Monday, January 31, 2011

Doakan keselamatan sahabat-sahabat kita di Mesir.



Kebangkita rakyat Mesir untuk menjatuhkan Presiden Hosni Mubarak telah diketahui umum. Namun yang menjadi keresahan rakyat Malaysia adalah keselamatan pelajar-pelajar Malaysia di sana.

Dengan artikel, luahan, dan rayuan daripada pelajar-pelajar di sana, kami semua ahli-ahli komuniti blogger di Malaysia berharap agar isu ini dapat menarik perhatian pihak berwajib untuk mengambil tindakan atas dasar keselamatan penuntut disana.

Apa yang paling penting, kita doakan mereka semua. Saya tidak mahu berbicara lebih soal kekecohan disana kerana kita juga sedia maklum kerisauan keluarga yang mempunyai anak disana, tidak perlu ditambah-tambah lagi.

Kalian, Berdoalah...
Ya Allah, berikanlah keselamatan buat sahabat-sahabatku disana..Amin

Info extra di website ini
http://ariffshah.com/krisis-mesir-keadaan-sebenar-pelajar-malaysia/

Saturday, January 15, 2011

Kuntum Cinta di Taman Syurga di pasaran.


Harga: RM 17 / RM 19
ISBN-13: 978-967-5783-54-8
Tarikh Terbit: 11 Feb 2011
Jumlah Muka Surat : 304
Penerbit: PTS Litera Sdn Bhd

Assalamua'laikum kepada semua sahabat-sahabat dan pembaca blog FIKRAH DI SAYAP ANGIN selama ini. Semoga Allah sentiasa merahmati kalian.

Alhamdulillah, rezeki Allah yang saya peroleh ini, amat benar saya mahu kongsikan bersama kalian.

Novel KUNTUM CINTA DI TAMAN SYURGA adalah novel saya yang pertama. Apa yang saya coretkan dalam laman maya ini, sedikit sebanyak membantu saya dalam menyiapkan novel KCDTS.

Saya melihat kebanyakan novel kini tidak/jarang sekali mengetengahkan latar kehidupan/realiti yang ditempuh guru-guru pelatih di Institut Pendidikan Guru. Sesungguhnya, guru-guru pelatih kini masih terkongkong dengan sistem sekolah dan tidak merasai hidup sebenar-benarnya sebagai siswazah. Oleh sebab itu, tanpa segan silu saya katakan, pemikiran guru pelatih lebih terbelakang berbanding siswazah di universiti.

Bertitik-tolakkan darihal itu, saya rasa bertanggungjawab untuk menulis novel ini kerana ingin;

1.Membuka pemikiran pembaca, khususnya guru-guru pelatih untuk lebih terbuka dan kritikal dalam berfikir demi merawat penyakit yang melanda masyarakat.

2. Menyedarkan masyarakat bahawa guru adalah revolusioner bangsa. Kerana sikap lewa seorang guru, satu generasi mampu binasa.

3. Supaya setiap daripada kita tidak kiralah siapa pun kita punya rasa 'berhutang' dengan Allah atas setiap perkara yang kita perolehi di dunia.


Semoga bermanfaat! Saya mengharapkan sokongan anda semua.


Berikut adalah antara komentar berkenaan novel KCDTS, insya Allah.

ANA BALQIS - Novelis Menanti Khalidah.
Mengenal Fidaei Humaidi, Harliana atau Iffah Amani, Syaidi dan Amir Hamizan membuatkan kita rasa terpanggil untuk ikut berjuang bersama mereka. Pertentangan dan perjuangan yang dilatarkan dengan suasana pengajian perguruan ini adalah hakikat yang sedang berlaku dalam kalangan masyarakat Islam, di mana-mana. Kemahuan baik selalu diragui malah ditentang. Justeru itulah Islam selalu dikalahkan. Bukan oleh peluru atau mortar tetapi melalui tentangan dalaman.

Membaca KCTS membuatkan kita terfikir, peranan kita sebagai manusia Islam. Sesuai dengan latar dan watak-watak yang diberi tanggungjawab dalam novel ini, KCTS wajar dibaca oleh semua golongan. Salam perjuangan dan selamat membaca.

IBNU AHMAD AL KURAUWI - Novelis Punya Cinta Ramadhan dan Namaku Bukan Maria
Apakah warna haruman yang mengusik indera, andai benar sekuntum cinta itu tumbuh lalu tumpah dari inderaloka. Membaca Kuntum Cinta di Taman Syurga bagai tercium aroma magisnya; seolah-olah tumbuh sepohon jihad yang merendang, pucuknya menyulur di jurai dada dengan suluhan cahaya. Thoyba Mursyidah bijak meramukan tarbiah, fikrah dan dakwah menjadi baja paling ampuh menumbuhkan warna-warni hidayah di dada seorang khalifah.

A.UBAIDILLAH ALIAS - Novelis Warkah Cinta Berbau Syurga
Menyedari bahawa dunia kampus kini dilatari pelbagai isme, penulis dengan penuh tanggungjawab membawa pergolakan kehidupan siswazah yang penuh dengan konflik. Penceritaan penuh teliti, penerapan maklumat yang mengesankan menjadikan ia sebuah karya yang reseptif, imaginatif dan informatif.

Wednesday, January 12, 2011

Redhakanlah.....Ya Allah, Kau Maha Mengetahui.

Air mata. Itu sahaja yang terluah ketika menerima khabar adik kesayangan saya ditimpa kemalangan.

Ayahnya terkorban dan dia koma. Masih, koma.

"Datanglah selagi ada masa" Saudara Hasbullah memperingatkan saya di ruangan YM.

Saya makin serba-salah.

***

Ummirul Syahirah, pemilik nama itu sedang bertarung dengan nyawa sendiri.

Ummi, kakak masih terbayang senyumanmu. Saat kita berusrah bersama, kakak gemar mengusikmu dik. Kau begitu tulus, amat.
Kau jarang benar berbicara, apatah lagi kalau hendak mencela manusia lain. Kau memang gadis yang baik.

Ummi, kakak rasa malu dengan diri. Baru kini kakak tahu, Ummi tidak pernah ada laptop sepanjang pengajian disini. Baru kakak sedar keperitan hadup yang dirimu tanggung. Saat kita sering bahagia dalam usrah bersama kak Ida, dirimu tidak pernah mempamerkan wajah duka, tidak pernah sama sekali. Mulianya hatimu dik. Tidak pernah kau bebankan kami dengan masalahmu, dirimu begitu baik dik, maka benarlah Allah amat amat menyayangimu.

Ummi, baru kakak sedar. Dulu, kakak selalu tertanya-tanya, kenapa Ummi sering memakai baju yang sama. Selalu benar kakak lihat. Rupa-rupanya ternyata Ummi punya 1001 rahsia yang terpendam dalam lubuk jiwa. Ummi, kakak sungguh menyesal kerana tidak memanfaatkan detik-detik usrah kita bersama. Kakak menyesal.

Ummi, kakak malu. Kakak malu bila orang lain bertanya tentang diri Ummi, kakak tidak tahu. Kakak begitu lalai hingga tidak mengenalimu. Ummi, maafkan kakak.

Ummi, Allah mahu mendidik kakak untuk belajar menyayangi. Ikatan dalam usrah itu amat manis dan kakak mula percaya, hubungan itu kerana Allah semata-mata. Kerana Allah, kerana Allah wahai Ummi.

Ummi, kakak sedih. Kakak sedih Ummi derita, tetapi Allah SWT lebih mengetahui. DIA sebaik-baik perancang. Walau setinggi manapun sayang kakak pada Ummi, sayang Allah pada Ummi lebih agung.

Ya Allah, tanamkanlah redha dalam diri kami, sematkanlah kesabaran pada keluarga Ummi. Ya Allah, kami redha dan bertawakal padamu.

Ummi, lekaslah pulih.

Kakak rindu padamu.

Saturday, January 8, 2011

Binasa atau Perkasa? Aduhai...

Saya (kali ini saya, bukan aku) mulai kagum dengan pemikiran-pemikiran anak muda dan mudi kini. Alhamdulillah, semakin matang dan bersemangat dalam menegakkan kebenaran. Senario begini semakin jelas di kampus-kampus tempatan mahupun di luar negara. Alhamdullilah, Alhamdulillah.

MEMBACA

Muda dan mudi kini lebih gemar membaca. Tinggalkan tentang fakta rakyat Malaysia membaca 4 buah buku setahun, itu sudah tidak boleh dipakai lagi. Tetapi tentang fakta pengeluaran buku di Malaysia yang berkurangan, itu perlu kita perincikan dan kaji dalam-dalam.

Saya hendak memperkatakan tentang muda dan mudi Islam.

Membaca- ya tidak dinafikan. Saya belajar perkataan baru, taklid buta. Bagaimana taklid boleh menjadi buta. Hairan bukan?

Muda dan mudi Islam, mereka membaca dan membuat penafsiran. Mereka mentafsir dan berijtihad dengan sesuatu yang diyakini. Lalu mereka pegang sunggug-sunggug dan menutup pandangan mereka pada darihal-darihal lain. Pelik sungguh. Hingga tahap mencela dan menghina muda dan mudi Islam yang lain.

PROVOKASI

Muda dan mudi Islam yang tidak tahan provokasi. Pantang diusik terus menggila melemparkan tuduhan dan amaran keras. Pada mata mereka, orang yang memberi pandangan yang bertentangan dengan pendapat mereka adalah penentang yang patut disingkirkan, dipatah-patahkan tulangnya, atau mungkin dibunuh.

Emosi, tidak usah ceritalah. Darah muda yang menggelegak. Apa yang menyedihkan, ada muda dan mudi Islam yang sering mengungkit. Merekalah yang tahu segalanya, merekalah yang banyak pengorbanan.

Rasulullah SAW tidak pernah langsung mengungkit segala pengorbanan dan kesakitan yang baginda alami apabila sahabat-sahabat baginda yang lain memberikan pandangan. Langsung tidak. Saya hairan, di mana sifat keterbukaan dalam perbincangan sesebuah isu pada zaman yang serba maju dan bertamadun ini?

Dunia sudah cukup sengsara dengan perkembangan industri-industri maksiat yang kian bermaharajalela, tetapi muda dan mudi Islam pula hendak menambah rencah kemusnahankah?

TARIK SANA, TARIK SINI

Aduhai, muda dan mudi Islam yang bertelingkah kerana jemaah yang dibawa. Aduhai sedih sekali. Terkadang, orang yang mahu mendekati Islam menjadi gerun dan takut.Jika ikut sipolan bin sipolan itu nanti dituduh Wahabi, ikut sipolan bin sipola ini nanti dituduh sesat. Dan memang saya hanya mampu tergelak sambil menghabiskan sebungkus kacang. Aduhai.

Tidak dinafikan, tarik-menarik itu sungguh sinonim dengan budaya dakwah kampus. Mahu berdakwah, dakwahlah! Tiada masalah, malah lebih menguntungkan Islam. Cuma ada segelintir, ya cuma segelintir yang membuat onar, habis satu jemaah lebur.

KERANA TIDAK PANASKAN MAKANAN, HABIS BASI LAUK SEPINGGAN

Segelintir sungguh yang jadi Mat Kacau. Bukan semua yang tahan provokasi. Muda dan Mudi Islam lemah daya tahan dalamannya. Dijentik sedikit sudah marah-marah. Jadi, dimana orang hendak lihat kekuatan Islam?

Bagi saya, orang-orang begini tidak faham Islam yang penuh dengan strategi. Orang-orang begini tidak tahu bahawa Islam datang dengan hikmah. Hikmah yang menjadikan Islam itu suatu agama yang cukup tinggi nilainya.

Orang-orang sebegini tidak pandai menyimpan kerahsiaan. Mereka mendedahkan rahsia jemaah apabila marah-marah. Mereka tidak sedar taktik orang yang membenci Islam telah berhasil. Mereka tidak faham apakah itu kerahsiaan dan berwaspada. Langkah pertama untuk memilih jemaah pun, mungkin mereka butakan mata.

Berprogram sahaja tidak cukup andai tiada bekalan iman didada. Itu bukan jaminan untuk kita tidak menghamburkan segala kata nista.

PANDAI BERHUJAH

Mereka pandai berhujah. Ayat-ayat Allah dan hadis meniti di bibir. Biasalah. Itu serapan, bukan kefahaman. Orang yang faham akan lebih banyak diam dan memerhati. Tiba masanya, mereka akan bertindak. Segalanya berstrategi dan bukannya menyerang membuta-tuli. Langsung tidak. Dan orang yang faham akan mengerti bahawa mencela dan membanding-bandingkan jemaah itu bukan perkara yang dilakukan oleh orang seorang Islam.

IKUT KEPALA MASING-MASING

Kita semua orang Islam, muslim dan muslimah. Saya hairan apabila ada segelintir (masih segelintir) yang menganggap kesatuan ummah tidak akan dicapai jika ada pendapat yang tidak selari dengan mereka. Ikut mereka dan kesatuan ummah akan dicapai, hairan, hairan.

Terbukalah dan belajarlah untuk bersikap. Bukankah perbezaan pendapat itu rahmat? Mereka yang mengetahui timbulnya perbezaan pendapat akan lebih bersungguh untuk mengkaji dan memiliki naluri mencari. Mencari yang benar dan bukannya menegakkan apa yang kita rasa benar tanpa usul periksa.

Sama-sama mengkaji dan mencari akan meningkatkan kualiti hidup dan pandangan Islam itu sendiri. Itulah yang paling ditakuti Yahudi.

SALING MENGHARGAI

Perbezaan yang muncul, harus dihargai. Saling menghormati dan menghargai akan mewujudkan kesatuan Ummah. Matlamat kita tetap sama walau bergerak dalam wadah yang berbeza.

Jangan sempitkan pemikiran dengan secebis pengalaman dan pengorbanan yang kita ada. Jangan sesekali fikir begitu. Nanti timbul penyakit takbur dan riak dalam dirimu.

Muda dan mudi, teruskan membuka fikiranmu namun tetap berlandaskan jalan Islam. Jangan terlalu fanatik sehingga mencacatkan pandangan orang bukan Islam terhadap kita. Berjuanglah, tetapi jangan disalah gunakan semangat itu untuk mencela yang lain.

Thursday, January 6, 2011

Terbang Tinggi

Selamat datang 2011. (Walaupun hari ini sudah 7 Januari 2011)

Blog ini sudah berkecamuk dengan post berbahasa Melayu dan Inggeris. Tapi tidak mengapalah, kerana apa yang paling penting ada sesuatu yang aku ingin sampaikan.

Penghujung 2010, alhamdulillah aku berpeluang ke FLY HIGH- satu program persediaan untuk ke luar negara. Sejujurnya sebelum ini, tidak terlintas sedikit pun apa-apa yang membimbangkan diri. Namun di FLY HIGH, aku berdepan dengan realiti.

Di sana nanti, kita sendiri yang akan memegang segala keputusan. Bukan sahabat, bukan ibu, bukan ayah kita, tetapi kita sendiri akan menentukan hala tuju hidup. Dan di sana nanti, adalah satu pengalaman yang mampu bertukar menjadi satu rahmat mahupun menjadi ujian. Kita yang membuat pilihan.

Alhamdulillah, berpeluang bertemu dengan Ustaz Hasrizal Jamil. Walaupun saya tidak pernah mengkhatam buku-buku beliau (pengakuan, huhu) tetapi penyampaian ceramahnya sangat menusuk. Santai, dan cukup dekat dengan kehidupan yang kita jalani.

Anologi beliau mudah.

Belia bercerita tentang nyamuk dan harimau. Nyamuk dilihat sebagai tidak berbahaya. Tetapi harimau dianggap sebagai binatang yang mengancam nyawa. Jika dilihat pada tempoh masa setahun, berapa orangkah yang mati kerana nyamuk dan berapa orang pula yang maut kerana harimau?

Mudah, sekecil-kecil nyamuk mampu membunuh ramai manusia- DENGGI dan sebagainya. Tetapi ada kah dalam setahun 60 orang yang maut kerana dibaham harimau?

Begitulah anologi ini disandarkan pada perbuatan dosa kecil. Kita tidak takut dan gentar apabila melakukan dosa dan sering mengatakan;
"Takpe, dosa kecil saja!"

Tetapi kerana dosa kecil itulah (nyamuk) yang mampu membawa kita ke arah kebinasaan.

Zapp!! Menusuk amat.

Australia, atau aku spesifikkan, di Sydney. Itulah destinasiku Februari nanti.

Semoga segalanya lancar sahaja Rabb...