di luar jangkaan saya.

Alhamdulillah, alhamdulillah....Sekadar itu perkongsian dari saya. Saya tidak sertakan rakamannya disini, kerana saya sedar kemampuan saya sebatas mana. Insya Allah saya akan terus belajar belajar dan belajar untuk menjadi insan yang lebih baik :-)))