Sunday, August 29, 2010

TIDAK FAHAM AGAMA PUNCA POLEMIK



KOTA BHARU, 29 Ogos: Isu bukan Islam memasuki masjid bukan satu kesalahan dalam Islam kerana ianya antara kaedah yang diguna Nabi Muhammad SAW dalam menyampaikan mesej dakwah.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz berkata, isu ini menjadi polemik dalam masyarakat akibat sentimen politik mengatasi kefahaman agama Islam yang murni.

“Oleh kerana hubungan kita dengan Islam semakin jauh, belajar pun tidak, maka bila tiba perkara-perkara macam ini, terus timbul masalah.

“Padahal kalau kita balik dari sejarah asal, ramai dari penduduk Arab Qurasy yang kafir datang jumpa Nabi. Nabi letak dalam masjid, mereka tidur dalam masjid, makan dalam masjid, bahkan kencing dalam masjid”, katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian sebagai mengulas tindakan Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching yang masuk ke Surau Al-Huda di Kajang Ahad lalu, yang kini hangat diperkatakan.

“Jadi bila ada orang bukan Islam sekarang ni masuk dalam masjid, tak ada apa pun. Nak ceramah ke, nak apa ke, tak ada masalah apa pun,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, tindakan mempolemikkan isu tersebut juga bukan sahaja akan menjauhkan orang bukan Islam kepada Islam, malah bertentangan dengan sunnah Nabi.

“Menjauhkan orang bukan Islam dengan masjid adalah budaya kita sahaja, bukan ajaran nabi,” ujarnya.

Dalam Islam menurutnya, Muaalaf ditafsir dengan tiga golongan iaitu mereka yang baru memeluk Islam, belum Islam tetapi cenderung memeluk Islam dan orang bukan Islam tetapi menghormati dan tidak menentang Islam.

“Jadinya dalam tiga ini hanya satu sahaja yang kita guna. Dua lagi kita biarkan menyebabkan masyarakat kita semakin jauh dengan yang bukan Islam,” ujarnya.

Menyentuh mengenai tidak menutup aurat ketika memasuki masjid, Tuan Guru berkata, mungkin masalah penjaga masjid tidak memberitahu kepadanya.

Tuan Guru berkata demikian sewaktu majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan media anjuran Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), di rumah anak yatim Taman Sabariah.

Seramai lebih 170 orang anak yatim menerima sumbang wang hari raya dari PMBK.

Sumber asal : http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=28397%3Atidak-faham-agama-punca-polemik-nik-aziz&catid=41%3Autama-muka-depan&Itemid=124

Wednesday, August 18, 2010

Hadiah Ramadhan kali ini.

Istimewa. Perkataan itu muncul dicelahan minda saat ini. Mengkagumkan! Ramadhan kali ini sarat pengajaran, biarpun masih belum menakah 10 hari kita berpuasa.
Beberapa hari yang lalu, terlanjur berjanji dengan naqibah kesayanganku untuk ke rumahnya. Desak hati mengatakan tidak perlulah mengikutnya pulang kerana asakan kerja kursus yang menggunung, tetapi aturan Allah SWT penuh rahsia, tepu hikmah dan kebaikan, maka kaki ini melangkah ke Kedah.

Allah ingin memberiku pelajaran. Allah ingin memberiku pengajaran. Terima kasih Allah. Secara jujurnya, seorang aku yang amat tipis pengertian syukur ini, gementar tatkala disapa kasih dan cinta yang bermakna. Sungguh, sayang dan kasih itu tiada tara anda dinilai dengan harta. Hampir tiap detik, jasad dan roh ku di sana, air mataku bergenang di kelopak mata. Terlalu indah rasa itu.

Allah ingin memberiku pelajaran. Allah ingin memberiku pengajaran. Selama ini ku sering berdingkit-dingkit tatkala berjalan di atas lantai simen atau kayu di mana-mana rumah kampung, selama ini sering melekat rasa rimas andai tiada kipas angin mahupun penghawa dingin, selama ini sering kekusutan bertandang andai jihat kediaman dipenuhi manusia. Namun semua itu, terpadam. Sungguh, ia benar-benar terpadam. Keluarga naqibahku, cukup sederhana. Amat! Namun, iklim cinta mereka merenggut segala kegusaran yang membuyar di jiwa.

Allah ingin memberiku pelajaran. Allah ingin memberiku pengajaran. Aku jadi malu pada Tuhan. Betapa mereka memanfaatkan masa bersama-sama, menegur dan membetulkan kesilapan penuh saksama, ibarat saling melengkapi. Dan aku, terduduk di satu ruang, mengamati betapa indahnya cinta sebegitu. Ku lihat naqibahku membelai adik-adiknya, mengusap pipi ayah dan bonda, memeluk erat nenda. Allah, sayunya hati ini. Ya Allah, jauhnya kami berbeda.

Mungkin perkara sebegini, tidak meninggalkan kesan pada sesiapa yang tidak redha dengan hidupnya. Mungkin perkara sebegini teramat kecil di mata manusia biasa. Sesungguhnya hati ini meronta-ronta ingin kembali ke masa silam. Di saat segalanya masih tersedia di depan mataku ini, untuk ku nikmati semula dengan penuh pengertian. Kepiluan ini tiada terbendung.

Nenda, aku berada disisinya. Dan apabila malam menggantikan siang, aku kaku. Seakan terperangkap di dalam fragmen gelap itu. Dan saat aku mendengar dirinya mengaduh sakit, berjaga malam dan keseorangan, hatiku pedih. Pedih teramat. Aku ingin bersamanya. Sungguh! Aku merinduinya! Ya Allah, pertrmukanlah aku dengannya! Aku mohon dengan sangat, biarlah hanya dalam mimpi tapi pertemukanlah. Amin! Aku menanti.
Dan, dan aku melihat keajaiban demi keajaiban dalam hidupku. Bagaimana cinta suci akhirnya bertaut. Bertaut atas nama Allah. Atas niat ibadah, menuju rahmah. Insya Allah. Ustaz yang selama ini menuai ilmu Al-Quran padaku meletakkan sepenuh kepercayaan terhadapku. Lantas, aku melihat tiada wanita lain yang mampu melengkapi hidupnya sebahai rijaluddin di muka bumi. Naqibahku, aku doakan kebahagian senantiasa bersamamu. Bersama kalian kelak.

Biarpun tidak mungkin ku melihat kalian bersatu, namun, demi Allah, aku sangat bahagia melihat penyatuan dua insan ini.
Doakan mereka!
Ya Allah, hadian Ramadhan kali ini cukup bernilai!

Tuesday, August 10, 2010

Ramadhan ini, kukira paling sunyi.

Nafsu sentiasa membelenggu diri. Hingga terkadang tak tersedarkan nikmat-nikmat kurniaan Allah sungguh bernilai, tiada terperi. Dan kali ini Ramadhan datang lagi. Allah masih memilih hamba ini untuk berada dalam bulan penuh kerahmatan.

Petang tadi, saat dada langit memerah, aku masih di toko buku. Sudah lama benar aku meninggalkan bahan bacaan pengisi jiwa, lama amat ku kira- usai dilanda kekecewaan yang mungkin sekali aku yang merekanya. Ah! Dasar manusia.

Al- Baqarah ayat 183 : Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Aku yakin ramai antara kita maklum dengan kewajipan berpuasa ke atas setiap orang Islam. Tetapi disini apa yang kita cari sebenarnya adalah penghayatan, rasa rindu pada Allah, rasa takjub pada kekuasaan Allah, rasa sedih kerana mengenangkan betapa nipisnya amalan untuk dijadikan pelindung daripada azab neraka, rasa syukur yang tidak terhingga pada Sang Pencipta alam semesta.

Mengingatkan diri sendiri jua. Bulan penuh barakah ini, manisnya cukup lekit ke reseptor rasa. Sebenarnya, ya begitulah andai kita punya keinginan. Andai kita punya rasa sedar, sedar bahawa dunia ini hanyalah, pinjaman semata.

Ya sungguh, aku sendiri pun leka. Sering amat leka. Tetapi dalam hati yang penuh noda , terselindung rasa takut pada pembalasan di akhirat. Namun apa tindakan yang menyusuli ketakutan itu? = Tiada apa-apa!

Aku mohon pada sesiapa pun yang membaca entri ini, aku mohon semoga kita lebarkan doa agar seluruh sahabat-sahabiah di dunia ini sering dahagakan cinta Allah, rindukan Rasulullah, dan beribadah penuh kusyuk demi menghamparkan rasa kesyukuran. Aku mohon, aku mohon doa itu! Aku mohon……..

Ramadhan kali ini, kukira paling sunyi. Seperti sebuah kanvas bercorak, yang pudar warnanya. Begitulah, cebis kenangan itu ditiup angin kenyataan. Allah menguji dengan kematian, dam segalanya bergulir diretina mata. Kukirimkan al-Fatihah buatmu insan-insan yang mendidikku menjadi manusia! Titik.

Di kampus ini - Sesungguhnya aku manusia yang penuh kekurangan. Malah sering tersadung pada lantai dunia. Sungguh kali ini ku terlihat sedikit cahaya apabila obor ukhwah menyala. Ya Allah, Kau ajarkanlah aku erti ikhlas kerana betapa sukarnya hati keras ini untuk bersama dengan manusia yang mendendangkan lagu dakwah. Allah…Astaghfirullah..

Ukhwah~~ semoga ianya kekal menjadi tautan untuk kita semua menuju syurga.
AIR MATAKU JADI SAKSI SETIAP BUTIR AKSARA INI DITULIS.

Friday, August 6, 2010

Malu la sikit!!

Susah kan bila diri dah merosot dalam ibadah. Sekarang aku yakin benar, memang iman manusia sentiasa berubah-ubah. Ada ketika lebih baik dari seorang ahli ibadah, adakalanya lebih hina dari orang-orang yang melupakan Allah.

Secara jujurlah, aku pun merasainya. Kalau nak cerita tentang malu, tidak usah cakaplah. Bila saat diri benar-benar disentuh manisnya cinta Allah, air mata mencurah-curah, dada jadi sebak, dahi hanya mencium sejadah. Setiap kali aku merasakan itu, aku paling takut Allah akan mengembalikan kegembiraan dunia sehingga melalaikan setiap kecintaan padaNYA.

Malu kan? Allah beri nikmat yang meruah, tetapi ibadah masih di takah yang tiada berubah-ubah. Kalau menaik tidak mengapa, ini mencapah sekejap dan merudum ke bawah. Aduhai, mengeluh sampai ke sudah.

Kalau hendak lihat ibadah Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabat baginda, sungguh perasaan malu akan memekup segenap penjuru hati. Tidak usah menyelongkar ibadah-ibadah lain, tetapi lihat pada SOLAT sahaja.

Baginda ditanya, "Solat Bagaiman yang lebih utama?"
Baginda menjawab, "Solat (yang) lama berdiri"
--HR Muslim--

Allahuakbar! Aku mengaku, kalau solat pasti hendak cari surah sependek yang mampu. Betul tak? Di sini, betapa terabainya amalan menghafal surah-surah dari Al-Quran. Aku mengingati diriku sendiri yang juga tidak lepas dari perbuatan yang memalukan itu. Ya, aku sering menyebut 'memalukan' sebab sedar atau tidak, kita sebenarnya tidak mempunyai sifat malu pada manusia, apatah lagi Allah jika melakukan kesilapan atau dosa sedangkan Allah sudah mengurniakan terlalu banyak nikmat untuk kita semua di dunia yang semestinya tidak kekal lama ini.

Hudzaifah menceritakan, dia melihat Nabi solat. Baginda membaca surah Al-Baqarah sampai habis. Malah disambung dengan an-Nas dan surah Ali Imran. Bayangakan!! Bagaiman hebatnya cinta Nabi, ketaatan Nabi kepada Allah padahal baginda sudah dijamin akan masuk ke syurga Allah yang indah lagi mahal itu.

Di situ aku melihat nilai sebuah kesyukuran. Buat apa hendak kata orang lain, aku sendiri pun masih terkial-kial hendak mengecap rasa syukur itu. (Ya Allah, jadikanlah kami hamba-hambaMu yang bersyukur, amin)

Muhasabah diri, selalu kita dengar perkataan itu tapi tidak hayati. Muhasabah muhasabah, apa benda tu??

Selama ini asyik menasihati manusia lain sahaja hingga lupa hendak menasihati diri sendiri. Mengingatkan diri sendiri, sekali lagi. Erm, reflek balik, renung balik. Sepanjang kehidupan ini, apa yang mampu kita buat untuk diri, untuk Islam, untuk 'perbicaraan' yang pasti akan datang??

Malu la sikit pada Allah.

Allah, Allah, Ampunkan kami, rahmatilah kami. Amin ya Rabb.