Hampir 2 tahun aku di Pulau Pinang, 'berkenalan' dengan pelbagai NGO Islam. Secara keseluruhannya, aku tengok semuanya NGO Islam yang dipimpin oleh mahasiswa. Semalam, bertarikh 28 Mei 2010, Allah SWT memeberikan ku peluang untuk menjengah satu sudut yang tidak pernah ku fikirkan jua wujud. Jika tidak kerana ditugaskan bermain kompang untuk majlis tersebut, aku pasti sudah terlepas peluang yang metah besar ini.
KOngres Persatuan Melayu Pulau Pinang. Aku fokuskan perkataan ini- 'Melayu'.KOngres, dan pasti ini bukan majlis kecil-kecilan, bukan majlis biasa-biasa apabila yang hanya ku dengar adalah,
"sila masuk datuk, sila masuk datin."
Ingin tahu mengetuk-ngetuk minda. 'Melayu'- apa yang menjadi topik atau isu dalam kongres itu. Terdiam juga seketika apabila melihat keseluruhannya adalah warga 'veteran', warga yang terlebih dahulu makan garam dan gula. Jika tiada urusetia dan pemain kompang, maka sifarlah kehadiran warga muda.
Tunggu dan tunggu, apa intipatinya. Tuan Yang Dipertua pun hadir sama (melengkapkan kehadiran warga veteran). Tapi aku ahiran, dia hanya diam seribu bahasa- seakan menjadi pelengkap acara sahaja. Ingin juga aku mendengar amanat dari orang yang menyebabkan kami semua kelaparan kerana menunggu ketibaannya.
Pensyarah dari USM, bercerita tentang asal-ususl Melayu dalam Dewan Budaya itu. Pelbagai ceritera yang berkaitan dengan Melayu. Ada yang sudah diputarbelitkan, dan ada yang sudah dicampurkan ramuan lain. Melayu- bangsa yang pernah maju suatu ketika dulu.
Hang Tuah seakan menjadi watak utama dalam kongres itu. Pahlawan Melayu itu dikenang dan dijulang. Lantas Sulalatus- Salatin, Hikayat Hang Tuah diselak dan dihurai. Ternganga seorang aku. Wah! Bukan untuk sastera semata. Aku jadi kagum seketika.
Sesi soal jawab, kantuk mengelus-ngelus anak mata. Bosan sungguh dengan soalan-soalan serta pandangan yang berlapik-lapik (kerana ingin menjaga hati si pemimpin yang hanya tahu datang senyum, angguk, dan makan saja!)
" Err, apa pandangan tuan untuk memperkesakan Melayu?"
" Apa nasihat tuan untuk generasi muda?"
" Apa perasaan Tuan dengan kongres ini?"
Kalau soalan-soalan sebegitu, eloklah masuk kembali ke sekolah rendah, dan duduk atas kerusi, buat karangan untuk UPSR. Buang masa saja. Tapi tidak lama selepas itu, seorang ayahanda (selayaknya bagiku) bangun dan tanpa berselindung meluahkan kata-kata yang tepu makna, hingga si pemimpin tak jadi sendawa.
" Kongres ni, NGO yang MISKIN saja yang hadir sebab mereka semua ni ada semangat!. Hal-hal memperkasakan Melayu ini jangan diberikan kepada orang yang hanya mahu nama, tapi kerja tak buat, kongres, langsung tak nampak muka. Mereka tak pedulikan semua ini, mereka malas! Pemimpin apa macam ni!
Hendak saja aku bangun dan melangkan takbir, mujurlah kewarasan masih ada.
Bangun pula seorang pemuda, menyebut 2 peristiwa yang menyebabkan hadirin menelan liur- ketakutan mungkin!
" Kongres-kongres ni tak jadi Tuan! Ingat kembali peristiwa 13 Mei dengan penubuhan Malayan Union, semasa itulah melayu benar-benar bangkit. Kalau berlembut, bercakap, memberi nasihat itu ini, tak menjadi, Melayu tak akan bangkit!"
Bergegar isi Dewan Budaya. Aku pun merasai getaran yang sama. Agaknya, begini pemikiran mereka. Ada yang terlalu sedar, ada yang terlalu leka. Lebih baik aku jadi pemerhati dan pemilihnya.
Tuan-tuan di atas pentas sudah pucat lesi. Ada lagi yang mahu merengkuh pembesar suara tetapi dihalang dengan pantasnya. Setiap persoalan dan pandangan dihimpunkan dan diberi satu jawapan.
"Semuanya masih dalam perbincangan"
Aku tersenyum sajalah. Maka isi Dewan Budaya 'dikeluarkan' dengan alasan, makanan tengah hari sudah disediakan.
Jadi, Melayu, apakah langkahmu seterusnya? Ah! cakap orang, aku pun Melayu.
*** gambar tak adalah pulak
No comments:
Post a Comment