Sunday, August 21, 2011

Pertama kali menjadi 'pertama'


2 hari lepas, saya terima khabar dari seorang teman penulis, sdr Hazwan.

Sungguh tidak saya duga, saya adalah pemenang tempat pertama Sayembara Menulis Cerpen Anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka serta Kementerian Belia dan Sukan sempena Hari belia 2011.

Tercengang, tergamam. Saya langsung tidak menaruh sebarang harapan semasa menghantar cerpen bertajuk 'CATATAN REVOLUSI' itu.

Pelbagai rasa yang bercampur dalam jiwa.

Semoga anugerah ini tidak melalaikan saya.

Semoga anugerah ini tidak menjatuhkan cita-cita saya.

Semoga anugerah ini tidak memesongkan matlamat saya.

Semoga anugerah ini, meningkatkan taqwa pada Allah Yang Esa.

Terima kasih pada semua yang memberi sokongan dan dorongan sepanjang saya menulis.




Friday, August 12, 2011

Thoyba's Studio



Alhamdulillah

Insya Allah, saya yakin ini hadiah Ramadhan saya.

Alhamdulillah.

Selama ini saya bermain-main dengan lensa

Saya bernyanyi-nyanyi dengan plot

Saya bersenda tawa dengan arahan

Saya berkejar-kejar dengan teknikal

Saya bermimpi-mimpi dalam impian

Insya Allah ini adalah permulaan.

Insya Allah

Semoga Allah permudahkan

Langkah ini, harus diteruskan

Berminat sertai team saya?

Team ini mahu mengubah stigma masyarakat terhadap hiburan.

Jika selama ini hiburan semakin meloyakan, ayuh kita bersihkan semula dengan kekuatan yang kita ada sebagai pemikir Islam.

Terima kasih.


untuk logo yang menarik itu, Terima kasih buat kesayanganku Dalila :-)

Monday, August 8, 2011

Peluang Hidup Kedua

Sungguhlah, Ramadhan kali ini benar-benar menguji.

Saya hendak cerita, pengalaman yang baru terjadi 2 hari yang lalu.

Seingat saya, masa tu baru habis program tentang indahnya Ramadhan. Lain macam, saya banyak benar bercakap berbanding mendengar. Tiada apa yang aneh saya kira. Mungkin saya yang gatal mulut untuk beri pandangan.

Mula-mula tubuh rasa sangat ringan. Mula-mulanya perasan berat badan turun, dan sesungguhnya itu tidak benar. hehe.

Saya berbuka seperti biasa. Makan hari itu agak banyak, ramai-ramai dalam satu dulang. Tomyam dan telur gorengng memang menyelerakan.

Malam itu, entah mengapa saya terasa hendak tidur di rumah kawan. Malas hendak pulang ke rumah. Di rumah kawan saya Izzaty, kami sibuk mencari tiket untuk pulang ke Malaysia. Tidak sampai 5 minit saya memandang skrin komputer, mata terasa kabur. Leher terasa berat. Jadi saya ambil keputusan untuk baring seketika kerana hendak menyambung semula novel yang ditulis.

Bila saya merebahkan diri, badan saya seakan terkunci. Saya cuba menggerakkana jemari tetapi tidak berjaya. Izzaty memanggil-manggil nama saya berkali-kali namun saya tidak mampu untuk memberikan respon. Mata saya makin kabur dan kemudiannya gelap. Kelopak mata saya tidak mampu dibuka tetapi tatkala itu saya masih sedar.

Dada terasa berombak. Seakan ada sesuatu mencengkam jantung saya dengan kuat. Mula-mula terasa sakit di dada, kemudian kerongkong dan ianya makin hampir ke bawah dagu. Sakit amat, tidak mampu saya ungkapkan bagaimana. Nafas saya tersekat-sekat.Semasa berada dalam keadaan sebegitu, wajah ummi dan abah terbayang-bayang dimata. Kesakitan, ketakutan, kerisauan bercampur sehingga air mata saya mengalir tanpa henti.



Dalam hati saya, tidak henti-henti saya mengucap.

"Lailahaillah, Muhammad Rasulullah"

Berkali-kali sehingga saya tidak sedarkan diri. Berselang-seli dengan kalimah suci, saya sempat menjerit dalam hati.

"Ya Allah, aku tidak mahu mati lagi! Aku merayu!"

Itu sahaja yang saya ingat.

Setelah saya sedar, saya sudah berada dalam ambulans menuju ke North Ryde Hospital. Tudung saya tidak ada. Saya menangis lagi kerana aurat saya terbuka. Paramedik yang berada dalam ambulans itu adalah lelaki Australia. Sehingga itu, saya rasa pandangan ini gelap semula.

Pulang kerumah keesokan harinya, Izzaty menceritakan segalanya kepada saya.



Saya tidak sedarkan diri hampir 20 minit. Gigi saya kancing. Mata saya tertutup rapat. Dia panik seorang diri, kesian Izzaty. Dia menghubungi kak Siti Noor, seorang bakal doktor. Izzaty mengikut segala arahan kak Siti Noor seperti mengiringkan badan saya, membuka mulut saya, dan menyuluh mata saya dengan lampu suluh.

Izzaty kata, anak mata saya bergerak sedikit. Kemudian, tidak bergerak langsung. Kak Siti Noor bimbang saya akan koma jika dibiarkan. Lalu dia menyarankan Izzaty menghubungi paramedik.

4 orang paramedik lelaki tiba dengan ambulans. Kata Izzaty, mereka keluarkan banyak barang yang menakutkan. Jemari saya dipicit sehingga sakit. Saya merasai kesakitan itu, cuma saya tidak mampu respon sahaja. Selepas itu, sedar-sedar sahaja, saya sudah berada di hospital. Allahu Allah.

Saya makin pulih walaupun saya tidak tahu apa penyakit saya. Doktor kata saya tertekan. Tapi saya tak tertekan pun. Doktor kata lagi, saya perlu mengurangkan penggunaan otak. Seingat saya, saya bukanlah orang yang selalu berfikir. Saya banyak bermain.

Namun, ujian ini seakan petanda. Petanda yang menunjukkan kawan-kawan saya baik belaka. Saya sedih, saya tahu. Semalam semasa saya hendak tidur, Izzaty letak jari dia bawah hidung saya. Dia bimbang saya tak bernafas lagi. Saya sedar kawan-kawan saya cium dahi saya. Saya minta maaf. Saya cuma tidak berdaya untuk ucap terima kasih. Saya sedar kawan saya sudah bersusah-payah masak bubur nasi, buat jus strawberry, masak kuih, dan macam-macam lagi. Tapi saya tak berdaya nak beri senyuman pun semalam.

Ujian itu menyebabkan saya berfikir banyak perkara. Perancangan manusia itu tiada berguna andai tiada kebergantungan kita kepada Allah. Sehebat mana perancangan manusia itu, akan tidak ketemu kejayaan andai Allah tidak redha. Saya reflek diri, mungkin kerana saya terlalu banyak perancangan tentang itu dan ini, Allah mahu mengingatkan saya bahawa yang abadi itu hanya Dia. Maka Allah mengingatkan saya dengan rasa sakit. Allah mengingatkan saya dengan rasa hilang nikmat bernafas. Allah mengingatkan saya dengan meletakkan saya di ambang hujung nyawa. Terima kasih Allah. Sesungguhnya pengalaman itu benar-benar mengajar saya. Cinta Allah cinta abadi.



Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim. Terima kasih kerana beri aku peluang kedua untuk hidup. Mujurlah aku tidak koma. Kau beri aku peluang untuk bertaubat dan menjalani kehidupan yang lebih baik. Sesungguhnya aku tidak mahu pergi dalam keadaan menyusahkan ummi, abah, adik-adikku dan sahabat-sahabatku. Aku mahu pergi tanpa menyusahkan orang lain. Allahumma Amin, terima kasih ya Allah.

Friday, August 5, 2011

Cerita Ramadhanku~Mungkin cerita kita sama :-)

Alhamdulillah

Sedar tak sedar, Ramadhan tiba juga akhirnya.
Kali ini memang berbeza dan mengesankan untuk seorang aku.
Di perantauan, dimana sekelilingnya adalah manusia yang tidak tahu pun apa itu Ramadhan?

Agak perit jugalah sebenarnya kerana setiap kali ada kuliah yang sampai pukul 5, masing-masing duk pandang sesama sendiri sebab masa tu dah berbuka. Apa pun tak masak, haa ye lah nak masak apa kalau duk dalam kelas sepanjang hari.

Maka, terbitlah pakatan nak keluar dari kuliah sebelum ianya tamat sebab waktu berbuka masuk pukul 4 atau 5 petang. Biskut dan air paiplah yang menjadi santapan kami.(fakta: air paip di Australia selamat diminum mentah-mentah)

Malamnya, ketika saat hendak berterawikh,ahli-ahli rumah menghafal bacaan solat terawikh. Kalau dulu, main ikut je orang di surau. Maklumlah, mana ada giliran jadi imam ke masa tu kan. Sekarang, semua sendiri-sendiri. Kalau diri tiada usaha, tiada daya, senang sahaja nak hanyut, dan tak buat semua tu. Bahkan, bab ibadah ni, kalau kita sendiri memilih untuk tak buat, memang ke lautlah jadinya akidah. Secara seriusnya, hidup di perantauan adalah mengenai pilihan.



Terpulang kepada kita untuk memilih ke arah bagaimana. Baik atau sebaliknya.

Hendak berbuka, itu satu lagi babak sayu dalam kehidupanku disini. Setiap hari duk fikir hendak masak apa. Kalau di Malaysia, beli kat kedai je. Takdenya susah-susahkan diri hendak memasak. No no! Tapi memang secara serius, aku belajar dan belajar untuk memaksa diri agar memasak. Sesungguhnya aku memang seorang manusia yang amat malas memasak sesuatu ketika dahulu. Kerana desakan hidup yang menekan disini, aku telah berjaya dengan cemerlangnya untuk memasak masak lemak cili api, masak asam, kari, dan menu-menu lain sehingga aku sendiri kagum dengan diri sendiri. haha, ok memang poyo. Tetapi itulah realitinya. Sangat banyak yang aku belajar tentang erti hidup disini.

Kemas rumah dan aku dulu memang tak faham kenapa ummi aku suruh aku basuh toilet, sapu rumah, kemas katil dan seumpama dengannya. Tetapi sekarang, aku telah merasai sendiri 'kesusahan' itu (padahal tak susah mana pun). Air mata ni rasa nak menitik je bila teringat keletihan ummi. Dan dan aku berikrar dalam diri nak buat semua kerja tu bila balik Malaysia nanti. Ummi!!! wait for along..wuhuu...

Sahur pulak, hampir setiap hari aku mimpi ummi yang kejutkan aku sahur. Kalau dulu kan, sesuka hati je bangun 5 minit sebelum subuh. Mau tak bangun pukul 5 kalau semua hidangan dah tersedia. Tunggu nak ngap je! Tapi kalau buat macam tu kat sini, ahhhahhhh, sekali lagi telan air paip je la. Siapa nak sediakan sahur. Bila disini, bangun pukul 4 dan masak dengan kawan-kawan, aku dah rasa ini akan jadi satu lagi babak sayu dalam hidup aku. Terbayang-bayang ummi penat memasak setiap hari untuk kami sekeluarga. Ummi, pengorbananmu tak terbelah bagi. Along janji, akan jadi anak yang lebih baik untuk ibu yang hebat sepertimu.



Macam-macam hikmah Ramadhan kali ini. Apa yang pasti, Ramadhan dan SYAWAL kali ini, keluargaku tidak lengkap kerana aku akan berada disini. Pertama kali, aku, anak sulung kepada ummi abahku, kakak kepada adik-adikku, tidak akan beraya bersama. Mestilah mereka akan tetap jua gembira kerana ramai-ramai sambut Aidilfirti. Aku yang parah menanggung rindu disini. Betapa Allah memberikan pelajaran berharga untukku lebih menghargai nilai sebuah keluarga.

Banyak ikrarku terpatri dalam nubari. Semoga aku benar-benar menjadi manusia yang baru nanti. Allahumma Amin.