Sunday, February 27, 2011

Aku Bersaksi, Perjuangan ini tidak pernah padam.

Saya sekarang berada dalam keadaan terancam, ketakutan. Sungguh Allah hendak memberi saya pengajaran berharga. Sangat bernilai dan akan saya kenang sehingga hujung nyawa.

Selama ini saya hidup dalam zon yang selesa. Sangat selesa. Sekalipun pelbagai mehnah melanda, namun itu semua hanya sekadar kecaman yang direka-reka ataupun hanya bermain dalam cepu kepala. Ya, tidak lebih dari itu.

Selama ini jika hati ini terjentik dengan rasa sayu, itu pasti hanya kerana melihat teman-teman yang hanyut dibuai arus dunia, hiburan terlampau, dan paling hebat, ujian itu adalah keengganan mengikut suruhan Tuhan dan kemungkaran berlaku didepan mata. Apa yang saya tekankan adalah kemungkaran yang dilakukan oleh orang beragama Islam.

Ya, dan kerana itulah selalunya jiwa Islam kita sakit dan tangisan akan tiada hujungnya di atas tikat sejadah. KIta akan menulis pelbagai artikel, nasihat untuk membangkitkan kesedaran, meluahkan kekesalan dan berhujah yang pelbagai, menyampaikan kuliah dan motivasi, serta memantapkan usrah. Saya yakin hampir semua ikhwah dan akhwat akan melakukan itu.

Allah memberi saya dan sahabat-sahabat saya pengalaman yang tiada galang gantinya. Pengalaman merasai getirnya menjadi seorang muslim. Seorang yang mengakui keesaan Allah. Hampir 21 tahun hidup didunia, saya dihidangkan dengan cerita dan kisah bagaimana pandangan skeptikal masyarakat dunia terhadap orang Islam. Orang Islam dianggap tertutup dalam pelbagai perkara. Muslimat mendapat serangan yang paling hebat terutamanya oleh golongan feminis. Mereka menganggap muslimat adalah insan-insan yang terkongkong dengan hukum sehingga kebebasan disekat. Pemikiran itu tidak pernah mati. Sungguh, saya yakin.

Saya dan sahabat-sahabat diuji, dengan ditakdirkan oleh Allah SWT untuk berpijak pada realiti dan kenyataan hidup sebagai muslim di bumi asing.Sedang menunggu bas bersama-sama, tiba-tiba ada sebuah kereta diperlahankan. Sebuah keluarga warga Australia saya kira, menjerit-jerit, memaki-hamun sambil mengacah-acah untuk melemparkan sepatu kepada kami. Secara automatik iklim yang ceria itu bertukar menjadi iklim yang hitam pekat, mendebarkan. Istighfar demi istighfar bergema namun kebanyakan dari kami kelu, tiada mampu berkata-kata walau sepatah perkataan. Diam, khali.

Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, masing-masing masih terkejut. Ada juga yang mengalirkan air mata. Rasa sangat terasing!

Dan, kerinduan pada Rasulullah mekar dan kembang...amat-amat merindui Baginda. Ya Rasulullah, dirimu lebih hebat diuji...Ya Rasulullah, demi Allah aku rindu padamu. Ya Allah peliharalah hati-hati kami untuk mengikut jejak langkah orang yang mencintaiMu.

Esoknya,
Kami berjalan kaki untuk menghadiri usrah. Entah mengapa ada getaran hebat pada nubari sementelah kami semua berbaju kurung. Setiap langkah kami bersulam tasbih dan munajat. Rasa debar itu berkurangan sedikit demi sedikit. Bumi asing itu seakan-akan menjadi sebuah medan tempur perasaan sendiri. Terbayang perjuangan yang tidak pernah padam. Dan takdir Allah menentukan. Tiba-tiba sebuah kereta meluncur laju dan seorang perempuan menjerit ke arah kami dengan suara yang cukup kuat sekali.

Jantung seakan berhenti mengepam darah. Ya Allah, ya Allah, hanya itu yang terkeluar dari mulut. Perasaan takut bercambah semula. Masya Allah, apakah ini yang terbaik buat kami untuk menyedari hakikat Islam yang suci? Jika benar, kami redha sepenuh hati.

Buat sahaba-sahabat, walau dimana pun kalian berada, walau sekuat manapun kalian merasa sudah berbakti pada agama, jangan kalian pernah rasa bongkak dan cukup dengan perjuangan itu. Jangan mudah punya perasan angkuh dan meninggi diri dengan perjuangan yang amat sedikit. Saya berani menyatakan, itu amat sedikit jika dibandingkan dengan perjuangan Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat. Keperitan mereka menghadapi kebencian yang memuncak oleh orang bukan Islam, bukan sesuatu yang hanya boleh dikenang sebagai sejarah, tetapi sebagai sebab yang kukuh untuk kita tidak pernah akan mengaku kalah dalam perjuangan menegakkan agama.

Semoga kita semua terus tabah.

Dan, saya mohon doa sahabat-sahabat agar semua pelajar Malaysia di bumi asing senantiasa selamat dan sejahtera dalam dakapan Islam.

Tuesday, February 22, 2011

Keluarga Bahagia, JPP 2010/2011

Saya tidak mahu membuka ruang kenangan, kerana ia pastinya menyebabkan air hangat bertakung dalam kolam hati. Lama-kelamaan, ianya akan pecah dan limpah dan menghanyutkan diri ini ke dalam arus kerinduan. Semoga Allah melindungi kita semua.

Jawatankuasa Perwakilan Pelajar. Saya sudah bersama dengan organisasi ini selama 2 tahun. 2 tahun mengharungi pelbagai tranformasi, revolusi, bertukar tampuk kepimpinan dan sahabat-sahabat seperjuangan. Ya, pahit dan manis itu ada, berselirat dan sukar dileraikan hingga kini. Sekali memikul tugas, sungguh-sungguh dilaksanakan untuk mengejar masa yang tertinggal.

Saya pernah mendengar kata orang, JPP adalah kuli. Dan baru saya sedar, saya juga pernah begitu. Namun segalanya berubah, kerana Allah menyatukan hati-hati kita, kita semua yang terus memerah keringat dan usaha. Biarpun pelbagai prasangka, tuduhan dan sindiran terpalit, segalanya tidak diendahkan.

Saya terkenang, saat dingin malam datang, kami semua berkumpul di bilik mesyuarat. Kadang kala sehingga jam 1 pagi. Bukan niat untuk membangga diri, tidak sama sekali! Cuma itu realiti yang kami tempuhi.

Wajah sahabat-sahabat saya masih mekar dalam ingatan. Mereka lesu, pucat seakan tiada semangat. Tetapi sebenarnya, rasa juang itu menyala-nyala. Alhamdulillah saya melihat hasilnya.



Buat pok, (Hanif Shar), anda sangat cool tetapi serius dalam bekerja. Andalah orang yang paling 'gila kerja' sepanjang 2 tahun kita semua bersama-sama. Anda sangat terbuka dan baik hati. Walau apapun yang datang, anda tidak pernah melemahkan semangat kami. Anda akan berusaha menjaga kebajikan kami. Terima kasih pok, saya akan sentiasa merindui pok!

Buat Ipe, anda sangat banyak membantu aku. Anda sangat banyak menyelesaikan konflik-konflik dan masalah sahabat-sahabat. Anda sangat berani dan bijak dalam membuat tindakan. Anda selalu ada walau dalam keadaan susah atau senang. Anda tidak pernah meninggalkan kami terkontang-kanting dan aku akan merindui nko!



Buat mok (kak Diela), Mak sangat bersabar dengan saya. Terima kasih mak! Saya selalu tengok mak dalam keadaan penat, mata merah tapi mak cool je buat kerja. Senyum sokmo. Mak cun kot! Kerja mak sangat perfect, dan saya nak belajar jadi macam tu. Terima kasih mak....I love u mak!



Buat kakak (kak Tret), Saya sangat bahagia bekerja dengan awop. Awop sangat sporting dan menjaga kebajikan saya. Saya juga bahagia kerana kita sama-sama berganding bahu dapat mengutuk XXXX ketika stress melanda. (tak baik, tak baik). Jujurnya jantung saya akan berdentam dentum ketika menaiki kereta bersama awop. Awop drift, saya suspen. hehe.. terima kasih atas segala kenangan, kasih sayang dan cinta tulus. I love u, n I miss u...



Buat Rizal yang hensem dan gagah berani,Anda sangat tabah dan sabar. Andalah idolah semua JPP dalam urusan kerja. Rizal, anda sangat baik hati. Anda terlalu jujur. Anda memang superb. Terima kasih kerana jadi kawan susah senang. Anda selalu ada untuk kami semua. Saya sedih sangat sebab tak dapat lagi mengusik dan mengenakan anda dengan jayanya. Rizal oh Rizal, tak sangka dapat jumpa orang sebaik anda. Saya akan merindui anda!



Buat Afida Akmar, susah senang sama-sama. Kita selalu berteman air mata dan juga tawa. Sukar dipisahkan ikatan ini. Fida selalu ada untuk Aini. Fida selalu memahami Aini. Fida selalu beri semangat pada Aini. Fida jarang tunjuk kesedihan Fida. Fida kawan yang best! Fida comel dan Fida muslimah hebat. Terima kasih Fida sebab jaga lujnah kita dengan baik. Aini sayang Fida..



Buat Aini Syafinas, Anda sangat innocent. Kita geng susah senang sama-sama. Aini sangat cute dan baik hati. Aini selalu sabar dengan perangai saya yang baran ni. Aini selalu tenangkan saya dan menyedarkan saya. Terima kasih Aini, semoga Aini dapat pakwe yang hensem (apa kaitan?) Aini sayang Aini Syafinas..mmuah!



Buat tok ayah (Nik Aiman @ Abe Me), Anda sangat banyak membantu saya dan menyelesaikan kerja-kerja saya. Tak kira siang atau malam, anda akan berbakti kemana saja. Terima kasih ayoh! Mu memang terbaik!..sob sob...tringat weh!



Buat Puan Aneesha, Encik Puspa, Puan Rohani dan semua pensyarah..Terima kasih kerana mempercayai kami...Love u mummy and daddy!!

Buat semua JPP, Zaid, Ikmal, Abdillah, Hasbullah, Kak Izma, Kak Chik, Kak Ain, Kak Im, Mazwan, Pavi, David, Kaber, Izzah, Kak Pah, dan semualah! (maafkan saya tak dapat menyebut semua nama)....Nuraini Ruzi amat merindui saat kita bersama!! Siiru ala barakatillah.











Al-Fatihah buat arwah Abdillah Hafiz, Ex-Naib Bendahari JPP....

Dan, inilah kami.....salam rindu yang tiada penghujungnya...

Monday, February 21, 2011

Sebuah kembara, penerus deria muhasabah

Hidup tanpa kekasih, kelam tanpa cinta. Begiu juga aku, yang meninggalkan kekasih-kekasihku di Malaysia. Dan kekasihku, dia buku. Buku yang banyak menyuluh jalan hidupku, agar tidak tersadung dilembah kejahilan.

Tinggalkan seketika resah itu.

Jarak yang menyebabkan insan-insan terpisah, merupakan suatu beban yang sungguh berat tidak tertahankan. Namun, itulah pengukur kepada kekuatan dalaman dan juga keutuhan sabar dalam diri. Sungguh, banyak benar perkara yang kupelajari hari demi hari. Biar dimanapun bumi kita berpijak, kumula mengerti.

Ya, langit tetap sama! Teringat pesan seorang teman yang kukasihi, kalau rindu datang tiada bertepi, dongaklah pada langit biru, kerana kita tetap berkongsi langit biru yang sama.

Hari ini pemula sebuah paradigma, mungkin. Hari pertama kuliah di negara asing. Bertemankan sistem baru, persekitaran baru, iklim baru, budaya baru dan perasaan yang baru. Segalanya metah baru. Tawakal pada Tuhan jadi peneguh keyakinan.

Kampus sesak dengan pelajar. Minggu Orientasi, atau disebut O Week bermula seawal 8 pagi. Sementelah kuliah sebelah pagi dibatalkan, aku mengambil peluang untuk bersiar-siar dan meneliti kawasan.



Minoriti, itu sahaja yang mampu kusimpulkan. Sukar juga untuk menemui pelajar yang bertudung/berhijab. Muslim disitu, minoriti. Jadi segala perbuatan kami, akan diingati dengan mudah sekali. Saat ini barulah diri menyedari hakikat sucinya Islam secara fitrahnya. Dan aku mula percaya, bagaiman umat Islam sebenarnya menjadi fitnah kepada Islam.

Menjadi fitnah kepada Islam andai mengenepikan suruhan Allah dan RasulNya. Menjadi fitnah kepada Islam andai menghalalkan yang haram dan bersifat ekstrimis dalam beragama. Itu yang perlu kita ubah dan usahakan agar tidak berlaku dan berpanjangan. Hari ini booth-booth memenuhi Centre Courtyard. Pelbagai persatuan dan organisasi menawarkan pelbagai pakej dan keistimewaan.



Aku tertarik pada booth Muslim Aid. Disitu aku lihat muslimatnya sangat petah berkata-kata. Kuamati riak wajahnya yang ceria tatkala kau singgah menyapa. Benarlah Islam itu kelihatan amat asing. Aku merasakan aura yang aneh. Seolah-olah makhluk asing, kami dikelilingi kemungkaran yang bermaharajalela.



Aku berjalan lagi, dan kawan-kawan kutinggalkan entah kemana. Beginilah mungkin rasanya menjadi pelajar Uni. Aku tidak malu untuk mengakui, ini kali pertama aku merasai benar-benar sebagai siswazah dan tidak lagi terikat dengan kongkongan sistem sekolah. Terima kasih Allah kerana sebuah pengajaran berguna ini, dan kini aku harus menjalani setiap perkara yang Kau aturkan.

Aku memperoleh sebuah kitab Bible secara percuma oleh seorang ahli kelab Kristian. Mereka sungguh gigih menyebarkan dakyah mereka. Semangat mereka jarang benar luntur. Semua ini harus dihentikan oleh serangan dari pelbagai penjuru oleh pihak Islam sendiri. Serangan dari penjuru pemikiran dan kesedaran, dan bukannya membiarkan hanya bom dan darah yang berbahasa. Use your brain.

Pemikiran yang berpaksikan keimanan. Keimanan yang bermula dari ibadah yang sempurna. Keberanian takkan hadir tanpa rasa percaya dan yakin pada Allah. Sebelum kita melangkah lebih jauh, fikirlah, benarkah kita sudah mempersiapkan diri secara asasnya sebagai Muslim?

Kita tidak boleh lari dari kenyataan ini. Berhati-hati mengatur langkah yang pertama, kerana disitu penanda aras pada kejayaan yang seterusnya. Jatuh berkali-kali itu biasa, tetapi jangan lupa untuk bangkit dan berjuang sehingga menggapai redha di jalanNya.

Cabaran sebagai muslim ada dimana-mana. Jika bukan dengan musuh Islam, boleh jadi dengan musuh hakiki- diri sendiri dan syaitan laknatullah.

Semoga kembara ini membangkitkan rasa cinta yang teragung pada Allah SWT.

Sunday, February 20, 2011

Keindahan pagi~ Meresap kehati

Sudah 2 malam aku dipeluk kehangatan cuaca. Panas di sini berlainan benar berbanding bumi Malaysia. Panasnya seolah-olah membakar kulit sawo matang ini lalu merembeskan peluh yang bukan sedikit. Sungguh tidak selesa. Mungkin ini hanyalah satu cabaran kecil yang dihadapi oleh seorang musafir. Musafir yang berkelana kerana ilmu, kunamakan itu aku. Dan, pencarian demi pencarian sentiasa berjalan seiring piuhan waktu.

Malam lebih pendek berbanding siang dan aku masih lagu sukar menyesuaikan diri. Aku lebih sukakan malam, kerana tika itu ilham akan mencurah bagai air mengalir dan kesunyian itu, ya, itu yang aku sering damba-dambakan. Tiada apa yang lebih bernilai selain rasa kerinduan yang meluap-luap pada pencipta Alam.

Pagi itu aku ke Waterloo Park. Tidak terlalu jauh dari kawasan rumahku di Macquarie University Village. Bersama teman, Azlan, Hanan, Aisyah dan TQ, kami meredah kesejukan pagi. Waktu subuh yang menjengah seawal 5 pagi menyebabkan kami berjaga agar tidak tertidur semula. Saat kami melangkah keluar menuju ke Waterloo Park, jam menunjukkan jam 7 pagi. Disini, matahari sudah tersenyum kira-kira jam 6 pagi. Jadi kerisauan untuk beraktiviti luar akan pudar sendiri. Alhamdulillah pagi itu aku menghabiskan 3 pusingan larian tanpa henti di kawasan taman Waterloo. Rasa segar dan bertenaga!

Satu pengamatan yang seakan sama kuperoleh. Di sini, (Australia), warga yang turun bersenam pada waktu pagi adalah kaum cina. Jika kita lihat senario di Malaysia pun, memang kaum cina akan berpusu-pusu ke taman-taman rekreasi untuk melakukan senaman dan juga aktiviti kecergasan. Jadi, adakah adil jika aku katakan warga cina amat mementingkan gaya hidup sihat? Pada hematku, aku mengeyakan kenyataan ini.

Sempat aku menegur beberapa orang warga Australia yang berada di taman itu. Iyalah, bukankah itu tujuan kerajaan menghantar aku ke sini~ memperbaiki tahap komunikasi dalam bahasa Inggeris. Tapi lain pula jadinya, mereka malah, sangat teruja untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Mereka suka bertanya "Apa khabar?" dan pelbagai soalan lagi. Mereka juga suka memberi salam kepada kami. Mungkin mereka jangkakan,orang Malaysia sinonim dengan salam dan bukannya Muslim. Itu tanggapan yang perlu dibetulkan. Tetapi siapa yang harus bertindak? (Salah satu sifat orang kita, menyerahkan amanah dan tanggungjawab kepada orang lain)~ peringatan pada diri.

Waterloo Park penuh dengan daun-daun kering. Lorong-lorong kecil seakan-akan melengkapkan keindahan itu. Aku berlari-lari ditengah padang hijau yang terbentang luas. Sungguh asyik mengejar burung-burung kakak tua yang memenuhi ruangan padang. Berkepala separuh merah dan putih, burung kakak tua terbang tinggi dan rendah. Tidak kemana-mana tetapi turun kembali ke padang itu. Haiwan-haiwan disini terpelihara. Jika manusia menyentuh dan mencederakannya, denda dan kompaunlah yang akan diterima. Jadi tidak hairanlah banyak binatang yang bebas merata-rata, seolah-olah mengetahui nilai yang diberikan padanya.

Kutersenyum, ya, itu sesuatu yang melucukan tetapi kenyataan yang harus diambil perhatian. Tersilap langkah, buruk akibatnya. Jika di Malaysia, manusia yang berkuasa. Dan haiwan pula, semakin terancam oleh bahaya.

Kawan-kawan, hari ini akan pergi, dan esok akan menanti. Semoga terus banyak hikmah yang kita kecapi. Salam cinta yang meresap kehati.

Wednesday, February 16, 2011

Jika hanya 1 minit, ya 1 minit..apa yang ingin kau katakan?

Sedang leka melayan buku muka (facebook).
Seusai asar kukira setelah hujan renyai-renyai menyapa bumi Sydney.
Tengah hari tadi panasnya menyengat dan aku kira ianya berpanjangan sehingga kemalam.
Namun cuaca disini memang tidak terjangkakan. Aku kira beginilah kehidupan kita.

Kehidupan yang selamanya dalam Islam, yakinkah kita? Apakah laluan setenang ini yang kita lalui akan berkekalan tanpa rasa cinta dan kasih pada Allah dan rasulNya?

Aku akui, siapa tidak memendam rindu pada ummi abah adik-adik, sahabat, kekasih yang berjauhan tatkala kita berkelana di bumi asing. AKu akui, rindu itu sering singgah dan bermukim dan taman hati.

Ada sesuatu menjentik nubariku. Air mata tidak tertahan dan aku mula melakar rindu. Rindu yang ini berbeza amat. Soalan yang meleburkan benteng keegoaan.

Apa yang anda mahu katakan jika Rasulullah SAW bersama dengan anda selama 1 minit?
Ya, hanya 1 minit.

Subhanallah....

Rasulullah SAW, aku rindu...rindu....

Sahabat-sahabatku, ayuh kita semai cinta itu.


http://www.youtube.com/watch?v=MxtPrFNodsE&feature=related

Monday, February 14, 2011

Catatan Sydney, membuka skop kehidupan.

Aku masih bergelut dengan perubahan cuaca yang tidak menentu. Rintik hujan datang sekejap-sekejap dan kemudian timbul matahari memanaskan bumi. Jaket yang dipakai ditanggalkan tetapi beberapa jam kemudian angin berpiuh dingin dan meresap ke tulang. Jaket dipakai semula. Begitulah Sydney dalam permainan cuaca yang tidak terjangkakan. Namun atas penerangan dari kakak-kakak senior, peralihan musim selalunya merupakan antara faktor cuaca berubah-ubah sepanjang hari. Namun aku pasti Tuhan sudah merencanakan sesuatu yang bermakna buat hambaNya. Terpulang pada hamba-hambaNya sama ada mahu ikhlas menerima kehidupan dengan cara yang mereka pilih.

Hari ini aku berjalan ke Macquarie Center yang terletak agak jauh juga dari Macquarie Village. Berjalan kaki menelusuri rumah-rumah berbata merah disepanjang lorong-lorong kecil yang dipenuhi dengan daun-daun maple kering itu menerbitkan satu ketenangan dalam jiwa. Sengaja kuperlahankan langkah untuk melihat longgokan daun-daun maple kering yang sudah pun berwarna coklat pekat. Serasa seperti dalam filem Mohabbatein pula.



Aku terus berjalan sehingga bertemu jalan raya. Tanpa diarah, aku berhenti dipinggir jalan dan melihat kiri dan kanan. Jangkaanku seperti biasa yang kulakukan di Tanah Air tercinta. Pejalan kaki akan menunggu kereta melepasi mereka sebelum melintas, apatah lagi jalan raya yang tidak mempunyai lampu isyarat. Namun hari itu aku seakan terpaku seketika apabila kereta yang dipandu dijalan raya Australia berhenti dan memberikan laluan kepadaku. Biarlah lambat atau cepat manapun kita berjalan, pemandu akan menunggu sehingga semua pejalan kaki selamat sampai keseberang.



Aku cukup kagum dengan sikap itu. Bila diteliti, rupa-rupanya undang-undang jalan raya Australia mengutamakan keselamatan pejalan kaki dan denda yang amat tinggi akan dikenakan kepada pemandu kereta atau kenderaan lain tidak memberikan lalauan kepada pejalan kaki. Buat pertama kalinya dalam hidupku, aku merasa sangat dihargai sebagai seorang pengguna jalan raya. Jika keadaan itu berlaku di Malaysia, alangkah bagusnya. Keadaan itu sebenarnya sevara tidak langsung mengurangkan kadar kemalangan dan juga meningkatkan tahap keselamatan pengguna-pengguna jalan raya keseluruhannya. Aku masih mengorak langkah melintasi kawasan lapang yang terletak barisan-barisan pokok bersaiz besar diatasnya. Daun-daun kering yang gugur ke atas kawasan lapang itu seolah-olah membentuk sebuah permaidani coklat yang besar. Aku melewati kawasan kampus. Tiba-tiba aku terbau sesuatu. Hidungku kembang kempis kerana cuba mengenalpasti dari manakah bau itu datang. Baunya seakan serai dan pudina.



Aku tercari-cari serai dikawasan kampus namun tidak ketemu. Rupa-rupanya bau itu datang daripada rumput hijau. Aku sendiri pun tidak tahu bagaimana rumput biasa seperti itu mampu mengeluarkan bau yang cukup kuat. Kawanku pernah berseloroh, “Ini jalan Tom Yam.” Apa tidaknya, sepanjang laluan itu, bau rumput yang seakan-akan serai itu menghuni deria bau kami semua. Aku memeluk tubuh setiap kali angin menyapa lembut tubuh. Sengaja aku menarik-narik jaketku agar kesejukan berkurangan.