Dalam sekeping hati itu terpelihara rasa cinta kita kepada Allah, Rasul, ibu dan ayah, adik beradik, sahabat-sahabat. Allah SWT Maha
Bijaksana, Maha Berkuasa lalu segala rasa itu tersemat didalamnya.
Penyucian hati sebenarnya bermula dengan ungkapan istighfar di bibir.
Astaghfirullah, Astaghfirullah, Astaghfirullah.
Maka apa terjadi andai ada ruang lain dalam hati yang telah kita berikan kepada manusia lain tanpa disedari. Dan apabila dia pergi, ruang dalam hati itu menjadi kosong tanpa terisi. Apabila dihakis dengan perasaan lain, ianya menjadi lohong yang besar lalu berebut-rebutlah perasaan sunyi memasukinya.
Tidak mudah untuk kita memenuhkan kembali ruang kosong yang telah ditinggalkan itu. Ruang kosong itulah yang senantiasa memagut-magut akal untuk diisi kembali.
Jika tanpa pertimbangan yang berpaksikan akidah, maka ruang kosong itu akan dicemari.
Dicemari dengan isi kemaksiatan, hiburan dan lamunan panjang.
Jika nurani dipegang rasa kebergantungan kepada Ilahi, maka ruang k
osong itu akan berseri.
Berseri dengan nur hikmah dan kerinduan pada Rabbi.
Kewujudan ruang kosong itu adalah pilihan kita. Andai hati pernah membuat pilihan dan menyerahkan kepercayaan kepadanya, bersedialah untuk dilukai atau tiba ke penghujung manis janji.
Saya ada terbaca sebuah entri di blog langitilahi.com tentang penyucian hati ataupun tazkiyatun nafs.
Hati kita perlu sentiasa dibersihkan dan ia sebenarnya mempengaruhi kualiti ibadah dan prestasi dakwah kita.
Bab hati ini tidak boleh kita tinggalkan biarpun kita sibuk sebagai daie dan berpesan kepada orang lain.
Seboleh-bolehnya jadikan berzikir sebagai contohnya mewajibkan diri untuk beristighfar sebanyak 100 kali sehari. Jadikan ia sebagai perkara wajib untuk diri anda dan anda perlu istiqamah melakukannya. Insya Allah, setelah itu langkah kita akan lebih jauh untuk proses penyucian hati selanjutnya, insya Allah.
Insya Allah insya Allah. Saya memperingatkan diri saya juga sebenarnya insya Allah.
Bercakap tentang ruang kosong, saya juga pernah mencipta ruang kosong sendiri dalam hati. Seperti yang saya katakan di atas, ruang kosong dalam hati adalah pilihan kita sendiri.
Dulu, atas dasar penuh kepercayaan dan tempoh persahabatan yang lama, saya telah memberikan sebuah ruang hati ini kepada seseorang. Saya sendiri begitu hairan dengan diri kenapa saya begitu mudah membuat keputusan.
Lalu ujian Allah datang apabila tiba-tiba sahaja ada lamaran. Saya namun, tidak tergugat. Saya menolak tanpa berfikir panjang. Datang lagi ujian Allah, dan sekali lagi saya menolak dengan yakin. Ketika itu saya benar-benar komited dengan ruang hati kosong yang telah saya biarkan terisi itu.
Hingga kemuncaknya apabila ada satu lamaran yang tidak diduga oleh orang yang saya hormati. Tanpa putus asa dia melamar lagi buat kali kedua. Ketika itu saya sedikit goyah. Namun kerana ruang hati kosong yang telah saya berikan itu, saya menolak lamaran tersebut.
Saya semakin yakin dengan ruang hati kosong itu kerana akhirnya kami terpisah jauh antara benua dan perhubungan jadi lebih terpelihara.
Namun takdir Allah menguji saya lagi apabila lamaran saya terima dari seseorang yang tidak pernah saya kenali. Dia juga tidak pernah berjumpa dengan saya tetapi begitu yakin untuk menyunting saya sebagai suri. Saya berfikir panjang kali ini. Lalu saya khabarkan kepada ummi. Dia sampaikan hajat kepada ummi dan abah, maka saya mula sedar dia benar-benar serius.
Saya buntu amat saat itu. Saya geledah ruang hati kosong itu namun tidak ketemu ketenangan. Saya cuba dapatkan kepastian namun akhirnya saya malu sendiri. Air mata saya mengalir tanpa dipinta. Namun ketenangan tetap tidak saya temui. Dan lamaran itu saya tolak jua akhirnya.
Allah SWT hendak memberi saya pengajaran. Ruang hati kosong itu sebenarnya tidak pernah terisi. Hingga akhirnya saya malu sendiri kerana setia pada komitmen yang tidak pasti. Saya ditinggalkan sepi dalam ruang hati kosong itu. Saya seakan baru disedarkan dalam mimpi yang sangat panjang.
Allah hendak memberi pelajaran buat saya, Allah hendak mematangkan saya, Allah telah memberikan saya. Terima kaih Allah. Terima kasih Allah kerana membuatkan saya menghargai setiap ruang dalam hati saya.
Buat semua sahabiah, jangan mudah memberi komitmen pada hubungan yang tidak pasti walau telah dijanjikan ikatan yang sah. Jika benar dia ingin mendiami ruang hati kosong milikmu, biarkan kata-katanya seiring tindakan jua. Jika tidak, pandanglah kehadapan dan serahkan hatimu pada Allah hingga tiba masanya imammu tiba :-)
* Walaupun kisah ini sudah lama berlalu, tiadalah niat lain selain untuk diambil iktibar daripadanya insya Allah :-)
1 comment:
terima kasih kerana saling ingat mengingati..salam ukhwahfillah..:))
Post a Comment