Tuesday, October 13, 2009

Permainan SIS

Beberapa ketika ini saya disibukkan dengan pelbagai tugasan. Kiri dan kanan dihujani tugasan tetapi hati merasa puas apabila segalanya diselesaikan. Alhamdulillah.Saya jadi geram melihat blog ini dibiarkan lama bersawang tidak terjaga. Peperiksaan akhir untuk kursus persediaan selama 3 semester bakal menyusul tidak sampai 2 minggu sahaja lagi. Persediaan? tak dapat saya zahirkan kerisauan. Insya Allah, segalanya sudah diaturkan olehNYA.Kita tinggalkan dulu perihal saya yang selalu sahaja mencari alasan ini..manusia, manusia.

Saya meneliti kes Kartika tidak terlalu lama sementelah saya sendiri kurang arif tentang perundangan. Namun saya cuba sedayanya untuk mencerna apa yang berkitar dan berpusar lalu membentuk arus yang merimaskan semua umat Islam. Bukan saya seorang, tetapi mana-mana pemikir Islam di dunia ini pun pasti dapat menebak apa yang berlaku berikutan kes ini. Sungguh menghairankan apabila hukuman yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah Kuantan dipersoalkan sebegitu rupa.

Saya jadi tertanya-tanya, di mana kualiti dan pendirian orang Islam (bukan semuanya) yang sibuk mempertikaikan keputusan yang dibuat berlandaskan agama Islam itu sendiri? Saya sempat membaca beberapa artikel yang ditulis oleh Wanita JIM, Ustaz MAZA dan juga Ustaz Hasrizal. Mereka bersetuju mengatakan bahawa tindakan itu tidak lain tidak bukan, menghina mahkamah dan hukum Islam.

Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, Sister In Islam memanfaatkan sepenuh-penuhnya isu ini untuk menonjolkan 'kecaknaan' mereka terhadap nasib wanita. Sebenarnya mereka sendiri tidak faham apakah itu Islam. Jika kita lihat alur perjuangan SIS selama inipun, terang-terangan menyimpang dari jalan yang Islam gariskan. Tindakan protes pada keputusan Mahkamah Syariah itu hanyalah sekadar mencurahkan minyak pada api yangs sedang marak dengan harapan 'membuka mata hati' wanita Islam untuk memandang mereka sebagai pahlaawan.

Saya yakin dan teramat yakin hampir semua umat Islam tahu bahawa apa sahaja benda yang memabukkan itu adalah haram, apatah lagi meminum arak.Dalam kes Kartika ini, dia sendiri telah mengakui dan sanggup menerima hukuman yang ditetapkan. Jadi, tiada lagi apa-apa kesangsian untuk menjalankan hukuman ini. Islam ini agama yang sempurna. Hukuman rotan yang diputuskan itu bukannya atas niat mencederakan mahupun membunun tetapi memberi pengajaran dan menerbitkan keinsafan pada umat Islam khususnya. Pemahaman inilah yang disalah ertikan oleh SIS lalu diputar belit dengan cermat agar keputusan Mahkamah Syariah Kuantan dianggap salah.

Pernah Muallim Nuruddin memperkatakan ini dalam kelas, " Mahkamah Syariah makin pudar kewibawaannya". Sungguh saya bersetuju. Lihat sahaja kes-kes seperti hak penjagaan anak, cerai, dan kes-kes rumah tangga yang lain banyak tertunggak dan yang paling penting, kes-kes tersebut diselesaikan oleh pihak SIS. Jadi, masakan masyarakat Islam tidak menumpahkan kepercayaan pada SIS apabila terbukti mereka mampu membantu. Di sini saya meliha peranan kita sebagai umat Islam agar memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah dan bukannya menghentam habis-habisan segala apa yang diputuskan. Jangan pula sesama kita sibuk bertelingkag, musuh Islam enak ketawa berdekah-dekah. Nau'zubillah.

Jadi, sudah ketemu penyelesaiannya? Mungkin ya atau tidak.Apa yang boleh kita lakukan sekarang? Kumpul kekuatan fikrah dan gempur habis-habisan. Cukupkah? Renungkan...




(Al- Fatihah buat arwah Tok Ayah - Hussin bin Talib yang kembali ke rahmatullah pada 10 Oktober 2009)

3 comments:

Muhammad Khairil Azmin B Md Noor said...

syabas saudari,ulasan yang baik dan idea saudari saya rasa rasional sekali. ulasan yang baik dan saudari membuat kajian dahulu sebelum mengulas. tahniah.

Seruling Senja said...

Sepatutnya pemerintah negara kita termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan dan Mufti mengeluarkan fatwa mengenai akidah SIS yang nyata telah menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar. Sejak dulu lagi saya perhatikan SIS membuat kenyataan tentang Islam mjengikut kehendak nafsu mereka semata-mata. Jangan biarkan mereka yang mendakwa NGO Islam ini terus menghina ISlam !!!

Thoyba Mursyidah said...

Sdr Muhammad Khairil dan Seruling Senja,

Ayuh! Satukan fikrah, tajamkan pena..