Aku bersaksi marsum ini bukan sekadar mengisi kosong ilusi. Ayuh bersama-samaku! Kita reguk cinta Ilahi. Kita telusuri agama suci.
Sunday, October 18, 2009
Benarkah kita mengerti?
Saya menulis entri ini dengan rasa libang-libu. Benarlah, keimanan kita umpama gelombang di lautan. Sebentar menaik, sekejap sahaja menurun. Semalam saya ke Masjid Negere Pulau Pinang bertemankan teman sebilik yang setia manakala Mujahid Page menunjukkan jalan ke sana. Tetapi bukan itu yang saya mahu fokuskan di sini.
Perut sudah mula berkeroncong bila pengerusi majlis menjemput Ustaz Hafiz Nordin dari PUMPP untuk memberi tazkirah. Sebenarnya, ini merupakan program Jamuan Mahabbah Aidilfitri anjuran JUNDIYY.
Okey, okey.
Sepanjang saya berada di lapangan ini, minda saya sudah dipenuhi dengan pelbagai jenis isme-isme yang memeritkan tangkai jiwa ummah. Ustaz Hafiz Nordin bermula dengan pendedahan masalah sosial remaja yang pada awalnya saya kira, seperti tazkirah-tazkirah biasa. Kantuk mula menguasai. Ah! Senang benar manusia dibuai mimpi. Dikhabarkan remaja berusia 16 tahun dan keatas sudah mulai mengenal dunia luar yang penuh ‘warna-warni’, malah merasainya penuh nikmat. Maaf, saya sendiri tidak mahu menukilkan ‘kenikmatan’ itu di atas lembar maya ini. Saya insafi.
Ditanya pula soal jihad dan perjuangan. Sekali lagi saya merasakan itu perihal biasa. Tetapi hakikatnya malu mulai menular ke segenap atma. Saya yakin mungkin antara kita semua pernah terlintas di hati bahawa kita merupakan pejuang agama Allah yang sejati, mahu menegakkan
hukum-hukumNYA, berjuang di jalanNYA, dan banyak lagi cita-cita yang terbit sepanjang jalan dakwah. Namun gentarkah kita?
Gentarkah kita bila disebut kalimah LAILAHAI’LLAh?? Gentarkah?
Apakah kita merasakan mengalirnya rasa takut dan malu pada Allah? Bergoncangkah jasad kita dengan kalimah itu?? Say akui dan saya baru menyedari, diri ini sendiri masih belum mengenal erti jihad dan pengorbanan.
‘Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah apabila mereka apabila disebut nama ALLAh, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat NYA, bertambahlah iman mereka, dan kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.’ (Al-Anfaal : 2)
Jadi sahabat-sahabat yang saya cintai sekalian, jika dengan kalimah inipun tidak mampu mengetuk gerbang jiwa kita, maka apa makna segala perbuatan yang kita dakwa sebagai dakwah? Matlamat dan tujuan kehidupan, masih samar-samar dan kita… Selagi tidak merasai hebatnya kalimah ini memenuhi rongga diri, jangan sesekali disebut berani menyebut tentang jihad perjuangan!
Sedih. Hati saya bagai disiat-siat. Teramat pedih tusukan kesedaran ini. Malu terhadap Ilahi tak terbendungkan. Saya terlalu banyak melakukan perkara-perkara yang merugikan sepanjang hayat ini. Teramat banyak.. Teramat……
Terkenang kejahilan diri yang hampir-hampir tewas pada permainan perasaan. Hampir-hampir aku lemas dalam muslihat syaitan. Hampir-hampir aku menyerahkan cinta agung pada Ilahi yang aku pertahankan kepada perasaan yang sungguh-sungguh menjerut nafas imanku.
Astaghfirullahal a’dzim…
Tetapkanlah imanku. Tetapkanlah aku pada jalanMU. Tetapkanlah niatku. Temukanlah aku dengan insan yang mencintaiMU.
Ayuh ummah. Bangkitlah!!!!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment