Malam ini saya bertemankan irama lagu puisi yang cukup memikat nubari. Lagu ini kerap kali saya ulang dengar. Melodinya saya gemari. Iramanya saya gemari. Liriknya saya gemari. Kalian pernah dengar lagu puisi istimewa nyanyian Kopratasa? Tajuknya Kekasih. Memang agak jiwang la saya malam ni. Tak apalah, sekali-sekala. Serasa ingin merehatkan minda seketika.
Saya suka menoleh ke belakang untuk mengimbas perjalanan lalu sambil merangka langkah mendatang. Secara peribadinya saya lihat matlamat saya makin banyak cabangnya. Seiring jua dengan bidang tugas dan tanggungjawab. Kalau dulu, ketika bersama tinta, saya akan melakarkan sajak dan puisi dan yang pasti lapangan cinta saya iaitu cerpen. Saya amat dan sangat berharap agar suatu hari nanti saya mampu menjadi cerpenis yang berjaya. Melalui cerpen, saya dapat meluahkan pandangan tentang apa yang berlaku di sekeliling tanpa mengguris perasaan orang lain.
Saya lihat cerpen merupakan satu saluran dakwah yang hebat. (karya kreatif sebetulnya). Apabila kita menjalinkan plot cerita dengan mesej yang ingin kita bawa, secara tidak langsung pembaca tidak akan merasa ‘terpaksa ’untuk menerima sesuatu pengajaran kerana pada masa yang sama, mereka sedang menikmati perjalanan cerita.
Ah! Gemersiknya alunan lagu ini. Mendamaikan hati.
Saya ambil contoh cerpen tulisan saya bertajuk Iman Izzati yang disiarkan pada Januari 2009 di Utusan Melayu. (Macam nak promote diri sendiri je, haha). Cerpen itu sebenarnya mengisahkan tentang kemelut dan kekangan yang dihadapi oleh pelajar-pelajar IPT untuk bergiat dalam aktiviti dakwah. Saya meletakkan watak Iman Izzati sebagai mahasiswi yang berkobar-kobar semangatnya untuk meneruskan kesinambungan tarbiah dan dalam masa yang sama diselitkan konflik dalaman seorang ‘aku’, iaitu sahabatnya. Pengakhiran cerita ini dikejutkan dengan pemergian Iman Izzati ke Palestin dan akhirnya dia syahid di sana. Saya turut menyisipkan elemen-elemen lain seperti penggunaan Bahasa Arab sebagai salah satu wasiat Hassan al Banna dan juga cinta suci hanya boleh ditemui dalam sebuah perkahwinan.
Erm, sesekali mengetis lembar memori, seronok juga ya. Alunan lagu beralih arah. Saya sedang mendengar lagu Dia Kekasih Allah dendangan Hijjaz pula.
Hari ini, detik ini, errmm, semester ini ada sedikit perbezaan bagi saya. Tapi apa yang jelasnya di sini, matlamat, bidang tugas dan tanggungjawab memang makin banyak cabangnya. (eh, bukan tadi dah cakap ke?) Bukan senang untuk menguruskan segala sesuatu dalam masa kita masih bergelar pelajar. Sebenarnya saya risaukan sesuatu saat ini. Saya bimbang jika diri ini rebah di tengah medan perjuangan. Yang ingin digempur itu bukan sembarangan. Tetapi melibatkan mentality dan pemikiran.
Saya tidak merungut dan saya memang tidak mahu merungut. Kadang kala saya bertanya pada diri sendiri, aku ini sudah matangkah? Matang? Apa yang kau tahu tentang matang? Huhu. Entahlah. Saya terkadang keliru apabila berbicara dengan diri sendiri perihal perjuangan yang saya gulati. Layakkah saya? Erm..
Saya beralih ke lagu KRU pula sekarang. Tajuknya, Sayang.
Ok, cut it out. Teruskan perjalanan ya Aini.. selamat malam!!
No comments:
Post a Comment