Tuesday, March 19, 2013

Akukah Mujahidah Itu [Episod 6]


Sebuah Langkah
Hari ini 19 Mac 2013. Lebih kurang 9 hari lagi menuju perkahwinan saya. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.
“Maka nikmat TuhanMu yang manakah yang kamu dustakan”
-Ar Rahman
Saya sendiri tidak menyangka menemukan jodoh ketika masih menyandang tugas sebagai pelajar. Namun itulah kuasa Allah SWT dan saya yakin besar ertinya untuk perjalanan yang masih panjang. Hikmahnya makin terasa membuyar dalam jiwa hari demi hari apabila saya mula mengimbas kembali perjalanan hampir 23 tahun sebagai seorang perempuan Islam yang bujang. Persoalan demi persoalan menghunjam nubari, adakah saya setulusnya menjaga hati ini untuk bakal suami saya?

Saya Yang Pesimis Itu
“Aku tak kisah apa orang kata, yang penting aku jadi diri sendiri,”
Ya, itulah yang sering saya agung-agungkan. Saya tanam dalam diri dan ianya kukuh dibentengi keegoaan. Sahabat dan saudara mengenali saya sebagai seorang yang periang dan bercakap sangat banyak. Kadang kala gurauan saya tidak pernah berhenti. Tetapi zahirnya, saya berpakaian muslimah. Dan apabila ditegur untuk diam, jaga tingkah laku, saya memberontak. Itulah saya.
Namun, Allah itu sangat baik. Dia menumbuhkan kesedaran dan tidak membiarkan saya hidup dalam iklim pesimis dan ikut kepala sendiri. Terima kasih ya Allah. Berkat tarbiyah dan dakwah sahabat-sahabat serta jentikan hidayah melalui ilham-ilham yang Allah turunkan ketika saya mengarang karya, saya cuba mengawal segala perbuatan dan perkataan.
Sungguh, ianya sukar. Sungguh! Ia menuntut kuasa sebuah mujahadah. Saya belek helaian novel pertama saya, Kuntum Cinta di Taman Syurga. Saya sebak dan malu apabila menyedari, jemari ini menukilkan perihal malu seorang muslimah. Dan saya, mulai ketakutan. Ketakutan ilmu tanpa amal. Serasa diri ini hipokrit. Semoga Allah mengampunkan diri yang kerdil ini.

Waktu Berputar
Saat menghitung hari untuk menggalas amanah sebagai isteri, saya merasa kesal dan malu atas masa yang diluangkan ketika Allah mengurniakan masa bujang. Sering saya bertanya, adakah saya mensia-siakan waktu muda saya? Cukupkah ilmu yang aku kutip? Apakah ibadahku ini setimpal dengan si dia yang Allah kurniakan? Layakkah aku untuk si dia dengan peribadiku yang lalu? Mampukah aku membahagiakannya?
Ya, semuanya bercampur-aduk dalam ruang katarsis. Semakin lama, menyebabkan perasaan hiba mengalir perlahan-lahan dimuara jiwa. Betapa muslimah itu, seharusnya menjaga dirinya baik dari pertuturan, perbuatan dan perasaan. Dan untuk itu, Allah menunjukkan kepada saya melalui putaran waktu. Allah mempertemukan saya dengan muslimah-muslimah lain ketika ini, yang membawa pemikiran pesimis saya yang dulu, iaitu
“Aku tak kisah apa orang kata, yang penting aku jadi diri sendiri,”
Saya tersentak. Nafas saya tertahan. Saya geleng laju-laju. Istighfar tidak henti-henti memenuhi ruang hati. Saya tidak mahu mereka mengurangi walau sedikitpun harga sebagai muslimah dalam diri mereka. Saya tidak mahu kekesalan merajai diri saat bertemu jodoh yang ditentukan Ilahi.
Buat muslimah yang periang, simpanlah sikap itu. Tahanlah tawamu. Jagalah pertuturanmu. Kerana kelak, apa yang harus dibicarakan hatimu andai bakal imammu nanti amat-amat menjaga perilakunya saat dia melalui masa bujangnya? Apakah tidak kamu merasa malu? Kerana kamu bakal jadi isteri, jadi ibu.

Jangan Salah Faham
Saya mohon kemaafan andai entri ini mengguris hati namun itulah hakikatnya, muslimah dan mujahadah tidak dapat dipisahkan. Tunggu, jangan sempitkan fikiran. Malu itu perlu bertempat. Bukan semua situasi kita menjadi malu. Itu boleh menyusahkan dan menyulitkan sesebuah urusan.
Satu hal yang terkadang menjadikan sifat malu itu tidak bertempat adalah persepsi bahawa perempuan harus diam dan angguk sahaja jika bersama-sama muslimin. Jika ada yang bersuara, perempuan itu dilabel sebagai tidak memiliki rasa malu. Apatah lagi buat yang lantang menyumbangkan idea. Betulkan persepsi ini. Muslimah itu perlu mempunyai malu tetapi janganlah sehingga membantutkan usaha dakwah dan perjuangan. Fahami itu.
Muslimah yang periang, zahirkanlah perasaan itu hanya dihadapan sahabat sesama muslimah. Zahirkanlah perasaan itu ketika berada dalam keluargamu. Zahirkanlah perasaan itu hanya pada suamimu. Allah, bergetar jemari ini menulis patah demi patah kata kerana ianya saya masih lagi berusaha ke arah itu. Saya sedar dan amat sedar bahawa saya tidak layak untuk menyampaikan sebuah pesanan ini.Saya tidak layak.  Semoga Allah mengampuni saya.

Dua Dunia Berbeza
Saya tidak terlalu kenal dia hingga gerak waktu mula mengukir sebuah persefahaman, tentang diri saya dan dia. Antara kami, terlalu besar bezanya. Setiap kali saya renung kembali, betapa baiknya Allah SWT kerana dengan diri saya yang amat serba kekurangan ini, dia mengurniakan seseorang yang baik ilmu agamanya, tarbiahnya dan kesedarannya. Sungguh, saya malu dengan Allah SWT. Hingga kini, saya menghitung khilaf sendiri. Terasa tidak layak untuk seiring bersama melayari bahtera rumah tangga. Namun itulah kuasa Allah SWT yang amat baik terhadap hamba-hambaNya. Semoga Allah meredhai perkahwinan ini. Semoga Allah SWT memberkati dirinya kerana dengan segala kecukupan yang dia miliki, dia menerima diri ini sebagai bakal isteri.
Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.