Wednesday, June 3, 2009

Setitis Perkongsian, buat insan yang menulis.

Petikan daripada Majalah Tunas Cipta Jun 2009 - Ulasan cerpen Kalimah Cinta karya Thoyba Mursyidah oleh Siti Hajar Che Man. (m/s 41)

Kisah yang dipaparkan menerusi cerpen “Kalimah Cinta” oleh Thoyba Mursyidah mengingatkan saya kepada Sultan Ibrahim Ibn Adham seperti yang sering digunakan oleh penceramah agama apabila mereka ingin menekankan konsep ikhlas dan kebersihan hati. Kisah Sultan Ibrahim dalam Hikayat Sultan Ibrahim Ibn Adham disunting oleh Russel Jones mengisahkan Sultan Ibrahin yang termakan buah delima dijumpainya di sebatang sungai tanpa mengetahui siapakah empunya buah tersebut. Dirundung rasa bersalah, baginda menyusuri sungai sehingga sampai ke rumah Syarif Hassan seorang yang sangat alim dan dianugerahkan Allah alim tasawuf juga ayah kepada Siti Saleha. Demikian juga unsur ini dipaparkan dalam cerpen “Kalimah Cinta”.


Namun cerpen ini digubah dengan menyesuaikannya dengan wajah setempat. Thoyba telah menggunakan teknik fasa yang membolehkan setiap fasa itu bersifat cerita berbingkai dan ada ketikanya boleh berdiri dengan sendiri walaupun masih terikat dengan fasa awal. Dengan teknik fasa inilah, Thoyba boleh berimaginasi kisah misteri, juga mimpi yang berlaku pada watak Nazri.


Cerpen ini digembleng dengan 6 fasa. Fasa 1 mengisahkan paparan dunia nyata di mana Nazri, Ifwat dan Athirah isterinya dalam perjalanan ke Perlis. Fasa 2, di alam mimpi di mana Nazri berada di satu kawasan lapang tetapi dirinya dililit akar-akar pokok yang menghijau. Fasa 3, Nazri berada di antara dunia sedar dan di bawah sedar, dia sedar tentang mimpi dan kembali mencari kawasan yang disinggahinya dalam mimpi. Fasa 4. Nazri berada dalam alam nyata (alam syahadah) atau alam al-insan bersama Athirah dan anak yang baru dilahirkan, Ummu Fatimah. Fasa 5, Nazri berada dalam alam jabarut dan fasa 6. Nazri di alam mutmainah.


Pada hemat saya, cerpen ini adalah sebuah cerpen yang bersifat kerohanian berkisar tentang pembersihan dan penyucian hati atau apa sahaja yang disebut sebagai tazkiyah al-nafs. Justeru, unsur latar yang digunakan oleh Thoyba Mursyidah lebih merujuk kepada persoalan dalam diri. Hal ini jelas diungkapkan oleh Imam Ghazali bahawa dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, jika daging itu bersih maka bersihlah seluruh diri, dan jika daging itu busuk maka busuklah seluruh diri itu. Daging itu ialah HATI. oleh itu persoalan hati ini bersabit dengan ikhlas dan kejujuran.


Faktor inilah yang menjana watak Nazri sekaligus membina konflik. Adakah kerana sebiji rambutan yang dimakan tanpa mengetahui tuannya itu, dia perlu memenuhi syarat yang dikenakan oleh nenek. Hal ini mengingatkan saya kepada syarat yang pernah dikenakan oleh Puteri Gunung Ledang kepada Sultan Mahmud Syah! Bahkan demi untuk menyucikan ‘hatinya’, Nazri perlu mengorbankan harta, keluarga, pangkat dan tinggal bersama nenek selama 50 tahun! Itu satu jangka masa yang lama dan mustahil untuk dilakukan.


Oleh itu Nazri berada di dua persimpangan yang sangat kuat mempengaruhi hidupnya. Nazri terjebak antara nikmat dunia yang sementara berbanding dengan nikmat kelazatan di akhirat. Itulah sebabnya penyucian hati turut terikat dengan judul cerpen ini iaitu Kalimah Cinta. Nazri terjebak dalam dua cinta iaitu cinta lahiriah dan cinta batiniah. Proses untuk membina kalimah cinta bukanlah mudah. Sering kali cinta di tahap alam syahadah menghantui diri. Walhal nikmat dunia hanya bersifat sementara malah bersifat pinjam-pinjaman, tidak kekal. Sifat dan ciri-ciri ketaqwaan dan tawakal kepada Allah SWT mudah disebut tetapi selagi manusia tidak diuji seseorang itu belum tahu sejauh mana kekuatan imannya. Justeru hati dan cinta itu perlu dibasahi, disirami dan dibajai dengan sifat-sifat qanaah. Redha, berlapang dada, bersangka baik, dan tidak berputus asa dengan rezekiNya.


Inilah tahap-tahap kerohanian atau perjalanan kerohanian yang dilalui oleh Nazri. Tahap perjalanan inilah yang diperlihatkan dan cuba disedarkan oleh Thoyba Mursyidah kepada pembaca. Mesej tersirat yang boleh dirungkaikan ialah dalam menjalani kehidupan seharian, manusia sebenarnya menjalani dua kehidupan dalam satu masa iaitu kehidupan di dunia lahiriah sebagai kehidupan biasa dan kehidupan batiniah sebagai luar biasa. Tapi manusia jarang-jarang menyedari, menilai atau bermusahabah dengan kehidupan yang ditempuh. Saya harap, sekiranya Thoyba memilih idea-idea dan ilham kesufian sebagai elemen penceritaan di masa depan, perlulah rajin membaca karya-karya kesufian antaranya karya Rabia-ul-Adawiyah, Fariduddin Attar, Hamzah Fansuri, puisi-puisi Jami, puisi Jamaluddin Rum dan seumpamanya. Hakikatnya menerusi karya-karya mereka, kehidupan manusia dipersembahkan dengan adunan unsur-unsur alam.


…………..Tetapi Tie Camar dan Thoyba Mursyidah bermula dengan kisah biasa dan kemudian dikembangkan menjadi menjadi kisah kuar biasa yang membanggakan. Kedua-dua memberi ruang kepada pembaca untuk merenung, berfikir, meneka-neka dan membuat kesimpulan tertentu. Oleh itu cerpen ini turut berfungsi sebagai satu seni interpretasi dan komunikasi.

~gambar hiasan~

3 comments:

A. Muziru Idham said...

Wah, tahniah kak!

Cerpen akak diulas hebat nampaknya. Moga kualiti karya-karya akak akan bertambah baik dari semasa ke semasa.

Moga bercambah ilmu dan hikmah!!!

Akh Zhaf (mujahid page) said...

hmm.. bagus... tepuk2... lps cuti minta hadiah ngan ana

anak pak man said...

perh, have to get to reading it..
bagilah aku baca skali~