Friday, July 9, 2010

Terima kasih kalian, kerana menawarkan aku cinta.

Entri kali ini bukan bersifat penerangan, ilmiah ataupun perbincangan isu-isu berat dan kritis. Entri kali ini bukan juga berkisah tentang hukum-hukum agama dan pandangan sesiapa tentang dunia yang semakin diselaputi 'keseronokan'. Bukan, bukan itu yang aku hendak sampaikan. Cuma kali ini gelodak jiwa beralun agak deras, menghempas pesisir hati. Aduhai! memang manusia suka berkeluh-kesah. Aku insafi itu.

Aku tidak mahu berbasa-basi, apatah lagi memintal kata-kata yang sukar difahami. Ah! Sudah jiwa begini, masih mahu main nafi dan nafi?

Aku mengenal tarbiah disini kawan-kawanku. Ya, aku yakin disini kerana pada mulanya aku kira tarbiah itu bermula saat aku mengenal buku-buku agama. Rupa-rupanya tarbiah itu lebih dari sekadar memahami buku dan berguru.

Pengislahan, aku belajar pula perkataan baru. Semakin hari, metah aku rasakan diri ini diselimuti tarbiah yang indah. Hawanya menyejukkan atma yang selama ini kekeringan. Benar, aku menikmatinya dengan rasa cinta. Aku mengenal cinta.

Kalian perasan entri yang aku pilih menyebut tentang usrah? Ya, aku menyertai usrah. 2 tahun lalu aku berkenalan dengan usrah. Dalam novel-novel islamik yang pernah kubaca, hero dan heroinnya ahli usrah. Peribadinya sangat sempurna dan naluri remaja ini meronta-ronta ingin merebut cinta yang sama. Naluri ini juga mulai cenderung ke arah ke arah bagaimana mahu menjadi muslimah yang benar-benar seperti permata syurga.

Dan aku mula berusrah....

Menyelami iklim usrah, aku sedar rupanya niat itu paling utama. Cepat-cepat aku betulkan kembali niat ini agar tidak lagi dicemari dengan cinta duniawi. Masuk usrah kerana pengaruh kisah cinta novel islamik? (ketawa sendiri)

Setahun, setahun setengah, dua tahun...Aku konsisten berusrah. Bertukar naqibah dan murabbi.

Namun bukan selamanya pelangi yang kunikmati.

Kerana sikapku yang tidak pernah berpuas hati dan berlapang dada dengan penjelasan yang diberikan mereka dalam setiap hal, aku dilabel 'degil' atau 'keras hati' mungkin. Tetapi selagi aku tidak bertanya dan bertanya sehingga mengetahui akar umbinya sesuatu jawapan itu, diri ini tidak akan tenang. Aku ingin segalanya sahih agar apa yang aku sampaikan kepada orang lain nanti, benar dan tiada palsu semata. Titik!

Akhirnya aku merasakan bukan berusrah tetapi 'diusrahkan'.

Aku merasa ditentang. Sungguh-sungguh aku geram apabila hujahku sering dipatahkan. Sedangkan bicara ini bukan sengaja kubuka. Apa yang salah, harus diperbetulkan dan bukan berpijak pada prinsip bahawa ' aku bukan budak sekolah agama, tetapi tak bermakna aku tidak boleh bercakap tentang agama.'

Memang Islam agama yang mudah, tetapi bukan beerti kita boleh mengambil mudah tentang Islam! Cukup wahai diri, jangan kau biarkan amarah mengawal akalmu. Tidakkah kau mendengar tawa iblis yang sedang 'menonton'mu bermusuhan dengan saudara kamu sendiri?

Mungkin aku yang salah..

Hadir seorang lelaki, mengusap nubari lembut seorang wanita. Aku merasa pendirianku selama ini disokong padu. Menegur dan mengkritik itu tidak apa, asalkan benar, fikirku. Sama ada aku dibutakan hati oleh nuansanya ataupun memang aku dilorong yang benar, masih ku mencari jawapan tentang itu. Namun Allah SWT itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. DIA tidak pernah membiarkan aku berseorangan. Satu demi satu petunjuk hadir, memberikanku kekuatan untuk membuat kesimpulan.

Aku jarakkan diri daripanya, agar silau rindu tiada menganggu. Khuatir merajai kalbu, jika nafsu mula beraja. -kerana syaitan sentiasa menunggangi manusia.

Usrah oh usrah. Aku pernah merasai manisnya, kelat juga bersisa di reseptor rasa. Dan, yang kelat itu aku tidak tahu datangnya dari mana. Adakah aku terlalu ego atau kejam, membiarkan air mata orang lain berjuraian kerana kelancanganku berkata-kata? Ah! aku bukan mahu melaga-lagakan manusia, kerana yang haq tetap haq. Manusia mana yang tidak pernah lepas dari kesilapan bukan?

Pesan ummi, "usah kau cari masalah dengan manusia, iyakan yang benar dan tegah yang batil semampumu sahaja, jangan kau berlebih-lebih dalam segala."

Ketika ini aku termenung lama.

Usrah itu seharusnya dipenuhi dengan sayang, kasih dan cinta. Ya, itu sepatutnya. Aku lihat mereka bahagia, tetapi kenapa bukan diri ini? Apakah aku tidak cukup layak untuk menerimanya. Lalu aku melihat diri ini tetap keseorangan, dipenjuru sepi.

Tekad, aku ingin pergi.

Maafkan manusia ini, terima kasih kepada kalian---yang telah menawarkanku cinta agung.

No comments: