Sunday, February 27, 2011

Aku Bersaksi, Perjuangan ini tidak pernah padam.

Saya sekarang berada dalam keadaan terancam, ketakutan. Sungguh Allah hendak memberi saya pengajaran berharga. Sangat bernilai dan akan saya kenang sehingga hujung nyawa.

Selama ini saya hidup dalam zon yang selesa. Sangat selesa. Sekalipun pelbagai mehnah melanda, namun itu semua hanya sekadar kecaman yang direka-reka ataupun hanya bermain dalam cepu kepala. Ya, tidak lebih dari itu.

Selama ini jika hati ini terjentik dengan rasa sayu, itu pasti hanya kerana melihat teman-teman yang hanyut dibuai arus dunia, hiburan terlampau, dan paling hebat, ujian itu adalah keengganan mengikut suruhan Tuhan dan kemungkaran berlaku didepan mata. Apa yang saya tekankan adalah kemungkaran yang dilakukan oleh orang beragama Islam.

Ya, dan kerana itulah selalunya jiwa Islam kita sakit dan tangisan akan tiada hujungnya di atas tikat sejadah. KIta akan menulis pelbagai artikel, nasihat untuk membangkitkan kesedaran, meluahkan kekesalan dan berhujah yang pelbagai, menyampaikan kuliah dan motivasi, serta memantapkan usrah. Saya yakin hampir semua ikhwah dan akhwat akan melakukan itu.

Allah memberi saya dan sahabat-sahabat saya pengalaman yang tiada galang gantinya. Pengalaman merasai getirnya menjadi seorang muslim. Seorang yang mengakui keesaan Allah. Hampir 21 tahun hidup didunia, saya dihidangkan dengan cerita dan kisah bagaimana pandangan skeptikal masyarakat dunia terhadap orang Islam. Orang Islam dianggap tertutup dalam pelbagai perkara. Muslimat mendapat serangan yang paling hebat terutamanya oleh golongan feminis. Mereka menganggap muslimat adalah insan-insan yang terkongkong dengan hukum sehingga kebebasan disekat. Pemikiran itu tidak pernah mati. Sungguh, saya yakin.

Saya dan sahabat-sahabat diuji, dengan ditakdirkan oleh Allah SWT untuk berpijak pada realiti dan kenyataan hidup sebagai muslim di bumi asing.Sedang menunggu bas bersama-sama, tiba-tiba ada sebuah kereta diperlahankan. Sebuah keluarga warga Australia saya kira, menjerit-jerit, memaki-hamun sambil mengacah-acah untuk melemparkan sepatu kepada kami. Secara automatik iklim yang ceria itu bertukar menjadi iklim yang hitam pekat, mendebarkan. Istighfar demi istighfar bergema namun kebanyakan dari kami kelu, tiada mampu berkata-kata walau sepatah perkataan. Diam, khali.

Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, masing-masing masih terkejut. Ada juga yang mengalirkan air mata. Rasa sangat terasing!

Dan, kerinduan pada Rasulullah mekar dan kembang...amat-amat merindui Baginda. Ya Rasulullah, dirimu lebih hebat diuji...Ya Rasulullah, demi Allah aku rindu padamu. Ya Allah peliharalah hati-hati kami untuk mengikut jejak langkah orang yang mencintaiMu.

Esoknya,
Kami berjalan kaki untuk menghadiri usrah. Entah mengapa ada getaran hebat pada nubari sementelah kami semua berbaju kurung. Setiap langkah kami bersulam tasbih dan munajat. Rasa debar itu berkurangan sedikit demi sedikit. Bumi asing itu seakan-akan menjadi sebuah medan tempur perasaan sendiri. Terbayang perjuangan yang tidak pernah padam. Dan takdir Allah menentukan. Tiba-tiba sebuah kereta meluncur laju dan seorang perempuan menjerit ke arah kami dengan suara yang cukup kuat sekali.

Jantung seakan berhenti mengepam darah. Ya Allah, ya Allah, hanya itu yang terkeluar dari mulut. Perasaan takut bercambah semula. Masya Allah, apakah ini yang terbaik buat kami untuk menyedari hakikat Islam yang suci? Jika benar, kami redha sepenuh hati.

Buat sahaba-sahabat, walau dimana pun kalian berada, walau sekuat manapun kalian merasa sudah berbakti pada agama, jangan kalian pernah rasa bongkak dan cukup dengan perjuangan itu. Jangan mudah punya perasan angkuh dan meninggi diri dengan perjuangan yang amat sedikit. Saya berani menyatakan, itu amat sedikit jika dibandingkan dengan perjuangan Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat. Keperitan mereka menghadapi kebencian yang memuncak oleh orang bukan Islam, bukan sesuatu yang hanya boleh dikenang sebagai sejarah, tetapi sebagai sebab yang kukuh untuk kita tidak pernah akan mengaku kalah dalam perjuangan menegakkan agama.

Semoga kita semua terus tabah.

Dan, saya mohon doa sahabat-sahabat agar semua pelajar Malaysia di bumi asing senantiasa selamat dan sejahtera dalam dakapan Islam.

2 comments:

Cikgu AL said...

a nice post thoyba..:D

akutoolips said...

semoga terus tabah...insyaAllah ALLAH senantiasa bersama hamba-hanbanya...