Apa sebenarnya yang kau mahu? Mata ini sudah membengkak. Air mata yang selama ini kutahan, membeku dalam dada. Keras, kuketuk bertalu-talu, dan bunyinya berdengung. Kukira yang keras itu, hatiku! Masya Allah.
Umpama sebuah perjalanan, permulaannya lurus tetapi membengkok di tengah-tengah, penuh duri dan onak berbisa. Ampuni aku Ya Allah. Ku kira dengan hujah-hujah hasil dari apa yang kukutip setiap kali melintasi pertuturan manusia, itu sudah memadai.
Libang-libu, jiwa sebu, tidak keruan dan berbaur kepahitan. Malam ini umpama kumenyandang watak utama. Nihil menyerangku saat bersendiri. Nihil, nihil sungguh.
Nun jauh dibawah sana, aku lihat sesuatu terlakar pada lantai emosi. Cantik, utuh lagi kulihat ianya bercorak-corak menarik. Namun pabila kudekati, ianya legam, gelap dan hitam. Oh! Aku tertipu!
Ada suara menjawab, suara yang selama ini ku biarkan terbang di sayap angin. Suara yang kuanggap selama ini tiada berguna, apatah lagi kuambil kira sebagai keperluan penting untuk kufikirkan.
" Hey si tolol! itu egomu sendiri!"
Apakah aku perlu menangis lagi? Atau apa biar kutahan sebak itu sehingga segalanya mendap lalu pejal dan mengeras seperti batu?
Ketawa panjang, galak tanpa henti. Nadanya beragaman, sekata dan terkadang meninggi. Aku jadi takut.
" Kenapa kau takut? Aku ini sebahagian darimu, aku ego yang sering kau bangga-banggakan itu!"
Aku mahu lari dari situ. Aku takut ego mendakapku rakus, melemaskan, menutup pandangan, menekup pernafasan, menghalang pendengaran. Tidak, aku tidak mahu begitu.
"Berkawanlah denganku, oh ya aku kenalkan, ini sahabatku, namanya buruk sangka."
Aku hilang arah! Buntu! Mereka menghulurkan tangan, menuntut sebuah ikatan. Ketenangan metah sirna. Serasa ingin mati, darah melonjak ke kepala. Menekan-nekan, menunjal-nunjal sarafku. Sakit!!!
Allah, Allah, Allah, Allah..........
Ampuni aku ya Allah, Tatkala KAU sudah hamparkan sebuah medan untukku berjuang, aku mundur kerana hasutan syaitan. Kusangka langkahku ini paling baik, rupanya mata hati ini terhijab dari kebenaran. Sungguh-sungguh aku malu dengan manusia, tetapi dimana aku mahu letakkan maluku pada MU ya ALLAH.
Ya Allah, aku sering melupakanmu.
Layakkah aku menerima nikmat-nikmatMU ya ALLAH? Sedangkan aku tidak tulus mengenal erti syukur...................
Astaghfirullah.......Akulah manusia yang sering melupakanMu, ampunkanlah aku.
No comments:
Post a Comment