Wednesday, June 15, 2011

Sepanjang Kembara ini........

Hampir 5 bulan sudah, aku di bumi Sydney. Aku masih mampu bernafas dan menikmati kehidupan dengan izin Tuhan. Kerana itu, aku sangat bersyukur kerana Allah masih beri aku peluang.

Allah hendak memberiku pelajaran, pengajaran – agar aku menghargai nilai sebuah kehidupan. Pelbagai dugaan Dia anugerahkan. Dan sesungguhnya segala dugaan itu mengajar aku erti syukur menjadi hamba. Seorang hamba yang tidak punya apa-apa pun jika Allah tidak mahu memeliharanya dari segala permasalahan yang melanda mandala dunia. Namun hamba, yang selalu tenggelam dalam warna-warni dunia ciptaannya sendiri, sering lupa, lupa dan lupa akan kewujudan Sang Pencipta.

Maka terheretlah hamba dalam daerah lupa, lalu menjadi lalai dan kecundang di tengah-tengah perjalanan. Dan hamba itu, pernah seorang aku menjadi seperti itu. Dan aku berharap tidak mahu lagi kembali ke situ.

Allahu Allah…

Hampir 5 bulan aku meninggalkan bumi Malaysia, Allah telah mengambil 2 orang sahabatku. Sahabat yang pernah aku berkongsi tawa dan suka. Sahabat yang pernah aku usik dan cubit pipinya. Dan akhirnya, sahabat-sahabat itu juga yang mengingatkan aku tentang kematian yang makin hampir, yang pasti.

Almarhum Abdillah Hafiz, teman sekerjaku semasa memegang jawatan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar. Dia diambil Allah semasa aku sedang bergembira mahu terbang. Aku masih ingat Abdillah, dengan kamera DSLRnya, tersenyum dan diam sahaja. Dalam bilik mesyuarat, selalunya aku, Fida, Aini Syafinas akan mengusiknya. Malah dimana-mana sekalipun, aku gemar amat mengusiknya kerana sifat diamnya itu.

Pemergiannya amat dirasai, biarpun tidak lama perkenalan kami. Rasa erat, rasa kuat persahabatan itu kerana dikelilingi oleh sahabat-sahabat JPP yang lain, masih terkesan hingga kini.

Abdillah, semoga dirimu aman disana.

Almarhumah Siti Umirul Syahirah, baru semalam dia pergi menemui Ilahi. Aku pegun sahaja menerima khabar itu. Terbayang wajah bersihnya. Dia juga pendiam, suka mengukir senyum. Jarang benar dengar dia berkata buruk akan seseorang, ah! mungkin tidak pernah. Setiap kali usrah, hati kami akan bersatu. Cinta makin mekar malah menerbitkan rindu. Ummi seperti adikku, kerana aku hidup setahun lebih lama dari dirinya. Namun, Allah lebih Berkuasa, kerana dia pergi dahulu sebelumku.

Dia koma saat aku sampai ke sini. Masihku teringat temanku Hasbullah menghantar mesej di YM,

“Datanglah sebelum terlambat..”

Namun kerana kekangan dan pelbagai halangan aku tidak mampu ke sana, menatap wajah sucinya. Maafkan kakak adikku. Kakak pasrah dan redha dengan pemergianmu.
Hari terakhir sebelumku pulang, entah mengapa aku tergerak hati melawat kamarmu di IPG. Wajahmu girang bersama teman-temanmu yang lain. Tidak lama, tidak lamaku berada disana. Sekadar duduk sebentar, mengucapkan selamat tinggal. Cuma aku tidak menyangka, selamat tinggal yang kuucapkan padamu, adalah buat selama-lamanya.

Allah menyayangi kalian berdua. Walau tidak lama kita mengenali, namun memori ini akan terus bersemadi dalam taman memori. Aku tahu, keluargamu pasti lebih bersedih akan kehilanganmu. Semoga mereka bertabah dan dikurniakan ketenangan.
Allah sedang mengajarku nila seorang sahabat. Apakah layaknya seseorang mendambakan seorang sahabat sejati andai diri ini masih terkontang-kanting tiada arah tuju?
Aku, seorang hamba yang tidak punya apa-apa, punya impian dan cita itu. Aku insafi, kelemahan diri yang tidak melengkapi cirri-ciri sahabat sejati. Maafkan aku wahai teman-teman.

Sahabat, seharusnya melengkapi. Sahabat, seharusnya sentiasa ada walau susah dan senang. Sahabat, seharusnya menerima kelemahan, kekurangan dan kelebihan sahabatnya. Sahabat, seharusnya yakin dengan sahabatnya dan tidak pernah memperkecil-kecilkan sikap, pandangan, kebolehan sahabatnya. Sahabat, seharusnya menghormati dan menjaga hati sahabatnya penuh ikhlas dan tiada rasa benci.

Jika terbit benci, apakah mampu sebuah persahabatan itu dikekalkan? Bersahabat sampai syurga, mampukah aku menggapainya? Allahu Allah.
Terkadang aku mempersoalkan, kenapa tiada siapa yang memahamiku? Kenapa? Adakah aku yang bersalah? Adakah aku memang manusia yang tidak berguna? Adakah aku yang tidak mahu mengerti? Adakah aku yang salah? Adakah aku?

Ya Allah, aku hampir lelah mencari sahabat sejati. Hingga satu saat, aku mahu memilih untuk hidup sendiri. Aku benar-benar mahu hidup sendiri sehinggalah akhirnya aku disedarkan dengan hakikat sebenar kehidupan manusia. Ya Allah, ampunilah aku.

Sering aku coretkan, dalam karya yang aku tukangi. Figura-figura sahabat yang aku inginkan, yang aku impikan. Entah, mungkin aku sahaja yang suka terbang tinggi melangit, padahal akan jatuh ke bumi bila-bila masa sahaja. Allahu Allah.

Ya Allah, bimbinglah aku untuk menjadi seorang sahabat yang baik kepada sahabatku, walaupun jika Kau takdirkan aku tidak akan punya walau satu.

Ya, aku yang salah, kerana tidak mencuba untuk membetulkan salah itu.

Sayang kamu, sahabat-sahabatku ;;; Ex SK Tanah Merah, Ex SK Pusat Jerteh, Ex SMK Tengku Mahmud, Arabic Language Center Nilam Puri, IPG Kampus Pulau Pinang, Macquarie University Sydney.


SAHABAT, DALAM KABUR KU TERCARI-CARI CAHAYA
AKHIRNYA KUTEMUI SINAR CERIA DI RAUT WAJAHMU
ANDAINYA ALAM INI MAMPU BERKATA-KATA
PASTILAH PUJIAN BUAT DIRIMU
DIWAKTU ITU AKULAH YANG BERTUAH
PUNYA SAHABAT SEPERTIMU

SAHABAT, KAU BIMBINGLAH MENUJU CAHAYA ILAHI
SAHABAT, AKU LEMAH MENGHARUNGI RANJAU DUNIA
SAHABAT, AKU INGIN SEPERTIMU DALAM KETENANGAN
MENGHADAPI HIDUP INI

SAHABAT, KUBERSYUKUR KERANA MENGENALI DIRIMU
KU HARAP KITAKAN TERUS BERSAMA
MENGHADAPI SEGALA SUKA DUKA
MOGA KEJAYAAN MILIK KITA..

SAHABAT, MAMPUKAH KITA BERSAMA SAMPAI SYURGA?

Friday, June 3, 2011

Lempeng Pak Leman

LEMPENG PAK LEMAN
Oleh Thoyba Mursyidah
http://piuhdebu.blogspot.com/


SIAPA tidak tahu kelazatan lempeng Pak Leman. Lempengnya pasti habis licin, tidak pernah ada yang tidak terjual. Pekerja Pak Leman juga ramai. Kerja mereka hanya membuat lempeng. Hendak kata ada ramuan rahsia, tiada pula. Lempeng Pak Leman lempeng biasa. Tepung, air, sedikit garam dan kadang kala ada yang minta diletakkan telur. Semudah itu sahaja bahan-bahannya. Namun, lempeng Pak Leman tetap laku dan tiada siapa yang mampu menandinginya.

Cawangan kedai lempeng Pak Leman bertambah. Pasarannya meluas. Lempeng seakan-akan menjadi makanan wajib bagi penduduk negara itu. Pak Leman yang sudah tua, berjanggut putih dan gemar berkopiah lusuh itu sering berada di kedainya sehingga lewat malam. Hatinya berbunga-bunga sentiasa. Kadang-kadang dia tidak menyangka makanan seringkas itu mampu memberikan keuntungan yang berlipat ganda.

Hari demi hari pelanggan Pak Leman bertambah. Setiap daripada mereka seakan-akan ketagihan untuk datang semula. Apabila ditanya apa yang menambat selera mereka, lancar mereka menjawabnya.
“Lempeng ini gebu, enak sekali!”
“Kena dengan citarasa orang kita!”

Jawapan-jawapan itu membuatkan Pak Leman bertambah girang. Sekarang dia yakin bahawa usaha yang metah keras bernilai untuk menempa kejayaan.
“Tidak kiralah apa-apa pun yang kita pertaruhkan atau usahakan, yang paling utama adalah kesabaran dan kesungguhan. Hasilnya nanti pasti tidak akan mengecewakan,” Pak Leman berujar dalam satu rancangan bual bicara di stesen televisyen terkemuka negara.

Pak Leman sudah terkenal kerana kejayaan luar biasanya menembusi pasaran dalam dan luar negara. Berbekalkan lempeng biasa, Pak Leman menjadi usahawan yang disegani dunia. Isterinya, Mak Limah pula tersenyum bangga. Walau setinggi mana pujian dan publisiti yang mereka terima, Pak Leman dan Mak Limah tetap berbaju melayu dan berkain sarung. Mak Limah apatah lagi, tetap dengan kurung kedah dan kain batiknya. Iklim dan persekitaran yang penuh rona, langsung tidak menjentik angin perubahan pada diri mereka.


“Aku Leman dan kau tetap Limah, isteri aku. Tidak perlulah kita jadi orang lain,” Bisikan manja Pak Leman pada Mak Limah itu tepu makna. Mak Limah tersenyum simpul lalu mencubit lembut lengan Pak Leman. Kebahagiaan memeluk pasangan tua itu.

Beberapa tahun kemudian perniagaan Pak Leman terus berkembang maju. Semakin ramai usahawan-usahawan muda mendapat bimbingan daripada Pak Leman. Dia tidak pernah lokek untuk berkongsi pengalaman dan idea walaupun dia sendiri kadang kala masih tidak mengerti kenapa lempengnya digemari.
‘Rezeki dari Tuhan,’ Tersisip kalimah itu di kalbu. Bibir Pak Leman mengoyak senyum.

Permintaan pada lempeng Pak Leman meningkat. Kini Pak Leman dan Mak Limah sudah berkali-kali mengerjakan umrah, melawat dan memberi sumbangan ke rumah anak yatim, menghulurkan bantuan ke negara-negara yang dilanda bencana dan banyak lagi. Pak Leman dan Mak Limah seakan-akan menjadi ikon usahawan berjaya dalam negara. Tidak usah ceritalah perihal rancangan-rancangan di stesen radio atau televisyen. Hampir semua stesyen sudah dijejaki Pak Leman dan Mak Limah.

Beberapa ketika kemudian, buah hati pasangan itu pulang dari negara orang. Anak mereka Mamat, menuntut ilmu di sana. Menurut sumber di akhbar dan televisyen, Mamat belajar di sebuah negara paling berkuasa di dunia. Maka pulanglah seorang Mamat yang membawa pemikiran yang baru untuk Pak Leman dan Mak Limah. Ibu bapa mana tidak gembira melihat anak tercinta pulang setelah dua puluh tahun bertapa di negeri orang.
“Dua puluh tahun Mamat disana, bukan untuk bersuka ria. Sebab itulah Mamat belum berkahwin.” Mamat hendak bergurau. Pak Leman dan Mak Limah tersengih-sengih bahagia dalam semput.
“Mujurlah kau balik sekarang. Mulanya, bapak ingat kau akan balik bila kami sudah tidur dalam kubur,” Pak Leman menyindir. Dalam bauran bahagia, dia sedih juga. Dua puluh tahun bukan tempoh yang singkat. Dia sendiri sudah uzur benar. Mak Limah pula sering tidak sihat, malah asyik berulang-alik ke hospital.

Mamat menggaru-garu kepalanya. Rambutnya sudah beruban satu. Seingatnya, dia meninggalkan tanah air pada usia lapan belas. Keseronokan bekerja dan menimba pengalaman di negara orang menyebabkan dia lupa untuk pulang. Rindu yang bertandang ditahan dengan asbab, masih belum cukup waktu merantau.
“Bapak dan Mak berehatlah, biar Mamat uruskan perniagaan lempeng itu,” Mamat menawarkan diri. Pak Leman terbatuk-batuk. Mak Limah menepuk-nepuk belakang suaminya.
“Tahu pula aku jual lempeng ya?” Mamat berdehem mendengar kata-kata Pak Leman.
“Masakan saya tidak tahu. Di internet sahaja carian ‘Lempeng Pak Leman’ sungguh banyak sekali,” Mamat berkata jujur. Pak Leman ketawa kecil.
“Ya, kau uruskanlah, aku pun sudah tua benar. Entah esok atau lusa diambil Tuhan,” Mamat tersentak. Dia merenung wajah Pak Leman dan Mak Limah.
“Mamat ada cadangan untuk memajukan lagi perniagaan bapak. Kalau selama ini bapak hanya jual lempeng biasa, apa kata bapak variasikan perisa. Nah! Barulah ada pilihan,” Bersungguh Mamat berhujah. Pak Leman dan Mak Limah diam.
“Mana kamu belajar ini Mamat? Dibuatnya pelanggan aku tidak suka bagaimana? Pak Leman menguji. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu mengecewakan pelanggannya. Keuntungan bukanlah keutamaan Pak Leman dan Mak Limah tetapi kepuasan pelanggan lebih menjadi kepentingan.
“Di negara tempat Mamat tinggal dulu, mereka pelbagaikan perisa dan ramai yang menggemarinya,” Mamat menambah isi hujahnya lagi. Pak Leman mengangguk-angguk.
“Oh, negeri kamu tinggal dulu ada lempeng juga ya,” Mak Limah terlopong. Pak Leman tertawa mendengar respon isterinya. Mamat pula membatu, tidak tahu hendak memberi hujah yang padu.
“Buat kerja kena berstrategi, baru hasilnya sempurna,” Pak Leman melurut-lurut janggut putihnya.
“Mamat ada kawan-kawan yang mahir dalam perniagaan. Mereka lulusan Doktor Falsafah dalam bidang perniagaan, sama seperti Mamat. Bapak dan mak jangan risau,” Mamat bersemangat.
“Seimbangkan iman dan akal. Kadang-kadang nafsu boleh menipu,” Pak Leman berpesan. Mamat mengangguk-angguk laju.
***

Enam tahun perniagaan lempeng Pak Leman diuruskan oleh Mamat. Resipi asal lempeng Pak Leman diubah. Pelbagai perisa dicipta. Cara-cara membuat lempeng bertukar. Mamat dan kawan-kawannya yakin perubahan itu menguntungkan. Perubahan itu terlalu drastik untuk penggemar lempeng Pak Leman. Enam tahun itu menjadi zaman gelap.

Enam tahun angin perubahan melanda. Pada mulanya seluruh pelanggan lempeng Pak Leman terkejut. Ada yang menangis, ada yang meraung dan ada yang marah kerana tidak mahu perubahan itu terjadi. Selera mereka seakan-akan sudah sebati dengan resipi asal lempeng Pak Leman.

Enam tahun itu dipenuhi dengan pelbagai demonstrasi. Ramai pelanggan-pelanggan lempeng Pak Leman menuntut perubahan itu dihentikan. Mereka amat menderita kerana tidak dapat lagi menikmati keenakan lempang Pak Leman yang sebenar.

“Bertahun-tahun kami bahagia, jangan rosakkan nasib bangsa!”
“Kembalikan apa yang kami mahu!”



Papan-papan tanda itu dijulang oleh orang ramai yang menjadi pelanggan setia lempeng Pak Leman. Fanatik amat pada resipi turun-temurun itu sehingga sanggup melakukan demonstrasi dan forum-forum yang membincangkan perihal lempeng Pak Leman itu. Pejabat utama Pak Leman sering dipenuhi orang ramai. Mujurlah tidak berlaku rusuhan.

‘Parah! Ada sebelas badan bukan kerajaan sudah mula melancarkan bantahan. Mereka mahukan lempeng asal Pak Leman,’ Hati Mamat menjerit membaca mesej dalam kantung emel. Dia semakin berserabut. Sungguh dia tidak menyangka selama enam tahun dia mempertahankan perubahan yang dilakukan. Tidak dinafikan ada juga yang bersetuju dengannya namun jumlahnya amat sedikit.

“Aduh, apa yang harus aku lakukan?” Mamat melonggarkan tali leher yang dipakainya. Dia bangun daripada kerusi dan warawiri dalam bilik yang tidak seberapa agam itu. Pejabat milik Pak Leman itu masih riuh dengan ahli-ahli demonstrasi di luar bangunan.
***


“Kita kena tamatkan semua ini,” Kata seorang pemegang saham syarikat perniagaan Pak Leman. Mamat memandang Fadhil iaitu kawannya sendiri.
“Enam tahun kita buat semua ini, semudah itu sahaja hendak berhenti?” Mamat melenting. Bilik mensyuarat jadi sepi seketika.
“Itu bukan isunya. Tiada masalah untuk kita mengekalkan apa yang pelanggan mahu,” Seorang lagi ahli mesyuarat menjawab.
“Kita sudah laburkan wang yang bukan sedikit untuk perubahan ini, malah berbilion-bilion wang telah kita leburkan,” Mamat menanggalkan cermin matanya dan diletakkan ke atas meja. Perkataan ‘lebur’ itu menyebabkan ahli-ahli mesyuarat menelan liur.
“Suka atau tidak, kita mesti hentikan semua ini. Sekarang, dimana-manapun orang akan bercerita tentang perubahan yang kita laksanakan. Dalam surat khabar, televisyen, radio malah di kaki lima pun. Jika tidak mahu perniagaan ini lingkup dan nasib beribu-ribu pekerja kita hancur, lebih baik kita kembali pada resipi asal Pak Leman,” Fadhil bertegas. Ahli-ahli mesyuarat lain mengangguk-angguk lagi, tanda setuju.
Bilik mesyuarat menjadi panas. Mamat tertekan. Otaknya berputar ligat mencari jawapan terbaik untuk Pak Leman. Walaupun dia tahu Pak Leman tidak akan marah, dia mula merasa bersalah. Pesan Pak Leman terngiang-ngiang di telinga.
“Seimbangkan akal dan iman, kadang-kadang nafsu boleh menipu,” Wajah tenang Pak Leman terbayang-bayang di wajah Mamat.
Asakan bertubi-tubi menyerang meminta perubahan resipi lempeng Pak Leman dihentikan semakin menjadi-jadi. Berita sebelas badan bukan kerajaan yang berpadu untuk menentang perubahan selama enam tahun itu benar-benar sebuah kenyataan. Mereka membawa suara penggemar-penggemar lempeng Pak Leman atas dasar hak pengguna. Kecoh satu negara kerana mahukan lempeng Pak Leman yang asli. Tidak tahu perkataan apa lagi yang harus digunakan untuk menggambarkan kekalutan yang berlaku.
Di suatu sudut, Mamat bersandar pada dinding dalam biliknya. Pandangannya seakan-akan mampu melihat usaha Pak Leman berkecai di udara.
***

“Hentikan saja. Aku tidak marah pun pada kamu,” Pak Leman masih begitu, berbaju melayu dan berkain pelikat. Mak Limah masih memakai kurung kedah dan berkain sarung. Ya, masih seperti dahulu. Mamat terduduk.
“Kesian pada mereka kerana rindukan lempeng aku, berilah sahaja apa yang mereka mahu,” Pak Leman berbicara lagi. Mak Limah tersenyum sahaja.
“Tapi, kita..” Ayat Mamat terhenti setelah dipintas Pak Leman.
“Rugi? Aku tidak kisah sebab apa yang paling penting orang kita senang, gembira, dan tidak bermusuhan sesama mereka. Hari-hari ada sahaja yang membahaskan perihal perubahan resipi lempeng aku, tidak hairanlah jika ramai orang kita bermasam muka sesama sendiri,” Kata-kata Pak Leman itu tepat menusuk jantung Mamat, pedih amat.
“Bapak, Mamat hanya mahu orang kita bergerak ke hadapan, itu sahaja,” Mata Mamat berair, tetapi sedayanya menahan gelora perasaan yang memuncak. Pak Leman menguntum senyum.
“Kalau sampai memudaratkan generasi mendatang, apa gunanya,” Mata Mamat terbuka luas. Jiwanya terasa kosong.
***

Wartawan memenuhi dewan. Perkarangan pejabat Pak Leman disimbahi cahaya kamera. Hari itu hari yang dinanti-nati oleh penggemar lempeng Pak Leman. Hari itu hari bersejarah dalam dunia perniagaan. Beribu-ribu orang menunggu didepan kaca televisyen.
“Umumkan keputusan kamu,” Mata Pak Leman dan Mak Limah terkenyit-kenyit menahan letupan kecil cahaya dikiri dan kanan. Seluruh pandangan tertumpu pada tiga beranak itu.
‘Seimbangkan akal dan iman, kadang-kadang nafsu boleh menipu,’ Ayat keramat itu berhembus ditelinga. Mamat mengepam bibir lalu mendekat ke mikrofon.


TAMAT


TUNAS CIPTA JUN 2011