Saturday, July 4, 2009

Muktamar Pertama Ikatan Kerohanian JPP Utara

Adakah kau lupa kita pernah berjaya.
Adakah kau lupa kita pernah berkuasa.
Memayungi dua per tiga dunia
Merentas benua melayar samudera
Keimanan juga ketaqwaan
Rahsia mereka capai kejayaan.

Kalian pernah tatap bait-bait lirik ini? Kal pertama saya mendengar lagu ini di Kursus Kepimpinan JPP di Langkawi. Saya tidak ambil cakna pada mulanya. Kali kedua saya mendengarnya di Muktamar Pertama Ikatan Kerohanian JPP, terasa ada aura semangat menyusup dalam sukma.

Alhamdulillah. Muktamar pertama dilaksanakan dengan jayanya walaupun terdapat halangan dari sudut masa. Hari ini, 4 Julai 2009 bersamaan 11 Rejab 1429, guru-guru pelatih membuktikan dakwah yang mereka bawa dan sebut-sebutkan itu bukannya main-main, tetapi amanah penting yang amat berat. 5 buah IPGM bersepakat membentuk Ikatan Kerohanian Zon Utara untuk melebarkan wadah yang lebih luas untuk menebarkan dakwah.

Saya boleh katakan minda saya gemar juga berfikiran negatif. Semasa saya mendengar khabar bahawa Biro Agama dan Kerohanian setiap IPGM ingin menubuhkan gerakan baru, saya tertanya-tanya sendiri.

" Apa guna nak buat persatuan lagi. Yang lain-lain pun masih kabur gerak kerjanya."

Namun hari ini, di Muktamar pertama yang diadakan di IPGM Kampus Darul Aman, Jitra ini benar-benar merubah persepsi saya yang kolot ini tentang makna tautan ukhwah yang membentuk mahabbah. Setiap wakil IPGM berkongsi idea dan penyelesaian untuk menangani cabaran-cabaran dalam lapangan dakwah.

Dakwah itu menyeru. Saya melihat dalam konteks sebagai guru pelatih, mad'u nya sangat ramai dan merupakan aset penting tamadun Islam masa hadapan. Memang mudah menyebut perkataan dakwah, tetapi melakukannya? Ah, saya, yang sedang menulis entri ini juga merasa terhiris dan terpukul apabila mengenangkan tahap keberanian dan kesanggupan kita.

Kepelbagaian pendekatan untuk menyebarkan dakwah sebenarnya perlu dititikberatkan agar manusia yang sudah mengenal tarbiah akan mula mengerti makna Islam, dan agar manusia yang tidak kenal dan merasa tarbiah, akan mula menghampiri Islam dengan lebih akrab. Ini berfungsi mengikut keadaan apabila kita merujuk kepada cara penyampaian dakwah itu sendiri.

Dai'e. Rasanya beberapa kali juga saya menulis entri tentang dae'i sehinggakan saya merasa malu kerana diri masih lagi banyak berhutang dengan Allah SWT. Kalian fikir bagaimana?

Islam sememangnya agama syumul yang tidak dapat dinafikan lagi keindahannya. Tetapi disebabkan para dae'i tidak menggunakan kebijaksanaan dalam menonjolkan dan menggilap keindahan Islam itu hingga menarik perhatian mad'u nya. Allah mengurniakan pada kita akal fikiran yang hebat. Manfaatkan ia untuk menggarap strategi baru bagi mengindahkan kembali laman perjuangan agar mad'u jatuh cinta untuk melawatinya.

Berbicara itu senang bukan? Hendak melaksanakan gerak kerja itu amat payah. Besarnya peranan istiqamah memang tidak dapat dinafikan. Bagi saya, Muktamar ini berjaya mengupas beberapa persoalan yang sering mengganggu fikiran pada dae'i di IPGM. Berbekalkan ayat 7 Surah Muhammad, insya Allah, kita akan lebih ikhlas berjuang di jalanNYA.

Saya pulang dengan jiwa yang lebih tenang. Oh ya, saya sengaja tidak selitkan gambar di sekitar muktamar. Entah mengapa, hati saya melarang keras. Saya sendiri pun jadi hairan. Kalian tahu kenapa? Saya pun tak tahu. Kalian mahu tahu juga? Tanyalah hati saya.

2 comments:

Anonymous said...

oh oh

azran juga pergi

dia kelas saya!

Anonymous said...

teruskan perjuanganmu...