Wednesday, May 26, 2010

ISU JUDI~~yang haram jadi halal...menempah 'neraka'

Kenyataan Media FORUM

Susulan dari pengeluaran lesen judi bola sepak sempena piala dunia 2010, Forum Penyelarasan Umat Pulau Pinang (FORUM) mendesak agar Kerajaan menarik balik lesen tersebut yang telah diberikan kepada Konglomerat Perjudian, Berjaya Groups Sdn Bhd. Pada 6 Mei lalu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr. Awang Adek Hussein berkata, kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan (judi) dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.
Pada 12 Mei pula, akhbar berbahasa Cina, Sin Chew, melaporkan menteri kewangan secara rasminya telah memberi lesen judi itu kepada Kumpulan Berjaya. Sin Chew melaporkan pertaruhan secara sah itu boleh dilakukan sebelum kejohanan bolasepak itu bermula pada 11 Jun ini. Melihat kepada proses membuat keputusan yang begitu singkat tanpa merujuk kepada maklumbalas awam, FORUM merasakan wujud keraguan dalam proses meluluskan lesen tersebut. Dengan ini, FORUM menggesa SPRM untuk menjalankan siasatan jika ada sebarang penyelewengan yang berlaku. Dalam hal ini, pihak FORUM akan membuat laporan rasmi kepada pihak berkenaan.
Pada hemat FORUM pemberian lesen judi bola tersebut wajar dibatalkan kerana kerana ianya bukan sahaja bercanggah dengan ajaran mana-mana agama, bahkan ianya juga bercanggah dengan lunas dan tatacara berfikir yang betul serta tidak menepati etika dan budaya masyarakat ketimuran. Malah FORUM berpendapat dengan kelulusan lesen judi berkenaan akan mengundang pelbagai impak negatif kepada Negara, masyarakat dan individu. Perkara ini juga akan menjatuhkan nama baik Malaysia sebagai sebuah negara yang memartabatkan Islam sebagai agama rasmi di persada dunia. Justifikasi kerajaan bahawa pemberian judi berlesen akan memudahkan pengawalan adalah tidak tepat sama sekali. Tidak ada sebarang jaminan bahawa para penjudi akan hanya berjudi melalui judi lesen.
FORUM bimbang jika kerajaan terus berfikiran prakmatik yang songsang seperti ini, suatu hari nanti kegiatan maksiat seperti pelacuran pula akan diberikan lesen seperti di Belanda, atas alasan yang tidak Syarie. Pertaruhan piala dunia tidak seharusnya dibenarkan atas apa alasan sekalipun kerana ia akan turut mengundang banyak lagi gejala sosial, rumahtangga porak-peranda dan seterusnya masyarakat menjadi huru-hara. Tambahan lagi, judi piala dunia yang berlansung empat tahun sekali, tidak kurang bahaya berbanding judi lain kerana masyarakat mungkin menganggap tempoh yang lama dan sekali sekala itu ‘tidak salah’ untuk melibatkan diri. Dengan tanggapan seperti itu, FORUM yakin keadaan akan menjadi tidak terkawal dan menegaskan sama ada Piala Dunia atau lumba kuda, judi wajib diharamkan sama sekali.

FORUM PENYELARASAN UMAT PULAU PINANG (FORUM)
19 Mei 2010

No comments: