Wednesday, January 12, 2011

Redhakanlah.....Ya Allah, Kau Maha Mengetahui.

Air mata. Itu sahaja yang terluah ketika menerima khabar adik kesayangan saya ditimpa kemalangan.

Ayahnya terkorban dan dia koma. Masih, koma.

"Datanglah selagi ada masa" Saudara Hasbullah memperingatkan saya di ruangan YM.

Saya makin serba-salah.

***

Ummirul Syahirah, pemilik nama itu sedang bertarung dengan nyawa sendiri.

Ummi, kakak masih terbayang senyumanmu. Saat kita berusrah bersama, kakak gemar mengusikmu dik. Kau begitu tulus, amat.
Kau jarang benar berbicara, apatah lagi kalau hendak mencela manusia lain. Kau memang gadis yang baik.

Ummi, kakak rasa malu dengan diri. Baru kini kakak tahu, Ummi tidak pernah ada laptop sepanjang pengajian disini. Baru kakak sedar keperitan hadup yang dirimu tanggung. Saat kita sering bahagia dalam usrah bersama kak Ida, dirimu tidak pernah mempamerkan wajah duka, tidak pernah sama sekali. Mulianya hatimu dik. Tidak pernah kau bebankan kami dengan masalahmu, dirimu begitu baik dik, maka benarlah Allah amat amat menyayangimu.

Ummi, baru kakak sedar. Dulu, kakak selalu tertanya-tanya, kenapa Ummi sering memakai baju yang sama. Selalu benar kakak lihat. Rupa-rupanya ternyata Ummi punya 1001 rahsia yang terpendam dalam lubuk jiwa. Ummi, kakak sungguh menyesal kerana tidak memanfaatkan detik-detik usrah kita bersama. Kakak menyesal.

Ummi, kakak malu. Kakak malu bila orang lain bertanya tentang diri Ummi, kakak tidak tahu. Kakak begitu lalai hingga tidak mengenalimu. Ummi, maafkan kakak.

Ummi, Allah mahu mendidik kakak untuk belajar menyayangi. Ikatan dalam usrah itu amat manis dan kakak mula percaya, hubungan itu kerana Allah semata-mata. Kerana Allah, kerana Allah wahai Ummi.

Ummi, kakak sedih. Kakak sedih Ummi derita, tetapi Allah SWT lebih mengetahui. DIA sebaik-baik perancang. Walau setinggi manapun sayang kakak pada Ummi, sayang Allah pada Ummi lebih agung.

Ya Allah, tanamkanlah redha dalam diri kami, sematkanlah kesabaran pada keluarga Ummi. Ya Allah, kami redha dan bertawakal padamu.

Ummi, lekaslah pulih.

Kakak rindu padamu.

No comments: