Mudah-mudahan gelora sastera itu datang melanda..huhu
Ramadhan- waktu terbaik untuk menguji kesabaran dan keikhlasan kita dalam melakukan suruhanNya.
"Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertakwa." - Surah Al Baqarah: 183.
Jelas ayat-ayat Allah menerangkan tentang kewajipan menunaikan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam. Namun, tetap juga segelintir manusia entah berhasutkan syaitan atau nafsu sendiri terus-menerus melakukan kemungkaran sepanjang Ramadhan. Benarlah, nafsu itu cukup payah ditundukkan. Di saat penciptaannya oleh Allah SWT, nafsu yang telah dilempar beberapa kali ke neraka, masih enggan mengakui keesaan Allah SWT. Masya Allah.
Semalam saya ke berlegar-legar sendirian bersama ‘kekasih tersayang’ PFF 7349 di sekitar Kadok ke Nilam Puri. Sengaja, meninjau-ninjau suasana menjelang waktu berbuka. Meriah! Gerai-gerai berderet sepanjang jalan. Melewati Akademi Pengajian Islam UM membuatkan saya tersenyum. Maknanya ALC dah makin hampir. ALC? Hehe, Arabic Language Centre. 5 bulan juga saya bertapa di situ usai SPM 2007. Mengenang kembali perjalanan kenangan membuatkan bauran perasaan menggegarkan atma. Aduhai, mana agaknya harus kusisipkan karya itu ya? (yang tahu tu diam je). Sayang, sepenuh jiwa raga saya curahkan untuk menyudahkannya. Ah! buat karya lain, habis cerita. Erm, segala yang terjadi, merusuh hati untuk refleksi diri. Wah! Aku tersekat lagi di taman kenangan. Ok, tutup kes!
Mungkin sahabat-sahabat sekelian sudah tahu dan lebih tahu tentang perkongsian saya ini. izinkan saya memanjangkan langkah ilmiah ini, insya Allah. Rasulullah SAW menekankan 4 amalan utama sepanjang bulan ini, antaranya melazimkan bacaan Thoyyibah (Lailahaillalah), beristighfar, memohon memasuki syurga (jannah), dan berlindung denganNya dari azab neraka (jahannam).
Sebetulnya amalan-amalan sebegini dilakukan sepanjang masa tidak kiralah pada bulan mana sekalipun. Tetapi, Ramadhan yang tepu barakah ini menjanjikan pahala yang berlipat ganda lebih-lebih lagi kita terlepas seketika dari cengkaman iblis dan syaitan yang tidak akan henti-henti merajai akal fikiran.
Lihatlah betapa 4 amalan ini dituntut sepanjang bulan Ramadhan melalui ayat ini :
Abu Saeed Khudri r.a meriwayatkan bahawa: "Suatu ketika Nabi Musa AS memohon kepada Allah SWT agar diberikan satu kalimat khas yang mana Baginda dapat mengingati Allah SWT dan dapat memohon sesuatu melaluinya. Lantas Allah SWT menyuruhnya menyebut kalimah tersebut.
Nabi Musa AS berkata: "Wahai Allah, kalimah ini dibaca oleh semua hamba-Mu, aku mengkehendaki yang khusus." Lalu Allah SWT menjawab, "Wahai Musa, jika ketujuh-tujuh langit dan bumi dan semua yang terkandung di dalamnya kecuali Aku diletakkan ke atas sebelah dacing dan kalimah ini pada sebelah yang lain, kalimah ini lebih berat lagi daripada segala sesuatu."
Di dalam hadis yang lain pula dinyatakan bahawa jika seseorang menyebut kalimah taiyibah ini, iaitu "laa ilaha illallah" dengan seikhlas hati, maka pintu syurga akan segera terbuka untuknya.
Kita juga digalakkan untuk memperbanyakkan istighfar kerana Allah SWT telah berjanji akan memberi kita jalan keluar daripada segala kesukaran dan membebaskan kita daripada segala kesedihan. Malahan sesiapa yang memperbanyakkan istighfar akan memperolehi rezeki daripada sumber yang tidak pernah disangkakan. Kalimah istighfar yang mudah disebut adalah seperti "astaghfirullah". Tidak ada batasan dalam mengulang sebutan istighfar ini. Semakin kerap ia diulang, semakin banyaklah pahala yang dikumpul.
Di samping itu, kita turut dituntut agar sentiasa berdoa supaya ditempatkan di dalam syurga sambil meminta kepada Yang Maha Esa menjauhkan kita daripada ancaman api neraka. Doa yang boleh diamalkan untuk memohon agar ditempatkan di dalam syurga ialah seperti berikut:
"Allahhumma as'alukal jannata wa a'uzubika minannar
Indahnya Ramadhan---pintu syurga dibuka, ditutup pintu neraka.
Ayuh! JANGAN LENGAH-LENGAH LAGI. MUNGKIN KITA TIDAK PUNYA PELUANG LAGI UNTUK BERTEMU RAMADHAN SETERUSNYA..
1 comment:
alhamdullillah
Post a Comment