Namun hati saya kuat merasakan, ini semua aturan Tuhan. Allah telah memberi saya sedikit kesempatan dan ruang untuk saya menghasilkan sesuatu. Betapa takutnya saya andai suatu hari nanti saya dilihat sebagai hamba yang tidak bersyukur dimata Allah andai nikmat yang saya peroleh ini tidak dikongsi dengan semua. Semoga Allah melindungi niat kita.
Okeyh, mukaddimah yang panjang pula. Proses kreatif itu sesuatu yang tidak dapat diceritakan sebenarnya. Ianya tidak boleh diajar dan dipelajari dalam sesi pembelajaran formal atau tidak. Namun dengan usaha, keinginan, ilmu, dan juga keizinan dari Allah, ilham akan datang memenuhi minda lalu terhias cantik dengan susunan plot dan watak-watak idaman andai kita mengenal apakah mesej utama dalam karya kita. Kuntum Cinta di Taman Syurga, tajuk itu akhirnya menjadi pilihan editor. Sebelum ini, nama asal manuskrip ini adalah Narwastu Cinta Ilahi. Bermula dengan angan-angan saya ingin mengetengahkan isu Islam Liberal, saya mula mencari dan mengkaji apakah sebenarnya yang menyebabkan isu itu menjadi ancaman terhadap anak-anak muda seperti saya. Dari situ saya pecah-pecahkan idea utama menjadi cabang-cabang kecil konflik yang bakal melanda.
Antara yang menjadi perhatian saya adalah bagaimanahiburan yang melampau menyesatkan fokus anak muda sehingga mereka akhirnya hidup bertemankan hiburan semata-mata. Siang dan malam hanya memikirkan keseronokan duniawi semata-mata. Saya perkaitkan dengan agenda Barat yang sememangnya sentiasa menyebarkan doktrin hedonism itu. Maka saya cuba zahirkan dengan persekitaran di dalam sebuah institu perguruan dimana ada sekelompok pelajar yang merasakan hiburanlah yang punya nilai prestij yang tinggi untuk diangkat setiap masa. Tetapi kelompok ini sebenarnya ditentang secara individu oleh watak utamanya, Fidae’i Al Humaidi dan akhirnya saya cuba mencadangk
an penyelesaian iaitu menubuhkan satu organisasi yang punya perancangan rapi untuk memadamkan pemikiran-pemikiran hedonism tersebut. Saya menggunakan perkataan ‘mencadangkan’ kerana sudah semestinya pilihan yang sebenar adalah dari pihak pembaca sendiri.
Cabang yang lain adalah manusia yang terlalu taksub dengan jemaah hingga lupa pada matlamat asal perjuangan. Saya sandarkan isu ini pada ayah Syaidi, salah satu watak yang menghidupkan cerita ini dengan sikap barannya terhadap Fidae’i Al Humaidi.
Disini saya menyedari kesilapan saya kerana tidak terlalu menonjolkan watak ayahnya. Insya Allah akan saya perbaiki untuk karya seterusnya. Saya sengaja mewujudkan watak Syaidi kerana realitinya ramai yang punya stigma negatif terhadapa golongan agamawan muda kerana pada pemikiran mereka, golongan agamawan muda begitu mudah menghukum manusia lain. Saya menulis perihal ini dengan berbekalkan pengalaman yang saya lalui jua. Bukan sekali tetapi banyak kali juga saya alaminya. Tersilap sedikit, dituduh kafir, munafiq, siapa yang hendak tahan. Jadi, anda tidak salah jika merasakan saya sedang meluahkan emosi saat menulis bab-bab tersebut. Namun tidak akan saya tinggalkan ianya kontang dengan muntahan lahar amarah sahaja. Saya cuba sesederhana termampu untun membawa watak Fidae’i Al Humaidi dan Harliana untuk menyembuhkan luka Syaidi dengan aksara-aksara hikmah. Dorongan dan sokongan tanpa henti menjadikan Syaidi lembut hati walaupun akhirnya dia tumpas jua dengan perasaan sendiri. Sebenarnya ini kembali semula kepada fitrah kita sebagai manusia. Walau setinggi mana pun usaha yang kita lakukan, ianya sia-sia tanpa keizinan Allah SWT.
Terus kepada cabang ketiga. Ketika saya bergelut menyiapkan manuskrip ini, dunia hangat dengan kiamat 2012. Maka dengan penuh rasa tanggungjawab, saya rasa wajar untuk saya berbicara mengenai isu ini kerana ianya amatlah jelas bersangkutan dengan Liberalisma- dimana sekali lagi media memainkan peranan untuk menggoyahkan akidah umat Islam. Saya pernah ditanya oleh seorang pensyarah ketika ditugaskan untuk menjaga gerai 2012 di Minggu Penghayatan Islam. Isu ini berlegar-legar dengan pantas sehingga menyebabkan global panic dalam kalangan umat Islam sendiri. Maka segalanya saya simpulkan dengan penulisan artikel yang dibawakan oleh watak Harliana dan juga penjelasan ringkas dari Ustaz Khairool Amal.
Sepanjang saya menulis manuskrip ini, saya banyak bertemankan buku-buku berkaitan isu semasa dan laman web yang rancak membincangkan soal fikrah dana akidah. Begitupun saya bersungguh menelaah, guru harus dijadikan keutamaan. Saya banyak bertanya kepada penulis mapan yang lain seperti Ibnu Ahmad Al-Kurauwi, Ustaz A.Ubaidillah Alias, Kak Ana Balqis, kak Ilya Alias dan ramai lagi.
Apabila berbicara tentang darihal watak, ya saya akui watak Fidae’i Al Humaidi itu terinspirasi dari seseorang yang saya pernah kenali. Semangat juangnya tinggi, tidak mudah berputus asa, sering berkorban masa, tenaga dan wang ringgit, kuat beribadah dan berkongsi ilmu serta setia pada komitmen. Nilai itulah saya ambil dan saya cuba tonjolkan untuk pedoman semua. Walaupun begitu, saya sering mengingatkan diri bahawa manusia itu tiada yang sempurna. Maka lahirlah watak Fidae’i Al Humaidi yang cuba bertindak dengan kudratnya sendiri. Perjalanannya penuh liku sehingga akhirnya dia sedar ada teman yang sudi menemani perjalanan, Abdillah, Harliana, Siti Bahiah dan Ehsan Fauzi..
Iffah Amani, watak ini baru beralih dari dunia yang kelam kepada dunia penuh cahaya. Cahaya yang dimaksudkan adalah cahaya ilmu. Gadis ini gemarkan ilmu sehingga keterujaannya tidak dapat dikawal untuk menguasai cabang ilmu yang banyak
Akhirnya banyak hal yang terlepas pandang kerana terlalu sibuk mengejar ilmu yang tinggi. Mencari ilmu itu ada adabnya. Oleh kerana keterujaan yang melampau itu, dia membenci manusia yang bertindak perlahan dalam menyelesaikan masalah umat. Padahal ‘perlahan’ yang dilihatnya adalah ‘berstrategi’. Namun kerana merasakan diri sudah banyak ilmu dan tahu segala-galanya, akhirnya perasaan itu menjadi penyakit hati.
Saya akui juga. Pernah merasakan hal sebegitu. Bila merasakan diri hebat, semuanya salah dimata. Mahu perbetulkan itu dan ini. Kononnya akulah paling terror, paling tahu segala. Sebenarnya, saya ingin menekankan bahawa, orang yang berilmu itu tidak seharusnya sombong dengan ilmua yang ada. Ilmu yang dirasakan banyak itu sebenarnya amatlah sedikit. Seharusnya orang yang berilmu, semakin dia berilmu, semakin dia merendah diri. begitulah akhirnya Iffah Amani belajar secara tidak sedar dari peribadi Harliana dan Fidae’i Al Humaidi.
Bagaimana harus saya tamatkan naratif ini? Banyak yang saya pelajari dari Kuntum Cinta di Taman Syurga. Plot saya tidak terlalu kemas, watak saya kurang digilap dan bahasa saya juga masih banyak peril diperbaiki. Allah SWT itu sungguh pemurah kerana memberikan saya peluang untuk memiliki buku sendiri. Kerana sebenarnya anda (anda yang membaca entri ini) mungkin lebih berbakat, berilmu dari saya dan lebih layak untuk menulis karya yang lebih hebat.
Saya masih bukan sesiapa, insya Allah mohon doa semuanya.
p/s :Terima kasih editor PTS Litera Utama, Puan Faiizah Lood yang penyabar.
3 comments:
saya teruja nak bace buku ini.
terima kasih akutoolips! :-)
salamalaik
bila nak autograf dalam buku ni..?
penat saya beli... hu2..
Post a Comment