Tuesday, August 25, 2009

Selamat Datang wahai 'Kekasih'

Saya maklum ramai yang menanti, ramai yang menunggu dan Alhamdulillah kerinduan kita pada Ramadhan terlerai jua. Ahlan ya Ramadhan!! Sebak rasanya dapat mencium haruman Ramadhan, merasai manisnya ibadah, menikmati enaknya tarbiyah dalam bulan penuh keberkatan ini. Teman saya pernah membisikkan sesuatu di kolong ingatan, Ramadhan ini penamat kemandulan karyanya, insya Allah. Saya turut memendam impian yang sama.
Mudah-mudahan gelora sastera itu datang melanda..huhu

Ramadhan- waktu terbaik untuk menguji kesabaran dan keikhlasan kita dalam melakukan suruhanNya.

"Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertakwa." - Surah Al Baqarah: 183.

Jelas ayat-ayat Allah menerangkan tentang kewajipan menunaikan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam. Namun, tetap juga segelintir manusia entah berhasutkan syaitan atau nafsu sendiri terus-menerus melakukan kemungkaran sepanjang Ramadhan. Benarlah, nafsu itu cukup payah ditundukkan. Di saat penciptaannya oleh Allah SWT, nafsu yang telah dilempar beberapa kali ke neraka, masih enggan mengakui keesaan Allah SWT. Masya Allah.

Semalam saya ke berlegar-legar sendirian bersama ‘kekasih tersayang’ PFF 7349 di sekitar Kadok ke Nilam Puri. Sengaja, meninjau-ninjau suasana menjelang waktu berbuka. Meriah! Gerai-gerai berderet sepanjang jalan. Melewati Akademi Pengajian Islam UM membuatkan saya tersenyum. Maknanya ALC dah makin hampir. ALC? Hehe, Arabic Language Centre. 5 bulan juga saya bertapa di situ usai SPM 2007. Mengenang kembali perjalanan kenangan membuatkan bauran perasaan menggegarkan atma. Aduhai, mana agaknya harus kusisipkan karya itu ya? (yang tahu tu diam je). Sayang, sepenuh jiwa raga saya curahkan untuk menyudahkannya. Ah! buat karya lain, habis cerita. Erm, segala yang terjadi, merusuh hati untuk refleksi diri. Wah! Aku tersekat lagi di taman kenangan. Ok, tutup kes!

Mungkin sahabat-sahabat sekelian sudah tahu dan lebih tahu tentang perkongsian saya ini. izinkan saya memanjangkan langkah ilmiah ini, insya Allah. Rasulullah SAW menekankan 4 amalan utama sepanjang bulan ini, antaranya melazimkan bacaan Thoyyibah (Lailahaillalah), beristighfar, memohon memasuki syurga (jannah), dan berlindung denganNya dari azab neraka (jahannam).
Sebetulnya amalan-amalan sebegini dilakukan sepanjang masa tidak kiralah pada bulan mana sekalipun. Tetapi, Ramadhan yang tepu barakah ini menjanjikan pahala yang berlipat ganda lebih-lebih lagi kita terlepas seketika dari cengkaman iblis dan syaitan yang tidak akan henti-henti merajai akal fikiran.

Lihatlah betapa 4 amalan ini dituntut sepanjang bulan Ramadhan melalui ayat ini :

Abu Saeed Khudri r.a meriwayatkan bahawa: "Suatu ketika Nabi Musa AS memohon kepada Allah SWT agar diberikan satu kalimat khas yang mana Baginda dapat mengingati Allah SWT dan dapat memohon sesuatu melaluinya. Lantas Allah SWT menyuruhnya menyebut kalimah tersebut.

Nabi Musa AS berkata: "Wahai Allah, kalimah ini dibaca oleh semua hamba-Mu, aku mengkehendaki yang khusus." Lalu Allah SWT menjawab, "Wahai Musa, jika ketujuh-tujuh langit dan bumi dan semua yang terkandung di dalamnya kecuali Aku diletakkan ke atas sebelah dacing dan kalimah ini pada sebelah yang lain, kalimah ini lebih berat lagi daripada segala sesuatu."

Di dalam hadis yang lain pula dinyatakan bahawa jika seseorang menyebut kalimah taiyibah ini, iaitu "laa ilaha illallah" dengan seikhlas hati, maka pintu syurga akan segera terbuka untuknya.

Kita juga digalakkan untuk memperbanyakkan istighfar kerana Allah SWT telah berjanji akan memberi kita jalan keluar daripada segala kesukaran dan membebaskan kita daripada segala kesedihan. Malahan sesiapa yang memperbanyakkan istighfar akan memperolehi rezeki daripada sumber yang tidak pernah disangkakan. Kalimah istighfar yang mudah disebut adalah seperti "astaghfirullah". Tidak ada batasan dalam mengulang sebutan istighfar ini. Semakin kerap ia diulang, semakin banyaklah pahala yang dikumpul.

Di samping itu, kita turut dituntut agar sentiasa berdoa supaya ditempatkan di dalam syurga sambil meminta kepada Yang Maha Esa menjauhkan kita daripada ancaman api neraka. Doa yang boleh diamalkan untuk memohon agar ditempatkan di dalam syurga ialah seperti berikut:

"Allahhumma as'alukal jannata wa a'uzubika minannar

Indahnya Ramadhan---pintu syurga dibuka, ditutup pintu neraka.

Ayuh! JANGAN LENGAH-LENGAH LAGI. MUNGKIN KITA TIDAK PUNYA PELUANG LAGI UNTUK BERTEMU RAMADHAN SETERUSNYA..

Wednesday, August 19, 2009

Fakir Berharap

Sekali lagi saya menyentuh perihal yang hampir sama.

Beberapa hari ini banyak yang saya tempuhi. Berada dalam iklim pelajar-pelajar yang masih ghairah mencari lapangan cinta untuk mengembangkan fikrah, menyebabkan saya memilih untuk berdiam diri dan memerhati.

Benar, saya mula merasai bahang cabarannya makin menggerunkan, sementelah 'junior' mula menapak masuk ke kampus ini, dan secara tidak langsung mereka melontarkan pandangan yang cukup ikhlas saya kira.

Mereka mempersoalkan mana arah tujuan wadah di sini, organisasi 'gergasi' bagi pelajar (JPP) dan sebagainya. Kelu, memang saya tertegun dengan persoalan sebegitu. Namun sejujurnya saya gembira, kerana manusia-manusia sebegini berada dalam IPGM. Terkenang kata-kata teman seperjuangan saya, "Perjuangan merubah mentaliti Guru pelatih baru bermula."

Alhamdulillah, mereka sudi mendengar penjelasan dan luahan dari pihak kami, yang masih cuba memaknakan erti pemikiran kritikal dalam diri. Saya tekankan sungguh-sungguh, dalam usia 17, 18 atau 19, itu bukan lagi satu alasan untuk menjauhi perkara-perkara yang dianggap berat seperti isu semasa dan kebejatan masalah yang melanda umat di serata mandala dunia.

Saya kira hari ini, hati saya sedikit demi sedikit mengelopakkan kelegaan. Serasa tapak perjuangan yang dirangka akan kukuh dengan kehadiran mereka. Ya, saya akui, saya masih fakir ilmu yang berharap, dan akan rebah tanpa pautan kasih dari Allah SWT.

Ada juga bauran sedih, muak, dan puas di jiwa. Segalanya bergulir. Aneh kan? Apabila saya reflek kembali, ya, saya juga dikelilingi manusia yang iri. Hancur hati saya apabila ada manusia yang punyai fikrah islam yang hebat, tepu ilmu agama di dada, miliki hormat dari muslimin dan muslimat, menuduh saya itu dan ini. Sehingga tahap mengeluarkan kenyataan, saya seorang fasik. Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku dan dosa-dosa manusia itu.

Alasannya, saya tidak tahu dan sampai kini saya masih tidak tahu. Tetapi, saya dapat meneka, dan saya sangat yakin tebakan saya itu berasas. Manusia dan cinta? Haha, cinta kah? Atau gelora perasaan yang tak terbendungkan? Lalu menghukum manusia lain sesuka hati. Kalian dapat menangkap maksud saya? Kalau tak, tidak mengapa. Ini bukan hal penting, tetapi sekadar seorang saya yang sedang melampiaskan kekesalan.

Seorang yang mahu bergelar muallim, muaddib, murabbi, masih mahu bergelut dengan dengan hal-hal yang sia-sia? Masya Allah, tanamkanlah sifat malu dalam diri kalian! Malu lah apada Allah SWT. Masih banyak lagi amanah yang terbengkalai. Saya terkenang kata-kata Cikgu Hj Azmi, "Hidup ini amanah, tanah ini amanah, persekitaran ini amanah.."

Jika diimbas kembali mula perjalanan kita di muka bumi, saat Allah SWT menawarkan amanah, hanya manusia yang berebut-rebut untuk memikulnya sedangkan para malaikat yang hanya tahu beribadah pun, tidak berani untuk menggalas amanah. Dan oleh sebab itu jugalah, punca ramai manusia yang terhumban ke neraka. Nau'zubillah.

Jadi tolonglah, saya mohon (dengan nada keras), saya pinta para daei sekelian, fokuskan perjuangan. Jangan terbabas di tengah jalan dengan mainan perasaan. Ya, saya juga kini turut berpesan pada diri, kerana masa hadapan masih jauh menanti. Jangan bimbang perihal jodoh atau pasangan hidup, Allah SWT menjanjikan yang terbaik untuk hambaNYA yang berserah diri padaNYA. Bukankah Allah SWT telah berjanji, " Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik dan juga sebaliknya.."

Pelihara kehormatan diri, jangan sesekali membuatkan manusia lain, terutamanya non-muslim untuk memandang kita sebagai manusia yang bodoh! Tidak ada masalah sesekali kita melayani gundah perasaan yang berkocak dek penangan orang yang dicintai, tetapi apabila tiba tahap emosi mengatasi intelak, alur perjuangan akan terpesong dan saya khuatir akan kemurkaan dari Allah SWT melanda mandala hidup kita semua.

SUBHANALALLAH, ALHAMDULILLAH, ALLAHUAKBAR.

Semoga kita semua tetap tegar dengan perjuangan ini.

Sunday, August 2, 2009

Persinggahanku...KEPEZI 2009 satu ledakan semangat

Alhamdulillah, saya tiba di bumi Jertih pagi ini.
Semangat untuk memegang pena sedikit melonjak lantaran persinggahan singkat di diskusi karya anjuran KEPEZI (Kelab Penulis Zaharah Nawawi) yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur. Saya ke sana berbekalkan sebuah cerpen yang dihasilkan lewat Jun tahun ini. Tajuknya 'Kakak Tersayang' dan saya amat teruja untuk mendengar respon penulis-penulis lain, biarpun ada debar menggoncang jiwa.

1 Ogos 2009 saya dilanda resah. Jalan menuju ke DBP banyak ditutup seawal jam 8 pagi lagi. Renik peluh mulai banyak. Rasa hangat meruap-ruap menandakan kegelisahan, sehangat demonstrasi mansuhkan ISA saya kira. Saya lihat ramai pemuda pemudi berserban putih, berjubah dan sebagainya sedang memgang sepanduk dan bergerak beramai-ramai sepanjang jalan. Polis pula, mula menunjukkan belang. Jam 9 pagi dan saya masih terperangkap dalam kesesakan. Fikir, fikir dan fikir, bapa saudara saya turun dari kereta dan kami berjalan kaki ke DBP. Terima kasih Pak Cik Min!
Hari itu segalanya lancar di DBP. Bunga-bunga gembira dan bahagia memekar sungguh-sungguh dalam sukma. Seperti mimpi, penulis yang saya kagumi iaitu Prof Dr Mawar Shafei turut hadir untuk memberi bimbingan. Komentarnya tulus dan cukup mengesankan. Alhamdulillah, saya sangat-sangat mengkagumi beliau. Sebelum ini, Dr Mawar pernah mengulas cerpen saya di Dewan Siswa pada Mac 2009.

Di akhir pertemuan kami, Dr Mawar memanggil saya. " Thoyba, saya suka lihat awak. Awak mengingatkan saya tentang anak gadis yang nakal dan lincah serta keanak-anakan." Maka, perasanlah saya secara automatiknya. hehe


Dr Mawar Shafei
Banyak yang saya pelajari dari diskusi kali ini. Penulis yang baik adalah penulis yang mempunyai imaginasi yang tinggi. Tetapi dalam masa yang sama, imaginasi itu bukanlah sekadar imaginasi kosong semata tetapi ada agenda lain yang beriringan, iaitu mesej. Kita boleh sahaja mengangkat mana-mana tema berat dan konroversi untuk menyedarkan pembaca secara senyap dan berhikmah. Untuk itu, penulis perlu banyak bereksperimen dan belajar dengan alam.

Penulis, matlamatnya adalah karya disiarkan di media. Lebih-lebih lagi di media arus perdana. Saya sangat gembira kerana editor di ruangan sastera Mingguan Malaysia, KuSeman Ku Hussain hadir untuk bermesra dengan penulis-penulis seperti kami. Banyak yang dibincangkan termasuklah kualiti sesebuah karya. Beberapa kali beliau menegaskan bahawa karya yang bermutu makin sukar dicari dek lambakan karya yang bersifat picisan. Ini merupakan cabaran besar buat kami semua.


KuSeman KuHussain dan Auntie Dil
Para peserta pada diskusi kali ini tidak kurang hebatnya. Akhirnya saya berpeluang bertemu dengan penulis muda berbakat besar iaitu Rebecca Ilham, Hanis Salwah, Kak Juwairiah, Kak Zuraima dan ramai lagi. Mereka cukup ramah berkongsi ilmu dan pengalaman, sementelah saya paling muda, hehe.
Kak Juwairiah


Kak Hanis dan Kak Zuraima

Sedih tidak terkata untuk meninggalkan mereka. Bonda Zaharah kali ini banyak mengusik. Dalam usikannya, tepu azimat. Terima kasih Bonda kerana membawa anakanda sejauh ini dalam dunia tinta bermakna. Masih segar dalam jemala. "Nuraini, saya lebih suka nama asal awak. Untuk pengetahuan saudara semua, saya suka mencabar Nuraini kerana dia akan balik, baiki karya sungguh-sungguh, hantar dan disiarkan di media. Tapi takkanlah saya nak cabar selalu?" Itu mengundang tawa semua. Bonda, saya sayang Bonda. Bila agaknya boleh jumpa lagi?

Ayuh mulakan semula penjelajahan!!!



..........sepotong nama.......huu