Sunday, July 26, 2009

Setelah kumemilih jalan ini

SUNGGUH. Saya berdiri di antara dua persimpangan. Pada mulanya saya hanya mahu diamkan sahaja – sementelah baru beberapa jurus di ruang ini, namun naluri saya mendesak, malah mengasak-asak jihat pemikiran yang makin lama makin dipasak rasa ingin tahu. Ingin saya berkisar tentang dunia seni dan perspektif diri, biarpun terkadang isu-isu sebegini makin malap dan hambar untuk tujuan berdiskusi.

Berjalan di tengah-tengah pekan Hamidiah membuatkan bauran jiwa tenggelam dalam hingar-bingar kesibukan manusia. Saya senang membibit hayat di bumi Salahuddin al Ayyubi ini. Penduduknya yang hampir 90 peratus muslim, cukup terkenal sebagai bangsa Arab yang paling sopan dan lemah lembut budi bahasanya. Saya tidak pernah merasa kekok untuk bermesra dengan masyarakat disini. Serasa menjejak tanah air sendiri pula.

Sejujurnya saya bermusafir dengan muatan harapan – mencari jawapan. Saya tidak mampu lagi menanggung duka, menyimpan berjuta persoalan. Entah mengapa pencarian saya tetap bersambung, biarpun ada sinar di hujung. Kerap kali saya meraba kolong hati, cuba mencari apa yang terpatri. Ketenangan sering menjauh dikala bersendiri. Menatap langit indah Syria pada waktu malam, cukup membuatkan alunan kalbu membisik rindu. Rindu pada Tuhan. Pada Rasulullah SAW. Pada pada ummi dan abah. Pada sahabat.... Sahabat.... Sahabatku.

Azfar al Ahmadi. Sahabat sejatiku. Engkau menebarkan debunga semangat tanpa rasa jemu pada insan kerdil ini. Sementelah insan-insan di sekelilingku mula menduga, apakah aku berada di laluan-Nya. Asbabnya cuma satu, kerana aku menajamkan pena, menurunkan apa yang terbuku pada lembar-lembar bisu. Mereka menuduh aku manusia yang sepi, tanpa cinta, tanpa visi. Masih terngiang-ngiang pada dinding atma ini, malahan dengungannya menggoncang tangkai hati

“ Menjadi penyair dan kamu memilih untuk lemas dalam ribut pasir.”
**********

“Ya anisah, al harir tabi’e!” Seorang penjual mengunjukkan sehelai kain sutera asli. Saya amat tertarik melihat warna merah yang cerlang itu.

“Bikamil mitr?” Penjual wanita berpurdah itu kelihatan gembira kerana saya berminat dengan barang jualannya.

“Bisalasin lairah.” Saya mengangguk-angguk lantas mengeluarkan beberapa keping not lairah. Malas hendak tawar-menawar. Sememangnya saya tidak ragu perihal keaslian dan mutu kain sutera Syria. Damsyik memang terkenal dengan industri sutera. Salah satu pelabuhan pentingnya seperti pelabuhan al-Lazikiyah sering sahaja sesak dengan kapal-kapal dagang dari seantero dunia. Melewati deretan bangunan yang kelihatan seperti kotak membuatkan saya terapung di dunia fantasi. Seolah-olah berada dalam filem Arab yang sering saya tonton di rumah.

Az, aku tahu engkau sentiasa mendukung aku. Walau ke juru dunia mana pun aku berkelana, engkau sentiasa mengisi jasad ini dengan aksara bermakna. Kali ini aku hampir rebah. Mulanya duniaku dibanjiri pujian yang tak terhitungkan. Aku akui ini khilafku, mudah benar dibelai bait-bait palsu. Tuhan masih sayangkan aku Az. Boleh sahaja aku tersadung ke lembah kibriyya seterusnya tersembam pada lantai ‘azamah. Terima kasih Tuhan!

Pasti engkau bingung untuk mencerna kata-kataku ini. Akan ku kupas intinya sampai ke pulur agar dapat engkau mengerti apa yang mendebur di pantai kalbu. Mulanya aku terasa diri ini paling tahu. Serba tahu. Segalanya dalam lingkungan pemikiranku. Pembacaanku meningkat dari hari ke hari dan segalanya kulakukan dengan tepu keyakinan diri. Aku mahu diri disanjung, dipuji, dihormati – kerana kekayaan ilmu yang kononnya tinggi. Jangan engkau membenciku Az, aku khilaf. Khilaf.

Ingatanku terpokah semula saat engkau menyapaku dalam sebuah seminar kerohanian yang kita hadiri dulu. Laju sahaja hadis itu terbersit dari mulutmu. ‘ Tiada masuk ke dalam syurga oleh seorang yang ada di dalam hatinya seberat biji sawi daripada membesarkan diri’ (1). Katamu lagi, perbuatan membesarkan diri itu adalah kelakuan yang tercela dan demikian juga sebaliknya iaitu merendah diri itu kelakuan yang dipuji syara’. Detik itu jua, engkau menadah tangan bersihmu dan satu persatu baris doa itu kau lantunkan ke dinding kalbuku, ‘Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari hembusan sombong.’ (2)

Kesedaran perlahan-lahan mampir, menerobos nubari. Ketika itu ruang seniku beku. Aku menulis demi mengharapkan puncak keuntungan, tanpa arah tujuan. Tersentuh jiwaku tatkala pesan Saiyiditina Aisyah menampar lembut dinding akhliah ; ‘Sebaik-baik wanita ialah yang tidak memandang dan tidak dipandang.’ Oh, hinanya diriku ini Az. Sememangnya itu yang aku kecap setelah helai demi helai tulisan bertali-arus aku hasilkan.

Ingin sahaja aku berhenti, meninggalkan terus pena yang sekian lama telah menjadi sebahagian dari desah nafas ini. Tapi engkau mendepakan halangan. Katamu aku akan melebarkan khilafku. Aku hanya perlu melorongkan kembali pada tuju yang satu. Itu sahaja. Aku masih terhimpit saat itu dan engkau tetap jua di sampingku, mengawasi tiap langkahku.

Gerakan dan liuk-lentuk badan yang gemalai oleh penari-penari Tarian Pedang itu membawa saya kembali ke dunia nyata. Sesekali darah berderau melihat pedang yang berkilauan itu dilibas laju mengikut irama lagu. Tarian pedang merupakan tarian tradisional Syria selain Tarian al- Samah yang menjadi kebanggan warga Syria. Tarian ini juga merupakan kebanggaan rakyat Syria dan merupakan salah satu khazanah warisan yang berharga.

Engkau masih ingat saat kita bermusyawarah dulu – ketika engkau masih bersamaku. Sering sahaja aku yang tewas oleh bicaramu yang padat dan kemas. Segalanya menyimpul padu membelah keegoanku. Aku sangat iri padamu Az. Detik aku cuba bangkit, engkau bilang adab muslimah itu bukan sedikit. Pengukurnya bukan cantik, tapi malu yang yang bukan setitik. Tetap jua itu khilafku Az. Benarlah, diriku ini masih tercari-cari. Mencari Yang Maha Mengetahui.

Entah apa puncanya, aku sendiri tidak mengerti. Teman seperjuanganku, si penyajak yang menunggu sang puteri, menghamparkan aku dengan bicara ini,

“ Ni, setelah kau selami nurani teratak seni, dan kau akan mengerti bahawa, memilih menjadi orang seni adalah memilih untuk menyepi dan menyendiri, janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.”

Mulanya aku tidak bersetuju Az, aku anggap dia insan yang putus harapan, kecundang di tengah medan. Tapi saat waktu berpiuh laju tak terkejarkan, aku merasakan secebis pengertian. Dan sungguh! Sepi dan sunyi itu, sarat apungan ilmu dan visi.

Az, tetap jua manusia aneh itu menentangku. Kata mereka lagi, aku umpama layang-layang terputus talinya, robek kulitnya, dan menunggu masa mencium lantai bumi. Mereka mempersoalkan arah hayatku yang tidak jelas. Diriku, hatiku, imanku, hanya aku yang mengerti. Aku bukan manusia yang pekak dan tuli. Masih mengenal batasan yang haq dan batil. Lantas aku terkenang sepotong hadis yang diriwayatkan Ibnu Majah, ‘Jangan kamu menyakiti orang-orang Islam dan jangan mencari-cari akan kesalahan mereka.’ Bukan aku tidak peka akan perihal habluminannas yang sering kau semaikan Az, namun sukma ini tak tertanggung lagi membenamkan kata-kata yang berbaur dusta dan khayalan semata – aku yakin engkau memahami.

Saban hari, pasti timbul provokasi antara saya dan manusia di sekeliling. Tak tertahan jiwa ini menahan tangis. Saya hapus air mata dengan bersendiri dan ditemani tunakan damai persih langit lazuardi yang tidak beberapa lama kemudian berubah kirmizi. Ingin saya meluahkan apa yang terbuku di kalbu, tapi pada siapa harus di tuju. Waktu itu, rohani saya teramat ngilu.

Azfar al Ahmadi, engkau ke sisi dengan cahaya murni yang terpancar dari sebuah ukhwah. Ukhwah antara kita. Serasa pedih atmaku kerana engkau tidak menyiram lukaku dengan pujukan dan usikan, tetapi rasa marah yang tak terjangkakan. Mulanya aku khali, makin lama aku mula memahami, ada rahsia yang tidak pernah aku sedari.

Rahsia Ilahi. Allah berfirman“ Wahai malaikat, turunkanlah musibah keatas hambaKu, kerana aku rindu mendengar dia merintih kepadaKu.” (3) Terima kasih Az. Saat Allah menguji kita dengan dugaan di dunia, hakikatnya Dia merindui rintihan dan tangisan daripada hambaNya. Ya! Terima kasih Az, kehadiranmu membuatkanku sedar akan kerinduan hakiki yang sering membugar.

Masih lagi aku menyelak helaian warkahmu yang tersimpan rapi dalam laci usangku. Tulisan itu telah kabur dan disisinya kekuning-kuningan kerana sudah terperam begitu lama. Masih tetap aku membacanya, ‘ Seandainya kamu mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kamu lebih banyak menangis daripada ketawa.’ (4). Saya menarik nafas dalam, ada hawa sejuk mengalir mengairi jiwa yang walang. Terasa rohani dibelai kasih suci.

Mentari berdegap utuh memancarkan terik hangat dan serasa membakar kulit saya. Menikmati panorama Kota Damsyik dari aras 4 flat ini menyebabkan ingatan merekah lalu terbit rindu yang berbuah. Az, engkau selalu menyedarkan aku. Mustahil untuk menjadi seagung pengabdian Rabiatul Adawiyah yang menumpahkan segenap cinta dan rindu pada Ilahi. Katamu lagi, susurilah jalan kekasih Allah agar dapat aku menghirup haruman cinta sejati dan bukannya cinta yang bodoh malah bisu persis cinta yang dijulang oleh anak-anak muda kini. Kerap kali aku mendengar keluhanmu bergentayangan di langit ilusi, dan kerap kali juga gegendang telingaku dibelai mulus aksaramu.

‘Barangsiapa mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah dan menolak kerana Allah, maka dia telah menyempurnakan imannya.’ (5)

Antara seni dan mentaliti, amat sukar untuk digali resolusi. Begitu sukar untuk saya fahami situasi yang terjadi, jelasnya terpulang kepada reputasi. Segalanya kembali semula kepada nawaitu. Tetapkan niat. Hanya untuk menimba ilmu, melestarikan pemikiran, dan meningkatkan pengalaman, insya Allah, kita akan mencapai falah. Saya tidak membutakan kenyataan, ramai remaja yang hanyut, namun itu semua belum terlewat. Gerbang taubat dan rahmat, sentiasa terbuka sepanjang hayat.

‘Karya itu mengalir dari hati, berbisik dari kalbu.
Seni itu tiada mengganggu.
Malah, meruntuhkan tebing sendu.’

Bait itulah yang sering kau ulang Az. Kerana itu aku masih bertahan walaupun kini aku sendirian. Beberapa kali engkau berdehem sebelum melanjutkan tiap butir bicara mutiaramu. Waktu itu aku menadah segenap deria dengarku untukmu. Dalam sopan suaramu, aku meladeni erti seni itu berkait rapat dengan akhlak.

Akhlak asas kesempurnaan dan keindahan manusia. Terus, konsep seni itu berpaksikan rasa keinsafan, keimanan, dan diadun dalam cangkir ketaqwaan terhadap kebesaran dan keindahan Allah SWT. Sambungmu lagi, karya itu berbingkaikan kemuncak pengajaran akhlak dan akhirnya membawa manusia kepada nilai yang paling tinggi di sisi Allah SWT – taqwa.

Dan..

Azfar al Ahmadi, aku fikir, setelah pemergian seluruh ahli keluargaku dalam pusaran tsunami yang lalu, engkaulah yang akan menjadi pelangi dalam hidupku, engkaulah yang akan mewarnai jalur-jalur hayatku. Namun aku tahu, engkau tidak sabar-sabar untuk bertemu dengan Yang Maha Satu.

Saat matamu terkesip-kesip memandangku yang lenjun dengan titis-titis jernih di tubir mata, engkau masih mahu tersenyum. Namun tetap jua mitosis yang angkuh, merodok segenap sel tubuhmu. Az, akhirnya engkau pergi jua meninggalkan aku bersama semangat yang rapuh.

Tertegun aku pada kata-kata Imam al-Ghazali yang mulia ; ‘ Ukhwah itu bukan pada indahnya pertemuan, tapi pada ingatan seseorang terhadap saudaranya di dalam doanya.’ Moga mekaran ukhwah kita berdua mengiringi setiap episod kejayaan yang dicita.

Aku berjanji Az, aku akan mencari tempat berteduh, dan biar apa pun yang mendatang, akan ku tegar menempuh arus kehidupan. Oh Tuhan, tuntunlah aku pada jalan yang telah Engkau tentukan.

“Allah humma innaka‘afuu ’un karimun tuhib bul ‘af wa fa’fu ‘anni.. Ya Allah, Kamulah Tuhan yang sangat suka mengampun, ampunkanlah dosa-dosaku.


TAMAT 1:14 pm 26 Oktober 2008

Glosari *
Ya anisah, al harir tabi’e : Wahai cik, kain sutera asli
Bikamil mitr : Berapa harga semeter
Bisalasin lairah : 30 lairah
Kibriyaa : takbur
‘Azamah : keadaan merasakan dirinya termulia – impak kibriyaa
Habluminannas : hubungan sesama manusia
Falah : kejayaan
(1) Diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Daud
(2) Abu Daud dan Ibnu Majah
(3) Hadis Qudsi
(4) Bukhari dan Muslim
(5) Attirmizi dan Abu Daud

1 comment: