Tuesday, August 10, 2010

Ramadhan ini, kukira paling sunyi.

Nafsu sentiasa membelenggu diri. Hingga terkadang tak tersedarkan nikmat-nikmat kurniaan Allah sungguh bernilai, tiada terperi. Dan kali ini Ramadhan datang lagi. Allah masih memilih hamba ini untuk berada dalam bulan penuh kerahmatan.

Petang tadi, saat dada langit memerah, aku masih di toko buku. Sudah lama benar aku meninggalkan bahan bacaan pengisi jiwa, lama amat ku kira- usai dilanda kekecewaan yang mungkin sekali aku yang merekanya. Ah! Dasar manusia.

Al- Baqarah ayat 183 : Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Aku yakin ramai antara kita maklum dengan kewajipan berpuasa ke atas setiap orang Islam. Tetapi disini apa yang kita cari sebenarnya adalah penghayatan, rasa rindu pada Allah, rasa takjub pada kekuasaan Allah, rasa sedih kerana mengenangkan betapa nipisnya amalan untuk dijadikan pelindung daripada azab neraka, rasa syukur yang tidak terhingga pada Sang Pencipta alam semesta.

Mengingatkan diri sendiri jua. Bulan penuh barakah ini, manisnya cukup lekit ke reseptor rasa. Sebenarnya, ya begitulah andai kita punya keinginan. Andai kita punya rasa sedar, sedar bahawa dunia ini hanyalah, pinjaman semata.

Ya sungguh, aku sendiri pun leka. Sering amat leka. Tetapi dalam hati yang penuh noda , terselindung rasa takut pada pembalasan di akhirat. Namun apa tindakan yang menyusuli ketakutan itu? = Tiada apa-apa!

Aku mohon pada sesiapa pun yang membaca entri ini, aku mohon semoga kita lebarkan doa agar seluruh sahabat-sahabiah di dunia ini sering dahagakan cinta Allah, rindukan Rasulullah, dan beribadah penuh kusyuk demi menghamparkan rasa kesyukuran. Aku mohon, aku mohon doa itu! Aku mohon……..

Ramadhan kali ini, kukira paling sunyi. Seperti sebuah kanvas bercorak, yang pudar warnanya. Begitulah, cebis kenangan itu ditiup angin kenyataan. Allah menguji dengan kematian, dam segalanya bergulir diretina mata. Kukirimkan al-Fatihah buatmu insan-insan yang mendidikku menjadi manusia! Titik.

Di kampus ini - Sesungguhnya aku manusia yang penuh kekurangan. Malah sering tersadung pada lantai dunia. Sungguh kali ini ku terlihat sedikit cahaya apabila obor ukhwah menyala. Ya Allah, Kau ajarkanlah aku erti ikhlas kerana betapa sukarnya hati keras ini untuk bersama dengan manusia yang mendendangkan lagu dakwah. Allah…Astaghfirullah..

Ukhwah~~ semoga ianya kekal menjadi tautan untuk kita semua menuju syurga.
AIR MATAKU JADI SAKSI SETIAP BUTIR AKSARA INI DITULIS.

No comments: