Sebuah Langkah
Hari
ini 19 Mac 2013. Lebih kurang 9 hari lagi menuju perkahwinan saya. Subhanallah,
Alhamdulillah, Allahuakbar.
“Maka
nikmat TuhanMu yang manakah yang kamu dustakan”
-Ar
Rahman
Saya
sendiri tidak menyangka menemukan jodoh ketika masih menyandang tugas sebagai
pelajar. Namun itulah kuasa Allah SWT dan saya yakin besar ertinya untuk perjalanan
yang masih panjang. Hikmahnya makin terasa membuyar dalam jiwa hari demi hari
apabila saya mula mengimbas kembali perjalanan hampir 23 tahun sebagai seorang
perempuan Islam yang bujang. Persoalan demi persoalan menghunjam nubari, adakah
saya setulusnya menjaga hati ini untuk bakal suami saya?
Saya Yang Pesimis Itu
“Aku
tak kisah apa orang kata, yang penting aku jadi diri sendiri,”
Ya,
itulah yang sering saya agung-agungkan. Saya tanam dalam diri dan ianya kukuh
dibentengi keegoaan. Sahabat dan saudara mengenali saya sebagai seorang yang
periang dan bercakap sangat banyak. Kadang kala gurauan saya tidak pernah
berhenti. Tetapi zahirnya, saya berpakaian muslimah. Dan apabila ditegur untuk
diam, jaga tingkah laku, saya memberontak. Itulah saya.
Namun,
Allah itu sangat baik. Dia menumbuhkan kesedaran dan tidak membiarkan saya
hidup dalam iklim pesimis dan ikut kepala sendiri. Terima kasih ya Allah. Berkat
tarbiyah dan dakwah sahabat-sahabat serta jentikan hidayah melalui ilham-ilham
yang Allah turunkan ketika saya mengarang karya, saya cuba mengawal segala
perbuatan dan perkataan.
Sungguh,
ianya sukar. Sungguh! Ia menuntut kuasa sebuah mujahadah. Saya belek helaian
novel pertama saya, Kuntum Cinta di Taman Syurga. Saya sebak dan malu apabila
menyedari, jemari ini menukilkan perihal malu seorang muslimah. Dan saya, mulai
ketakutan. Ketakutan ilmu tanpa amal. Serasa diri ini hipokrit. Semoga Allah
mengampunkan diri yang kerdil ini.
Waktu Berputar
Saat
menghitung hari untuk menggalas amanah sebagai isteri, saya merasa kesal dan
malu atas masa yang diluangkan ketika Allah mengurniakan masa bujang. Sering
saya bertanya, adakah saya mensia-siakan waktu muda saya? Cukupkah ilmu yang
aku kutip? Apakah ibadahku ini setimpal dengan si dia yang Allah kurniakan? Layakkah
aku untuk si dia dengan peribadiku yang lalu? Mampukah aku membahagiakannya?
Ya,
semuanya bercampur-aduk dalam ruang katarsis. Semakin lama, menyebabkan
perasaan hiba mengalir perlahan-lahan dimuara jiwa. Betapa muslimah itu,
seharusnya menjaga dirinya baik dari pertuturan, perbuatan dan perasaan. Dan
untuk itu, Allah menunjukkan kepada saya melalui putaran waktu. Allah
mempertemukan saya dengan muslimah-muslimah lain ketika ini, yang membawa
pemikiran pesimis saya yang dulu, iaitu
“Aku
tak kisah apa orang kata, yang penting aku jadi diri sendiri,”
Saya
tersentak. Nafas saya tertahan. Saya geleng laju-laju. Istighfar tidak
henti-henti memenuhi ruang hati. Saya tidak mahu mereka mengurangi walau
sedikitpun harga sebagai muslimah dalam diri mereka. Saya tidak mahu kekesalan
merajai diri saat bertemu jodoh yang ditentukan Ilahi.
Buat
muslimah yang periang, simpanlah sikap itu. Tahanlah tawamu. Jagalah pertuturanmu.
Kerana kelak, apa yang harus dibicarakan hatimu andai bakal imammu nanti
amat-amat menjaga perilakunya saat dia melalui masa bujangnya? Apakah tidak
kamu merasa malu? Kerana kamu bakal jadi isteri, jadi ibu.
Jangan Salah Faham
Saya
mohon kemaafan andai entri ini mengguris hati namun itulah hakikatnya, muslimah
dan mujahadah tidak dapat dipisahkan. Tunggu, jangan sempitkan fikiran. Malu
itu perlu bertempat. Bukan semua situasi kita menjadi malu. Itu boleh
menyusahkan dan menyulitkan sesebuah urusan.
Satu
hal yang terkadang menjadikan sifat malu itu tidak bertempat adalah persepsi
bahawa perempuan harus diam dan angguk sahaja jika bersama-sama muslimin. Jika
ada yang bersuara, perempuan itu dilabel sebagai tidak memiliki rasa malu.
Apatah lagi buat yang lantang menyumbangkan idea. Betulkan persepsi ini.
Muslimah itu perlu mempunyai malu tetapi janganlah sehingga membantutkan usaha
dakwah dan perjuangan. Fahami itu.
Muslimah
yang periang, zahirkanlah perasaan itu hanya dihadapan sahabat sesama muslimah.
Zahirkanlah perasaan itu ketika berada dalam keluargamu. Zahirkanlah perasaan
itu hanya pada suamimu. Allah, bergetar jemari ini menulis patah demi patah
kata kerana ianya saya masih lagi berusaha ke arah itu. Saya sedar dan amat
sedar bahawa saya tidak layak untuk menyampaikan sebuah pesanan ini.Saya tidak
layak. Semoga Allah mengampuni saya.
Dua Dunia Berbeza
Saya
tidak terlalu kenal dia hingga gerak waktu mula mengukir sebuah persefahaman,
tentang diri saya dan dia. Antara kami, terlalu besar bezanya. Setiap kali saya
renung kembali, betapa baiknya Allah SWT kerana dengan diri saya yang amat
serba kekurangan ini, dia mengurniakan seseorang yang baik ilmu agamanya,
tarbiahnya dan kesedarannya. Sungguh, saya malu dengan Allah SWT. Hingga kini,
saya menghitung khilaf sendiri. Terasa tidak layak untuk seiring bersama
melayari bahtera rumah tangga. Namun itulah kuasa Allah SWT yang amat baik
terhadap hamba-hambaNya. Semoga Allah meredhai perkahwinan ini. Semoga Allah
SWT memberkati dirinya kerana dengan segala kecukupan yang dia miliki, dia
menerima diri ini sebagai bakal isteri.
Subhanallah,
Alhamdulillah, Allahuakbar.
2 comments:
nanges T___T
assalam....salam ukhuwah dari bunda..
Post a Comment