Ya, saya ingin berbicara soal perkahwinan.
Kita, kalau sebut tentang kahwin, dua hari dua malam pun tidak akan habis untuk dibicarakan. Pasti ada sahaja idea atau pengalaman yang hendak dikongsikan. Kahwin, adakah hanya terbatas pada memiliki seorang suami/isteri dan melahirkan anak?
Saya tak nafikan isu ini tidak akan mati apatah lagi dalam kalangan anak-anak muda. Ya, saya pun anak muda, baru 21. Emosi dan perasaan bergulir sentiasa. Tercari-cari makna cinta dan kasih sayang. Jika ada kata-kata yang dituturkan oleh yang bukan muhrim, mulalah hati tersentuh, terpaut dan terkenang sehingga ke kamar tidur.
Betulkah itu cinta? Saya malas hendak mengulas perihal ini kerana saya yakin sudah ada berpuluh-puluh artikel yang dihasilkan oleh blogger-blogger, ustaz ustazah dan cendekiawan tentang perihal cinta sesama manusia ini.
Bila sudah sampai masanya, kita pasti akan berkahwin juga dengan jodoh yang telah ditetapkan oleh Allah.Cuma kali ini saya cuba keluar sedikit dari 'keterujaan' menikah itu. Cuba kalian intai disebalik tirai kebahagiaan itu, terlihatkah kesedihan dan kesayuan ibu bapa kita?
Saya anak perempuan, bahkan sulung pula. Ini bermakna, sayalah zuriat pertama yang menghadiahkan sebuah kebahagiaan kepada ayah dan ibu (cuba bayangkan perasaan pasangan yang baru menerima cahaya mata pertama)
Dan kebahagiaan mereka itu akan 'diambil' orang lain. Cuba kalian rasakan keresahan melepaskan anak yang diasuh dari sebesar telapak tangan itu kepada insan lain yang baru dikenalinya tidak begitu lama.
Saya, apabila terkenangkan akan 'perpisahan' itu, saya jadi khuatir, adakah lelaki-lelaki yang melamar seorang gadis untuk dijadikan isterinya tahu akan amanah yang amat besar ini.
Dan saya juga turut gusar, apakah diri sudah benar-benar berbakti kepada mereka. Allahurabbi..
Lafaz sakinah, saya pernah mendengarnya.Beberapa kali saya ulang dengar lirik lagu lafaz sakinah dendangan Far East. Air mata saya tidak mampu membayangkan saat itu. Saat menatap wajah ayah dan ibu yang 'merelakan' anaknya mengikut insan lain untuk menjalani kehidupan baru.
Saya cantas sedikit lirik lagu tersebut, yang bait-baitnya menggegarkan tangkai jiwa saya. Biar berapa kali saya mendengarnya, saya merasa amat terkesan dan mula sedar nilai sebenar kasih sayang dan cinta ibu dan ayah kepada anaknya.
Saya membayangkan ayah saya berkata begini dihadapan saya dan bakal suami saya yang masih lagi menjadi rahsia Allah sehingga kini.
Adalah aku wali puteriku
Serah kini amanahku ini padamu
Nafkahilah dia curah kasih dan cinta
Lebih dari yang ku berikan kepadanya
Dulu esakannya sandar di bahuku
Tangisannya kini ku serah padamu
Bukan bermakna dia bukan milikku
Fitrahnya perlukanmu
Jadikanlah dia wanita syurga
Mengerti benar akan maharnya
Taat itu bukan hanya pada nama
Indah ia pada maksudnya
Dan alangkah indahnya jika 'si dia' memahami lafaz ini dengan benar-benar mendalami maksud aksara di bawah.
Ku akur
Akan pesanmu
Puterimu kini amanahku
Iringilah
Dengan doamu
Bahagia kami dari redhamu
Tiba-tiba saya jadi hairan apabila ada anak-anak yang sanggup derhaka dan kahwin lari bersama lelaki yang entah dari mana datangnya. Bagaimana anak sebegitu mampu yakin bahawa kasih sayang dan cinta pasangannya akan diberkati andai tiada restu. Saya jadi kelu, saya jadi buntu untuk berfikir tentang itu.
Semoga Tuhan melindungi kita semua. Sesungguhnya pernikahan itu kesinambungan untuk membina ummah yang benar-benar memahami agama.
*Buat ummi dan abah, along sayang padamu..
2 comments:
pergh-posing baik punya.
semestinyalah. :-)
Post a Comment