Akhirnya PPSMI dimansuhkan. 6 tahun warga pelajar menjadi 'spesimen' bagi menjayakan misi negara iaitu melebarkan penguasaan Bahasa Inggeris. Saya maklum, saya tidak berapa arif dalam isu yang melanda mandala jagat ini. Tetapi sebagai kumpulan akademik sulung yang menjadi taruhan, kesannya berpanjangan dan masih melekat di fikiran.
Saya imbas kembali pada 2002, saya tamat darjah 6. Waktu itu saya mula membayangkan angka yang berterabur bersama ayat-ayat penjajah. Bagaimana saya mahu menguasai Sains dan Matematik? Saya ketika itu amat lemah subjek Matematik.
2003, saya melangkah ke Tingkatan 1. Masalah, memang masalah bagi saya. Formula yang mudah tidak mampu saya kuasai. Mungkin kerana otak saya yang sedia ada tiada upaya atau bahasa yang diguna, wallahua'lam. Saya masih ingat teman-teman mengadu, tidak faham, tidak mengerti.
Subjek Sains pula, kami semua aplikasikan hafalan sepenuhnya- tanpa mengambil kira makna. Apa yang terlintas di fikiran, jika lupa frasa-frasa dan susunan perkataan Inggeris itu, kami akan gagal dalam peperiksaan. Sungguh, waktu itu saya dan teman-teman terus hafal, hafal dan hafal. Pemahaman kami, teramat lemah.
Hasilnya, keputusan PMR saya. Erm... sangat menyedihkan. 7A 1B. Saya B subjek Maatematik.
Standard peperiksaan menurun bukan? Cuba buka semula kertas peperiksaan PMR 2005 subjek Sains. Anda semua pasti terkejut dan tidak menyangka itu adalah soalan Sains Penilaian Menengah Rendah. PPSMI, sebenarnya merendahkan lagi taraf pendidikan orang Melayu, dan bukan sahaja pada pelajar kawasan pedalaman sahaja.
Selepas pemansuhan PPSMI, kawan saya sumpah seranah. Katanya, mana nak dibuang hasil 'eksperimen' yang gagal? yang kecundang? Ke mana? Ke mana? Saya sangat kesal. Kesedihan itu sentiasa ada. Benarlah, pihak yang bertanggungjawab suka mencari jalan mudah. Fikir mereka, sekelip mata sahaja mampu buat apa sahaja untuk menyelesaikan masalah, biarpun terpaksa mengorbankan orang lain.
Selebihnya, saya serahkan pada anda semua untuk menilai. Ini luahan dari saya, 'mangsa' pertama. Batch 2003......
No comments:
Post a Comment