Gempa disana-sini. Yang paling terbaru saya baca di Kosmo Online, gempa menghampiri Malaysia. Allahurabbi, rasa ketakutan itu menular laju ke segenap saraf. Keluarga yang saya rindui di sana, semoga mereka dan seluruh warga Malaysia dilindungi.
Saya jadi haru seketika. Disini tiada siapa yang mengawasi. Tiada siapa yang akan menegur sama ada saya sudah solat, membaca Al-Quran, ataupun apa sahaja ibadah kerana disinilah dimana iman-iman hamba benar-benar teruji. Jauh dari keluarga dan persekitaran Islam itu sendiri merupakan ujian terbesar yang dihadapi.
Ingin berkongsi pengalaman, beberapa kali juga saya dan sahabat-sahabat hampir-hampir tidak dapat menunaikan solat kerana waktu yang hampir habis dan tiada tempat yang sesuai, selalunya ketika kami keluar ke kota. Saya pernah solat di station tren, di tepi rel itu kerana bimbang terlepas trip untuk pulang ke uni. Pelbagai perasaan bercampur dan berbaur sehingga adakalanya kami semua diam dan mengesat air mata masing-masing kerana mengenangkan dosa-dosa yang terlalu banyak ini. Semoga Allah menganpuni kami.
Kematian, perkataan itu mengacah-acah pemikiran beberapa hari ini. Apatah lagi bencana alam yang makin menjadi-jadi seakan petanda yang jelas untuk kita sebagai hamba agar terus meminta keampunan dari Allah SWT sebelum segala-galanya terlambat. Kematian akan tiba, bila-bila masa. Saya dihadiahkan dengan beberapa potong ayat dari naqibah saya. Dan ayat tersebut benar-benar membuatkan tubuh saya menggeletar.
Kalian boleh semak didalam Al Quran..
63 : 11
56 : 60
21 : 35
4 : 78
62 : 8
32 : 11
6 : 2
3 : 185
Allahukabar....mati itu pasti. Dan saat kematian itu, amat menyakitkan. Tidak terbayang bagaimana roh tercabut dari jasad ini. Husnul Khatimah, itu yang seharusnya menjadi inti dalam doa kita.
Saya mula refleksi, apakah saya benar-benar ingat pada Allah.
Mata? Buku apa yang sering saya tatap? Al Qurankah? Apakah yang sering saya tonton? Apa yang sering saya lihat? Apa yang sering saya renung? Allahurabbi..
Telinga? Apa yang sering saya dengar? Al Qurankah? Lagu yang melalaikankah? Umpatankah? Fitnahkah? Selawatkah? Allahurabbi..
Mulut? ayat Al Qurankah yang sering saya baca? Selawat? Zikir? Mengumpat? Mencela? Menghina? Menipu? Allahurabbi..
Tangan? Buku apa yang selalu saya pegang? Mencuri? Menulis sesuatu yang tidak berfaedah? Menulis komen yang bukan2 di laman sosial? Allahurabbi apa yang saya sudah lakukan.
Kaki? Kemana saya melangkah? Kerana apa? Kenapa? Allahurabbi...
Jika dinilai kembali, layakkah diri ini untuk menghuni syurga Allah yang mahal itu. Saya tidak terbayangkan bagaimanakah hari pembalasan kelak. Saat gunung-ganang menjadi debu, bangunan runtuh dan hancur, jalan-jalan lebur, laut menenggelamkan segala isi daratan, lalu semua kemusnahan itu menimpa seluruh jagat manusia. Dan manusia yang beriman dan dipilh Allah akan pergi menemui Allah dengan senyuman dan yang sebaliknya, marak neraka menghantui hingga hujung nyawa.
Ketakutan ini tidak mampu dibendung lagi. Saya mahu mencintai Allah melebihi segala-galanya. Saya ingin sekali terus istiqamah dengan perjuangan yang diberikan. Terima kasih sahabat-sahabat yang mendampingin saya. Ya Allah, sesungguhnya aku mohon, janganlah KAU ambil nyawaku saat aku lupa padaMU. Aku ingin, terus merinduiMu dan RasulMu sehingga ke hembusan nyawa yang terakhir.
Ya Allah, ampunilah aku, ibu bapaku, adik-adikku, sahabat-sahabat yang kucintai keranaMu, dan juga seluruh warga Islam di muka bumiMu ini....Amin...
1 comment:
ALLAH. Muhasabah kembali, shokran atas peringatan ini.
Post a Comment