Saturday, January 8, 2011

Binasa atau Perkasa? Aduhai...

Saya (kali ini saya, bukan aku) mulai kagum dengan pemikiran-pemikiran anak muda dan mudi kini. Alhamdulillah, semakin matang dan bersemangat dalam menegakkan kebenaran. Senario begini semakin jelas di kampus-kampus tempatan mahupun di luar negara. Alhamdullilah, Alhamdulillah.

MEMBACA

Muda dan mudi kini lebih gemar membaca. Tinggalkan tentang fakta rakyat Malaysia membaca 4 buah buku setahun, itu sudah tidak boleh dipakai lagi. Tetapi tentang fakta pengeluaran buku di Malaysia yang berkurangan, itu perlu kita perincikan dan kaji dalam-dalam.

Saya hendak memperkatakan tentang muda dan mudi Islam.

Membaca- ya tidak dinafikan. Saya belajar perkataan baru, taklid buta. Bagaimana taklid boleh menjadi buta. Hairan bukan?

Muda dan mudi Islam, mereka membaca dan membuat penafsiran. Mereka mentafsir dan berijtihad dengan sesuatu yang diyakini. Lalu mereka pegang sunggug-sunggug dan menutup pandangan mereka pada darihal-darihal lain. Pelik sungguh. Hingga tahap mencela dan menghina muda dan mudi Islam yang lain.

PROVOKASI

Muda dan mudi Islam yang tidak tahan provokasi. Pantang diusik terus menggila melemparkan tuduhan dan amaran keras. Pada mata mereka, orang yang memberi pandangan yang bertentangan dengan pendapat mereka adalah penentang yang patut disingkirkan, dipatah-patahkan tulangnya, atau mungkin dibunuh.

Emosi, tidak usah ceritalah. Darah muda yang menggelegak. Apa yang menyedihkan, ada muda dan mudi Islam yang sering mengungkit. Merekalah yang tahu segalanya, merekalah yang banyak pengorbanan.

Rasulullah SAW tidak pernah langsung mengungkit segala pengorbanan dan kesakitan yang baginda alami apabila sahabat-sahabat baginda yang lain memberikan pandangan. Langsung tidak. Saya hairan, di mana sifat keterbukaan dalam perbincangan sesebuah isu pada zaman yang serba maju dan bertamadun ini?

Dunia sudah cukup sengsara dengan perkembangan industri-industri maksiat yang kian bermaharajalela, tetapi muda dan mudi Islam pula hendak menambah rencah kemusnahankah?

TARIK SANA, TARIK SINI

Aduhai, muda dan mudi Islam yang bertelingkah kerana jemaah yang dibawa. Aduhai sedih sekali. Terkadang, orang yang mahu mendekati Islam menjadi gerun dan takut.Jika ikut sipolan bin sipolan itu nanti dituduh Wahabi, ikut sipolan bin sipola ini nanti dituduh sesat. Dan memang saya hanya mampu tergelak sambil menghabiskan sebungkus kacang. Aduhai.

Tidak dinafikan, tarik-menarik itu sungguh sinonim dengan budaya dakwah kampus. Mahu berdakwah, dakwahlah! Tiada masalah, malah lebih menguntungkan Islam. Cuma ada segelintir, ya cuma segelintir yang membuat onar, habis satu jemaah lebur.

KERANA TIDAK PANASKAN MAKANAN, HABIS BASI LAUK SEPINGGAN

Segelintir sungguh yang jadi Mat Kacau. Bukan semua yang tahan provokasi. Muda dan Mudi Islam lemah daya tahan dalamannya. Dijentik sedikit sudah marah-marah. Jadi, dimana orang hendak lihat kekuatan Islam?

Bagi saya, orang-orang begini tidak faham Islam yang penuh dengan strategi. Orang-orang begini tidak tahu bahawa Islam datang dengan hikmah. Hikmah yang menjadikan Islam itu suatu agama yang cukup tinggi nilainya.

Orang-orang sebegini tidak pandai menyimpan kerahsiaan. Mereka mendedahkan rahsia jemaah apabila marah-marah. Mereka tidak sedar taktik orang yang membenci Islam telah berhasil. Mereka tidak faham apakah itu kerahsiaan dan berwaspada. Langkah pertama untuk memilih jemaah pun, mungkin mereka butakan mata.

Berprogram sahaja tidak cukup andai tiada bekalan iman didada. Itu bukan jaminan untuk kita tidak menghamburkan segala kata nista.

PANDAI BERHUJAH

Mereka pandai berhujah. Ayat-ayat Allah dan hadis meniti di bibir. Biasalah. Itu serapan, bukan kefahaman. Orang yang faham akan lebih banyak diam dan memerhati. Tiba masanya, mereka akan bertindak. Segalanya berstrategi dan bukannya menyerang membuta-tuli. Langsung tidak. Dan orang yang faham akan mengerti bahawa mencela dan membanding-bandingkan jemaah itu bukan perkara yang dilakukan oleh orang seorang Islam.

IKUT KEPALA MASING-MASING

Kita semua orang Islam, muslim dan muslimah. Saya hairan apabila ada segelintir (masih segelintir) yang menganggap kesatuan ummah tidak akan dicapai jika ada pendapat yang tidak selari dengan mereka. Ikut mereka dan kesatuan ummah akan dicapai, hairan, hairan.

Terbukalah dan belajarlah untuk bersikap. Bukankah perbezaan pendapat itu rahmat? Mereka yang mengetahui timbulnya perbezaan pendapat akan lebih bersungguh untuk mengkaji dan memiliki naluri mencari. Mencari yang benar dan bukannya menegakkan apa yang kita rasa benar tanpa usul periksa.

Sama-sama mengkaji dan mencari akan meningkatkan kualiti hidup dan pandangan Islam itu sendiri. Itulah yang paling ditakuti Yahudi.

SALING MENGHARGAI

Perbezaan yang muncul, harus dihargai. Saling menghormati dan menghargai akan mewujudkan kesatuan Ummah. Matlamat kita tetap sama walau bergerak dalam wadah yang berbeza.

Jangan sempitkan pemikiran dengan secebis pengalaman dan pengorbanan yang kita ada. Jangan sesekali fikir begitu. Nanti timbul penyakit takbur dan riak dalam dirimu.

Muda dan mudi, teruskan membuka fikiranmu namun tetap berlandaskan jalan Islam. Jangan terlalu fanatik sehingga mencacatkan pandangan orang bukan Islam terhadap kita. Berjuanglah, tetapi jangan disalah gunakan semangat itu untuk mencela yang lain.

1 comment:

nor syifa' :) said...

salam..
naam. saya suju dgn pndapat akak.
sekarg nie saya lihat konsep main "tarik2 tali" semakin kuat dikalangan pemuda/di sehinggakan mereka berasa trauma.mungkin. hehe
maaf ye lo tersalah . :)